Popular Posts

Ahad, 23 Oktober 2011

SEBUAH KISAH CINTA...




Semakin dalam kita merenungi makna cinta, maka kita akan temui sebuah fakta besar ini, iaitu cinta hanya kuat ketika ia datang dari diri yang kuat dan bahawa integriti cinta hanya mungkin lahir dari diri yang juga memiliki integriti. Ini kerana, cinta adalah keinginan baik kepada orang yang kita cintai yang harus nampak jelas setiap saat sepanjang kebersamaan.



Dan kisahnya pun bermula…



Kulitnya hitam. Wajahnya tidak cantik. Usianya tua. Waktu pertama kali masuk ke rumah wanita itu, hampir sahaja ia rasa seperti berada di rumah hantu. Lelaki tampan itu sejenak merasa ragu kembali. Sanggupkah ia meneruskan keputusannya? Tapi ia segera kembali pada tekadnya. Ia sudah memutuskan untuk bernikah dan mencintai perempuan itu. Apa pun risikonya.



Suatu saat perempuan itu berkata, “Ini emas-emasku yang sudah lama ku simpan, ambillah untuk mencari wanita idamanmu, aku hanya memerlukan status bahawa aku pernah bernikah dan menjadi seorang isteri.” Tetapi lelaki itu menjawab, “Aku sudah memutuskan untuk mencintaimu. Aku tidak akan menikah lagi.”



Semua orang merasa hairan dengan pasangan tersebut. Keluarga itu tetap teguh melayari kehidupan berumahtangga. Malahan, mereka dikurniakan anak-anak dengan kecantikan dan ketampanan yang luar biasa. Bertahun-tahun kemudian, kerana rasa ingin tahu yang telah lama terpendam, ada orang kampung yang bertanyakan rahsia kerukunan rumahtangga mereka.




Lelaki itu menjawab ringkas, “Aku memutuskan untuk mencintainya. Aku berusaha melakukan yang terbaik. Perempuan itu pula berjaya melakukan semua kebaikan yang mampu ia lakukan untukku, hinggakan aku tidak pernah merasakan kulit hitam dan wajah jeleknya dalam kesedaranku. Yang aku rasakan adalah ketenangan hati yang membuatkan aku lupa pada fizikalnya.” 



Begitulah cinta yang terurai jadi hidup segar. Ukuran kesuburan cinta adalah ketika ia bersemi dalam hati... berkembang dalam kata... terurai dalam perlakuan... Jika hanya berhenti dalam hati, itu cinta yang lemah dan tidak berdaya. Jika hanya berhenti dalam kata, itu cinta yang disertai kepalsuan dan tidak nyata... Jika cinta sudah terurai jadi perlakuan, cinta itu sempurna seperti pohon; akarnya terhujam dalam hati, batangnya tegak dalam kata, buahnya menjuntai dalam  perbuatan. Persis seperti iman, terpatri dalam hati, terucap dalam lisan, dan dibuktikan oleh amal.



Rahsia dari sebuah hubungan yang berjaya untuk bertahan dalam waktu lama adalah pembuktian cinta terus menerus. Yang dilakukan para pecinta sejati disini adalah memberi tanpa henti. Hubungan bertahan lama bukan kerana perasaan cinta yang bersemi dalam hati, tapi kerana kebaikan tanpa henti yang dilahirkan oleh perasaan cinta itu. Seperti lelaki itu, yang terus membahagiakan isterinya, sehingga sekaligus ia memutuskan untuk mencintainya. Dan isterinya, yang terus menerus melahirkan kebajikan dari cinta tanpa henti. Cinta yang tidak terurai jadi perbuatan adalah jawapan atas angka-angka perceraian yang semakin menganga lebar dalam masyarakat kita.



Memang tidak mudah menemui cinta yang seperti ini, tetapi harus begitulah cinta, seperti kata Imam Syafie,



Kalau sudah ada cinta disisimu
Semua akan jadi mudah
Dan semua yang ada di atas tanah
Hanyalah tanah jua…



Wallahu`alam




Jagalah Hati…





Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan