Maha Suci Allah, Zat yang Maha Mengurniakan kasih sayang kepada makhluk-makhluk-Nya. Tidaklah kasih sayang melekat pada diri seseorang, kecuali akan memperindahkan orang tersebut, dan tidaklah kasih sayang terlepas dari diri seseorang, kecuali akan memperburuk dan menghinakan orang tersebut.
Betapa tidak? Jikalau kemampuan kita menyayangi orang lain tercabut, maka itulah punca dari segala bencana, kerana kasih sayang Allah swt ternyata hanya akan diberikan kepada orang-orang yang masih hidup kasih sayang di kalbunya.
Mahu tidak mahu, kita harus berjuang dengan sekuat tenaga agar hati nurani kita hidup. Tidak berlebihan jika kita mengasahnya dengan merasakan keterharuan dari kisah-kisah orang yang rela meluangkan waktu untuk memperhatikan orang lain. Kita dengar bagaimana ada orang yang rela bersusah-payah membacakan buku, akhbar atau juga surat kepada warga emas yang uzur, sehingga mereka dapat belajar, dapat maklumat dan mendapat ilmu yang lebih luas.
Rasulullah saw dalam hal ini bersabda, "Allah swt mempunyai seratus rahmat (kasih sayang), dan menurunkan satu rahmat (dari seratus rahmat) kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan (Allah swt) menangguhkan 99 bahagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pada Hari Kiamat nanti." (Muslim).
Dari hadis ini nampaklah, bahawa walau hanya satu rahmat-Nya yang diturunkan ke bumi, namun kesannya bagi seluruh makhluk sungguh luar biasa dahsyatnya. Jadi, sudah selayaknya kita merindukan kasih sayang, perhatian, dan perlindungan Allah swt, tanyakanlah kembali pada diri kita, sejauhmana kita menghidupkan hati untuk saling berkasih sayang bersama makhluk lain?
Kasih sayang dapat diibaratkan sebuah mata air yang selalu bergejolak keinginannya untuk melepaskan beribu-ribu meter padu air jernih yang membuncah dari dalamnya tanpa pernah habis. Aliran air yang terhasil telah mengalir dengan derasnya mengikuti alur sungai menuju lautan luas, mata air sama sekali tidak pernah mengharapkan ia kembali ke dalam tanah.
Sama juga seperti pancaran sinar cerah matahari di pagi hari, dari dulu sampai sekarang ia terus-menerus memancarkan sinarnya tanpa henti, dan begitulah juga, matahari tidak mengharapkan sedikit pun sang cahaya yang telah terpancar kembali pada dirinya. Seharusnya seperti itulah sumber kasih sayang di hati kita, ia benar-benar melimpah terus tidak pernah ada habisnya.
Tidak ada salahnya agar muncul kepekaan kita menyayangi orang lain, kita mengawalinya dengan menyayangi diri kita dulu. Mulailah dengan menghadapkan tubuh ini ke cermin seraya bertanya-tanya, “Adakah wajah indah ini akan bercahaya di Akhirat nanti, atau sebaliknya, wajah ini akan hangus terbakar nyala api Jahannam?”
Tataplah hitamnya mata kita, adakah mata ini, mata yang dapat menatap Allah swt, menatap Rasulullah saw, menatap para kekasih Allah di syurga kelak, atau akan terburai kerana kemaksiatan yang seringkali dilakukannya?
Rabalah bibir manis kita, adakah ia akan mampu tersenyum gembira di syurga sana atau bibir yang lidahnya akan menjulur tercabik-cabik?!
Perhatikan tubuh tegap kita, apakah ia akan berdiri penuh cahaya di syurga sana, sehingga layak berdampingan dengan si pemiliki tubuh mulia, Rasulullah saw, atau tubuh ini akan membara, menjadi bahan bakar bersama hangusnya batu-batu di kerak Neraka Jahannam?
Ketika memandang kaki, tanyakanlah adakah ia sentiasa melangkah di jalan Allah sehingga berhak menginjakkannya di syurga kelak, atau akan dicabik-cabik pisau berduri.
Memandang halusnya kulit kita, renungkanlah adakah kulit ini akan menjadi indah bercahaya ataukah akan hitam legam kerana dijilat lidah api Jahannam?
Mudah-mudahan dengan bercermin sambil bermuhasabah diri, kita akan lebih mempunyai kekuatan untuk menjaga diri kita.
Janganlah kita meremehkan makhluk ciptaan Allah, sebab tidaklah Allah menciptakan makhluk-Nya dengan sia-sia. Semua yang Allah ciptakan syarat dengan ilmu, hikmah, dan ladang amal. Semua yang bergerak, yang terlihat, yang terdengar, dan apa saja kurniaan dari Allah adalah jalan bagi kita untuk bertafakur jika hati ini dapat merabanya dengan penuh kasih sayang.
Dikisahkan di Hari Akhir datang seorang hamba ahli ibadah kepada Allah, tetapi Allah mengecopnya sebagai ahli Neraka, mengapa? Ternyata kerana suatu ketika si ahli ibadah ini pernah mengurung seekor kucing sehingga ia tidak dapat mencari makan dan tidak pula diberi makan oleh si ahli ibadah ini. Akhirnya mati kelaparanlah si kucing ini. Jelaslah bahawa, walaupun ia seorang ahli ibadah, laknat Allah tetap menimpa si ahli ibadah ini, dan Allah menetapkannya sebagai seorang ahli Neraka, tiada lain kerana tidak hidup kasih sayang di hatinya.
Tetapi ada kisah sebaliknya, suatu waktu seorang wanita berlumuran dosa sedang beristirehat di pinggir sebuah telaga yang berair dalam di sebuah lembah padang pasir. Tiba-tiba datanglah seekor anjing yang menjulur-julurkan lidahnya seakan-akan sedang merasakan kehausan yang luar biasa. Walaupun tidak mungkin terjangkau lidahnya, anjing itu tetap berusaha untuk meminum air dari telaga itu. Melihat kejadian ini, tergeraklah si wanita untuk menolongnya. Dibukalah kasutnya menceduk air, setelah itu diberikannya pada anjing yang kehausan tersebut. Subhanallah…!, dengan izin Allah, terampunlah dosa-dosa wanita ini.
Demikianlah, jika hati kita mampu meraba derita makhluk lain, insya Allah keinginan untuk berbuat baik akan muncul dengan sendirinya.
Kisah lain, suatu waktu dahulu, ada seseorang terkena penyakit tumor yang semakin serius. Oleh kerana tidak ada kemampuan kewangan untuk membiayai kos perubatan, maka berkunjunglah ia kepada orang-orang yang dianggapnya mampu memberi pinjaman.
Bagi orang yang tidak hidup kasih sayang di hatinya, ketika datang orang yang ingin meminjam wang ini, terus terlintas dalam fikirannya seolah-olah harta yang dimilikinya akan diambil oleh dia, bukannya memberi, malah dia ketakutan akan hartanya kerana disangkanya akan habis atau malahan jatuh miskin.
Tetapi bagi seorang insan yang hidup kasih sayang di hatinya, ketika datang orang yang ingin meminjam wang, terus muncul rasa hiba terhadap penderitaan orang lain. Bahkan jauh di lubuk hatinya yang paling dalam akan membayangkan bagaimana jikalau yang menderita itu dirinya. Lebih-lebih lagi dia sangat menyedari ada hak orang lain yang dititipkan Allah dalam hartanya. Oleh itu, dia begitu ringan memberikan sesuatu kepada orang yang memang memerlukan bantuannya.
Saudara semuslimku, ingatlah, hidupnya hati hanya dapat dibuktikan dengan apa yang mampu kita lakukan untuk orang lain dengan ikhlas. Apa ertinya hidup kita jika tidak memberi manfaat? Padahal hidup di dunia ini cuma sekali dan itupun hanya sebentar saja. Tidak ada salahnya kita berfikir dan bekerja keras untuk menghidupkan kasih sayang di hati ini. Insya Allah bagi yang telah tumbuh kasih sayang di hatinya, Allah swt, Zat yang Maha Melimpah Kasih Sayang-Nya akan mengurniakan kemudahan dalam mencari nafkah dan ringan pula dalam menafkahkannya di jalan Allah, ringan dalam mencari ilmu dan ringan pula dalam mengajarkannya kepada orang lain, ringan dalam melatih kemampuan diri dan ringan pula dalam membela orang lain yang teraniaya, Subhanallah…!
Cara lain yang dianjurkan Rasulullah saw untuk menghidupkan hati nurani agar sentiasa diliputi nur kasih sayang adalah dengan melakukan banyak silaturahim kepada orang-orang yang dilanda kesulitan, datang ke daerah terpencil, tengok saudara-saudara kita di rumah sakit, atau dengan selalu mengingati umat Islam yang sedang teraniaya, seperti di Palestin atau di tempat-tempat lainnya.
Belajarlah terus untuk melihat orang yang keadaannya jauh di bawah kita, insya Allah hati kita akan menjadi lembut kerana sentiasa dicahayakan pancaran sinar kasih sayang. Dan hati-hatilah bagi orang yang pergaulannya hanya dengan orang-orang kaya, para pemimpin, orang-orang terkenal, para artis, atau orang-orang elit lainnya, kerana yang akan muncul nanti rasa bangga diri dan perasaan kurang bersyukur dengan nikmat yang diterima di dunia ini, Masya Allah…!
Wallahu`alam
Jagalah Hati….
Wassalam.
luv this... MasyaAllah!
BalasPadam