Popular Posts

Sabtu, 15 Oktober 2011

RAHSIA DALAM MENDIDIK ANAK...




Remaja itu masih berumur belasan tahun. Namun keperibadiannya telah matang. Dewasa. Jauh melampaui usia jasadnya.



Kedewasaan hati itu tercermin dari logik keimanannya yang sempurna. Maka, walaupun tahu bahawa penyembelihan dirinya adalah perintah Allah swt, ia menjawab dengan tenang, "Wahai ayahku…kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah engkau akan mendapati diri ku termasuk orang-orang yang sabar" (QS 37: 102)



Jika hari ini ramai ibubapa yang mengeluh anak mereka tidak berbakti pada mereka, Nabi Ibrahim as bukan hanya mendapati Nabi Ismail as berbakti. Lebih dari itu, Nabi Ismail as pada usia remaja telah rela mengorbankan dirinya tanpa sisa kepada Zat yang memerintahkan berbakti kepada orang tua, walaupun nyawa menjadi taruhan.



Kita mungkin beralasan, bahawa Ibrahim as dan Ismail as adalah nabi, tidak boleh disamakan dengan manusia biasa. Memang itu benar adanya. Akan tetapi, bukankah salah satu gelaran yang dianugerahkan Allah swt kepada Nabi Ibrahim as adalah uswatun hasanah? Maka, dalam dunia hari ini pun Nabi Ibrahim as mencatatkan keteladanan bagi umat manusia sesudahnya. Lalu, apa rahsia keibubapaan (parenting) Nabi Ibrahim as?



Marilah kita telusuri…



Sebelum dianugerahi Nabi Ismail as, Nabi Ibrahim as telah menyiapkan diri Baginda as menjadi bapa yang baik. Perjuangan melawan penyembahan berhala di masa muda, hingga keteguhannya berdakwah di masa tua mencerminkan kesolehan yang luar biasa. Keimanan yang sempurna juga jelas terpamer dari keberanian Baginda as menghadapi bahaya dan segera menjalankan perintah Allah swt tanpa menunda-nunda.



Isteri Baginda as yang bernama Siti Hajar juga menyiapkan diri menjadi ibu yang baik. Dengarlah kalimahnya ketika ia bersama Nabi Ismail as yang masih bayi ketika ditingalkan Nabi Ibrahim as di pegunungan Faran yang kini kita kenali dengan Mekah Al-Mukarramah, “Adakah Allah yang memerintahkan hal ini?” Mendengar jawapan ya dari sang suami, ia menzahirkan keimanan yang kukuh, “Jika begitu, Allah tidak akan menyia-nyiakan kami.”



Pendidikan anak yang berjaya bukan dimulakan setelah anak itu lahir. Apalagi menunggunya sehingga masuk darjah satu. Dalam Islam, pendidikan anak dimulai sebelum anak itu berada di dalam rahim sang ibu. Oleh sebab itulah, Rasulullah saw memerintahkan kita memilih pasangan hidup dengan pertimbangan agama. Itulah hikmahnya. Pernikahan yang ideal dengan berlandaskan prinsip-prinsip yang secara tetap mempunyai pengaruh terhadap pendidikan dan pembinaan generasi. 



Lalu, bagaimana jika keluarga itu telah terbentuk dengan permulaan yang tidak ideal? Adakah kita perlu bercerai…? Sebenarnya tidaklah sampai ke tahap perceraian, tetapi kita perlu memperbaikinya. Masih ada waktu, insya Allah. Jika kita mahukan anak-anak yang baik, jadikanlah diri kita terlebih dahulu sebagai ibu atau bapa yang baik. Jika kita merindukan anak-anak yang berbakti, jadikanlah diri kita menjadi ibubapa yang layak untuk dihormati dan mendapatkan bakti.



Jauh sebelum Nabi Ismail as lahir, Nabi Ibrahim as selalu berdoa kepada Allah swt, bukan hanya bermunajat agar dikurniakan anak, tetapi bermunajat agar dikurniakan anak yang soleh. "Ya Robb, anugerahkanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang yang soleh", demikian doa Nabi Ibrahim as sebagaimana dicantumkan dalam Al Quran, surah 37, ayat 100.




"Doa adalah senjata mukmin," sabda Rasulullah saw ribuan tahun kemudiannya. Maka untuk mendapatkan anak yang soleh, senjata itu harus dipakai setiap ibubapa muslim. Membentuk anak untuk menjadi soleh bermakna mengubah hatinya. Sedangkan penguasa hati adalah Allah swt. Jika bukan Allah swt yang mengubahnya, kepada siapa lagi kita menyerahkan urusan yang luar biasa besar ini?




Ramai ibubapa yang berjaya mengasuh anak-anak bukan kerana kepandaiannya mendidik anak, tetapi kerana doa-doa mereka yang tulus ikhlas. Ramai ibubapa yang caranya mendidik salah jika ditinjau dari sudut pandang psikologi, tetapi anak-anak mereka membesar menjadi penyejuk mata yang membawa kebaikan disebabkan amat besarnya pengharapan ibubapa tersebut dalam bermunajat.  Inilah rahsia utama dalam membentuk jati diri anak-anak kita.



Bermusyawarah adalah antara tradisi keibubapaan (parenting) Nabi Ibrahim as. Baginda as mengajak sang anak bermusyawarah, walaupun dalam persoalan kewajiban yang Baginda as sedia maklum adalah perintah Allah swt. Kita pun kemudian terkenang dengan kalimah Nabi Ibrahim as yang dikhabarkan Al-Quran dalam bahasa yang menyentuh lubuk hati, "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" (QS 37: 102).



Nabi Ibrahim as tidak mengheret anak Baginda as secara paksa untuk menjalankan perintah Robb-nya agar segera selesai, tetapi Baginda as menyampaikan hal itu kepada anak Baginda as seperti menyampaikan sesuatu hal yang biasa.



Anak yang telah biasa diminta pendapat, akan merasa dirinya penting dan berharga. Sebuah emosi positif yang sangat mendorong perkembangan kecerdasannya. Anak yang di ajak bermusyawarah dan didengari apa keinginannya, walaupun kurang tepat lontaran pendapat mereka, akan tumbuh kepercayaan dalam dirinya. Ia menjadi subjek, bukan objek. Dan itulah yang dilakukan Nabi Ibrahim as pada Nabi Ismail as.



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan