Popular Posts

Rabu, 31 Julai 2013

TUBUH MU ADALAH PERHIASAN...





Salam khusus buat saudari semuslimku yang baik hati...



Sesungguhnya aurat tidak akan tertutup dengan sifat lemah lembut, tidak akan tertutup dengan perangai baik, tidak akan tertutup dengan kata-kata yang baik dan tidak akan tertutup dengan solat... tetapi akan tertutup dengan PAKAIAN yang SEMPURNA...



Sesungguhnya Allah swt menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt nanti. Tudung adalah salah satu perlindungan untuk wanita...



Bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah swt yang Maha Pemberi Rahmat. Bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah swt...



Wahai saudari semuslimku yang baik hati... ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup Sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini. Ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya. Ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan. Ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan dan semuanya menangis.



Mereka menangis kerana hari itu Allah swt murka! Belum pernah Allah swt murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah swt di Padang Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil Hari Hisab.



Wahai saudari semuslimku yang baik hati... bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung... Allah swt...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Rabu, 24 Julai 2013

SEORANG MUSLIM ITU...





seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang tegap, tetapi dari kasih sayangnya pada orang di sekitarnya…




seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang, tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran…




seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya, tetapi dari sikap bersahabatnya pada saudara semuslim



seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia di hormati diluar rumah, tetapi bagaimana dia dihormati di dalam rumah…



seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan, tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan…



seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang, tetapi dari hati yang ada disebalik itu…



seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja, tetapi komitmennya terhadap wanita yang dicintainya…



seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan, tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan…



seorang muslim sejati bukanlah dilihat dari rajinnya membaca kitab suci, tetapi dari istiqamahnya dia menjalankan apa yang ia baca…



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

WAHAI HATI...





Wahai hati,
Dalam hari apa pun kau akan pasti menemukan hari-hari yang mencabar dan menduga dirimu...



Tidak akan ada hari yang sentiasa ada pelangi indah menghias.
Tidak akan ada selalu mentari indah menyinar seperti pagi hari di atas kepalamu.



Pasti akan ada hari bila angin kencang dan ribut kuat.
Pasti jua akan ada hari musim terik mentari di tempatmu.



Lalu, jadilah sepeti pohon yang akar keimanannya tertancap kuat.
Usah dilawan ribut dan angin kencang.
Jika tidak, pasti kau jua ditiup jauh menjadi korban.
Usah dilawan hangatnya mentari.
Sebaliknya tawarkan kehausanmu ke tanah iman.


Carilah kekuatan dari akar hatimu.
Dasarnya adalah keimanan.
Terasnya adalah dari Pencipta mu.


Tidak ada yang mampu melemahkan.
Apatah lagi memberi kekuatan.
Melainkan Dia, Allah Robb mu.
Kuatkan pohon hatimu untuk teguh ke dasar-Nya.


Nescaya walaupun hari itu indah, cerah, hujan atau kemarau sekalipun, bunga-bunga dari hatimu tidak akan pernah pudar warnanya. Pasti akan menarik yang lainnya untuk kau ajak kembali kepada Robb mu.


Moga madu bungaan itu menjadi kemanisan iman untukmu.


Wahai hati,
Sesungguhnya Allah bersamamu,
Selamat sejahtera atas kesabaranmu...!



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

HATI KITA....





Adakah kita memperhatikan keadaan hati kita...?



Dikatakan bahawa, hati itu bercahaya dan bagaikan kaca. Setiap perbuatan dosa menyebabkan karat dan menutupi cahayanya...



Lalu, seperti apakah keadaan hati-hati kita...?



Adakah berkilau penuh cahaya...?



Ataukah buram dan hitam legam...?



Adakah kita memperhatikan dan menjaga keadaannya...?



Sesungguhnya segala sesuatu ada pembersihnya, ada pengilapnya, ada sikatnya; pembersih hati yang kotor, sikat hati yang ternoda dan pengilap hati yang berdosa adalah ZIKRULLAH...



Setiap lafaz zikir membersihkan kotoran, dosa dan noda yang kita perbuat. Apabila kotoran di angkat dari hati itu, terlihatlah ada cahaya di dalamnya...cahaya yang Allah swt berikan pada diri kita...



Lalu cahaya itu mencari hidayah, rahmat, magfirah, makrifat, dan berkat dari Allah swt...



Alangkah indahnya hati yang memancarkan cahaya Ilahi melalui zikrullah...



Jagalah hati kita satu-satunya ini, perhatikan keadaannya, bersihkan ia, kembalikan cahayanya dan sentiasa mengawasi diri agar hati kita...menjadi hati-hati yang hidup dan bercahaya, insya Allah...



Wallahu`alam



Jagalah Hati... 

AKU DAN LUBANG WAKTU ITU...





Selalu ada beza di antara mimpi dan pencapaian atas sesuatu perkara...



Ada lubang waktu yang tercipta di antara sebab dan munculnya akibat. Dan di antara segalanya itulah, ada banyak perkara yang dapat kita dengar, lihat dan rasakan. 



Ada banyak rasa disana... gembira, bahagia, takut, sedih dan mungkin kehampaan....



Pada akhirnya, setiap manusia mempunyai tempat pelarian yang sama, iaitu Allah swt yang Maha Mulia...



Dan disini, saya hanya belajar untuk mengungkapkan rasa-rasa itu. Belajar membahasakannya dan tidak sekadar memainkan jari diatas papan kekunci...



Inilah cara saya menghubungkan setiap ruang dan lubang waktu yang ada. Inilah wujud lain dari usaha saya dalam merentasi mimpi, doa dan peristiwa...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

BICARA RASA SEORANG WANITA...





Aku mencari tiap ketika

Yang sanggup menjaga ketika tiada daya

Yang sanggup menerima apa adanya

Yang sanggup menyapu air mata derita

Yang selalu berkata, "duka kamu adalah hidup saya"

yang selalu bersuara dikala pahit menjelma

yang sanggup mendengar bait – bait luka



paling ku damba..

yang selalu berjanji, sehidup semati sehingga ke syurga...



kamu tidak perlu kaya raya

kamu tidak perlu tampan bak bidadara

kamu tidak perlu mencintaiku sepenuh hati dan jiwa

aku tidak perlukan itu semua..

kerana aku bukan yang pertama bertakhta di jiwa

hatimu untuk DIA, rasul-NYA dan bonda



yang aku perlu dari kamu hanya berkata, "aku mencintaimu kerana ALLAH jua..."

aku yakin..bila kerana ALLAH bersemi cinta...

maka hidupku tidak akan sia – sia...

kerana setelah aku menerima diri mu wahai putera agama...

di tangan kamu bertakhta masa depanku akhirat dan dunia...

Sebagai pemimpin jalan ke syurga atau neraka...



Aku ingin menjadi permaisuri matimu selama lama...

bukan hanya terhenti sebagai permaisuri hidupmu di dunia....




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Isnin, 22 Julai 2013

ZAKAT FITRAH : SEBUAH SOAL JAWAB...





Apa maksud zakat fitrah?


Zakat fitrah adalah zakat yang diwajibkan bersempena dengan bulan Ramadhan dan juga hari raya Fitrah (aidil-Fitr). Dinamakan juga dengan zakat al-Abdan dan ar-Ru-us (zakat badan dan kepala) kerana ia diwajibkan ke atas setiap batang tubuh orang Islam tanpa kecuali sama ada kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita, miskin atau kaya, merdeka atau hamba.



Kenapa dinamakan zakat ini dengan al-Fitrah?

Ada dua pengertian;

a) Ia diambil dari perkataan al-Fitr (الْفِطْر) yang bermakna berbuka kerana zakat tersebut diwajibkan bersempena hari raya (1 Syawal) iaitu hari di mana umat Islam diwajibkan berbuka setelah sebulan penuh mereka berpuasa di bulan Ramadhan.

b) Ia di ambil dari perkataan al-Fithrah (الفطرة) bermaksud al-Khilqah (yakni kejadian) kerana zakat ini menyuci dan membersihkan fitrah atau kejadian manusia.



Apa hukum zakat fitrah? Apa dalilnya?

Zakat fitrah adalah wajib. Dalil kewajipan zakat fitrah antaranya ialah hadis dari Ibnu Umar r.a. yang menceritakan; “Rasulullah saw telah memfardhukan zakat fitrah iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar dari kalangan umat Islam. Baginda saw memerintahkan supaya ia ditunai sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan sembahyang (hari raya)” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Menurut Imam Ibnu al-Munzir; “Telah menjadi ijma’ para ulama’ bahawa zakat fitrah hukumnya adalah wajib”. Walaupun tidak dinafikan ada segelintir ulama’ berpandangan bahawa zakat Fitrah adalah sunnah, namun menurut Imam Nawawi dalam Raudhatu at-Thalibin, pandangan mereka ini adalah syaz dan munkar.



Bilakah mula diwajibkan zakat fitrah?

Mula diwajibkan pada tahun ke 2 Hijrah iaitu tahun yang sama diwajibkan puasa bulan Ramadhan.



Apa hikmah diwajibkan zakat fitrah?

1. Sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa dan menampung kekurangan puasa mereka. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Abbas ra yang menceritakan;

“Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Hadis riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim).

Seorang ulama’ bernama Waki’ bin al-Jirah berkata; “Zakat fitrah bagi puasa Ramadhan seumpama sujud sahwi bagi solat di mana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat”. (al-Iqna’, jil. 1, hlm. 324)

2. Sebagai bantuan untuk orang miskin; iaitu untuk membantu mereka sekadar yang terdaya agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan tatkala berhari-raya. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Umar yang menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)””. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri)



Ke atas siapa diwajibkan zakat fitrah?

Zakat fitrah diwajibkan ke atas semua individu sama ada lelaki atau wanita, kecil atau dewasa, merdeka atau hamba, miskin atau kaya, orang bandar atau pedalaman jika cukup syarat-syarat yang akan disebutkan nanti.

Bagi orang yang belum mempunyai tanggungan, zakat fitrahnya disempurnakan oleh dirinya sendiri atau orang yang menanggung nafkahnya. Adapun orang yang telah mempunyai tanggungan, ia wajib menyempurnakan zakat fitrah untuk dirinya sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya merangkumi;

1. Isteri
2. Asal-asulnya (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga berikutnya ke atas)
3. Zuriatnya (iaitu anak-pinak dan cucu-cicit); sama ada lelaki atau perempuan, kecil atau 
besar/dewasa.
4. Hamba yang dimiliki.

Bagaimana jika seseorang itu mempunyai tanggungan yang banyak dan harta yang ada tidak mencukupi untuk membayar zakat untuk semua tanggungannya?

Hendaklah membayar zakat untuk diri sendiri dan sebahagian tanggungannya mengikut urutan keutamaan di bawah;
1. Isterinya
2. Anaknya yang kecil
3. Bapanya
4. Ibunya
5. Anaknya yang dewasa

Jika orang terdapat lebih dari seorang (seperti ia memiliki lebih dari seorang isteri atau lebih dari seorang anak kecil), maka ia boleh memilih dari kalangan mereka siapa yang hendak ia zakati.



Jika isteri kaya, adakah suami tetap wajib menanggung zakat fitrahnya?

Ya, kerana isteri berada di bawah tanggungan nafkah suami, maka zakat fitrahnya menjadi kewajipan suami sekalipun isteri kaya.



Jika suami miskin, adakah isteri wajib mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya?

Tidak wajib. Jika suami miskin dan tidak mampu mengeluarkan zakat fitrah, gugur zakat fitrah dari isterinya sebagaimana gugur dari dirinya. Tidak wajib isteri mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya kerana ia tertanggung atas bahu suaminya. Walaupun tidak wajib, namun disunatkan ia mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya jika ia mampu.



Bilakah anak wajib menanggung zakat fitrah untuk ibu-bapanya?

Anak tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi ibu-bapanya kecualilah jika ibu-bapanya fakir atau miskin di mana nafkah sara hidup mereka menjadi kewajipannya ketika itu. Adapun ibu-bapa yang kaya atau berkemampuan, maka zakat fitrah mereka tidak wajib ditanggung oleh anak-anak mereka, akan tetapi ditanggung oleh mereka sendiri.



Bilakah bapa wajib menanggung zakat fitrah untuk anak-anaknya?

Anak-anak terbahagi kepada dua;
1. Anak-anak yang masih kecil
2. Anak-anak yang telah dewasa (baligh)

Anak-anak yang masih kecil sama ada lelaki atau perempuan, jika mereka memiliki harta, maka zakat fitrah hendaklah dikeluarkan dari harta mereka. Menjadi tanggungjawab walinya untuk mengeluarkannnya dari harta tersebut. Namun jika mereka tidak memiliki harta, maka zakat fitrah mereka ditanggung oleh bapa atau penjaga yang menanggung nafkah mereka.

Anak-anak yang telah baligh (dewasa), jika mereka mampu mencari pendapatan sendiri, maka zakat fitrah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri, bukan atas bapa atau penjaga mereka. Malah tidak sah bapa atau penjaga mereka mengeluarkannya bagi pihak mereka kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkannya.

Adapun yang tidak mampu mencari pendapatan sendiri –sama ada kerana ditimpa sakit yang berterusan, gila atau kerana menumpukan masa untuk menuntut ilmu- maka bapa atau penjaga yang menyara mereka lah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk mereka. Kesimpulannya, bagi anak-anak yang telah dewasa, syarat untuk mewajibkan bapa atau penjaga menanggung zakat fitrah mereka ialah mereka tidak mampu mencari pendapatan sendiri.



Adakah wajib kita menanggung zakat fitrah untuk saudara-mara?

Tidak wajib sekalipun mereka susah dan miskin. Saudara mara (sama ada abang, adik, kakak, anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, sepupu-sepupu serta sekelian kaum kerabat yang lain yang tidak tergolong dalam asal-usul kita (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek) dan juga zuriat kita (iaitu anak, cucu dan cicit)), tidak wajib kita menanggung nafkah mereka (sekalipun mereka miskin), maka dengan itu tidak wajib pula kita membayar zakat fitrah untuk mereka. Malah tidak sah seseorang mengeluarkan zakat fitrah untuk saudara atau ahli kerabat yang tidak berada di bawah tanggungan nafkahnya kecuali dengan izin mereka atau dengan mereka mewakilkan kepadanya (untuk mengeluarkan zakat bagi pihak mereka).



Apakah syarat-syarat wajib zakat fitrah?

1. Islam; tidak wajib zakat fitrah ke atas orang kafir.

2. Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.

Anak yang lahir sesudah terbenam matahari pada hari terakhir tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah baginya kerana ia tidak bertemu dengan Ramadhan sekalipun bertemu dengan Syawal. Begitu juga, seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan selepas terbenam matahari hari terakhir tersebut juga tidak wajib membayar zakat fitrah untuk isteri yang baru dikahwininya itu kerana isterinya itu masuk di bawah tanggungannya setelah selesai Ramadhan secara sepenuhnya. Sebaliknya, orang yang mati selepas terbenam matahari pada hari terakhir itu, wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya kerana kematiannya itu berlaku setelah ia sempat bertemu Ramadhan dan awal Syawal. Adapun orang yang mati sebelumnya (yakni sebelum terbenam matahari), tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah untuknya kerana kematiannya sebelum ia sempat bertemu Syawal.

3. Mampu; iaitu mempunyai lebihan harta pada malam hari-raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Jika tidak mempunyai lebihan harta, tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah.

Orang yang memiliki syarat-syarat di atas wajib mengeluarkan zakat fitrah atau wajib dikeluarkan untuknya zakat fitrah. Jika tidak memenuhi syarat-syarat di atas, tidaklah wajib.



Apakah jenis harta yang sah untuk dikeluarkan zakat fitrah?

Zakat fitrah wajib dikeluarkan dari makanan asas penduduk setempat dalam suatu negeri atau Negara. Pada zaman Nabi s.a.w. makanan asas ialah kurma, anggur kering (kismis), gandum, keju dan barli. Kerana itu zakat fitrah dikeluarkan berasaskan makanan-makanan tersebut sebagaimana diceritakan oleh Abi Sa’id al-Khudri r.a.; “Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar segantang dari gandum atau segantang dari barli atau segantang dari tamar atau segantang dari ‘aqt (keju) atau segantang dari kismis (anggur kering)” (Riwayat Imam Muslim).

Bagi penduduk di Negara kita Malaysia, makanan asas ialah beras. Oleh itu, zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras atau dengan wang yang seharga dengan beras mengikut nilaian semasa.



Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan?

Kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu Sha’ (الصاع) iaitu satu gantang Baghdad menyamai ukuran hari ini kira-kira 2750 gram (atau 2.75KG). Itu mengikut timbangan gandum. Adapun mengikut timbangan beras, satu gantang Baghdad menyamai 2600 gram atau 2.6 KG (mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan).

Seelok-eloknya tatkala mengeluarkan zakat fitrah itu hendaklah dilebihkan sedikit dari kadar segantang yang diwajibkan itu kerana ada kemungkinan makanan yang kita keluarkan itu terdapat tanah, jerami atau seumpamanya di dalamnya yang boleh mengurangkannya dari kadar yang sepatutnya dikeluarkan.



Adakah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang?

Terdapat khilaf ulamak;

a) Mengikut mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad; zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asas setempat tadi. Tidak harus dikeluarkan dalam bentuk wang sekalipun yang seharga dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat mengikut nilaian semasa.

b) Menurut mazhab Hanafi; harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang yang senilai dengan harga satu gantang makanan asas tadi jika itu lebih memberi manfaat kepada fakir miskin. Pandangan mazhab Hanafi ini ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakatnya.



Bilakah masa mengeluarkan zakat fitrah?

a) Menurut mazhab Syafi’ie; zakat fitrah boleh dibayar seawal bermula bulan Ramadhan lagi, iaitu dari hari pertama Ramadhan. Menurut mazhab Malik; pembayaran sah dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari raya. Sebahagian ulama’ mazhab Ahmad berpandangan; harus pembayaran dibuat setengah bulan (15 hari) sebelum hari-raya.

b) Waktu paling afdhal mengeluarkan zakat fitrah ialah pada pagi hari raya sebelum ditunaikan solat hari raya. Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya)” (Riwayat Imam Bukhari).

c) Makruh melewatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas solat hari raya. Hukum makruh ini berterusan hingga terbenamnya matahari. Jika dilewatkan lagi hingga selepas terbenam matahari, maka hukumnya adalah haram dan berdosa. Dalam satu hadis yang disampaikan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. ada dinyatakan; “Sesiapa menunaikan zakat firtah sebelum solat hari raya, ia adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, ia adalah sedekah biasa” (Riwayat Imam Ibnu Majah).



Orang yang melewatkan pembayaran zakat fitrah, adakah ia wajib menggantinya?

Para ulama’ juga sepakat bahawa kewajipan mengeluarkan zakat fitrah tidak akan gugur dengan menta’khir atau melewatkannya setelah ia menjadi wajib ke atas seseorang, bahkan ia menjadi hutang yang berada di bawah tanggungannya hinggalah ia membayarnya walaupun di akhir umur. Jika ditakdirkan berlaku kematian ke atasnya sebelum ia sempat menunaikan zakat fitrah tersebut, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya, kerana zakat adalah kewajipan harta yang mesti ditunaikan ketika hidup, maka ia tidak akan gugur dengan sebab berlakunya kematian sama seperti hutang dengan manusia.



Kepada siapa hendak diberikan zakat fitrah?

1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, ayat 60, iaitu;
a)Untuk golongan fakir
b)Untuk golongan miskin
c)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
d)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
e)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
f)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
g)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis; “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).

3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).



Adakah wajib berniat ketika mengeluarkan zakat fitrah?

Ya, wajib berniat kerana Nabi saw bersabda; “Segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dari ‘Umar r.a.). Niat yang wajib ialah di dalam hati iaitu menghadirkan di dalam hati (ketika memberi zakat fitrah kepada orang yang berhak menerimanya) bahawa yang dihulur/diberikan itu adalah zakat fitrah yang wajib ke atas diri atau orang-orang yang berada di bawah tanggungan. Adapun melafaz niat dengan lidah, hukumnya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Sebahagian ulamak tidak mensunatkannya kerana tiada dalil yang menyuruhnya.



Wallahu`alam



Selasa, 16 Julai 2013

TERTINGGAL BAS.....





Ada orang kata cinta sebenarnya sama seperti kita menunggu bas. Apabila bas itu datang, kita tengok bas itu dan kita kata pada diri sendiri, "Penuhnya... tidak ada tempat duduk."



Jadi, kita katakan pada diri kita, "Saya akan tunggu bas yang lain." kita biarkan bas itu berlalu dan kita tunggu pula bas yang lain.



Kemudian, datang pula bas yang kedua. Kita tengok bas itu dan kita akan cakap, "Eee... bas ini buruk sangat, tentu tidak selesa. Dan mungkin bas ini akan rosak di tengah jalan."



Jadi, kita pun biarkan bas buruk itu berlalu dan kita bercadang hendak tunggu bas yang seterusnya. Selepas beberapa ketika, datang lagi sebuah bas. Bas yang datang itu kosong, tidak penuh dan tidak seburuk bas yang tadi tetapi kali ni kita kata, "Emmm.... Tidak ada air-cond... cuaca pula panas. Lebih baik saya tunggu bas yang lain."



Dan sekali lagi kita biarkan bas itu berlalu dan kita bercadang hendak menanti bas yang seterusnya. Tiba-tiba awan mula gelap, cuaca semakin mendung dan baru kita perasan yang kita sebenarnya sudah terlambat.



Kita mula panik dan terus naik bas yang datang pada masa itu walaupun bas itu tidak begitu sempurna. Dan kemudian barulah kita sedar yang kita sudah naik bas yang salah.



Jadi, selama ini kita sudah membazir banyak masa dan wang bagi menunggu apa yang kita mahu. Walaupun yang datang itu adalah bas yang beraircond, adakah kita dapat pastikan yang bas itu tidak akan rosak di tengah jalan ataupun mungkin bas itu tidak terlalu sejuk untuk kita?



Jadi, (terutamanya golongan perempuan, lelaki pun samalah) mengingini apa yang kita idamkan itu memang tidak salah. Tetapi, tidak salah juga jika kita sanggup memberi satu peluang kepada orang lain, bukan?



Sekiranya kita dapati 'bas' itu tidak sesuai dengan kita, apa yang perlu kita lakukan hanya tekan loceng dan turun daripada bas itu.



Tetapi... saya pasti kita semua tentu ada pengalaman begini. kita nampak sebuah bas datang (tentulah bas yang kita nanti-nantikan), kita tahan bas itu tetapi pemandu bas itu pula buat tidak faham dan pura-pura buat tidak nampak kita dan terus berlalu tinggalkan kita!



Bagi saya, apabila ada bas seperti itu melintasi saya, apa yang saya lakukan adalah BERJALAN.



Bodoh sebenarnya hendak mengejar bas itu kerana setiap kali kita mengejarnya, kita akan terjatuh dan menyakiti diri sendiri.



Jadi, bercinta umpama menunggu bas, sama ada anda hendak naik dan beri peluang pada bas itu ataupun tidak... semuanya terpulang pada diri anda. Dan apabila anda berjalan, anda sebenarnya cuba melarikan diri daripada cinta.



Selamat bercinta dan senyumlah....



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

PENYERI IDAMANKU...





Penyeri yang aku rindui
adalah wanita yang mencintai Ilahi
tersulam dalam peribadi
hingga terpesona olehku, seorang lelaki
cinta, takut & harap pada-Nya menguasai diri
saban ketika, waktu & hari
hingga jasadnya ditelan bumi



Penyeri yang aku sayangi
lidahnya basah dengan zikrullah
sudut hatinya mengagungkan Allah
wajahnya memancarkan nur Ilahi
lantaran wudhuk menghiasai diri
hingga mataku tak puas merenungi



Wanita yang aku cintai
terhijab auratnya dari mata ajnabi
maruah dirinya dijaga rapi
mulia & terpelihara di mata sesiapa
bak mutiara putih ditutup baldu
menjadi pujaan kalbuku



Wanita yang aku impikan
menarik tanganku ketika kealpaan
lantaran tergoda dek harta dunia yang menggiurkan
lalu dibisikkan azimat penuh tulus
“Sayang, kembalilah kita mengingati ar-Rahman”



Wanita yang aku kasihi
cukup dengan apa yang ada
malah bersyukur tiada hentinya
redha pada apa yang tiada
malah memuji Kau yang Maha Kaya
dihiasi dengan sifat sabar pula
kerana dia cintakan hidup sederhana
yang langsung tidak bermatakan benda



Wanita yang aku sanjungi
menjadi bulan kepada bakal zuriatku
menyimbah mereka dengan cahaya
menerangi kegelapan mereka
agar membesarlah semuanya
dalam acuan cahaya berganda sinarnya
untuk menyambung perjuangan Baginda S.A.W.
membawa cahaya buat umat seluruhnya



Sesungguhnya
penyeri yang aku idamkan itu
tak pernah luput dalam doaku
setiap detik & waktu
dia adalah dirimu
penyeri idamanku…



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Jumaat, 12 Julai 2013

DI SAAT INI....





Ya Allah! disaat ini, aku benar-benar terasa hanya Engkau segalanya..ya Allah! mungkin ini kasih Mu kepadaku...



aku pohon kekuatan... Engkau berikan aku ujian.



aku pohon kesabaran... Engkau berikan aku dugaan.



aku pohon cinta Mu dan selalu dekat dengan Mu, Engkau berilah aku kekuatan dan ketabahan buat bekal dalam menempuhi segala yang mungkin.



Ya Allah! jika inilah jawapan pada doaku... ku masih memohon...



ku mohon agar Engkau terus berada di sisi..memandang aku dengan kasih sayang Mu.. memberikan aku jalan untuk menghadapinya...



ku mohon agar Engkau tuntuni setiap langkahku agar aku tidak tersasar di tengah jalan...


ku mohon agar Engkau terus berada dalam hatiku.. agar aku dapat melihat semua ini adalah dari Mu.. agar aku dapat menerima semua ini dengan hati terbuka.. dengan senyuman.


Ya Allah! berilah aku kekuatan, kesabaran dan ketabahan..ujian ini tidak seperti ujian yang Engkau timpakan buat Nabi dan Rasul Mu.. aku hanya mampu bermohon agar Engkau sentiasa bersamaku.. tidak membiarkanku melangkah sendirian.. tidak dalam sekelip mata atau kurang dari itu.. nescaya aku akan lelah dan lemah...



Ya Allah! hanya cinta Mu yang aku dambakan..
Engkau menunjukkan kepadaku..tiada hebatnya manusia di mata ku..
tiada setianya seorang manusia berada di sisi..
tiada kasihnya seorang manusia berada di sisi..
tiada yang lebih setia dan tiada yang lebih kasih..
tiada yang lebih mendorong ku melainkan Mu..
hanya Engkau setia di sisi... susah dan senang..
aku yang terkadang leka dengan duniawi..



Ya Allah! tiada cinta seindah cinta Mu..
Ya Allah! tiada yang lebih hebat dari Mu..
bercinta dengan Mu tidak akan pernah kecewa..
ku akui ya Allah!



ingin memiliki cinta Mu juga bukanlah mudah..
kerana cinta Mu cinta sejati..
kerana cinta Mu cinta mati..
maka harga maharnya terlalu mahal..
aku perlu sakit untuk memiliki cinta Mu...



Ya Allah! aku pinta cinta Mu...
bantulah aku..
permudahkanlah...



Amiin...



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

KITA BUKAN KITA....





Saudara semuslimku yang baik hati, kita bukanlah apa yang kita fikirkan dan kita bukanlah apa yang kita rasakan... 



Tetapi kita dapat belajar banyak dari apa yang kita fikirkan dan apa yang kita rasakan...



Kita adalah kita yang merdeka dari fikiran dan perasaan yang mempengaruhi kita... dan hanya Allah tempat kita bergantung...



Maka, jangan gantungkan diri kita kepada fikiran dan perasaan, apalagi kepada orang lain di luar sana...



Oleh kerana kita bukanlah yang kita fikirkan, maka jika hadir fikiran yang "bukan-bukan", maka tenang sahaja sebab pelakunya bukanlah kita, kecuali jika kita "mengaminkan" dan "menikmati" fikiran yang "bukan-bukan" itu...



Tolaklah fikiran yang "bukan-bukan" itu dengan cara mengabaikannya dan beristighfar kepada Allah...



"Ya Allah, jangan izinkan emosi kami, fikiran kami dan jasad kami mengikat, mencemari serta mempengaruhi kefitrahan ruh titipan Mu ini. Tolong jagalah ruh kami sehingga ruh ini tetap mampu menjadi pemandu bagi kehidupan kami..."




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Khamis, 11 Julai 2013

DOA BUAT SAHABAT...





Ya Allah...



jika saudara semuslimku yang baik ini sedang beribadah,
maka terimalah...



jika sedang berdoa,
kabulkanlah...



jika sedang bekerja,
ringankanlah...



jika sedang berusaha,
jayakanlah...



jika sedang sakit,
sembuhkanlah...


jika sedang susah,
gembirakanlah...


jika sedang musafir,
selamatkanlah...


jika sedang gelisah,
anugerahkanlah rasa tenang...


jika sedang khilaf,
ampunilah...


jika sedang lalai dan lupa,
ingatkanlah dan maafkanlah...



Amiin....



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

DOA SEORANG PENDOSA....





Ya Allah... 
Luruskanlah hati kami agar agama kami lurus, betulkanlah hati kami agar kami ikhlas selalu dan tetapkanlah hati kami agar kami tidak tergugat oleh ujian yang menimpa kami...



Ya Allah yang mencipta hati...!
Bersihkanlah hati kami agar mazmumah kami tidak merosakkan agama kami dan juga tidak merosakkan kehidupan orang lain...



Wahai Robb yang membolak-balikkan hati...
Kuatkanlah hati kami agar keyakinan kami tidak mudah berubah dan supaya kami sentiasa tabah...



Ya Allah...! Engkau rasakanlah selalu hati kami, sentiasa bersama Mu supaya kami rasa ada sahabat yang melindungi kami agar kami tidak rasa sepi di dalam hidup kami...



Dan kami akan merasa malu melanggar perintah Mu, dan kami sentiasa istiqamah menunaikan suruhan Mu...



Ya Allah yang menjaga hati...!
Baikilah hati kami agar seluruh hidup kami menjadi baik... supaya tidak khianat, tidak hasad dan tidak berdendam sesama manusia...



Ya Allah limpahkanlah selalu ke dalam hati kami ilmu dan hikmah hingga kami dapat menyuluh hati kami dan menyuluh kehidupan kami supaya lahir dan batin kami sentiasa bersyariat, agar lahir batin kami menjadi taat...



Ya Allah... kami harap Engkau kabulkanlah doa kami ini...



Amiin....



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

BERJALAN BERSAMA WAKTU....





Berjalan bersama waktu dalam menempuhi usia yang kian menua... akan di mana dan bagaimanakah segala hujung ini kita harapkan bermuara...




Berjalan dan terus berjalan, merentasi saat dengan menggalas jarak, hanya satu hal yang sungguh kami inginkan ya Robb, ampunan Mu... tidak lain dan tiada bukan.




Memulai hari dari pagi hingga ke pagi lagi, bukan kerana kita ingin dimuliakan sebagai yang istimewa, namun lebih kerana sebagai makhluk, kita semua telah diberi keistimewaan oleh Allah swt untuk menjadi nahkoda atau khalifah, paling kurang bagi diri kita sendiri. Di mana setiap raga yang bernyawa telah diberi izin untuk membawa ke mana dan bagaimana biduknya berlayar mengharungi jejak-jejak kehidupan di depan sana...




Dan setiap langkah ke depan itu telah terangkum indah dalam deretan mimpi-mimpi yang telah sedia menjadi realiti...




Doa hamba ya Robb, mudahkanlah setiap langkah kaki kami dalam perjalanan menuju redha Mu... Amin.




Wallahu`alam



Jagalah Hati...