Popular Posts

Selasa, 25 Oktober 2011

KORBAN CINTA DEMI REDHA ILAHI...




Kisah Nabi Ibrahim as yang sanggup ‘mengorbankan’ anaknya, Nabi Ismail as demi melaksanakan perintah Allah menjadi ingatan dan iktibar setiap kali musim haji dan sambutan Aidiladha.



Kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim as dan Ismail as untuk melaksanakan perintah Allah itu adalah simbolik kepada ibadat korban yang dilakukan oleh umat Islam.



Diriwayatkan sebelum Nabi Ibrahim as diperintahkan Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail as, Baginda as membuat ibadat korban sebanyak 1,000 kambing, 300 lembu dan 100 unta di jalan Allah. Melihatkan kepada banyaknya jumlah korban yang dilakukan, maka manusia dan malaikat kagum dan kehairanan. Nabi Ibrahim as bersabda, “Semua yang menjadi korban itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki, sudah tentu dia juga akan ku sembelih di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah.”



Ketika Nabi Ibrahim as tiba di Iradhil Muqaddasah (bumi yang disucikan), Baginda as memohon kepada Allah supaya dikurniakan anak dan Allah mengabulkan permohonan Baginda as. Akhirnya, Baginda as dikurniakan seorang anak lelaki. Tatkala, anaknya iaitu Nabi Ismail as pandai berjalan dan berusia tujuh tahun (sesetengah sirah menerangkan 13 tahun), Nabi Ibrahim as mendapat mimpi iaitu Baginda as mendengar suara yang berkata: “Hai Ibrahim, tunaikan nazar kamu!”



Keesokan paginya pada 8 Zulhijjah, Nabi Ibrahim as berfikir, “Apakah mimpi itu datangnya daripada Allah atau syaitan?”



Selanjutnya, pada malam kedua, iaitu pada 9 Zulhijjah, Nabi Ibrahim as bermimpi lagi, sama seperti mimpinya terdahulu. Maka, keesokan harinya, Baginda as tahu bahawa mimpinya itu adalah daripada Allah.



Pada malam ketiganya, Baginda as bermimpi lagi seperti sebelumnya hingga Nabi Ibrahim as pasti bahawa mimpi itu datang daripada Allah yang bermaksud Baginda as perlu menunaikan nazar dengan menyembelih anaknya sebagaimana yang dijanjikan. Ketika Nabi Ibrahim as hendak pergi melaksanakan penyembelihan, Baginda as berkata kepada ibu Nabi Ismail as, iaitu Siti Hajar yang berbunyi, “Wahai Hajar, pakaikan anakmu Ismail dengan pakaian yang paling baik dan bagus kerana aku akan pergi dengannya.” Maka, Siti Hajar memakaikan pakaian, memberi haruman dan membersihkan tubuh anaknya sebelum menyerahkannya kepada suaminya.



Kemudian, Nabi Ibrahim as pergi bersama anaknya dengan membawa tali dan pisau yang tajam berhampiran Mina. Ketika itu, musuh Allah iaitu iblis terkutuk sudah sedia menanti untuk menggoda dan dia tidak pernah sesibuk seperti hari itu. Dalam perjalanan Nabi Ibrahim as ke Mina, Nabi Ismail as kelihatan ceria dan sering berlari meloncat ke hadapan ayahnya.



Maka, iblis berkata kepada Nabi Ibrahim as, “Wahai Ibrahim, apakah engkau tidak memperlihatkan betapa tampan parasnya, bagus badannya dan kesantunan perilakunya?” Kata Nabi Ibrahim as, “Ya, tetapi aku diperintah Robb ku untuk itu.”



Ketika iblis terkutuk itu putus asa terhadap Nabi Ibrahim as, lalu dia pergi mendapatkan Siti Hajar dan berkata, “Wahai Hajar, bagaimana boleh engkau duduk-duduk saja, sedangkan Ibrahim sudah pun pergi dengan anakmu dan akan menyembelihnya?” Kata Siti Hajar, “Jangan engkau berdusta, aku tidak pernah tahu seorang ayah sanggup menyembelih anaknya sendiri.” “Itulah sebabnya dia keluar dengan anakmu membawa tali dan pisau. Dia mengira bahawa Robbnya menyuruhnya untuk itu,” kata iblis. Siti Hajar menjawab, “Nabi itu tidak pernah diperintah untuk sesuatu yang batil dan saya sendiri bersedia untuk menebus perintah itu dengan jiwa sendiri, betapa pula jika hanya dengan jiwa anakku?”



Ketika iblis terkutuk berputus asa terhadap Siti Hajar, maka dia pergi kepada Nabi Ismail as seraya berkata, “Sungguh engkau bersenang-senang, sedangkan ayah kamu membawa tali dan pisau untuk menyembelih kamu.” Nabi Ismail as berkata, “Jangan engkau berdusta, mengapa ayah aku akan menyembelihku?”



Iblis menjawab, “Dia mengira bahawa Robbnya menyuruhnya untuk itu.” Nabi Ismail as berkata, “Aku memperhatikan dan mentaati perintah Robb ku.” Ketika iblis terkutuk itu cuba untuk melontarkan godaan yang lain, maka terlebih dulu Nabi Ismail as mengambil beberapa ketul batu kecil dan melemparkannya kepada iblis sehingga mata kirinya pecah dan buta. Lalu dia pergi dengan sia-sia lagi rugi.



Ketika Nabi Ibrahim as tiba di Mina, Baginda as berkata kepada puteranya, “Wahai anakku, sungguh aku melihat dalam tidurku (dalam mimpi aku) bahawa aku menyembelih engkau, cuba engkau pula perhatikan bagaimana pendapat kamu?” Nabi Ismail as menjawab, “Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan. Insya-Allah ayah akan mendapatkan aku sebagai orang yang sabar, iaitu terhadap apa yang diperintahkan kepada ayah untuk menyembelih aku.”



Tatkala Nabi Ibrahim as mendengar kata-kata puteranya, Baginda as tahu bahawa doanya kepada Allah sudah dikabulkan iaitu, “Rabbi Hablii Minash Salihiin (Ya Robb, berikanlah kepada ku anak yang soleh).”



Kemudian Nabi Ismail as berkata kepada ayahnya, “Wahai ayah, aku sampaikan beberapa pesan kepada ayah. Hendaklah ayah mengikat tanganku supaya aku tidak bergerak-gerak yang mungkin menyakitkan ayah, hendaklah wajahku dihadapkan ke tanah supaya ayah tidak melihat lalu menimbulkan kasih sayang ayah kepadaku, hendaklah ayah melipatkan kain ayah supaya tidak tercemar dengan darah, meskipun sedikit hingga mengurangi pahala aku dan mungkin juga diketahui oleh ibu sehingga dia menjadi susah”



Nabi Ismail menambah lagi, “Hendaklah ayah menajamkan pisau ayah dan mempercepatkan jalannya di atas leher aku, supaya tidak terlalu sakit kerana mati itu sakit sekali. Hendaknya ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai tanda kenangan daripadaku serta sampaikan salam aku kepadanya dan katakan kepadanya, “Bersabarlah engkau terhadap perintah Allah”. Jangan ayah beritahukan kepadanya bagaimana ayah menyembelih aku, serta bagaimana pula ayah mengikat tanganku. Hendaklah ayah tidak memasukkan kanak-kanak ke rumah ibu supaya dia tidak terlalu sedih mengenangkan aku. Dan ayah mengetahui anak seperti aku hendaklah ayah tidak melihatnya hingga nanti ayah menjadi susah dan duka.”



Nabi Ibrahim as berkata, “Sebaik-baik penolong adalah engkau wahai anakku, untuk melaksanakan perintah Allah swt ”. Kemudian ketika kedua-duanya sudah menyerah bersedia, maksudnya bersedia melaksanakan perintah Allah, Nabi Ibrahim as membaringkan Ismail as seperti kambing yang disembelih.



Ada yang menceritakan Nabi Ibrahim as menelungkupkan wajah Ismail as dengan isyaratnya supaya tidak melihat sesuatu yang menimbulkan kasih sayangnya, hingga dapat menghalang Baginda as daripada melaksanakan perintah Allah.



Kedua-duanya sudah bersedia melaksanakan perintah Allah.



Perintah itu dilaksanakan pada sisi batu besar di Mina. Ada yang menerangkan di suatu tempat yang dekat dengan Mina. Nabi Ibrahim as meletakkan pisau pada leher puteranya, maka Baginda as memotongnya dengan sangat kuat sekali, namun ia masih tidak mampu memutuskan leher anaknya.



Pada ketika itu, Alah swt berkenana membuka hijab agar semua malaikat di langit dan laut  dapat melihat bahawa Nabi Ibrahim as melaksanakan perintah-Nya dengan menyembelih puteranya iaitu Nabi Ismail as. Para malaikat yang melihat terus bersujud sembah kepada Allah.



Kemudian Allah berfirman, “Perhatikan olehmu sekalian kepada hamba-Ku, bagaimana dia meletakkan pisau di atas leher puteranya untuk mencari atau mengharap keredhaan Ku, sedang kalian dulu semua mengatakan sesuatu ketika Aku berfirman, “Sesungguhnya, Aku akan menjadikan di bumi ini seorang khalifah.” Engkau berkata, “Apakah Engkau menciptakan orang yang akan berbuat kerosakan di bumi, dan akan menumpahkan darah, sedang kami sekalian mensucikan Engkau?””



Kemudian Nabi Ismail as berkata, “Wahai ayahku, lepaskan ikatan tali tanganku dan kakiku supaya Allah tidak memandang aku sebagai orang yang terpaksa, ertinya terpaksa dalam mentaati perintah Allah. Bahkan letakkan pisau itu di atas leher aku supaya malaikat tahu, bahawa putera Ibrahim itu mentaati perintah Allah dengan ikhtiar iaitu dengan pilihannya sendiri atau dengan sukarela.”



Maka, Nabi Ibrahim as pun meluruskan dua tangan Ismail as dan dua kakinya tanpa ikatan, serta memalingkan wajah ke tanah, lalu menggerakkan pisaunya dengan sekuat tenaganya.



Pisau itu membalik dan tidak boleh memotong leher Ismail as dengan izin Allah. “Wahai ayahku, kekuatan kamu menjadi lemah kerana masih ada cintamu kepadaku, kerana itu ayah tidak boleh menyembelih aku,” kata Nabi Ismail as.



Maka, Nabi Ibrahim as memukul pisau itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua. “Wahai pisau, engkau mampu membelah batu, tetapi kamu tidak mampu memotong leher anakku,” kata Nabi Ibrahim as.



Pisau itu berkata dengan izin Allah, “Wahai Ibrahim, engkau mengatakan ‘potonglah’ sedang Allah yang Maha Mentadbir sekalian alam berfirman, “Jangan engkau potong”. Maka bagaimana aku mentaati engkau, sedang aku harus menderhakai Robb engkau?”



Kemudian Allah berfirman bermaksud, “Dan Kami menyeru, “Wahai Ibrahim, sungguh engkau membenarkan mimpi. Ertinya, apa-apa yang engkau perlihatkan daripada beberapa pemandangan, hingga tampak bagi hamba Ku, bahawa engkau sungguh- sungguh memiliki keredhaan Ku daripada kecintaan kamu terhadap anakmu”.



“Dan adalah engkau dengan demikian itu, termasuk golongan orang yang taat kepada perintah Ku. Sungguh, ini adalah ujian yang nyata, iaitu penyembelihan itu adalah ujian yang nyata untuk mengetahui antara yang ikhlas, dari yang tidak ikhlas atau juga ujian yang nyata sulit sekali, kerana tidak ada yang sesulit itu.”



“Maka, Kami selamatkan orang yang disuruh membunuhnya dengan sembelihan besar dari syurga, iaitu kambing kibas yang dulu dikorbankan oleh Habil yang diterima daripadanya. Dan korban kambing itu tetap berada di syurga, hingga Nabi Ismail as ditebus atau digantikan dengan kambing itu.



“Kerana itu, kami perintahkan kepada Jibril yang datang dengan membawa kambing kibas, ketika Nabi Ibrahim as meletakkan pisaunya yang terakhir kali pada leher puteranya itu.”



Malaikat Jibril berseru untuk mengagungkan Allah dan kagum terhadap perbuatan Ibrahim as seraya berucap, “Allahu, Akbar, Allahhu Akbar.”



Maka, Nabi Ibrahim as membalasnya dengan ucapan, “Laa Ilaha Illallaahu Allahu Akbar.”



Dan Nabi Ismail as pun menyambutnya, “Allahu Akbar wa Lillahil Hamdu.”



Maka, Allah menganggap baik kalimat ini, lalu mewajibkan kita sekalian mengucapkannya kerana mengikuti jejak Nabi Ibrahim as.



Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan