Popular Posts

Isnin, 10 Oktober 2011

LELAKI ITU...




Apa yang saudara semuslimku fikirkan mengenai seorang lelaki bersikap amat mulia, beliau lahir dan dibesarkan di celah-celah kematian demi kematian orang-orang yang amat mengasihinya dan dia teramat mengasihi akan mereka? Lahir dari rahim sejarah, ketika tidak seorang pun mampu menggugat keperibadian selain kemuliaan keperibadiannya sendiri. Beliau merupakan produk ta’dib Rabbani (didikan Ilahi) yang menyejukkan matahari dalam panasnya dan menggetarkan jutaan bibir dengan sebutan namanya, saat muadzin mengumandangkan suara azan. ALLAH….ALLAHU ALLAH…!



Di rumahnya tidak dijumpai perabot-perabot mahal yang menjadi gilaan para pembesar negara, raja dan sultan. Juga tidak mempunyai ramainya pengikut melainkan dirinya yang mulia. Beliau makan di lantai seperti budak-budak, sehingga para pencintanya tidak mampu membezakan dirinya yang mulia di kalangan para sahabat di sisinya. Tidak seorang pembantunya yang pernah mengeluh pernah dipukul atau diperlakukan sehinanya daripada tangannya yang mulia.



Dalam kesibukannya, beliau masih mampu bertandang ke rumah puteri dan menantu tercintanya, Fatimah Az-zahra dan Ali bin Abi Talib. Fatimah merasakan kasih sayangnya tanpa membuatnya menjadi manja atau kehilangan sifat berdikari. Saat Bani Makhzum memintanya membatalkan hukuman hudud di atas kesalahan jenayah seorang wanita bangsawan, Baginda saw menegaskan, “Sesungguhnya yang melakukan kebinasaan orang-orang sebelum kamu ialah, apabila seorang bangsawan mencuri, tetapi mereka biarkan dia dan apabila yang mencuri itu seorang rakyat jelata, maka mereka tegakkan hukum ke atasnya. Demi Allah, seandainya Fatimah anak Muhammad mencuri, maka Muhammad tetap akan memotong tangannya.”



Hari-hari Baginda saw penuh dengan kerja dan intaian bahaya. Tetapi tidak menghalanginya untuk lebih dari satu atau dua kali berlumba lari dengan Humaira, sebutan kesayangan yang Baginda saw berikan untuk Aisyah binti Abu Bakar As-shiddiq. Masih adakah lelaki atau suami di kalangan kita hari ini yang menyantuni wanita serta isteri sebagaimana Sayyidina Muhammad saw muliakan wanita? ALLAH….!



Lambang kecintaan, paduan kecerdasan, dan pesona diri dijalin dengan penuh hormat dan kasih kepada ayahanda isteri Baginda saw yang diberi gelar As-shiddiq, sesuai dengan namanya “yang membenarkan”. Suatu keadaan yang menakjubkan ketika dalam sibuknya, Baginda saw masih sempat memerah susu kambing serta menampal pakaian Baginda saw yang koyak. Tidak membebankan para isteri Baginda saw. Wahai pemilik akhlak terindah, semoga kami menyantuni keindahan akhlakmu wahai Nabi saw.



Setiap kali para sahabat atau keluarganya memanggil, Baginda saw menjawab, “Labbaik”. Dialah yang terbaik dengan karisma unggul di luar rumah. Namun Baginda saw juga seorang ketua keluarga terbaik ketika Baginda saw berada di rumah.



Di bawah pimpinannya, lelaki menemui jati dirinya sebagai lelaki. Pada masa yang sama wanita yang menjadi simbol kehinaan di zaman jahiliah mendapat kedudukan amat mulia di sisi masyarakat. “Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik terhadap keluarganya dan akulah orang terbaik di antara kamu terhadap keluargaku.” “Tidak akan memuliakan wanita, kecuali seorang mulia dan tidak akan menghina wanita, kecuali seorang hina.” demikian sabda Baginda saw.



Baginda saw bersama barisan mujahidin di dalam 27 kali pertempuran secara langsung (ghazwah) atau diketuai di kalangan para sahabatnya (sariyah) sebanyak 35 kali. Di dalam pertempuran-pertempuran tersebut, Baginda saw masih sempat mengajarkan Al-Quran, sunnah, hukum-hakam, kepimimpinan, menerima delegasi asing, memimpin rumahtangga bahkan hubungan yang paling khusus dalam keluarga tanpa kehilangan adab dan wibawa. Sedangkan waktu berlangsungnya di antara dua petempuran itu tidak lebih dari 1 hingga 7 bulan. Itulah kepimpinan yang ditinggalkan oleh Sayyidina Muhammad saw kepada umat Baginda saw sehingga zaman mutakhir ini.



Rahsia keindahan Allah swt terus dihulurkan kepada kita dengan munculnya hadis ini kepada kita, sehingga sampailah ucapan mulia ini dari lisan manusia yang paling suci dan indah, “Setiap dari kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan di minta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya”



Jika terdetik contoh-contoh manusia di minda saudara semuslimku, jangan terlebih dahulu membandingkan dengan kepimpinan negara. Kita cermin dahulu diri kita sebagai pemimpin kepada wanita, adakah sudah tertunai hak wanita dengan menghormati kemuliaan mereka? Tidak berdua-duaan sebelum akad nikah? Suami melarang isteri daripada mendedahkan aurat? Meninggi suara? Lelaki yang menaungi sebagai ketua jabatan, melaksanakan amanahnya dengan berkesan tanpa salah guna kuasa?




Saudara semuslimku, tiada manusia di muka bumi ini yang setiap saat dan peristiwa di dalam hidupnya dicatatkan sebagai sejarah berharga sehingga kekal selama 1432 tahun lamanya. Suatu hari datanglah ke masjid seorang Arab di sebalik gunung yang belum mengerti adab di masjid. Tiba-tiba dia kencing di lantai masjid yang beralaskan pasir. Para sahabat sangat marah dan hampir memukulnya. Sabda Baginda saw kepada mereka, “Jangan, biarkan dia selesaikan hajatnya.” Sang Badwi kagum dengan akhlak Baginda saw, dia mengangkat tangannya seraya berdoa, “Ya Allah, kasihilah aku dan Muhammad. Jangan kasihi seorang pun bersama kami.” Dengan tersenyum, Baginda saw menegur Badwi tadi agar tidak mempersempitkan rahmat Allah hanya kepada mereka berdua sahaja. ALLAHU ALLAH…!



Baginda saw kerap bergurau senda dengan para sahabatnya, berhubungan rapat dengan mereka, bermain dengan anak-anak, bahkan memangku mereka di pangkuannya. Sebaliknya di zaman kita, sering memperolokkan teman-taulan sebagai bahan hiburan sehingga mereka berkecil hati. Baginda saw menerima undangan mereka yang merdeka, budak lelaki atau budak perempuan juga kaum miskin. Baginda saw tidak kekok menziarahi rakyat yang sakit walaupun berada jauh di Madinah. Baginda saw menerima permohonan maaf orang yang menyakiti Baginda saw walaupun seberat mana kesakitan yang di alami Baginda saw.



Baginda saw pada kebiasaannya terlebih dahulu memberi salam dan berjabat tangan kepada sesiapa sahaja yang menjumpainya dan tidak pernah menarik tangan itu sebelum sahabat tersebut yang menariknya. Baginda saw tidak pernah menjulurkan kaki di tengah sahabatnya sehingga menyempitkan ruang bagi mereka, sama ada ketika di masjid atau seharian bersama. Baginda saw memuliakan sesiapa sahaja yang datang, kadangkala Baginda saw membentangkan bajunya yang membaluti tubuhnya yang mulia. Bahkan Baginda saw memberikan alas duduknya dan dengan bersungguh-sungguh Baginda saw memanggil mereka dengan nama yang paling mereka sukai. Baginda saw memberi mereka kuniyah (sebutan bapa atau ibu kepada si Fulan). Tidak pernah Baginda saw memotong pembicaraan orang, kecuali jika mereka berlebihan di dalam bicara. Apabila seseorang mendekatinya ketika Baginda saw menunaikan solat, Baginda saw segera menyelesaikan solatnya dan segera bertanya apa yang dihajatkan oleh mereka.



Pada suatu hari ketika berada di dalam khemah di medan pertempuran, Nabi Muhammad saw bersabda, “Seandainya ada seorang yang soleh mahu mengawalku pada malam ini”. Dengan kesedaran dan cinta yang tinggi, beberapa sahabat mengawal khemah Rasulullah saw. Di tengah malam terdengar bunyi bising yang mencurigakan. Khuatir sesuatu tidak baik berlaku, para sahabat bergegas ke arah bunyi tersebut. Ternyata Sayyidina Muhammad saw telah berada di sana mendahului mereka, Baginda saw sedia tegak segak di atas kuda tanpa pelana, “Bertenang, hanya angin gurun,” sabda Baginda saw. Nyatalah bahawa keinginan Baginda saw supaya adanya pengawal itu bukan kerana takut atau manja, tetapi suatu tarbiyyah disiplin dan kesetiaan kepada para sahabat.



Ummul Mukminin Aisyah ra berkata, “Rasulullah saw wafat tanpa meninggalkan makanan yang biasa di makan oleh makhluk hidup, selain seikat gandum dalam simpananku. Saat roh Sayyidina Muhammad saw dijemput, baju besinya masih digadaikan kepada seorang Yahudi dengan harga 30 gantang gandum.” ALLAHU ALLAH. Kemiskinan Nabi kita Sayyidina Muhammad saw menjadi isyarat jelas kepada umat manusia, betapa harta bukan syarat bahagia untuk menggegarkan dunia. Baginda saw mencahayai seluruh alam walaupun tidak mengenggam harta dunia.



Sayyidina Muhammad saw ketika berangkat menunaikan haji dengan kenderaan yang sangat sederhana dan pakaian tidak melebihi 4 dirham harganya, Baginda saw berdoa, “Ya Allah, jadikanlah haji ini tidak mengandungi riya dan sum’ah.”



Ketika kemenangan besar semasa Mekah ditakluk dengan sejumlah besar pasukan muslimin, Sayyidina Muhammad saw menundukkan kepalanya yang mulia sehingga nyaris menyentuh punggung untanya sambil mengulang-ulang tasbih, tahmid dan istighfar. Baginda saw tidak mabuk dengan kemenangan.



Perhatikanlah kemenangan yang diraikan kita di dunia ini. Kemenangan yang pada awalnya membawa hampirnya kita kepada Allah, tetapi menjadi sia-sia kerana rosaknya akhlak kita. Kita mencerca pihak lawan yang tewas dengan hinaan provokasi, seolah-olah mereka berkedudukan hina jika mulut kita berbicara.



Betapapun sukarnya mengecapi lautan kemuliaan yang dimiliki insan kamil ini, beberapa kalimat ini pasti membuatkan kita menyesal kerana tidak mencintainya atau tidak menggerakkan bibir mengucap selawat ke atasnya, “Semua nabi mendapat hak untuk mengangkat doa yang tidak akan ditolak dan aku menyimpannya untuk umatku kelak di Padang Mahsyar nanti.” ALLAHU ALLAH…mulianya peribadimu wahai Nabi saw. Apakah akan ada ruang buat diriku yang penuh noda dosa ini di saat umatmu mengharapkan syafaat darimu.



Ketika masyarakat Thaif mencederakan dan menghina Baginda saw, malaikat penjaga bukit menawarkan khidmat untuk menghimpit mereka dengan bukit. Baginda saw menolak, “Jika tidak mereka, aku berharap keturunan di sulbi mereka kelak akan menerima dakwah ini, mengabdikan diri mereka hanya kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun.”



Barangkali dua kata kunci ini menjadi gambaran kebesaran jiwa Penghulu segala Nabi kita ini. Pertama, Allah, sebagai sumber kekuatan yang Maha Hebat, kepada-Nya Rasulullah saw begitu yakin menumpahkan semua keluhannya. Inilah yang membuatkan Junjungan Mulia Sayyidina Muhammad saw amat tabah menerima segala risiko perjuangan, walaupun dijauhi kaum kerabat, sahabat yang membenci, dan khalayak yang mengusirnya dari negeri yang dicintai Baginda saw. Kedua, Ummati, iaitu nama KITA, nama terkandung di dalamnya saya-isteri-ibu-bapa-saudara-saudari. Di dalam lafaz “UMMATI”, segala hamparan akal, nafsu dan perilaku yang menentang untuk dibongkar, dipasang, diperbaiki, ditingkatkan dan diukir oleh Baginda saw dengan berjiwa besar, amanah, sabar dan tertib dalam memimpin ummah.



Ya, Ummati, apa masih tidak cukupkah semua keutamaan ini menggetarkan hati kita dengan cinta, menggerakkan tubuh kita dengan sunnah dan qudwah serta mulut kita dengan ucapan selawat? ALLAH… Tidak cukupkah pernyataan-Nya bahawa Sayyidina Muhammad saw dan para malaikat berselawat ke atasnya (QS Al Ahzab: 56). Justeru Baginda saw menyatakan dengan begitu menyentuh jiwa dan rasa perintah tersebut, “Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah atasku dan bersalamlah dengan sebenar-benar salam.”



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan