Popular Posts

Sabtu, 29 Oktober 2011

SEBELUM KITA MENJADI HAMBA YANG SANGAT RUGI...



Wahai sahabatku, jarang sekali kita mendengar frasa kata, “sebelum kita menjadi hamba yang sangat rugi”. Begitu juga dengan peringatan-peringatan lain yang perlu kita sedari.

Sabda Rasulullah saw, "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Bukhari dan Muslim)

Sahabatku, indahnya iman itu hanya si pemilik hati yang pernah merasainya sahaja tahu betapa seronoknya berada dibawah perlindungan Allah swt. Ibadah yang kita lakukan, sama ada wajib mahupun sunat, seharusnya dapat membawa seseorang merasa lebih indah dalam hidup ini. Kerana setiap kali hatinya menyebut nama Allah dalam zikirnya, hatinya terasa rindu untuk berjumpa dengan-Nya. Tatkala hatinya baru selesai menunaikan solat, tiba-tiba air mata yang jernih mengalir dari matanya, menangis mengharapkan rahmat dan keampunan dari Ilahi yang Maha Esa. Segala kehidupan seseorang itu indah belaka, tiada satu pun yang lari dari mengingati Allah swt


Sejahat-jahat manusia sekalipun, pasti tetap terdetik di hatinya perasaan rindu dalam mencari ketenangan hidup apabila bersama dengan Robb-nya.


Kelazatan milo yang baru dibancuh tidak sama dengan kelazatan milo yang telah basi. Refleks semula kepada diri kita, ketenangan hidup bersama agama tidak sama apabila kehidupan sudah bercampur dengan kemaksiatan. Kelazatan maksiat telah menukar keindahan yang ada pada ketenangan hidup yang hakiki.


Umpama paku yang dicabut dari dinding, walau paku itu hilang, tetapi bekas lubang tembusan paku itu masih wujud secara nyata. Begitu juga dengan hati kita. Ketika hati kita dicemari dengan maksiat, beribu-ribu paku telah tersusuk di dalam hati. Walaupun kita meninggalkan kemaksiatan tersebut, tetapi kesannya masih serius kerana kesan lubang itu pasti wujud meninggalkan bekas. Dan kesan-kesan inilah yang jika kita tidak mampu menampalnya yang akhirnya membawa gelombang kedua agar kemaksiatan itu berlaku lagi sekali dalam episod kehidupan manusia.


Sebelum kita menjadi hamba yang serugi-ruginya, kembalikanlah ketenangan dan kemanisan iman itu secepat mungkin sebelum kenikmatan maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah kepada-Nya. Kerana, apabila hati sudah berani berpaling daripada Allah, kita akan menjadi hamba yang tersesat untuk kembali.


Jujurlah pada diri sendiri dalam menjawab pertanyaan persoalan diri. Akuilah segala kesilapan dan kemaksiatan yang telah kita lakukan. Tidak perlu jawapan itu diceritakan kepada orang lain, tetapi cukup sekadar kita mengingati kepada diri kita sendiri agar berusaha kembali ke jalan-Nya.


Andainya diri kita merasakan tidak berupaya untuk kembali kerana keliru atas kesilapan yang lalu, jangan diri kita berputus asa kerana Allah sentiasa bersama kita. Insya Allah, ada jalan yang benar terbentang dihadapan kita itu…


Kembalilah kepada yang Esa, yakinlah kepada-Nya, pohonlah kepada-Nya…


Wallahu`alam


Jagalah Hati…


Wassalam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan