Popular Posts

Ahad, 30 Oktober 2011

KERANA AKU SEORANG ANAK II...




“Assalamualaikum,” sayup terdengar suara memberi salam ketika aku dan keluarga sedang asyik menjamu selera, tengahari hari minggu itu.



“Waalaikumussalam,” jawab kami spontan, tetapi suara abah lebih kuat mengatasi gelombang frekuensi suara-suara kami yang lain. Adikku, Ika meluru ke pintu seperti biasa, membuka pintu dan seraya itu kami semua berpaling ke arah pintu untuk mengenal pasti suara itu.



“Abah! Ada orang nak jumpa!!” jerit Ika dari kejauhan, memang tabiatnya begitu. Suka benar menjerit, bukan tidak boleh datang dan panggil dengan lebih sopan. Jenuh aku menegur, tetapi biasalah, adik yang berusia 16 tahun itu kadangkala menguji kesabaranku.



“Ika!! Dah berapa kali akak pesan, jangan terjerit-jerit! Kalau nak panggil, datang sini lah panggil elok-elok!” Tanpa sedar, aku pula yang menjerit daripada meja makan itu. Aku ditenung abang dan diberi isyarat tangannya di telinga dan membuatku tersedar kesilapanku. Aku hanya tersengih.



“Opss!! Sorry big bro. Ter.. Bukan sengaja,”



“Memanglah ter.. Kita jarang-jarang sedar salah kita, selalu nampak salah orang je,”



Aduh, terkena sekali!! Tetapi aku tidak pernah ambil hati. Aku bersyukur, mujurlah abang Wan satu-satunya orang yang aku harapkan untuk mengadu nasib selain abah yang kadangkala sibuk dengan urusan pejabatnya. Mujur juga ada abang yang boleh menegurku jika ada salah dan silap, mengganti ibu yang telah 15 tahun pergi meninggalkan kami setelah 2 bulan terlantar sakit. Sejak itu, abah dan abang lah yang menjaga dan menyara kehidupan kami sekeluarga.



Aku sekadar memerhati langkah abah ke pintu tanpa sebarang syak siapa yang ingin bertemu dengan abah hari itu kerana memang menjadi kelazimannya, abah akan selalu menerima tetamu. Aku cuma mencapai tudung yang memang aku tinggalkan di dapur dan menyarungnya, takut-takut tetamu itu lama bertandang, aku kemudian menyambung kembali suapan. Abangku membasuh tangan dan menuju ke ruang tamu, barangkali ingin membaca akhbar.



“Siapa bah? Hari-hari minggu pun nak kacau abah,” sapa aku apabila abah kembali duduk di sisiku dengan sekeping sampul di tangannya.



“Ada orang hantar ni ha, calon menantu,” abah tersenyum kepadaku.



Aku tersedak mendengar perkataan ‘calon menantu’ yang keluar daripada mulut abahku.



“Aik, tersedak nampak, kenapa?” abah mula menyakatku, memang sifat semula jadi abah yang suka benar mengusik.



“Tak ada lah, terkejut. Calon menantu abah ke? Untuk abang Wan ke? Kenapa hantar pakai sampul pula?” aku bertanya bertubi-tubi.



“Hehe. Calon menantu abah, untuk anak dara abah ni. Abang Wan biarlah dia cari sendiri. Dia lelaki, pandai nak pilih. Abah Cuma risaukan anak dara abah ni je,”



“Calon menantu??!! Siapa bah??” entah dari mana datangnya abangku yang seorang itu terjenguk di pintu dapur.



“Amboi, gatal nampak!! Ingat untuk kamu ke? Calon untuk Ina ni. Kamu cari sendiri,” abah menambah. Aku hanya tertunduk, diam membisu tanpa sebarang reaksi kepada perbincangan itu. Aku tidak tahu bagaimana mahu terjemahkan perasaanku ketika itu. Aku tiba-tiba menjadi sebak dan terharu, dalam masa yang sama takut dan risau. Berbagai-bagai perkara datang menyerang fikiranku. Aku sedar, aku sudah mencapai umur yang merisaukan abahku, umur untuk melepaskan anak daranya ini bagi melengkapkan tanggungjawabnya, mencari jodoh yang baik untukku. Bukan aku tidak mempercayai abah dalam soal mencari calon suami untukku. Aku juga tidak pernah berpasangan sebelum ini kerana menjaga pesanan abah dalam tazkirahnya setiap kali selesai solat fardhu,




“Menuntut ilmu perlukan jiwa yang bersih, hanya dengan hati yang bersih Allah akan campakkan nur dan ilmu, selain jaga betul-betul hubunganNya serta manusia sekeliling, jangan sesekali menghampiri zina dengan membiarkan diri terbawa-bawa oleh arus.”



Abangku yang membekalkan pesanan yang sama setiap kali kepulanganku ke kampus,



“Ingat tanggungjawab kita pada Allah, pada agama, pada keluarga, pada diri. Abang sangat-sangat berharap Ina belajar berdikari dan kuatkan pergantungan padaNya dalam setiap perkara. Sekarang mungkin Ina ada abang dan abah untuk bergantung. Tetapi kami manusia biasa, kuasa kami terhad dan jika suatu hari nanti abang dan abah tiada, Ina akan terkapai-kapai. Tetapi kalau Ina tahu bahawa Ina masih ada Allah walau apa pun yang berlaku, Ina akan kuat. Ingat, Ina perlu tunjukkan contoh pada Ika, dia tidak merasai kasih sayang ibu sejak daripada kecil, jadi dia akan sedikit sebanyak menjadikan Ina sebagai contoh. InsyaAllah, abang akan selalu berdoa supaya Allah kurniakan kekuatan buat Ina hadapi ujianNya. Jangan putus asa dengan rahmat Allah.”



Aku ingin menjadi anak yang solehah, aku juga ingin menjadi kakak yang baik pada Ika, aku mahu menjadi adik yang baik untuk abang Wan. Tetapi dalam masa aku masih berusaha ke arah itu dan tiba-tiba aku perlu melangkah ke alam perkahwinan? Sudah sempurnakah tanggungjawabku kepada abah, abang Wan dan Ika? Aku ibarat Ibu di rumah dan selepas aku berkahwin, siapa akan jaga abah, abang Wan dan Ika? Buntu aku memikirkan persoalan tersebut.



“Mengelamun nampak, tak elok la duduk luar ni lama-lama. Malam-malam pula tu, kang sakit menyusahkan abang je nak kena menghantar Ina ke klinik,”



Tegur abang Wan ketika aku sedang duduk bersendirian di laman, menikmati angin malam dan kecantikan bintang-bintang di langit. Aku hanya mampu tersenyum tawar ke arah abang. Walaupun aku cuba menyembunyikan perasaan risauku ketika itu, abang Wan seolah-olah boleh meneka.



“Kenapa ni? Adik abang ni kalau muka serabut macam ni mesti ada lah tu perkara di fikiran? Risau dengan pilihan abah ke?” abang Wan mengusik lagi. Cubitan aku hinggap di tangannya. Abang Wan sempat mengelak.



“Tak lah. Cuma Ina risaukan rumah ni kalau suatu hari Ina terpaksa tinggalkan untuk tanggungjawab lain. Abang pun tahu abah bersungguh benar nak Ina kahwin awal, kerana bagi abah, tanggungjawabnya mencari jodoh yang baik untuk anak-anaknya. Bukan Ina meragui calon yang abah pilihkan untuk Ina, tetapi Ina rasakan belum cukup sempurna lagi tanggungjawab Ina pada orang-orang dalam rumah ni. Ika masih kecil dan perlukan Ina untuk bimbing dia. Ina belum rasa puas bela abah lagi. Belum rasa selesai lagi tanggungjawab Ina pada abah yang membela Ina dari kecil. Ina nak balas dulu jasa abah dan abang yang banyak berkorban selama ni untuk Ina. Abang sanggup mengorbankan separuh duit biasiswa abang untuk Ina setiap semester kerana membantu Ina yang asyik tak cukup duit untuk beli buku rujukan. Padahal abang juga perlukan duit untuk pengajian abang, sehingga abang perlu buat kerja sambilan untuk tampung semua tu. Abang perlu bantu abah untuk ringankan bebannya, dengan komitmen abang yang bertambah lagi ketika itu, Ina faham. Tapi Ina nak merasai membalas semua itu dulu. Kalau Ina dah kahwin, tanggungjawab Ina tertumpu pada suami dan keluarga, kerana abah dan abang pernah menyebut, syurga wanita pada redha suaminya. Ina teringin juga menjadi seperti arwah ibu, redha dan kasih sayang abah yang tidak berbelah bagi pada ibu, menjanjikan syurga buat arwah, kan bang? Ina buntu lah.” Aku mula merasai pandanganku kabur kerana air mata yang bergenang. Abang Wan hanya tersenyum.



“Alhamdulillah, abang syukur pada Allah kerana Ina punya perasaan itu semua. Abang tak kata semua itu salah kerana abang faham keadaan Ina. Ina tersepit antara dua perkara yang kedua-duanya membawa nikmat akhirat yang baik, kan? Tetapi abang nak Ina fikir dengan rasional. Ina dah 23 tahun, sudah sebaiknya Ina berumah tangga. Bukan abang ingin menghalang niat murni Ina untuk menjaga abah, Ika mahupun abang sendiri tetapi Ina perlu juga faham mengapa abah mahu Ina kahwin awal. Abah tidak mahu Ina terdedah dengan perkara yang tidak sepatutnya buat anak gadis seperti Ina. Abah tahu bahawa pada umur seperti ini lah anak-anak perlukan bimbingan ke arah rumah tangga buat memenuhi tanggungjawabnya dan juga tuntutan nafsu manusia. Rasulullah pernah berpesan bahawa jika mampu untuk menikah, maka bernikahlah. Kerana itu abah benarkan abang berkahwin tahun lalu bila abang nyatakan keinginan tersebut walaupun abang masih dalam pengajian. Walaupun jodoh kami tidak lama, kerana Allah lebih sayangkan arwah Kak Siti, tetapi abang bersyukur kerana mempunyai abah yang memahami. Tentang Ika dan abang, Ina jangan risau. Kita kan punya Penjaga terbaik? Jangan pernah putus doa. Dengan izin Allah juga abah boleh membesarkan kita sehingga hari ini, kan? Mesti juga dengan kehendak Allah mengizinkan segalanya berlaku, ada ataupun tidak ada penjagaan daripada sesiapa. Siapa kata Ina tak boleh nak berbakti pada kami bila Ina dah berkahwin? Ina pun tidak kenal lagi siapa calon suami Ina kan? Mana lah tahu, aturan Allah, calon tu orang dekat-dekat sini. Boleh lah Ina kerap balik, tolong masak untuk kami lagi! Tetapi layanan untuk suami dan keluarga itu yang lebih awla, ingat tu,” kata-kata abang Wan melegakan gusar dalam hatiku, aku mengangguk-angguk faham. Terima kasih abang Wan.



“Abah mahukan pandangan Ina. Abah ada terima risikan daripada seseorang yang ingin memperisterikan anak abah ni. Daripada penilaian abah, orangnya punya ilmu agama dan beramal dengan agama, abah berkenan pada agama yang ada padanya. InsyaAllah, dia sudah bekerja dan punya kewangan yang baik, biarpun tidak mewah kerana abah tak suka anak abah dimewahkan dengan harta dunia. Kalau tak silap abah, umurnya 27 tahun, rupanya pun sedap mata memandang. Bagaimana? Ina mahu tengok gambarnya?” hurai abah pada petang Jumaat itu.



“Tak perlu lah bah. Erm.. Cuma Ina minta masa 2 atau 3 hari untuk fikirkan, boleh? Ina yakin abah pilih calon yang baik untuk Ina, cuma Ina mahu lebih tetap keyakinan itu dengan petunjukNya,” aku memohon izin kepada abah untuk menangguhkan jawapan ku.



“InsyaAllah, abah tak ada halangan. Abah pun lebih suka kalau Ina lebih percayakan Allah daripada abah,” abah tersenyum. Perbualan aku dan abah hari itu merupakan titik tolak kepada penghijrahan fasa hidupku yang seterusnya. Alhamdulillah, aku bahagia kerana pilihan abah, kerana aku hanyalah seorang anak yang begitu percayakan ketentuan Allah. Terima kasih Allah untuk kurniaan Mu yang tidak ternilai ini. Kau juga menjadi saksi dalam setiap solatku, aku berdoa,



“"Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri."




Wallahu`alam.




Jagalah Hati...




Wassalam.

Sabtu, 29 Oktober 2011

SEBELUM KITA MENJADI HAMBA YANG SANGAT RUGI...



Wahai sahabatku, jarang sekali kita mendengar frasa kata, “sebelum kita menjadi hamba yang sangat rugi”. Begitu juga dengan peringatan-peringatan lain yang perlu kita sedari.

Sabda Rasulullah saw, "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Bukhari dan Muslim)

Sahabatku, indahnya iman itu hanya si pemilik hati yang pernah merasainya sahaja tahu betapa seronoknya berada dibawah perlindungan Allah swt. Ibadah yang kita lakukan, sama ada wajib mahupun sunat, seharusnya dapat membawa seseorang merasa lebih indah dalam hidup ini. Kerana setiap kali hatinya menyebut nama Allah dalam zikirnya, hatinya terasa rindu untuk berjumpa dengan-Nya. Tatkala hatinya baru selesai menunaikan solat, tiba-tiba air mata yang jernih mengalir dari matanya, menangis mengharapkan rahmat dan keampunan dari Ilahi yang Maha Esa. Segala kehidupan seseorang itu indah belaka, tiada satu pun yang lari dari mengingati Allah swt


Sejahat-jahat manusia sekalipun, pasti tetap terdetik di hatinya perasaan rindu dalam mencari ketenangan hidup apabila bersama dengan Robb-nya.


Kelazatan milo yang baru dibancuh tidak sama dengan kelazatan milo yang telah basi. Refleks semula kepada diri kita, ketenangan hidup bersama agama tidak sama apabila kehidupan sudah bercampur dengan kemaksiatan. Kelazatan maksiat telah menukar keindahan yang ada pada ketenangan hidup yang hakiki.


Umpama paku yang dicabut dari dinding, walau paku itu hilang, tetapi bekas lubang tembusan paku itu masih wujud secara nyata. Begitu juga dengan hati kita. Ketika hati kita dicemari dengan maksiat, beribu-ribu paku telah tersusuk di dalam hati. Walaupun kita meninggalkan kemaksiatan tersebut, tetapi kesannya masih serius kerana kesan lubang itu pasti wujud meninggalkan bekas. Dan kesan-kesan inilah yang jika kita tidak mampu menampalnya yang akhirnya membawa gelombang kedua agar kemaksiatan itu berlaku lagi sekali dalam episod kehidupan manusia.


Sebelum kita menjadi hamba yang serugi-ruginya, kembalikanlah ketenangan dan kemanisan iman itu secepat mungkin sebelum kenikmatan maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah kepada-Nya. Kerana, apabila hati sudah berani berpaling daripada Allah, kita akan menjadi hamba yang tersesat untuk kembali.


Jujurlah pada diri sendiri dalam menjawab pertanyaan persoalan diri. Akuilah segala kesilapan dan kemaksiatan yang telah kita lakukan. Tidak perlu jawapan itu diceritakan kepada orang lain, tetapi cukup sekadar kita mengingati kepada diri kita sendiri agar berusaha kembali ke jalan-Nya.


Andainya diri kita merasakan tidak berupaya untuk kembali kerana keliru atas kesilapan yang lalu, jangan diri kita berputus asa kerana Allah sentiasa bersama kita. Insya Allah, ada jalan yang benar terbentang dihadapan kita itu…


Kembalilah kepada yang Esa, yakinlah kepada-Nya, pohonlah kepada-Nya…


Wallahu`alam


Jagalah Hati…


Wassalam. 

Jumaat, 28 Oktober 2011

SEORANG GADIS...




seorang gadis itu …
boleh setabah Maryam,
walau di caci, walau di keji,
itu hanya cercaan manusia,
namun sucinya Allah memuji … 



seperti Fatimah kudusnya,
meniti hidup seadanya,
puteri Rasulullah …
kesayangan ayahanda,
suaminya si panglima agama,
di belakangnya dialah pelita,
cahaya penerang segenap rumahnya,
ummi tersayang cucunda Baginda … 



mungkkin dia segagah Nailah,
dengan dua tangan
teguh melindungi khalifah,
walau akhirnya bermandi darah,
walau akhirnya khalifah rebah,
syahid menyahut panggilan Allah . 



seorang gadis itu …
perlu ada yang membela,
agar ia terdidik jiwa,
agar ia terpelihara … 



dengan cinta Robbnya,
dengan rindu Rasulnya …
dengan yakin Agamanya,
dengan teguh ákidahnya,
dengan utuh cinta yang terutama,
Allah dan juga Rasul-Nya,
dalam ketaatan penuh setia .
pemelihara maruah dirinya,
agama, keluarga dan ummahnya … 



seorang gadis itu …
melenturnya perlu kasih sayang,
membentuknya perlu kebijaksanaan,
kesabaran dan kemaafan,
keyakinan dan penghargaan,
tanpa jemu serta tanpa bosan,
memimpin tangan, menunjuk jalan … 



seorang gadis itu …
yang hidup di alaf ini,
gadis akhir zaman,
era hidup perlu berdikari …
dirinya terancam dek fitnah,
sucinya perlu tabah,
cintanya tidak boleh berubah,
tidak mampu terpadam dek helah,
dek keliru fikir jiwanya,
kerana dihambur ucapkata nista,
hanya kerana dunia memperdaya … 



kerana seorang gadis itu,
yang hidup di zaman ini …
perlu teguh kakinya,
mantap iman mengunci jiwanya,
dari lemah dan kalah,
dalam pertarungan yang lama …
dari rebah dan salah,
dalam perjalanan mengenali Robb-nya,
dalam perjuangan menggapai cinta,
nikmat hakiki seorang hamba,
dari Allah yang menciptakan,
dari Allah yang mengurniakan, 



seorang gadis itu …
anugerah istimewa kepada dunia! 



seorang gadis itu …
tinggallah di dunia,
sebagai abidah,
da’iyah dan mujahidah,
pejuang ummah …
anak ummi & ayah,
muslimah yang solehah … 



kelak jadi ibu,
membentuk anak-anak ummah,
rumahnya taman ilmu,
taman budi dan makrifatullah … 



seorang gadis itu …
moga akan pulang,
dalam cinta dan dalam sayang,
redha dalam keredhaan,
Ilahi yang menentukan …
seorang gadis itu dalam kebahagiaan! 



Moga ar-Rahman melindungi,
merahmati dan merestui,
perjalanan seorang gadis itu …
menuju cinta-NYA yang ABADI!
amin…. 




Jagalah Hati...


Wassalam.

Khamis, 27 Oktober 2011

KESAN DOSA PADA HATI...




Aku mengadu kepada al-Waki’ tentang buruknya hafalanku
Dia menunjukan pada aku agar meninggalkan maksiat
Dan memberitahuku, bahawa ilmu adalah cahaya
Cahaya Allah tidak dikurniakan kepada pendosa
(Imam Asy-Syafie)


Syair di atas merupakan syair di mana Imam Syafie tanpa sengaja melihat betis perempuan yang menyebabkan hafalannya menjadi buruk. Apa yang terjadi pada Imam Syafie merupakan kejadian “ketidaksengajaan” bukan “disengaja.”


Jika ketidaksengajaan dapat membuat hilang segala hafalan, bagaimana dengan menyengajakan dalam berbuat maksiat?

Adakah kita pernah kehilangan hafalan yang telah kita hafal berkali-kali?

Adakah kita pernah lupa akan ilmu yang pernah dikuasai?

Adakah kita pernah merasakan bahawa latihan, kursus serta program motivasi tidak mampu memberikan apa-apa selain hanya memberikan semangat sementara sahaja?

Adakah kita pernah mendapatkan nasihat dari para ulama, ustaz dan orang-orang soleh lainnya, namun nasihat itu hanya masuk sejenak ke dalam hati kita dan tidak menjelma menjadi roh perubahan dalam diri?

Adakah kita pernah mempelajari ilmu agama, namun ilmu agama itu tidak mampu membawa perubahan dalam hidup kita?

Adakah kita pernah lalai dalam ketaatan kepada Allah swt, padahal kita tahu azab Allah swt sangat pedih?

Adakah kita sering berbuat maksiat, padahal kita tahu semua perbuatan maksiat akan menghantar pelakunya kepada murka Allah swt?

Adakah kita pernah merasa kedekut, padahal Allah swt telah menjamin tidak akan habis harta bagi orang yang suka menginfakkan hartanya?

Kenapa semua itu boleh terjadi…?

Apa sebabnya…?

Pertanyaan-pertanyaan di atas adalah kenyataan dalam kehidupan kita, bahawa betapa sering ilmu-ilmu yang kita dapatkan tidak mampu memberi manfaat kepada kita kerana hati yang tertutup oleh maksiat.


Malahan sering hikmah kehidupan menghampiri, namun kita tidak dapat melihatnya. Setiap hari ada begitu ramai orang yang meninggal dunia, namun hati sedikit pun tidak terpaut takut kepada Allah swt. Semua itu akibat maksiat yang telah terlalu banyak dilakukan tanpa ada muhasabah yang benar-benar dikatakan melihat ke dalam diri. Hidup tanpa ada muhasabah dan tanpa ada hati yang disiapkan untuk menerima hidayah Allah swt. Sesiapa jua yang masih sahaja banyak melakukan kemaksiatan, bererti dia belum membuka hatinya. Sebab bermaksiat bererti menutup hati, menutup masuknya cahaya Allah swt.

Jika kita ingin merasakan manisnya iman. Jika kita ingin merasakan manisnya ketaatan kepada Allah swt. Jika kita ingin selalu bersemangat dan tenang dalam menjalani hidup seperti yang dirasakan orang-orang soleh, maka jauhilah kemaksiatan. Tutup rapat-rapat hati kita dari kemaksiatan dan bukalah selebar-lebarnya untuk menerima cahaya Allah swt.

Imam Malik rahimahullah berpesan kepada kita, “Maka jangan padamkan cahaya itu dengan gelapnya maksiat”


Wallahu`alam


Jagalah Hati…


Wassalam.

Rabu, 26 Oktober 2011

MEMO BUAT DIRIKU YANG PENUH DOSA...




“Wahai diri yang penuh dosa…Kekotoran sedang membelenggu dirimu…”



Bagaikan tersentak dan terkedu.



Memo ini adalah untuk diri ku wahai pendosa, agar merenung pada diri dan mendalami diri yang dikotori dengan kejelekan dan kebusukan dosa yang menjijikkan. Aku sedang bersama-sama KOTORAN.



Wahai diri pendosa yang terhina, hancurnya sesuatu bangsa, rosaknya hati, berpecahnya hubungan kekeluargaan, retaknya sebuah hubungan dan bersimpang siurnya pemikiran, hanyalah akibat dari dosa-dosa dan kemaksiatan. Kotoran inilah yang meruntuhkan keamanan dan keteguhan penganut agama Islam.



Wahai diri pendosa yang terbelenggu… terhalangnya rezeki, kerasnya hati, dan mengeringnya air mata, hanyalah akibat dosa-dosa dan kemaksiatan yang membuatkan diri ini hilang kepekaan dan kesensitifan perasaan.



Wahai hati pendosa yang hitam, besarnya kemurkaan Allah swt, besarnya kekhuatiran dan ketakutan menimpa manusia, hanyalah akibat dari dosa-dosa noda dan kemaksiatan dan itulah beban aku.



Wahai pendosa yang berwajah keruh, ketahuilah bahawa diciptakan-Nya Neraka yang dahsyat serta pemandangan seksa yang pedih hanyalah akibat dari dosa-dosa dan kemaksiatan. Maka inilah yang akan mengheret aku ke lembah azab yang memedihkan.



Wahai pendosa yang berhati keras, dosa yang aku lakukan itu menyebabkan perasaan aku menjadi sempit, terhimpit, sedih, resah, cemas dan diselubungi keputus asaan. Inilah yang membelenggu jiwa aku.



Wahai pendosa yang lalai, ketahuilah aku kini berada dalam keadaan kotor. Hati aku sebenarnya diselubungi kejijikan, kekotoran dan kejelekan. Kotor adalah hayat serta kehidupan dan aku sebenarnya mencintai KOTOR!



Wahai diri dan semua yang menyelusuri kehidupan ini
Tidak dapat lari dari tercalit dengan calitan dosa dan noda
Perbaikilah diri, semoga memo ini menjadi ingatan yang sangat berguna



Jika kita terlanjur di dalam lembah dosa, maka bersegeralah. Bersegeralah dengan lafaz taubat dan istighfar. Bertaubatlah wahai diri. Nurani, jiwa dan hati kita harus dibersihkan, dijernihkan dan diputihkan segera.



Titik-titik hitam, calaran dan gurisan terukir dihati kita. Semuanya akibat, perbuatan dosa kita sendiri. Ya. Inilah kesan dosa, noda dan maksiat kita sendiri.



Kotor hati… kotoran ini sedang digerakkan oleh kita. Kita mengagung-agungkan kotoran. Jiwa begitu ghairah dan asyik dengan kekotoran. Nafsu memuja-muja aktiviti kotor tanpa rasa bersalah.



Kekotoran ini harus dihalang, diboikot dan disekat dalam kehidupan kita semua. Kekotoran ini menghancurkan keharmonian, ketenteraman dan kedamaian. Kekotoran inilah yang menghilang keaslian kebersihan jiwa dan hati kita.



Kotor bukanlah pilihan kita. Ia tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kehidupan dan life style kita. Ayuh, marilah kita gantikan KOTOR ini dengan budaya hidup yang menjadi anjuran Islam. Islam suka dan gemarkan KEBERSIHAN.



Bersih inilah yang menjadi pilihan kita. Kita perlukan kesucian di dalam kehidupan. Kesucian inilah yang menjernihkan dan membersihkan hati dan jiwa kita yang telah kotor, busuk dan jijik.



Ia haruslah menjadi agenda utama kehidupan kita.
Ia perlu digerakkan secara bersepadu dan bersistem.
Ia adalah nadi kekuatan untuk kita pulihkan jiwa yang ternoda.
Ia bukannya main-mainan.
Ia adalah sesuatu yang serius, penting dan utama.



Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam.

Selasa, 25 Oktober 2011

KORBAN CINTA DEMI REDHA ILAHI...




Kisah Nabi Ibrahim as yang sanggup ‘mengorbankan’ anaknya, Nabi Ismail as demi melaksanakan perintah Allah menjadi ingatan dan iktibar setiap kali musim haji dan sambutan Aidiladha.



Kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim as dan Ismail as untuk melaksanakan perintah Allah itu adalah simbolik kepada ibadat korban yang dilakukan oleh umat Islam.



Diriwayatkan sebelum Nabi Ibrahim as diperintahkan Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail as, Baginda as membuat ibadat korban sebanyak 1,000 kambing, 300 lembu dan 100 unta di jalan Allah. Melihatkan kepada banyaknya jumlah korban yang dilakukan, maka manusia dan malaikat kagum dan kehairanan. Nabi Ibrahim as bersabda, “Semua yang menjadi korban itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki, sudah tentu dia juga akan ku sembelih di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah.”



Ketika Nabi Ibrahim as tiba di Iradhil Muqaddasah (bumi yang disucikan), Baginda as memohon kepada Allah supaya dikurniakan anak dan Allah mengabulkan permohonan Baginda as. Akhirnya, Baginda as dikurniakan seorang anak lelaki. Tatkala, anaknya iaitu Nabi Ismail as pandai berjalan dan berusia tujuh tahun (sesetengah sirah menerangkan 13 tahun), Nabi Ibrahim as mendapat mimpi iaitu Baginda as mendengar suara yang berkata: “Hai Ibrahim, tunaikan nazar kamu!”



Keesokan paginya pada 8 Zulhijjah, Nabi Ibrahim as berfikir, “Apakah mimpi itu datangnya daripada Allah atau syaitan?”



Selanjutnya, pada malam kedua, iaitu pada 9 Zulhijjah, Nabi Ibrahim as bermimpi lagi, sama seperti mimpinya terdahulu. Maka, keesokan harinya, Baginda as tahu bahawa mimpinya itu adalah daripada Allah.



Pada malam ketiganya, Baginda as bermimpi lagi seperti sebelumnya hingga Nabi Ibrahim as pasti bahawa mimpi itu datang daripada Allah yang bermaksud Baginda as perlu menunaikan nazar dengan menyembelih anaknya sebagaimana yang dijanjikan. Ketika Nabi Ibrahim as hendak pergi melaksanakan penyembelihan, Baginda as berkata kepada ibu Nabi Ismail as, iaitu Siti Hajar yang berbunyi, “Wahai Hajar, pakaikan anakmu Ismail dengan pakaian yang paling baik dan bagus kerana aku akan pergi dengannya.” Maka, Siti Hajar memakaikan pakaian, memberi haruman dan membersihkan tubuh anaknya sebelum menyerahkannya kepada suaminya.



Kemudian, Nabi Ibrahim as pergi bersama anaknya dengan membawa tali dan pisau yang tajam berhampiran Mina. Ketika itu, musuh Allah iaitu iblis terkutuk sudah sedia menanti untuk menggoda dan dia tidak pernah sesibuk seperti hari itu. Dalam perjalanan Nabi Ibrahim as ke Mina, Nabi Ismail as kelihatan ceria dan sering berlari meloncat ke hadapan ayahnya.



Maka, iblis berkata kepada Nabi Ibrahim as, “Wahai Ibrahim, apakah engkau tidak memperlihatkan betapa tampan parasnya, bagus badannya dan kesantunan perilakunya?” Kata Nabi Ibrahim as, “Ya, tetapi aku diperintah Robb ku untuk itu.”



Ketika iblis terkutuk itu putus asa terhadap Nabi Ibrahim as, lalu dia pergi mendapatkan Siti Hajar dan berkata, “Wahai Hajar, bagaimana boleh engkau duduk-duduk saja, sedangkan Ibrahim sudah pun pergi dengan anakmu dan akan menyembelihnya?” Kata Siti Hajar, “Jangan engkau berdusta, aku tidak pernah tahu seorang ayah sanggup menyembelih anaknya sendiri.” “Itulah sebabnya dia keluar dengan anakmu membawa tali dan pisau. Dia mengira bahawa Robbnya menyuruhnya untuk itu,” kata iblis. Siti Hajar menjawab, “Nabi itu tidak pernah diperintah untuk sesuatu yang batil dan saya sendiri bersedia untuk menebus perintah itu dengan jiwa sendiri, betapa pula jika hanya dengan jiwa anakku?”



Ketika iblis terkutuk berputus asa terhadap Siti Hajar, maka dia pergi kepada Nabi Ismail as seraya berkata, “Sungguh engkau bersenang-senang, sedangkan ayah kamu membawa tali dan pisau untuk menyembelih kamu.” Nabi Ismail as berkata, “Jangan engkau berdusta, mengapa ayah aku akan menyembelihku?”



Iblis menjawab, “Dia mengira bahawa Robbnya menyuruhnya untuk itu.” Nabi Ismail as berkata, “Aku memperhatikan dan mentaati perintah Robb ku.” Ketika iblis terkutuk itu cuba untuk melontarkan godaan yang lain, maka terlebih dulu Nabi Ismail as mengambil beberapa ketul batu kecil dan melemparkannya kepada iblis sehingga mata kirinya pecah dan buta. Lalu dia pergi dengan sia-sia lagi rugi.



Ketika Nabi Ibrahim as tiba di Mina, Baginda as berkata kepada puteranya, “Wahai anakku, sungguh aku melihat dalam tidurku (dalam mimpi aku) bahawa aku menyembelih engkau, cuba engkau pula perhatikan bagaimana pendapat kamu?” Nabi Ismail as menjawab, “Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan. Insya-Allah ayah akan mendapatkan aku sebagai orang yang sabar, iaitu terhadap apa yang diperintahkan kepada ayah untuk menyembelih aku.”



Tatkala Nabi Ibrahim as mendengar kata-kata puteranya, Baginda as tahu bahawa doanya kepada Allah sudah dikabulkan iaitu, “Rabbi Hablii Minash Salihiin (Ya Robb, berikanlah kepada ku anak yang soleh).”



Kemudian Nabi Ismail as berkata kepada ayahnya, “Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesan kepada ayah. Hendaklah ayah mengikat tanganku supaya aku tidak bergerak-gerak yang mungkin menyakitkan ayah, hendaklah wajahku dihadapkan ke tanah supaya ayah tidak melihat lalu menimbulkan kasih sayang ayah kepadaku, hendaklah ayah melipatkan kain ayah supaya tidak tercemar dengan darah, meskipun sedikit hingga mengurangi pahala aku dan mungkin juga diketahui oleh ibu sehingga dia menjadi susah”



Nabi Ismail menambah lagi, “Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah dan mempercepatkan jalannya di atas leher aku, supaya tidak terlalu sakit kerana mati itu sakit sekali. Hendaknya ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai tanda kenangan daripadaku serta sampaikan salam aku kepadanya dan katakan kepadanya, “Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah”. Jangan ayah beritahukan kepadanya bagaimana ayah menyembelih aku, serta bagaimana pula ayah mengikat tanganku. Hendaklah ayah tidak memasukkan kanak-kanak ke rumah ibu supaya dia tidak terlalu sedih mengenangkan aku. Dan ayah mengetahui anak seperti aku hendaklah ayah tidak melihatnya hingga nanti ayah menjadi susah dan duka.”



Nabi Ibrahim as berkata, “Sebaik-baik penolong adalah engkau wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah swt ”. Kemudian ketika kedua-duanya sudah menyerah bersedia, maksudnya bersedia melaksanakan perintah Allah, Nabi Ibrahim as membaringkan Ismail as seperti kambing yang disembelih.



Ada yang menceritakan Nabi Ibrahim as menelungkupkan wajah Ismail as dengan isyaratnya supaya tidak melihat sesuatu yang menimbulkan kasih sayangnya, hingga dapat menghalang Baginda as daripada melaksanakan perintah Allah.



Kedua-duanya sudah bersedia melaksanakan perintah Allah.



Perintah itu dilaksanakan pada sisi batu besar di Mina. Ada yang menerangkan di suatu tempat yang dekat dengan Mina. Nabi Ibrahim as meletakkan pisau pada leher puteranya, maka Baginda as memotongnya dengan sangat kuat sekali, namun ia masih tidak mampu memutuskan leher anaknya.



Pada ketika itu, Alah swt berkenana membuka hijab agar semua malaikat di langit dan laut  dapat melihat bahawa Nabi Ibrahim as melaksanakan perintah-Nya dengan menyembelih puteranya iaitu Nabi Ismail as. Para malaikat yang melihat terus bersujud sembah kepada Allah.



Kemudian Allah berfirman, “Perhatikan olehmu sekalian kepada hamba-Ku, bagaimana dia meletakkan pisau di atas leher puteranya untuk mencari atau mengharap keredhaan Ku, sedang kalian dulu semua mengatakan sesuatu ketika Aku berfirman, “Sesungguhnya, Aku akan menjadikan di bumi ini seorang khalifah.” Engkau berkata, “Apakah Engkau menciptakan orang yang akan berbuat kerosakan di bumi, dan akan menumpahkan darah, sedang kami sekalian mensucikan Engkau?””



Kemudian Nabi Ismail as berkata, “Wahai ayahku, lepaskan ikatan tali tanganku dan kakiku supaya Allah tidak memandang aku sebagai orang yang terpaksa, ertinya terpaksa dalam mentaati perintah Allah. Bahkan letakkan pisau itu di atas leher aku supaya malaikat tahu, bahawa putera Ibrahim itu mentaati perintah Allah dengan ikhtiar iaitu dengan pilihannya sendiri atau dengan sukarela.”



Maka, Nabi Ibrahim as pun meluruskan dua tangan Ismail as dan dua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajah ke tanah, lalu menggerakkan pisaunya dengan sekuat tenaganya.



Pisau itu membalik dan tidak boleh memotong leher Ismail as dengan izin Allah. “Wahai ayahku, kekuatan kamu menjadi lemah kerana masih ada cintamu kepadaku, kerana itu ayah tidak boleh menyembelih aku,” kata Nabi Ismail as.



Maka, Nabi Ibrahim as memukul pisau itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua. “Wahai pisau, engkau mampu membelah batu, tetapi kamu tidak mampu memotong leher anakku,” kata Nabi Ibrahim as.



Pisau itu berkata dengan izin Allah, “Wahai Ibrahim, engkau mengatakan ‘potonglah’ sedang Allah yang Maha Mentadbir sekalian alam berfirman, “Jangan engkau potong”. Maka bagaimana aku mentaati engkau, sedang aku harus menderhakai Robb engkau?”



Kemudian Allah berfirman bermaksud, “Dan Kami menyeru, “Wahai Ibrahim, sungguh engkau membenarkan mimpi. Ertinya, apa-apa yang engkau perlihatkan daripada beberapa pemandangan, hingga tampak bagi hamba Ku, bahawa engkau sungguh- sungguh memiliki keredhaan Ku daripada kecintaan kamu terhadap anakmu”.



“Dan adalah engkau dengan demikian itu, termasuk golongan orang yang taat kepada perintah Ku. Sungguh, ini adalah ujian yang nyata, iaitu penyembelihan itu adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang ikhlas, dari yang tidak ikhlas atau juga ujian yang nyata sulit sekali, kerana tidak ada yang sesulit itu.”



“Maka, Kami selamatkan orang yang disuruh membunuhnya dengan sembelihan besar dari syurga, iaitu kambing kibas yang dulu dikorbankan oleh Habil yang diterima daripadanya. Dan korban kambing itu tetap berada di syurga, hingga Nabi Ismail as ditebus atau digantikan dengan kambing itu.



“Kerana itu, kami perintahkan kepada Jibril yang datang dengan membawa kambing kibas, ketika Nabi Ibrahim as meletakkan pisaunya yang terakhir kali pada leher puteranya itu.”



Malaikat Jibril berseru untuk mengagungkan Allah dan kagum terhadap perbuatan Ibrahim as seraya berucap, “Allahu, Akbar, Allahhu Akbar.”



Maka, Nabi Ibrahim as membalasnya dengan ucapan, “Laa Ilaha Illallaahu Allahu Akbar.”



Dan Nabi Ismail as pun menyambutnya, “Allahu Akbar wa Lillahil Hamdu.”



Maka, Allah menganggap baik kalimat ini, lalu mewajibkan kita sekalian mengucapkannya kerana mengikuti jejak Nabi Ibrahim as.



Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam.