Popular Posts

Isnin, 3 Oktober 2011

TANGAN YANG TERINDAH...



Suatu ketika dahulu… bonda saya datang menziarahi rumah kami. Bonda mengajak saya untuk menemaninya membeli belah kerana dia menginginkan sepasang baju baru. Saya sebenarnya tidak suka pergi ke pusat membeli belah, dan saya bukanlah orang yang sabar melayan kerenah wanita bila berada di pusat membeli belah. Walaupun demikian, demi menjaga hati bonda, kami pergi juga ke pusat membeli belah untuk memenuhi hasrat bonda inginkan baju baru. Kami mengunjungi setiap butik yang menyediakan pakaian wanita, dan bonda saya mencuba sehelai demi sehelai pakaian dan mengembalikan semuanya kerana tidak berkenan di hati bonda.



Seiring hari yang berlalu, saya mulai penat dan kelihatan jelas riak-riak kecewa di wajah bonda. Akhirnya pada butik terakhir yang kami kunjungi, bonda saya mencuba satu baju yang cantik . Dan kerana ketidaksabaran saya, maka untuk kali ini saya ikut masuk dan berdiri bersama bonda saya dalam fitting room. Saya melihat bagaimana bonda mencuba pakaian tersebut, dan dengan susah payah mencuba untuk mengenakannya. Ternyata tangan-tangannya sudah mulai dilumpuhkan oleh penyakit radang sendi dan sebab itu dia tidak dapat melakukannya. Seketika itu, ketidaksabaran saya digantikan oleh suatu rasa kasihan yang dalam kepadanya. Saya segera keluar dari fitting room untuk cuba menyembunyikan air mata yang keluar tanpa saya sedari. Setelah saya mendapatkan ketenangan semula, saya kembali masuk ke fitting room untuk membantu bonda mengenakan pakaiannya.



Pakaian ini begitu indah, dan bonda membelinya. Selesailah sebuah pengalaman membeli belah, tetapi kejadian tersebut  terukir dan tidak dapat dilupakan dari ingatan saya…



Sepanjang sisa hari itu, fikiran saya tetap kembali pada saat berada di dalam fitting room tersebut dan terbayang tangan bonda saya yang sedang berusaha mengenakan pakaiannya. Kedua tangan yang penuh dengan kasih, yang pernah menyuapkan makanan , memandikan saya, memakaikan baju, membelai dan memeluk saya dan lebih dari semuanya, tangan yang berdoa untuk saya. Sekarang tangan itu telah menyentuh hati dengan cara yang paling berbekas dalam hati saya. Kemudian pada malam harinya saya pergi ke kamar bonda, saya mengambil tangannya, lantas menciumnya….



Tindakan saya membuatnya terkejut, saya memberitahunya bahawa bagi saya kedua tangan tersebut adalah tangan yang paling indah di dunia ini. Saya sangat bersyukur kepada Allah yang telah membuat saya dapat melihat dengan sejelas-jelasnya, betapa bernilai dan berharganya kasih sayang yang penuh  pengorbanan dari seorang ibu.



Saya hanya dapat berdoa agar suatu hari kelak, tangan saya dan hati saya akan memiliki keindahannya tersendiri. Dunia ini memiliki banyak keajaiban dengan segala ciptaan Allah yang begitu agung, tetapi tidak satu pun yang dapat menandingi keindahan tangan Ibu…


Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan