Popular Posts

Rabu, 12 Oktober 2011

LEPASKAN BEBAN DI HATIMU...



Adakah kita merasa tidak puas hati dengan seseorang…kawan, ibu, ayah, adik, abang, kakak atau dengan sesiapa sahaja? Lepaskanlah bebanan kita itu dengan memaafkan mereka. Jiwa kita bukan sahaja akan tenang kembali, malahan kita akan beroleh ganjaran tanpa batas. Menarik, kan? Dengan hanya memaafkan kesalahan orang lain, kehidupan kita akan menjadi lebih baik dan beroleh keuntungan. Firman Allah swt, "...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (QS An-Nur:22)



Luarbiasa sungguh! Kita maafkan orang lain, kita pula akan beroleh keampunan dari Allah. Tak nak ke? Jika ingin mendapatkan ampunan Allah, belajarlah untuk memaafkan orang lain. Lagipun apa faedahnya untuk kita terus berdendam, kan?

 

Andaikata kita membenci seseorang bererti kita telah mewakafkan hidup kita dan fikiran kita untuk terus memikirkan orang tersebut. Kebahagiaan kita akan terhalang, bahkan hati jadi tidak tenteram, makan tidak kenyang dan tidur tidak lena kerana geram memikirkan kesalahan yang telah orang itu lakukan ke atas diri kita, sedangkan orang itu mungkin sudah tidur nyenyak.



Mari sejenak kita belajar dari dunia persekolahan. Suatu hari, ada seorang guru yang meminta semua pelajar di kelasnya untuk membawa satu karung guni ke sekolah. Guru itu juga meminta setiap pelajar ke pasar dan membeli kentang sebanyak 10 kilogram. Keesokan hari ketika di sekolah, guru meminta semua pelajar, masing-masing memilih sebiji kentang bagi setiap orang yang tidak ingin mereka maafkan, kemudian tulis nama orang itu dan tarikh dia berbuat kesalahan. Kemudiannya kentang tersebut dimasukkan ke dalam karung guni yang telah disediakan, pelajar perlu membawa guni itu ke mana sahaja mereka pergi.Ia merupakan tugasan setiap muridnya di sekolah dan di rumah untuk sepanjang bulan tersebut.



Di hari pertama pelajar merasa seronok dan menarik dengan aktiviti tersebut. Seorang pelajar di dalam karung guninya sudah terdapat sembilan biji kentang. Satu demi satu nama kawannya di tulis di atas kentang kerana pelbagai sebab dan kesalahan yang beliau enggan maafkan. Setiap kejadian membuatkan pelajar itu dengan senang hati melemparkan kentang-kentang ke dalam karung, dan masih tetap untuk tidak akan memaafkan sesiapa pun yang telah bersalah kepadanya.



Setelah seminggu berlalu, karung guni yang berisikan kentang itu sudah menjadi beban yang sangat berat pada para pelajar. Dalam karung guni itu sudah terisi lebih kurang lima puluh biji kentang, ada yang mencecah lapan puluh biji kentang. Sungguh situasi itu merupakan suatu beban berat yang menyebabkan lenguh tangan dan badan untuk memikulnya. Para pelajar tersebut sudah tidak tahan menanti hari akhir dari tugasan yang telah diberikan oleh guru mereka.



Minggu kedua guru bertanya kepada semua pelajarnya, “Adakah kalian sudah mengetahui akibat dari tidak ingin memaafkan orang lain? Ternyata ada beban berat di atas bahu kalian, semakin banyak orang yang tidak ingin kalian maafkan, maka semakin berat pula beban yang harus kalian pikul. Dalam menghadapi beban berat tersebut, bagaimana seharusnya kita bertindak...?”
 


Guru berhenti berbicara untuk beberapa saat, memberikan waktu kepada pelajarnya untuk berfikir, lalu guru menjawab sendiri pertanyaannya, “Semua beban itu dapat dilepaskan dengan memberi kemaafan! Sebenarnya waktu sahaja yang akan membuat manusia menjadi sedar dari keegoan dan kesumat diri”.



Memang menghukum orang lain lebih mudah daripada memaafkannya. Namun, mari kita belajar dari Rasulullah saw dan orang-orang yang soleh, bagaimana sikap mereka dalam hal ini.



Suatu hari, ketika Rasulullah saw sedang berehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.



Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah saw amat gemar kambing panggang. Bahagian kegemaran Baginda saw ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu. Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.



Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah saw pun berasa lapar. Selepas membaca basmallah, Baginda saw pun makan dengan berselera sekali. Baginda saw makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu Baginda saw sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati. Rasulullah saw pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah. Ternyata suara hati Baginda saw itu benar, Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat Baginda saw itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam hidangan tersebut.



Rasulullah saw pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata, "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi jika engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."



Rasulullah saw mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, Baginda saw pun memaafkan wanita itu. Baginda saw tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat Baginda saw. Baginda saw sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh Baginda saw.



Rasulullah saw seorang pemaaf yang luarbiasa. Kualiti pemaaf Baginda saw wajar kita contohi dalam kehidupan kita.



Syaidatina Aisyah ra pernah berkata, “Rasulullah saw tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda saw, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan Baginda saw tidak pernah membalas sedikit pun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah.” (Muslim)



Syaidina Anas ra menceritakan, “Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah saw dan pada waktu itu Baginda saw sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata, “Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki.” Maka Rasulullah saw tersenyum dan Baginda saw pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)



Sahabat Rasulullah saw, Syaidina Umar Al-Khattab ra turut meneladani akhlak pemaaf yang ada pada Rasulullah saw. Ketika mendapati Lailatul Qadar bakal menyapa, Syaidina Umar ra selalu berkata, “Ya Allah sesungguhnya pada malam ini semua orang telah aku ampuni.” Maksudnya, beliau telah memaafkan semua orang atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan kepadanya.



Begitu juga Imam Ahmad bin Hambal ra. Ia telah disiksa, dipukul, dihukum dan di penjara. Meskipun begitu, beliau masih memberi maaf kepada orang-orang yang menyakitinya. Beliau berkata dengan mengutip firman Allah swt, “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada.”



Berbahagialah, tatkala kita memiliki sikap saling memaafkan kesalahan orang lain, kita akan tergolong sebagai manusia yang mulia dan terpuji di sisi Allah swt. 



"Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya),, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (QS Asy Syuura:43) 



Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Musa bin Imran as pernah berkata, “Wahai Robb ku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan Mu? Allah swt menjawab, Barangsiapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.”(Baihaqi)



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan