Popular Posts

Ahad, 31 Julai 2011

ADAKAH AKU HANYA HAMBA RAMADHAN...?



Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita dipanjangkan usia untuk berada dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.


Kehadiran Ramadhan menyibukkan sesetengah orang melakukan sedikit perubahan, seperti orang perempuan yang biasanya membiarkan rambut terdedah, menutup kepala mereka dengan tudung sekalipun jambulnya masih tersembul, manakala orang lelaki bertatih-tatih ke masjid untuk solat secara berjemaah.


Ini perkembangan yang baik tetapi alangkah besar manfaatnya jika amalan ini berterusan sepanjang waktu. Jika perubahan ini dilakukan semata-mata bagi menghormati Ramadhan atau mendapatkan kelebihan beribadat pada bulan penuh barakah ini, dikhuatiri seseorang itu menjadi hamba Ramadhan dan bukan hamba Allah swt yang menunjukkan ketaatannya sepanjang usianya.


Berhubung perkara ini, kita tertanya-tanya mengapa sesetengah pihak hanya begitu ghairah mendesak penutupan pusat hiburan dan maksiat pada bulan Ramadhan, sedangkan diam seribu bahasa pada bulan-bulan lain. Apakah ini bermaksud pada Ramadhan sahaja kita berbuat baik, sebaliknya pada bulan-bulan lain bebas berbuat sesuka hati kita…? Apakah ini bermaksud Allah hanya ada pada bulan Ramadhan, sedangkan pada bulan-bulan lain, Allah seolah-olah tidak wujud…?


Pemikiran dan tindakan mengasing-asingkan corak kehidupan berdasarkan masa dan tempat ini sebenarnya amalan sekular. Berdasarkan ini, tidak hairanlah orang berusaha mematuhi suruhan agama seperti memakai tudung pada bulan Ramadhan tetapi pada bulan-bulan lain tidak menghiraukannya sedangkan perintah Allah swt berhubung penutupan aurat adalah pada sepanjang masa.


Demikian juga ketika menunaikan haji di Tanah Suci, seorang Muslimah sentiasa mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya, tidak kelihatan seorang pun wanita yang memperlihatkan rambutnya. Adakah ini bermaksud Allah swt itu hanya ada di Mekah, manakala di luar musim haji dan di luar Tanah Haram, Allah swt tidak wujud kerana perintah-Nya dilanggar sewenang-wenangnya.




Pemikiran sekular ini sudah lama meresap dalam masyarakat kita. Ada sebahagian daripada kita melakukan perintah Allah swt berdasarkan apa yang disenangi, sebaliknya menolak apa yang difikirkan mendatangkan kerugian. Misalnya, pada ayat 178 Surah al-Baqarah, Allah swt memerintahkan manusia berhukum dengan hukum Qisas, kebanyakan manusia tidak mempedulikannya tetapi apabila diperintahkan berpuasa pada ayat 183 surah yang sama, mereka menerimanya.


Kecenderungan melakukan perintah secara terpilih ini, menyebabkan umat Islam berkelakukan baik pada suasana yang memerlukan mereka bertindak sedemikian, sebaliknya pada luar lingkaran itu, bertindak di luar batasan agama. Jika mereka di masjid, mereka menunjukkan ketaatan tetapi di luar pintu masjid, seolah-olah perintah Allah tidak laku. Itulah sebabnya mengapa sebahagian umat Islam melakukan aneka maksiat seperti rasuah, rompakan dan penyelewengan kerana agama bagi mereka adalah dalam lingkungan masjid dan pada bulan dan musim tertentu saja.


Pada bulan Ramadhan ini, ramai bertukar baik, tetapi sebaik saja masuk bulan Syawal kelakuan mereka kembali buruk. Aneka maksiat kembali dilakukan, penyelewengan dan penganiyaan menjadi-jadi, termasuklah dalam bidang politik.


Penindasan diteruskan, segala tazkirah dan pengajaran Ramadhan tidak tersangkut di hati. Manusia kembali liar, malah mungkin lebih buruk lagi sebelum Ramadhan.


Jika ini berlaku, seseorang itu dikhuatiri menjadi hamba Ramadhan, gagal menjadi hamba Allah yang patuh dan tunduk kepada perintah dan hukum-Nya sepanjang masa.


Mungkin dalam hidup seseorang dia sudah menyambut 50 kali Ramadhan sesudah balighnya, tetapi amalannya tetap sama saban tahun.


Pada bulan Ramadhan dia bertukar baik, tetapi pada bulan-bulan lain merapu dalam tindak-tanduknya kerana hidup tidak berpandukan Syariat. Semoga kita tidak tertipu buat sekian kalinya Ramadhan ini, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh menjadi hamba-Nya yang mendapat keredhaan-Nya dunia dan akhirat.


Beribadat dan berbaktilah sepanjang hayat kita, usah pada bulan Ramadhan sahaja…


Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

RAMADHAN HADIAH ALLAH...


Dengan Kasih Sayang dari Allah Ramadhan tiba lagi....


Ramadhan membawa hadiah-hadiah yang terlalu banyak, mahal-mahal dan besar-besar dari Allah swt. Hadiah buat orang bertakwa, bukan untuk orang Islam. Lebih-lebih lagi bukan untuk orang yang zalim dan fasik. Hadiah dari Allah itu ada bermacam-macam. Diletakkan di dalam wadah dari bahan-bahan yang mahal. Di antara hadiah-hadiah itu ialah,


1. Hadiah keampunan Allah, hadiah terbesar buat orang yang bertakwa.

2. Hadiah keredhaan-Nya juga mahal

3. Kasih sayang-Nya yang sangat diperlukan

4. Rahmat, hidayah dan taufik-Nya

5. Berkat dari-Nya dunia membawa ke Akhirat

6. Diberi-Nya pahala berganda-ganda.

7. hadiah Lailatul Qadar diberi ganjaran seribu bulan beribadah.

8. Akhirnya Syurga Allah yang kekal abadi.


Kedatangan Ramadhan yang sebenarnya ialah sebuah majlis bertukar-tukar hadiah di antara hamba-hamba dengan Allah. Hadiah di antara dua pihak bukan satu pihak sahaja. Hadiah dari Allah adalah sangat mahal, berbanding hadiah si hamba. Hadiah dari hamba juga bernilai di sisi Allah. Sesiapa yang dapat menghadiahkan sesuatu yang mahal kepada Allah maka dapatlah hadiah dari Allah yang juga sangat mahalnya


Namun, tidak semua hadiah hamba dibalas hadiah oleh Allah. Hadiah-hadiah yang mahal dari hamba sahaja yang dapat balasan hadiah oleh Allah. Seperti yang akan disebutkan. Wadah-wadah orang yang bertakwa yang hendak diisi dengan hadiah-hadiah tadi ada pulangannya. Wadah-wadah itu banyak pula di antaranya,


1. Wadah Puasa yang di isi dengan keinsafan, timbang rasa, kesabaran, rasa hamba, rasa lemah, lembut hati, lapang dada, bertolak ansur.


2. Wadah Solat di isi dengan hadiah-hadiah rasa kehambaan, rasa dilihat, rasa hina, rasa rendah diri, lembut hati, rasa harap, malu, rasa kerdil, tawaduk, khusyuk, gementar, takut, taubat, menyesal, takut dengan dosa di masa depan.


3. Wadah membaca Al Quran di isi dengan dapat ilmu, pengajaran, keinsafan, terasa kebesaran Allah, terasa rahmat dan kasih sayang-Nya kepada insan, hati tenang, bertambah takut dengan Allah dan hasad dengki pun hilang


4. Wadah Zikir seperti tasbih, tahmid, takbir, selawat, doa di isikan dengan mensucikan Allah, memuji Allah, membesarkan Allah, tawakal, penyerahan diri kepada Allah, baik sangka dan harap, membesarkan Akhirat, berlapang hati dengan urusan dunia, dunia tidak menyusahkan hatinya, tenang dengan dunia, gelisah dengan nasib di Akhirat


Semoga  Allah berkenan menggolongkan hati-hati kita menjadi setiap wadah-wadah yang dapat di isi dengan rasa-rasa yang telah disebutkan tadi.


Orang bertakwa dapat menghayati Ramadhan dengan akal fikiran, hati dan jiwa raganya. Roh Ramadhan menjadi roh kepada hatinya dan jiwanya. Roh di atas roh, jiwa di atas jiwa. Rohnya bercahaya dengan cahaya Ramadhan. Itulah orang bertakwa


Orang bertakwa sahaja yang pasti dapat hadiah yang besar, kerana orang bertakwa itu dapat membawa hadiah pula untuk Allah. Saling bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Allah


Sesiapa yang tidak dapat memberi hadiah di bulan Ramadhan kepada Allah seperti yang telah dinyatakan, maka rugilah si hamba kerana ia juga tidak akan dapat hadiah dari Allah.


Sesiapa yang tidak dapat hadiah dari Allah sia-sia sahaja Ramadhan kali ini. Dia tidak dapat apa-apa kecuali dahaga, kelaparan, kehausan dan keletihan.


Cuba kita fikirkan Ramadhan yang telah lama kita lalui, adakah kita membawa hadiah-hadiah yang berharga kepada Allah?


Kita tentu dapat mengagak nilai hadiah yang kita anugerahkan kepada Allah setiap Ramadhan bukan? Apakah hadiah hadiah kita itu Allah balas dengan hadiah yang telah disebutkan?


Semua soalan-soalan itu rasanya setiap orang boleh memberi jawapan berdasarkan ilmu pengetahuan masing-masing.


Sungguh susah hendak dapat hadiah dari Allah di bulan Ramadhan, kerana bulan Ramadhan kita jadikan pesta minum dan makan. Pesta sembang-sembang dan bualan-bualan selepas solat sebelum pulang ke rumah masing-masing. Bukan pesta mencapai hati dan jiwa takut dan cintakan Allah…!


Bulan Ramadhan sebenarnya adalah pesta rohaniah, pesta hati dan jiwa. Ramadhan bukan pesta lahiriah atau pesta syariat yang rohnya tidak ada…


Wallahu`alam.



Jagalah Hati…


Wassalam.

Sabtu, 30 Julai 2011

RINTIHAN RAMADHAN...



Ilahi… telah sering aku mendengar tentang kebesaran bulan Ramadhan
Di dalam Al- Quran dan sabda Junjungan, hanya aku yang sering melupakannya.
Di bulan yang mulia ini, laut pengampunan Mu tiada bertepi
Rahmat dan nikmat Mu tiada ternilai
Syurga terbuka dengan seluasnya


Ilahi… aku sedari kelemahan diri ini
Yang tidak istiqamah dalam beribadah
Ramadhan berlalu ibadah pun berkurangan
Begitulah diriku yang selalu lalai


Semoga di Ramadhan kali ini
Dapat aku perbaiki kelemahan diri
Akan aku cuba mendidik nafsuku
Agar subur kehambaanku terhadap Mu


Lailatul Qadar pasti menjelma
Buat mereka yang menunggunya
Para malaikat merendahkan sayapnya
Meratakan rezeki untuk semua
Bimbinglah aku menuju jalan Mu
Tingkatkan iman dan takwaku
Agar baktiku tetap pada Mu
Biarpun Ramadhan telah berlalu.



Sambutlah kedatangan Ramadhan dengan beramal ibadah dan bersungguh-sungguh mengusahakan cinta dan takutkan Allah kerana Ramadhan datang setahun sekali, muliakanlah ia,


Syurga rindu orang yang memuliakannya…

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…

Wassalam.

Jumaat, 29 Julai 2011

PENJARA HATI...



Penjara hati berbicara mengenai dunia dan pandangan ku terhadapnya. Walaupun manusia bebas ke sana ke mari serta ketawa riang gembira, tetapi di dalam hati sebenarnya setiap dari kita terpenjara oleh ego dan kepalsuan yang kita bangunkan sendiri entah oleh apa...


Seorang lelaki dengan wajah tertunduk lesu berjalan meninggalkan istana kehakiman, ketukan tukul tuan hakim telah menghantarnya pergi jauh dari kebebasan, ia akan segera menikmati hari-hari panjangnya di PENJARA.


Ini adalah gambaran keseharian dari sebuah pengadilan, gambaran keseharian dari sebuah fenomena kehidupan sosial yang mulai tercemar oleh kuman-kuman kehidupan.


Ada kala, sebenarnya kita mungkin bebas dari jeratan PENJARA Jasmani, tetapi kita tidak akan pernah dapat melepaskan diri dari Empat PENJARA HATI.




Penjara Pertama adalah PENJARA BENCI.

Penjara pertama adalah kebencian, Ketika hati kita dipenjara oleh kebencian, kita akan cenderung menjadi ganas, ada luapan emosi yang membara, tidak terkendali dan hanya menunggu waktu untuk meletup.


Penjara pertama ini membuat kita menderita lebih dari yang kita sangkakan, Penjara ini malah membuat kita melukai diri sendiri dengan gambaran yang berulang-ulang di benak kita. Gambaran dari sumber kebencian kita, gambaran yang sesungguhnya hanya dari alam MAYA, dari alam bawah sedar kita.Ada sakit yang luar biasa, ketika seorang atau sesuatu yang kita benci melintasi jarak pandang kita, radar ngilu di hati segera berbunyi walau seseorang atau sesuatu itu tidak menyentuh kita sedikit pun. Malahan mungkin mereka tidak mengetahui keberadaan kita.Rakaman rasa sakit segera diputar berulang-ulang di benak kita, kita akan mengalami penyiksaan batin berkali-kali untuk satu peristiwa yang sama.


Di kala penjara ini menutup hati kita, kita akan menerima bola-bola lumpur yang siap kita lemparkan kepada mereka yang berada dalam senarai "MUSUH". Ketika kita meluncurkan bola itu, ada dua keadaan yang mungkin terjadi.Pertama, yang dilempar tidak mengelak dan menerima bola lumpur itu sekaligus ikut menemani kita dalam penjara pertama, atau yang kedua, ia mengelak dan tidak pernah menganggap bola lumpur itu ada.


Dari dua alternatif di atas, yang pasti kita menjadi korban pertama dari bola lumpur itu, kerana bola lumpur itu telah mengotori tangan kita, kita telah masuk ke dalam penjara ini dan teraniaya di sana.


Bersama masa yang terus berlalu dan penerimaan atas keadaan serta kekuatan memaafkan, penjara ini akan terbuka secara perlahan-lahan, kita akan dibebaskan kembali ke alam neutral ( berlapang dada).




Penjara Kedua adalah PENJARA TAMAK.

Penjara kedua adalah Ketamakan. Ketika mata kita hijau, semua seakan tidak pernah mencukupi. Kita akan menjadi orang TERMISKIN di dunia, kita cenderung akan mengambil bahagian yang bukan menjadi hak kita, kita cenderung merampas hanya untuk memenuhi keinginan yang pada akhirnya tidak akan pernah dapat dipenuhi.


Di kala penjara ini menutup hati kita, kita seperti terlahir sebagai raksasa dalam dunia materialistik, tidak ada rasa kecukupan dalam segala hal, kerakusan membawa kita tidak pernah dapat menikmati hidup, selalu di selubungi derita kerana merasa tidak pernah puas.


Mari kita lihat dunia nyata saat ini, berapa ramai orang yang ingin segera kaya, lalu setelah kaya, ingin lebih kaya lagi. Padahal orang kaya tanpa kepuasaan sebenarnya adalah orang miskin yang memiliki banyak wang. Fenomena inilah yang membuat kita sering mendengar banyak kes-kes rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang menjadi wabak sepertimana cepatnya tersebar penyakit berjangkit.


Penjara kedua akan terbuka dan kita akan dibebaskan jika kita telah bersedia menerima keadaan diri, merasa puas (bukan pasif tapi aktif, dalam erti tidak bermalas-malasan) serta mensyukurinya apa yang diperolehi saat ini.




Penjara Ketiga adalah PENJARA CEMBURU.

Penjara ketiga adalah iri hati. Ketika benih cemburu tertanam, kita cenderung tidak pernah dapat melihat kebahagiaan orang lain, kita merasa disaingi, ego kita seakan-akan dihina oleh kejayaan mereka. Ironinya, kita rasa menderita untuk kebahagiaan mereka itu.


Di kala penjara ini menutup hati kita, kita segera dikenakan kacamata yang membuat kita selalu melihat seolah-olah rumput tetangga selalu lebih hijau dari milik kita. Lalu kita pun merasa alam tidak adil terhadap kita. Kita akan segera menyalahkan sekeliling kita untuk apa yang tidak kita berjaya dapatkan.


Malah, kejayaan orang lain yang beribu-ribu kilometer jauhnya dari kita turut menimbulkan kecemburuan. Apa yang kita rasakan pada saat itu sungguh ironi, kita malah merasa iri, padahal apa hubungannya mereka dengan kita?  Kadangkala tidak ada hubungan sama sekali dengan aktiviti kita. Lebih parah lagi, kita merasa iri dengan teman kita sendiri, dengan saudara kita sendiri, dengan orang-orang yang kita kenali. Hasilnya…? Hanyalah penderitaan, ada perasaan tidak enak di hati.


Penjara ini terbuka ketika hati kita menyedari bahawa tidak ada yang kekal, baik kejayaan atau kegagalan, dan kita dapat menerima kejayaan orang lain sebagai pemacu untuk kejayaan kita.




Penjara Keempat adalah PENJARA KEBODOHAN.

Penjara keempat pula adalah kebodohan. Kebocoran pengetahuan ini membuat kita melakukan tindakan-tindakan bodoh yang bukan hanya merugikan orang lain, tapi lebih utama, merugikan diri kita sendiri.


Di kala penjara ini menutup hati kita, kabus kebodohan menyelimuti kita, membuat kita tidak menyedari bahawa kita telah merosak diri kita sendiri. Perlahan tapi pasti kita terjerumus dalam jurang “Ketagihan” yang luar biasa.


Bentuk yang paling sering kita lihat dalam kehidupan ini adalah kecanduan bahan-bahan narkotik serta lucah. Ketika kita terpikat olehnya, kabus kebodohan secara perlahan-lahan memayungi kita. Kita kehilangan harta benda, kita kehilangan kesedaran, kita kehilangan persaudaraan dan kita kehilangan segalanya. Lalu apa yang kita dapat…? Kenikmatan sesaat yang hanya bersifat fatamorgana. Dan ketika kita kembali semula ke dunia nyata, sejumlah persoalan telah siap menerkam kita, bahkan mungkin dengan kerumitan yang sepuluh kali ganda dari kekuatan asalnya.



Penjara ini membuat kita kehilangan akal sihat.


Lalu, penjara ini akan terbuka jika kita isi hati dan fikiran kita dengan pengetahuan-pengetahuan yang berguna, terutama pengetahuan MORAL dan AGAMA.


Keempat-empat penjara ini ada dan terus ada di samping kita, kita hanya perlu menjaga hati ini agar tidak terpenjara di dalamnya.


“Janganlah melakukan kejahatan, perbanyaklah melakukan kebaikan, sucikan hati dan fikiran. Itulah ajaran semua guru” Petua-petua ini mungkin akan membuat kita terhindar dari empat penjara hati...

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…

Wassalam.

Selasa, 26 Julai 2011

INDAHNYA TAUBAT...


TAUBAT….
Sebuah makna dari kata yang indah dalam Islam dituliskan. Ia bermakna kepulangan, kembalinya seseorang yang dirindukan, penyesalan dan pengharapan. Kata itu adalah taubat. Taubat adalah sebuah hasil pengembaraan sia-sia yang pernah dilakukan oleh seorang manusia hingga membuat tubuhnya letih, lelah dan lemah. Sejurus kemudian ia sedari bahawa usaha yang ia lalui telah menghasilkan kekeliruan. Jalan yang ditelusuri berbuah kesesatan. Oleh itu, dengan segenap sisa upaya yang masih ia miliki ia bertaubat, kembali pada jalan yang diredhai. Sehingga datangnya diri berbuah harapan dan membawa senyuman. Itulah makna singkat dari taubat…


Kembali yang dimaksud di sini tiada lain adalah kembali atau datangnya lagi seorang hamba kepada Allah swt. Taubat adalah sebuah proses kembalinya seorang hamba. Ia kembali dari perbuatan maksiat menjadi taat. Kembali dari ingkar menjadi tunduk. Kembali dari kekufuran menjadi syukur.


Dalam sebuah hadis, taubat juga bermaksud penyesalan atau an nadam. Dia adalah sebuah penyesalan yang muncul dari kekeliruan yang pernah dilakukan oleh manusia. Telah ia sesali rupanya bahawa bermain api akan terbakar. Bermain pisau akan terpotong. Bermain dosa akan binasa. Semua hal negatif yang telah ia lakukan, segalanya membawa penyesalan. Sebab itu, ia pun ingin memperbaiki keadaan. Dari penyesalan menuju pengharapan. Proses ini pun dinamakan ‘taubat’.


Baginda saw pernah ditanya oleh Syaidina Abu Bakar ra yang menjadi sahabat karib. Sebagai manusia, tentu Abu Bakar ra memiliki dosa dan kesalahan. Meskipun kita tahu, bahawa dia bukanlah manusia biasa. Dia adalah seorang sahabat Nabi saw yang telah dijamin syurga oleh Allah swt dan Rasul-Nya.


Abu Bakar bertanya kepada Nabi saw, “Wahai Rasul, ajarkan aku sebuah doa yang bermanfaat untukku!” Maka Nabi saw pun membacakan doa berikut untuknya sebagai jawapan, “Ya Allah ampunilah dosa-dosaku, ketidak-tahuanku, semua perbuatan burukku dan kesalahan lain yang lebih Engkau ketahui. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, dosa-dosa yang sengaja aku perbuat atau tidak disengaja. Engkau Yang Pertama dan Engkau Yang Terakhir, dan Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” ( Bukhari & Muslim)


Cuba resapi makna doa tersebut di atas! Bayangkan kelembutan hati orang yang mengucapkannya, serta kasih sayang Allah swt, At Tawwab, yang Maha Menerima taubat hamba-Nya. Nuansa pengharapan dan kebahagiaan akan tumbuh dalam lubuk hati si hamba yang membacanya seraya bertaubat kepada Allah swt. Dan Allah swt pun akan menerimanya kembali dengan segala rahmat dan ampunannya. Hingga membuat diri si hamba menjadi putih kembali dari segala dosa. Dan ia dapat kembali seperti sediakala. Subhanallah…!




Sebab Manusia Berbuat Dosa Dan Kesalahan

Pada hakikatnya manusia lahir dalam keadaan fitrah (suci). Ia tidak membawa dosa keturunan, walaupun ia lahir dari hubungan haram kedua orang-tua. Amat adil hikmah Allah swt menciptakan manusia yang baru lahir ke dunia tanpa membawa beban dosa. Sebab bukanlah bijak namanya, bila Dia swt menghukum seorang hamba atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.


Prinsip di atas ini sungguh telah ditegaskan oleh Allah swt dalam firman-Nya, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” (QS. 2:286)


Adapun manusia dapat terjerumus ke dalam perangkap dosa yang kemudian akan menyeretnya dalam siksa Allah adalah disebabkan oleh hal-hal berikut, iaitu;


1. Manusia lupa kepada Allah; hal ini bahkan dapat membuat ia lupa dan hilang kawalan terhadap kemuliaan diri.


2. Al Jahl (ketidak-tahuan) terhadap perbuatan dosa; membuat manusia menganggap remeh setiap tindakan maksiat yang dilakukannya.


3. Meremehkan agama; sehingga membuat kehidupan seharian manusia menjadi lalai dan melupakannya untuk sentiasa berada pada jalan hidup yang benar.


4. Pengaruh rakan-rakan yang buruk akan menyeret manusia yang tidak memiliki pedoman dan prinsip hidup yang kuat.


5. Tidak sayang pada diri sendiri sehingga dapat menjerumuskannya pada kehancuran. Menjauhi kepada hidup beragama dan manusia menjadi leka serta tersesat. Sesungguhnya agamalah yang dapat menuntun hidup manusia ke jalan yang benar.


6. Mengikuti jejak syaitan sehingga ia tersesat dan jauh dari jalan Allah swt.


7. Cinta dunia yang membawa manusia buta akan kebenaran.


Ketujuh perkara ini dapat membuat manusia terjerumus dalam lopak dosa dan kemaksiatan. Semakin ia mendekat kepadanya, maka akan semakin dalam ia masuk dalam jurang kemaksiatan. Sebaliknya, bila ia semakin menjauhinya, maka kemenangan dan kebahagiaan akan ia rasakan.


Allah Gembira Menerima Hamba yang Bertaubat

Apa perasaan yang kita alami bila kita kehilangan sesuatu yang amat berharga kemudian menemukannya kembali? Tentunya teramat gembira perasaan kita! Begitu jugalah apa yang diharapkan oleh Allah swt terhadapa hamba-Nya.


Allah swt akan merasa senang, bila Dia pernah kehilangan seorang hamba yang pernah Dia ciptakan, kemudian si hamba itu datang kembali dengan berserah diri. Hal ini dituturkan dalam sebuah hadis Rasulullah saw berikut, “Demi Allah, Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya sepertimana seseorang di antara kamu yang menemukan kembali miliknya yang hilang di tengah padang. Barangsiapa mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Barangsiapa mendekati Ku sehasta, maka Aku mendekatinya selangkah. Barangsiapa mendekati Ku dengan berjalan, maka Aku mendekatinya dengan berlari.” (Muslim)


Allah swt bergembira saat menerima kedatangan hamba-Nya untuk bertaubat. Apakah kita tidak berkeinginan untuk membuat Ilahi yang telah menciptakan diri kita menjadi gembira? Sesungguhnya taubat membuat Allah swt senang, bahkan melebihi kesenangan orang yang menemukan barang berharga miliknya yang telah hilang.


Hadis ini dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa ada seorang lelaki yang sedang melakukan musafir dengan menunggang seekor unta. Pada unta tersebut, ia letak segala perbekalan yang diperlukan untuk menempuh perjalanan.


Pada sebuah telaga air, ia tambatkan untanya kemudian ia pun turun minum. Tanpa disedari, unta yang membawa segala perbekalan rupanya tidak terikat dengan baik. Sementara ia keasyikan turun minum, unta pun pergi meninggalkan tuannya.


Kesedihan, putus harap dan kecewa, itulah yang dirasakan pemilik unta. Ia berusaha mencari ke sana-kemari, namun unta miliknya tidak dijumpai juga. Hingga badan letih kehausan, maka ia pun memutuskan kembali lagi ke telaga. Keletihan membawanya terlelap. Sebelum tidur, ia pun sempat berkata dalam hati, “Ya Allah, aku pasrah bila harus mati di tempat ini!” Ia ucapkan kalimat itu, kerana harapan yang telah pupus untuk dapat hidup kembali.


Tidak lama kemudian, ia mendengar ada suara yang begitu ia kenal. Ia pun terjaga dari tidur. Subhanallah, ia dapati rupanya unta yang ia cari telah kembali datang. Alangkah girang hatinya, dan ucapan latah pun terlontar dari mulutnya, “Ya Allah sungguh Engkau adalah hambaku dan aku adalah Robb-Mu!” Ia ucapkan kalimat itu tanpa ia sedari, padahal yang sebenarnya ia maksudkan adalah sebaliknya.


Selesai menceritakan kisah memukau ini, Rasulullah saw menegaskan sekali lagi, “Demi Allah, Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya daripada seseorang di antara kamu yang menemukan kembali miliknya yang hilang di tengah padang.”


Mungkin kita gembira membaca kisah ini. Ingatlah, bila kita ingin mengembalikan kegembiraan pada Allah swt, yang Maha Pencipta, maka datanglah kepada-Nya dengan taubat yang sesungguhnya. Dengannya, kita dapat membuat gembira Ilahi yang Maha Pencipta!


Aku Malu, Ya Allah!

Saudara semuslimku..., mungkin kemaksiatan diri membuat kita malu untuk datang kepada Allah swt. Usah kita malu! Sedangkan malu terhadap Allah swt itu pun adalah hal yang amat berharga bagi kita.


Seperti gelaran haji yang membuat penyandangnya selalu menjaga perilaku kerana malu, maka taubat yang pernah kita jalankan pun akan membawa kita merasa malu. Sehingga rasa malu selalu menjadi perisai diri kita untuk tidak lagi mengerjakan perbuatan maksiat.


Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, Rasulullah saw mengisahkan bahawa dulu pernah ada seorang ayah yang dikurniakan Allah swt harta yang banyak. Saat ajal menjelang, ia kumpulkan semua anaknya dan ia berwasiat kepada mereka. Ia katakan, “Menurut kalian, Ayah yang bagaimana aku ini?” Anak-anaknya menjawab bahawa dia adalah ayah yang baik. Tersentuh hati mendengarnya, ia pun menyedari bahawa dirinya tidak pernah melakukan kebaikan sedikitpun. Lalu ia berpesan bila ia telah mati nanti agar jasadnya dibakar, dan debunya ditebarkan pada hari di mana angin bertiup kencang. Ia bersikap demikian kerana ia malu bila bertemu dengan Allah swt, padahal dirinya penuh dengan dosa!


Lalu anak-anaknya menjalankan wasiat itu dengan baik. Saat debu si ayah mereka tebarkan pada angin yang bertiup kencang, maka Allah swt menghimpun kembali serpihan dari debu yang betebaran. Serta-merta Allah swt berfirman dan kembalilah jasad seperti kejadian asalnya.


Kini si hamba berdiri menggigil ketakutan. Dalam keresahan yang dialaminya, Allah swt bertanya kepadanya, “Mengapa kau lakukan ini semua?!”


Di hadapan keagungan Allah, sukar sekali lisan berucap dan bibir bergerak. Satu kalimat yang meluncur dari lisannya. “Aku takut pada-Mu, Allah... aku malu pada Mu!” Itu saja yang dapat ia ucapkan. Ia berdiri menggigil dan terdiam ketakutan.


Demi melihat hal itu, Allah swt pun memasukkan si hamba ke dalam rahmat-Nya. Subhanallah! Rasa malu atas dosa membuat Allah swt memberi ampunan!


Ketahuilah saudara semuslimku..., dosa dan kesalahan membuat diri kita menjadi malu. Saat mendefinisikan dosa, Rasulullah saw mengatakan bahawa, “Ia adalah sesuatu yang membuat jiwamu gelisah, dan kau merasa malu bila ada orang yang melihatnya!” Demikianlah dosa. Dosa membuat manusia merasa malu. Oleh itu, tinggalkanlah!


Diriwayatkan dari Said bin Jubair dari Ibnu Umar sebagai hadis marfu’, “Allah mendatangi orang mukmin pada Hari Kiamat, Dia mendekatinya hingga membuat orang itu tertutup dari pandangan semua makhluk-Nya. Lalu Allah berkata kepadanya, “Bacalah!” Allah kemudian memberitahukan dosa-dosa orang itu, lalu berkata lagi, “Tahukah kamu dosa ini? Tahukah kamu dosa itu?” Orang itu menjawab, “Ya.” Kemudian ia melihat kanan kirinya, Allah berkata lagi, “Tidak perlu takut hamba-Ku, kamu berada dalam hijab-Ku hingga tidak ada seorang pun dapat melihat mu. Tidak ada seorang pun di antara Aku dan engkau pada hari ini yang dapat mengintip dosa-dosa mu selain Aku. Aku memberimu ampun atas dosa-dosa itu cukup dengan satu perkara dari semua yang telah kau lakukan untuk Ku. Orang itu berkata, “Apa itu Robb ku?” Allah menjawab, “Engkau tidak pernah mengharap ampunan selain daripada Aku.” (Kitab Jami’ Al Ulum wal Hikam)


Taubat dengan Beristighfar

Ada berbagai rupa dan cara manusia untuk bertaubat kepada Allah swt. Cara terbaik dalam bertaubat adalah berharap ampunan-Nya. Atau lebih dikenal dengan ‘istighfar’.


Berikut ini saya sampaikan hadis-hadis berkaitan keunggulan istighfar…


Pertama,

“Allah swt berrfirman, ‘Wahai manusia, sesungguhnya jika engkau berdoa dan bermohon kepada Ku maka Aku ampuni semua kesalahan yang ada padamu dan Aku tidak menghiraukannya. Wahai manusia, jika dosa-dosamu itu setinggi langit, kemudian engkau minta ampunan kepada Ku, maka Aku ampuni dosa-dosamu, dan Aku tidak peduli (berapa banyak pun dosamu). Wahai manusia, jika engkau datang kepada Ku dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau bertemu dengan Ku dan tidak menyekutukan Ku dengan suatu apapun, maka nescaya Aku akan membawa ampunan sepenuh bumi pula untukmu.” (Bukhari dan Muslim)


Kedua,

“Barangsiapa yang memohon ampunan bagi kaum muslimin dan muslimat, maka ia akan mendapat satu kebaikan dari setiap mukmin dan mukminah.” (Thabrani)


Ketiga,

“Barangsiapa yang selalu beristighfar maka Allah akan memberinya kelapangan dalam setiap kesempitannya, dan Allah akan membukakan jalan dari kesusahannya serta Allah akan memberinya rezeki dari yang tidak di sangka-sangka.” (Abu Daud dan Ibnu Majah)


Keempat,

“Barangsiapa sebelum tidur membaca, “Aku mohon ampun dari Allah yang tidak ada Robb selain Dia yang Maha Hidup, dan aku bertaubat kepada-Nya” sebanyak tiga kali. Maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya walaupun dosanya itu sebanyak buih di lautan, walaupun sebanyak daun di pepohonan, walaupun sebanyak pasir di gurun, walaupun sepanjang umur dunia.” (Ahmad dan Tirmizi)


Kelima,

“Berbahagialah bagi orang yang mendapatkan dalam lembar catatan amalnya permohonan ampun (istighfar) yang banyak.” (Baihaqi dan Ibnu Majah)


Keenam,

“Barangsiapa ingin digembirakan oleh lembar catatan amalnya maka perbanyaklah beristighfar!” (Baihaqi)


Ketujuh,

“Tidaklah seorang muslim berbuat dosa kecuali malaikat berhenti mencatat dan menunggu. Apabila ia mohon ampunan dari dosanya maka malaikat tidak akan mencatatnya, dan Allah tidak akan menyiksanya pada Hari Kiamat.” (Hakim)


Kelapan,

“Apabila engkau terasa sakit oleh dosamu maka beristighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah kepadanya, kerana taubat dari dosa adalah dengan menyesali dan mohon ampunan.” (Muttafaq Alaihi)



Saya berharap semoga semua dalil yang dipaparkan di atas dapat membuat kita semua tidak berputus asa dari rahmat Allah swt, dan semakin gigih untuk memohon ampunan-Nya.

Wallahu`alam.

Jagalah Hati...

Wassalam

Ahad, 24 Julai 2011

HARGA SEBUAH IMPIAN...



Mempunyai impian atau cita-cita merupakan keinginan setiap manusia.Kejayaan dalam kerjaya dan pelajaran atau juga dalam berkeluarga. Sekarang tinggal kita sebagai pelaku atau si pemilik impian nan indah tersebut berusaha menggapainya.


Apakah impian kita sudah diraih? Pertanyaan terbesar sepanjang hidup kita. Tiada kata pasrah dalam mengejar ataupun menjemput impiannya. Tidak ada yang mengatakan bahawa untuk merealisasikan impian itu mudah. Walaupun tidak semestinya ia sentiasa dalam kesukaran. Tapi umumnya, perjalanannya berliku, berbatu dan berkerikil.


Kita mungkin sering membaca buku-buku motivasi diri. Semua memberikan petua-petua dan pelbagai pengertian untuk membuat kita termotivasi mahupun terinspirasi. Manusia memerlukan pasukan motivasi dan inspirasi yang luar biasa untuk mampu terus memperbaiki diri dalam menzahirkan impiannya.


Tidak jarang impian yang menjadi pilihan hidup kita hanya dipandang sebelah mata oleh orang-orang terdekat dengan kita seperti teman, keluarga, atau bahkan ibubapa kita sendiri. Bahkan, sangat mungkin impian kita tidak ada harganya di mata orang lain.    


Tidak jarang juga di antara kita melepaskan impiannya, kerana tidak disertai sokongan oleh orang sekeliling dalam mencapainya. Dan mungkin kita tidak memiliki semangat yang cukup untuk kuat mengalami terjahan liku hidup. Banyak hal yang membuat seseorang mundur dalam mencapai impiannya agar menjadi kenyataan, setiap orang mempunyai halangan yang berbeza.


Ingatkan selalu dalam hati bahawa, “ Hanya sekarang inilah kita dapat bertindak, dan hanya sekarang inilah kita mampu memberi makna dalam kehidupan kita.” 


Seringkali kerana kita begitu menginginkan impian ini menjadi kenyataan, kita jadi lupa pada langkah-langkah menuju impian. Kita berfikir bahawa usaha kita sudah maksimum dan lupa ada kekuatan Allah yang menentukan putaran jalan kehidupan yang akan menentukan juga bila kita akan berjayal, kita ingin impian tersebut secepatnya jadi kenyataan.


Serta merta, kita ingin menjadi produk segera. Ya kalau jadinya segera, kejatuhan juga akan segera. Umumnya begitu.




Kenyataannya adalah, semua orang yang berjaya di dunia ini memiliki perjuangan yang luar biasa dalam mewujudkannya. Tidak jarang mereka kecewa, tidak jarang mereka menangis, tidak jarang mereka merasa seperti sampah, kesepian, buntu dan putus asa. Tidak jarang kerana ideanya, mereka dianggap pelik, gila, asing dan tidak difahami oleh masyarakat atau bahkan keluarga. Tidak jarang mereka di ejek orang-orang terdekatnya dari kalangan pergaulan hingga ke keluarga, di caci maki, dipandang sebelah mata oleh orang sekitarnya. Seringkali, mereka memperjuangkan impiannya dengan mengorbankan pelbagai hal dalam kehidupannya, tidak hanya masa kecil dan wang, tetapi masa dan tenaga yang luar biasa tanpa mengenal waktu.



Di banyak saat mereka akrab dengan rasa sakit kerana kekecewaan,malahan hingga sakit secara fizikal kerana mewujudkan impian juga memerlukan banyak aspek fizikal yang luar biasa besar. Bagaimanapun juga, rasa sakit, adalah sebahagian dari pertumbuhan. Orang-orang yang berani mengikuti panggilan hati untuk mewujudkan impian, seringkali menemui dirinya diletakkan menjadi berbeza dan harus keluar dari standard dalam masyarakat, kerana mewujudkan apapun selalu ada kesan sampingan dan risiko tertentu.


Begitu banyak kejayaan orang lain yang terlihat di mata kita melalui berbagai media, namun begitu hanya sedikit yang tertuang di media tentang betapa setiap manusia yang berjaya atau manusia yang memberi erti dalam kehidupan, harus melalui proses rasa sakitnya mereka masing-masing dalam jangka waktu yang lama, dalam tentangan yang bertubi-tubi, kekecewaan yang menyayat, rasa kecewa yang mendera di setiap kali kegagalan dalam berbagai usaha menuju kejayaan. Media, tidak pernah memberi liputan prosesnya seseorang dalam dimensi waktu, jadi kita tidak merasakan lamanya perjalanan waktu dalam usaha seseorang. Media juga tidak menceritakan seratus peratus kedalaman gejolak hati dan rasa seseorang dalam mewujudkan cita-citanya.


Oleh kerana itu, berbagai cerita di media apapun tentang bagaimana seseorang yang berjaya melahirkan impian berkorban dari segi waktu, material, tenaga, mental, hati dan rasa, tidak akan kita rasakan dan hayati sepenuhnya seratus peratus. Namun, setidaknya itu cukup memberikan kita idea atau gambaran tentang apa sahaja yang di perlukan untuk menjadi manusia yang berjaya. Kenyataannya, pada saat kita jalani perjalanan untuk mewujudkan impian kita, semua tentu terasa jauh lebih berat dari apa yang kita baca, tonton atau dengar dari media. Kerana yang kita jalani itu ada sepenuhnya dimensi waktu, rasa dan hati yang utuh dan penuh. Nyata senyata-nyatanya.


Fahamilah bahawa hidup adalah mengenai proses. Dan secantik apapun impian kita, ingatlah untuk lebih banyak menumpukan perhatian terhadap langkah apa sahaja yang dapat kita kerjakan sekarang untuk mewujudkan cita-cita kita. Apa yang kita lakukan sekarang, jauh lebih penting di bandingkan terbuai dalam imaginasi terhadap masa depan nantinya. Terlalu berfikir ke masa depan terkadang membuat kita lupa untuk melakukan apa-apa saja yang mesti kita lakukan sekarang.


Hanya sekarang inilah kita dapat bertindak, dan hanya sekarang inilah kita mampu membuat erti dalam kehidupan kita. Perubahan dalam hidup hanya boleh dimulai sekarang, dan sekarang ini satu-satunya saat untuk membuat cita-cita kita tercapai.


Proses untuk mewujudkan sebuah impian, selalu ada harganya. Terimalah proses sebagai sebahagian fitrah kehidupan, walaupun ada bahagian yang menyakitkan kita sekalipun.


Bersiaplah jika kita mempunyai impian yang ingin diwujudkan menjadi nyata. Ambilah semua kesan dan akibatnya, serta dan jalanilah semua prosesnya. Semua hal dalam hidup ada harganya. Di suatu saat nanti, semua proses itu akan terbayar. Jika Allah mengizinkan...


Wallahu`alam.



Jagalah Hati...

Wassalam. 

Jumaat, 22 Julai 2011

INDAHNYA TAHAJJUD...



Fikirkan apabila kita seorang bayi yang lahir ke alam dunia ini, maka bayi itu meninggalkan alam rahim ibu dan datang ke alam dunia yang serba baru.


Dan ketika bayi itu datang ke alam dunia ini, maka bayi itu mulai menangis. Dan bayi itu tidak berhenti menangis sehingga ibunya menenangkannya.

Seperti bayi juga, maka kita haruslah mulai menangis apabila hidayah memasuki ke dalam hati kita hinggalah munculnya “seorang ibu” yang datang menenangkan kita.

Sesuatu yang lebih besar dalam hidup kita, bukan rumah impian, bukan kereta idaman, bukan sijil atau ijazah, ataupun duit di bank, yang semuanya ini tidak akan ikut kita ke Alam Kubur dan tidak boleh memberi kita berkat di Alam Kubur.

Semua perkara ini hanya akan menjadi saksi yang menentang kita nanti di Akhirat.

Bila kita bangun esok pagi, tengoklah di cermin, dan ketahuilah bahawa kita adalah satu keajaiban yang hidup. Dan apa juga yang telah kita laksanakan selama ini semuanya adalah sebuah KEAJAIBAN.

Mungkin kita nampak pada bangsa Yahudi itu kekuatan serta kekuasaan. Padahal, sebenarnya Yahudi tidak memiliki kuasa ke atas diri kita yang hidup sebagai pembangun agama yang haq. Yahudi hanya ada pengaruh ke atas orang yang berhendakkan dunia saja, dunia ini adalah Syurga bagi mereka dan penjara bagi orang Mukmin.


Kita mesti faham bahawa bangsa Yahudi ini bekerja 24 jam, 7 hari seminggu untuk cuba menghancurkan, untuk cuba melemahkan dan untuk mencuba mencipta keraguan. Jadi tugas kita adalah untuk BEKERJA 25 JAM SEHARI, 8 HARI SEMINGGU.


Semuanya adalah MUNGKIN bagi Allah swt.

Dan cara untuk kita mendapatkan keajaiban dan segala tenaga dan kuasa itu, iaitu untuk mendapatkan tenaga 25 jam sehari dan 8 hari seminggu, ialah melalui perkataan yang BERMULA dari HURUF “T”. Ia dipanggil TAHAJJUD.

Jika kita melaksanakan solat tahajjud dan kita berzikir, maka kita akan terkejut dengan keajaiban yang akan kita perolehi. Tahajjud adalah satu bentuk solat yang paling BERKUASA yang kita boleh buat.

Kenapa Tahajjud ni begitu POWER?

Kerana untuk menjadi seorang Islam, kita hanya perlu melaksanakan solat 5 kali sehari, itu adalah yang wajib bagi diri kita selaku muslim.

Contohnya, jika kita bekerja dengan sebuah perniagaan. Syarikat itu mengatakan bahawa kita mesti masuk bekerja pada pukul 8 pagi. Dan memang semua pekerja datang pada pukul 8 pagi. Tapi bukan kita, kita datang pada pukul 7 pagi. Dan kita tinggalkan pejabat itu pada pukul 6 petang, sedangkan orang lain meninggalkan pekerjaan pada pukul 5. Kita datang pukul 7 pagi dan pulang pukul 6 petang.

Dan apabila majikan kita bertanya pada kita, “Mengapa anda berbuat demikian?” Kita kata pada dia bahawa kita sayang pada pekerjaan itu, dan kita sayang kepada majikan.

Jadi itulah sebenarnya Tahajjud. 


Kita berbuat lebih dari apa yang dijangkakan pada diri kita. Sekiranya kita perlu sedikit bantuan dari majikan kita, tidakkah kita rasa bahawa dia akan senang hati untuk menolong kita? Dan sekiranya kita perlu sedikit tenaga, tidakkah kita merasakan bahawa majikan kita itu akan memberi dengan lebih lagi? Dan sekiranya kita berbuat beberapa kesilapan-kesilapan kecil, tidakkah kita terfikir bahawa majikan itu akan memaafkan kita lebih cepat lagi?




Inilah POWER TAHAJJUD. Tahajjud ini sangat BERKUASA!


Bila kita berdoa dalam tahajjud, doalah dan berselawatlah kepada Rasulullah saw, maka Baginda saw akan mendoakan kita, insya Allah.


Tahukah kita berapa hebatnya kuasa doa yang dibuat di dalam tahajjud? Jujurnya, kita tidak akan pernah dapat membayangkan betapa hebatnya kesan doa itu. Namun ada ulama yang mengatakan bahawa ia lebih hebat dari 10 juta orang bertakwa yang mendoakan kita.

Dan sebelum kita habiskan doa kita, mintalah kepada Allah swt, untuk mengabulkan doa-doa kita, dan minta jadikan doa ini SEJUTA lebih berkuasa dari apa yang kita boleh bayangkan.

Berdoalah, “Ya Allah, jadikan kami termasuk dalam pasukan yang membangunkan agama ini”.

Mohonlah lagi, “Ya Allah, jadikanlah ia SEJUTA lebih hebat dari apa yang boleh saya bayangkan”.

Jadi jika melaksanakan tahajjud, seolah-olah Allah turun sangat dekat dengan dunia ini dan DIA secara “‘sentuhan kasih sayang” melihat sessiapa jua dari hamba-Nya yang mengorbankan diri dari tidurnya untuk menyatakan betapa cintanya mereka pada Allah.

Namun ketika kita berusaha untuk melaksanakan solat tahajjud, ada pula bisikan… ”Jangan bangun…tunggu sekejap lagi…ini bukan satu kesalahan…baringlah untuk 5 minit lagi…kita boleh buat tahajjud esok…ini bukanlah dosa kalau ia kita tinggalkan…”


Dan kita tahu bisikan siapa itu, Itulah syaitan yang akan membisikkan kepada sesiapa segala yang hidup dibawah matahari ini. Dia akan cuba buat untuk kita tinggalkan tahajjud.

Tahukah kita bahawa syaitan suka berbuat begini pada orang yang hanya solat 5 kali sehari?

Dan apabila kita mulai istiqamah tahajjud, dia sebenarnya akan takut kepada kita. Kerana dia tahu bahawa kita CINTA pada ALLAH.

Bila kita mencintai Allah swt,  maka Allah akan mencintai kita SEJUTA kali ganda lebih dari apa yang boleh kita bayangkan.


Dan apabila syaitan melihat Allah sangat mencintai kita, maka syaitan tidak akan buang masa untuk membisikkan hasutannya kepada kita, dia akan pergi pada orang yang dia rasa dia sanggup buat mereka tidur lagi di atas katil, yang mana bisikannya akan berkesan kepada orang itu.

Dan apabila syaitan tahu bahawa bisikannya tidak berguna pada kita ketika kita bangun untuk solat tahajjud, malah kita sangat istiqamah dalam melaksanakannya. Kita merayu-rayu dan menangis pada doa-doa yang kita panjatkan, maka syaitan tahu bahawa kerjanya itu sia-sia sahaja. Dia akan cari orang lain yang dia tahu kerja dia akan berkesan pada orang itu.

Jadi istiqamahlah, itulah kuncinya…

Dan apabila kita tidak bangun tahajjud, sebenarnya kita ini malas, dan kita tidak cintakan Allah dan kita tidak cintakan agama ini.

Kerana apabila kita cinta pada Allah swt, dan kita cinta pada Agama ini, maka kita akan berbuat lebih dari apa yang diminta daripada kita….

Wallahu`alam.

Jagalah Hati…

Wassalam.