Popular Posts

Isnin, 24 Oktober 2011

AKU HANYA SEBATANG POHON BISU...




Aku sebatang pohon bisu.
Apa yang aku mampu lakukan…?
Hanya mendengar celoteh camar dan kisah-kisah yang diriwayatkan ombak.
Teriakan ku tidak pernah menggetarkan walau sehelai pun dedaunan
Tinggal esak sedu di balik reranting
Masih saja aku… mendengar cerita itu



Di dahanku ada sedu sedan sepasang Murai
Mengkhabarkan hujan telah enggan datang melainkan bersama murkanya
Dan angin asyik berkelana menyapa hanya dengan amuknya
Suria tidak lagi ramah… menggigit terik
Malam tidak lagi lena… meruap wap



Ketika semesta berkabung...
Menyaksikan peradaban tidak kudus lagi
Nafsu berdaulat di jiwa-jiwa yang merasa hebat
Dan bangga diri telah menjadi agama baru



Telah lupa dari mana tempat semua itu berasal
Sungguh-sungguh mereka lupa….



Merintihku tak peduli kunjungan hujan
Memeluk sedihku memandang zaman
Dimana manusia telah semakin pandai, hampir segala keajaiban telah dalam genggaman
Namun semakin menjauhi kesedaran,
bahawa tiada berkat semua itu jika tidak bersama Allah yang menciptakan



Memandang terpesona wajah rupawan
Memandang indah harta berlimpahan
Memandang kagum tahta bertinggian



Seakan-akan tiada lagi sekecil bilik bagi si buruk rupa
Seakan-akan tiada lagi sejengkal ruang bagi si miskin papa
Seakan-akan tiada lagi setapak alas bagi si hina dina



Berluncuran hasrat duniawi mengatasi nama Asma Suci MU
Tiada lagi malu… tiada lagi tawaduk



Aku hanya sebatang pohon bisu...
Tiada kemampuan melainkan hanya tasbihku
Melantun wirid mengasuh harapku
Mengubur dalam-dalam kesumatku



Ku lepas sejauh tatap memandang
Sehelai daun salam terkatung-katung di tengah lautan
Tiada dayanya melainkan kerana angin dan ombak bergelora
Sebagai hakikat makhluk yang sesungguhnya
Tiada dayanya jika tiada Allah bersama mereka



Aku hanya sebatang pohon bisu...
Berkeluh… tersedu…




Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan