Orang-orang yang berkumpul kerana cinta pun masih menimbulkan kekecewaan, bagaimana dengan orang-orang yang kumpul kerana kecewa…?.
Mengapa muncul kecewa ? Mari kita cuba lihat dari yang paling mudah. Dalam proses pernikahan, bersatunya seorang lelaki dan seorang perempuan dalam bahtera rumahtangga yang diikat dengan kuat oleh rasa cinta. Mereka saling mencintai, maka mereka melangkah bersama membina keluarga dan mencipta pelbagai harapan dan cita-cita. Di tengah jalan, dua orang yang saling mencintai ini, mungkin saling kecewa. Suami kecewa terhadap isteri, dan isteri kecewa kepada suami.
Ibubapa dan anak-anak dalam sebuah keluarga, tentunya mereka saling mencintai. Mereka berada dalam sebuah bahtera rumahtangga, saling mencintai dan menyayangi satu dengan yang lain. Namun, anggota keluarga yang saling mencintai ini dalam perjalanan hidupnya mungkin saling kecewa. Ibubapa kecewa dengan anak-anak, atau anak-anak kecewa kepada ibubapa. Malahan di antara anak-anak, mungkin muncul kekecewaan sesama mereka. Bukankah mereka berkumpul dengan ikatan dan tenaga cinta ? Ternyata hubungan segegini pun masih memunculkan perasaan kecewa di antara orang-orang yang saling mencintai.
Dakwah dibangun dengan ikatan cinta dan berkembang dengan pelbagai proses yang dinamik untuk menuju harapan dan cita-cita yang telah dicanangkan. Dalam perjalanan inilah muncul retak belah, muncul perbezaan pandangan, muncul geseran satu dengan yang lain. Di antara orang-orang yang saling mencintai, akhirnya muncul perasaan kecewa. Muncul tuduhan, muncul prasangka, muncul syak wasangka.
Rasulullah saw adalah manusia pilihan, tanpa cacat dan cela sebagai seorang teladan. Para sahabat ra adalah generasi pilihan yang menjadi generasi terbaik sepanjang sejarah Islam. Namun para sahabat ra sempat memiliki simpanan kekecewaan sesaat setelah Perjanjian Hudaibiyah selesai ditandatangani Baginda saw dan Suhail. Lihat ekspresi kekecewaan mereka. Tiga kali Rasulullah saw memerintahkan, tidak seorang pun dari para sahabat ra yang melaksanakan ibadah korban.
Kita juga ingat gumpalan kekecewaan sebahagian sahabat ra dalam kisah pembahagian harta rampasan perang sesudah perang Hunain. Abu Sufyan bin Harb, tokoh penentang Islam sejak awal dakwah di Mekah itu, telah mendapat seratus ekor unta dan empat puluh uqiyah perak. Demikian pula Yazid dan Mu’awiyah, dua orang anak Abu Sufyan yang mendapat bahagian yang sama dengan bapanya. Kepada tokoh-tokoh Quraisy yang lain, Baginda saw memberikan seratus ekor unta. Ada juga yang mendapatkan bahagian lebih sedikit dari itu, hingga seluruh harta rampasan habis dibahagikan.
Melihat pembahagian itu, para sahabat Ansar memandang antara satu sama lain. Muncullah gejolak rasa di kalangan sahabat Ansar sehingga seorang di antara mereka berkata, ”Mudah-mudahan Allah memberikan ampunan kepada Rasul-Nya, kerana Baginda saw telah memberikan kepada orang Quraisy dan tidak memberi kepada kami, padahal pedang-pedang kami yang menitikkan darah-darah mereka.” Ada pula di antara mereka yang berkata, “Rasulullah sekarang telah menemukan kembali kaum kerabatnya.”
Dalam kisah “pembangkangan” para sahabat ra setelah Perjanjian Hudaibiyah dan kekecewaan selepas Perang Hunain, semua berakhir dengan sangat indah dan cepat. Rasulullah saw sebagai qiyadah menyelesaikan suasana dengan sangat berhikmah, sehingga kekecewaan tidak membesar dan menjalar. Ini kerana kepribadian Baginda saw sebagai manusia pilihan yang dikuatkan dengan wahyu, sehingga Baginda saw tidak akan salah langkah. Tindakan Baginda saw selalu tepat.
Jika Junjungan Nabi saw yang tanpa cela pun masih mendapat lontaran kekecewaan, bagaimana dengan kita yang sama sekali bukan Nabi, bukan pula sahabat Nabi, bukan muridnya para sahabat, bukan pula murid para tabi’in… Jika sahabat Nabi saw masih juga menyimpan kekecewaan, bagaimana dengan kita yang tidak memiliki kualiti sebagai sahabat Nabi….
Kita hidup di zaman siber, semua kejadian, semua peristiwa, semua keadaan dengan sangat cepat tersebar. Sangat cepat, tanpa batas, tanpa selang waktu. Melalui email, twitter, facebook, sms, telefon dan sebagainya. Semua, apa sahaja diberitakan. Sayangnya, ramai yang tidak mampu membezakan mana data dan mana analisa. Semua berita yang muncul di internet dan dunia maya di anggap kebenaran.
Di tengah-tengah kita kini tidak ada Rasulullah saw. Tatkala pelbagai berita berselelerakan tentang qiyadah, tentang dakwah, tentang jamaah, dan tentang “segala sesuatu” yang cenderung menjadi gosip, sikap kita hendaknya mencontohi perilaku Rasulullah saw dan para sahabat Baginda saw. Tentu saja tidak akan mampu sama sepenuhnya, namun jangan sampai lepas dari contoh keteladanan mulia mereka.
Apa keteladanan mulia dari mereka ? Tentu sahaja sangat banyak. Pertama, landasan hubungan di antara Nabi saw dengan para sahabat ra adalah cinta kasih. Cinta dan kasih sayang timbal balik, telah terbentuk sangat kuat antara para sahabat ra dengan Nabi saw. Ini yang menyebabkan bahasa hati mereka selalu bersambung, selalu bertemu, selalu berada dalam kebersihan dan kebaikan.
Kedua, di dahulukan sikap bersangka baik kepada qiyadah. Walau ada kekecewaan, mereka tetap memiliki sikap yang positif sehingga mudah mendengarkan penjelasan dari Nabi saw. Mereka mudah mendengar dan menerima penjelasan Junjungan Nabi saw, tanpa membantah dan menggerutu di belakang. Ini kerana sikap positif yang mereka miliki, selalu tsiqah dengan qiyadah.
Ketiga, para sahabat ra tidak membesar-besarkan dan mendramatik permasalahan, sehingga masalah berada dalam ruang lingkup yang terbatas. Mereka tidak menyimpan kekecewaan untuk dijadikan alasan memberontak atau tidak setia kepada qiyadah. Kisah kekecewaan para sahabat ra di Hudaibiyah sangat natural, tidak digerakkan, tidak di hidupkan oleh seseorang. Kisah kekecewaan pasca perang Hunain segera terurai bila disampaikan hal tersebut kepada Nabi saw.
Keempat, mereka tidak mengungkit-ungkit lagi permasalahan tersebut setelah selesainya kejadian. Setelah permasalahan selesai, jelas dan terang benderang, mereka kembali berkumpul, berjamaah, bekerja bersama, seperti tidak pernah ada kejadian sebelumnya. Mereka tidak lagi mengungkit-ungkit “si Fulan dan si Fulan ini dulu pernah melontarkan kekecewaan kepada Nabi saw”. Persoalan selesai, maka mereka kembali bersama seperti semula. Tidak ada dendam, tidak ada permusuhan yang diwariskan. Tidak ada sakit hati yang tersimpan.
Jadi, kita hanya perlu duduk bersama. Mendengarkan pengajaran dari mereka yang mulia, merungkai pelbagai peristiwa, cuba membuat mudah hal-hal yang seakan-akan dibuat dan tampak sedemikian rumitnya. Jika memang ada yang terbukti melakukan kesalahan, tentulah perlu diberikan teguran atau nasihat sesuai aturan organisasi dan sesuai tingkat kesalahan yang dilakukan. Namun jika yang terjadi hanyalah salah faham, maka tidak ada yang perlu diteruskan atau dipanjangkan lagi. Semua sudah selesai, jelas dan saling memaafkan atas hal yang tidak pada tempatnya.
Jadi, tidak perlu membuat perhimpunan kerana kekecewaan. Tidak perlu membuat organisasi kerana sakit hati. Tidak perlu rundingan untuk menyatukan pihak-pihak yang merasa kecewa atau merasa dizalimi kerana tidak ada manfaat dari perhimpunan yang dibentuk, dari jiwa-jiwa kecewa ? Organisasi seperti apakah yang akan muncul dari hati-hati yang menyimpan benci ? Jika kelak ketika terbentuk sebuah organisasi yang terdiri ahli-ahli kecewa, pasti akan ada yang lebih kecewa lagi.
Marilah kita duduk bersama-sama. Membingkai hati, mengeja keinginan jiwa. Berbicara dengan bahasa rohani, bukankah kita semua ini muslim-muslim yang saling mencintai ? Bukankah kita semua telah berikrar untuk selalu berada di jalan-Nya, termasuk ketika menyelesaikan permasalahan ? Bukankah kita semua sangat mencintai jalan dakwah ini, lalu mengapa harus mengambil langkah sendiri hanya kerana tidak dapat memahami keputusan organisasi ?
Saya hanya sukar untuk mengerti, mengapa ada organisasi yang di dirikan kerana kekecewaan dan sakit hati. Padahal, aktiviti yang dirintis dengan sepenuh cinta pun masih menumbuhkan rasa kecewa.
Wallahu`alam.
Jagalah Hati….
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan