Popular Posts

Isnin, 23 Januari 2017

AKU MESTI UNIK...








Adakah kamu tahu bahawa kamu berbeza. Setiap manusia di dunia ini pasti berbeza. Sekalipun kamu memiliki saudara kembar yang sangat sukar untuk dibezakan, tetapi pasti kamu dan saudara kembarmu memiliki perbezaan. Itulah keunikan manusia.



Tidak akan sama satu sama lain. Kamu adalah kamu, dia adalah dia. Kamu tidak akan dapat menyamakan dirimu dengan orang lain. Kamu itu unik. Tetapi, mungkin kamu sampai sekarang masih cuba meniru orang lain untuk mendapatkan keperibadian yang kamu inginkan.



Tetapi, mengapa kamu tidak cuba menjadi diri yang unik? Diri yang dapat menggambarkan apa adanya kamu. Mungkin kamu sudah merasa unik, tetapi sesungguhnya kamu hanya mengikuti trend, dan kemudian kamu sedar bahawa kamu tidak unik ketika semuanya sama sepertimu.



Mengapa kamu tidak menjadi dirimu sendiri? Menjadi kamu yang tidak cuba mengikuti trend, tetapi kamu yang cuba mengikuti apa yang menjadi keunikanmu. Mungkin kamu harus mengubah caramu berfikir tentang peribadimu. Jom! ubahlah dirimu menjadi diri yang unik.




KETAHUILAH BAHAWA KAMU UNIK



Semua manusia di dunia ini sama. Mereka sama-sama memiliki pengalaman, sama-sama memiliki kehidupan, sama-sama diciptakan untuk menjaga bumi. Tetapi hal yang perlu kamu tahu adalah semua manusia memiliki keperibadiannya masing-masing. Ketika kamu berfikir bahawa kamu berbeza dari orang lain, maka kamu sudah mendapati bahawa dirimu adalah peribadi yang unik. Dan itu bagus! Kamu harus berfikir bahawa kamu berbeza. Bahawa kamu memiliki keunikan yang tidak semua orang memilikinya. Kamu harus mengetahui bahawa kamu adalah peribadi yang bukan meniru dari orang lain.





JANGAN MENGEJAR "NORMAL" ATAU "TRENDY"



Ya, kamu jangan seperti mereka yang sering merubah-ubah gaya atau bahkan peribadi mereka demi menjadi trending kerana pengaruh perubahan zaman. Buatlah kamu berbeza dari yang lainnya. Saya memiliki pengalaman menarik ketika remaja dahulu tentang ini. Saya dianggap tidak normal kerana mengecat snikert saya yang asalnya putih polos menjadi warna biru dan hitam.



Yang kiri saya warnai biru, dan yang kanan saya beri warna hitam. Saya mengecatnya tidak menggunakan cat kanvas, tetapi menggunakan permanent marker. Dan menurut saya, saya suka dengan sniker ini. Tetapi menurut orang lain, itu adalah hal di luar kenormalan kerana sniker adalah sepasang, maka mereka haruslah sama. Dari segi warna dan motif.



Tetapi bila kita ingin menjadi peribadi yang unik, mengapa harus menjadi normal? Mungkin kamu boleh mencubanya. Menjadi tidak sama dengan orang lain, atau menjadi tidak normal seperti apa yang dilakukan orang lain, akan membuatmu menjadi peribadi yang unik. Peribadi yang membuatmu sangat berbeza.




JANGAN TERLALU MENGEJAR "ABNORMAL"



Untuk menjadi peribadi di luar kenormalan memang sangat dianjurkan untuk menjadi peribadi yang unik. Tetapi, kamu juga tidak boleh menjadi sangat abnormal. Demi mengejar status bahawa kamu adalah peribadi yang unik, maka kamu mengikuti gaya yang sangat berbeza dengan orang normal yang lainnya. Kamu harus tahu batasan-batasan dalam beradab.



Abnormal itu bagus, tetapi jangan berlebihan. Jangan menjadi peribadi yang sangat buruk kerana ketidaknormalan yang kamu buat. Fikirkan baik-baik adakah yang kamu lakukan itu merosak citramu. Kamu pasti tidak mahu disisih dari kelompok sosial kerana caramu yang mengganggu.



Abnormal bukan bererti kamu menjadi bukan manusia, tetapi kamu hanya merubah sedikit pola fikirmu dalam menjalani kehidupan. Ketika orang lain berfikir bahawa segala sesuatu haruslah teratur dan mengikut urutan agar berjaya, kamu boleh berjaya dengan segala kelebihanmu. Kamu mampu menunjukkan bahawa meskipun kamu di luar kenormalan, tetapi kamu masih dapat menjadi manusia yang normal.



Jangan terlalu anti-mainstream, silap hari bulan kamu mungkin akan diusir. Jangan menjadi yang dibenci, tetapi jadilah peribadi yang unik.




YAKINLAH 



Tulisan ini bertujuan untuk cuba menjadikan kamu menjadi dirimu sendiri. Kamu harus yakin bahawa kamu adalah manusia dengan keperibadian yang hanya kamu yang memilikinya. Kamu harus yakin bahawa kamu tidaklah manusia dengan mencuba meniru apa yang diinginkan dunia.



Tulisan ini sesungguhnya adalah mengenai kamu, dan mengenai kamu yang mengambil keputusanmu sendiri. Untuk itu, jadilah diri sendiri dan percayalah pada kemampuanmu. Kamu mampu menjadi apa yang kamu inginkan tanpa bayangan orang lain. Jika kamu masih cuba meniru atau setidaknya mencuba gaya hidup orang lain, maka itu bukan kamu.



Kamu adalah kamu yang memiliki cara tersendiri untuk menjalani kehidupanmu. Ini hidupmu, bukan hidup orang lain yang kamu harus mengikutinya. Yakinlah bahawa kamu adalah peribadi yang unik. Hanya keyakinanlah yang akan membawamu kepada tujuanmu.



Tidak bergantung pada apa pun. Ilahi menciptakan manusia untuk menjadi makhluk individu dan makhluk sosial bukan? Kamu juga tidak hidup sendiri bukan? Kamu hidup di tengah-tengah masyarakat yang memiliki adat dan kebiasaan dalam kesehariannya.



Dan mereka pasti sangat berpengaruh terhadap kehidupanmu. Jangan sampai! Jangan sampai mereka mempengaruhimu dengan apa pun gaya mereka. Kamu mesti boleh melepaskan pengaruh mereka terhadapmu. Kamu mampu membuang semua buku-buku fashion, kamu juga mampu membuang majalah-majalah yang membuatmu untuk cuba menjadi apa yang ada di majalah tersebut.



Buang jauh-jauh pada apa yang dapat mempengaruhimu menjadi apa yang bukan kamu. Kamu harus menjadi apa yang menjadi kamu. Bukan kamu yang seperti di majalah atau di buku-buku fashion. Jadi, jangan bergantung pada apa pun. Bergantunglah pada diri kamu sendiri. Ini hidupmu bukan? Buatlah hidupmu sendiri.




REFLEKSIKAN MAKNA "MENJADI UNIK" BAGIMU



Kamu mesti membayangkan unik itu seperti apa. kamu juga mesti membayangkan bahawa kamu adalah unik. kamu dapat secara bebas dan liar berlari di dalam fikiranmu untuk mendapatkan apa itu unik bagimu. Setiap orang memiliki makna yang berbeza untuk menjadi unik. Dan pastinya, kamu memiliki jawapan tersendiri untuk menjadi unik itu seperti apa?



Keunikan itu boleh jadi kamu unik kerana caramu berpakaian berbeza dari orang lain, atau gaya bicaramu yang berbeza dari orang lain, atau apa pun yang ingin kamu buat sehingga kamu memiliki bayangan untuk menjadi unik. Kamu hanya perlu waktu 10 minit untuk duduk dan merenung apa yang menjadi unik bagimu. Apa erti keunikan bagimu.



Dan jangan lupa pula tanyakan pada dirimu sendiri mengapa kamu boleh menjadi unik. Atau mengapa kamu tidak unik. Pasti akan sangat banyak jawapan yang muncul di kepalamu ketika kamu menanyakan sendiri mengapa kamu tidak atau sudah menjadi unik.




CARI NILAI YANG ADA PADA DIRIMU



Tulisan ini mengupas semua hal mengenai kamu kerana ini memang kamu. Kamu harus tahu nilai apa saja yang kamu miliki. Sama ada ia adalah keadilan, kebaikan, atau apa pun. Kamu juga mesti mencatatnya. Adakah kamu sudah baik untuk menjadi manusia, atau kamu juga boleh merenungkan dirimu adalah peribadi yang seperti apa.



Saya tahu kamu tidak sempurna, begitu juga dengan saya. Tetapi kamu memiliki beberapa nilai yang kamu tahu bahawa tidak semua orang memilikinya bukan? Hanya kamu yang tahu nilai apa yang ada pada diri kamu.




MELAWAN KETAKUTANMU



Ketika kamu masih kecil, mungkin kamu sering diejek- ejek kerana perbezaanmu bukan? Jangan berkecil hati atau menghilangkan perbezaanmu dan menjadi sama dengan yang lainnya. Tetapi inilah kamu, kamu yang berbeza dan tidak sama.



Lawan ketakutanmu dan percayalah bahawa kamu adalah peribadi yang unik, sehingga orang lain tidak tahu apa yang mereka lakukan. Namun ketika orang lain menghambatmu, kamu harus tanyakan kepada dirimu sendiri mengapa mereka melakukan itu. Mengapa mereka tidak daapt menerima perbezaanmu.



Mungkin kamu terlalu aneh? Atau mungkin kamu terlalu berlebihan ketika cuba meniru orang lain? Pasti ada alasannya mengapa mereka menghambatmu. Usir rasa ketakutanmu dengan sesuatu yang membuatmu tenang. Mungkin dengan mendengar muzik? Atau mungkin hanya dengan mengabaikannya sudah cukup.




TENTUKAN TUJUANMU



Ketika kamu sudah menemui nilai yang ada pada dirimu, saatnya untuk sampai ke tujuanmu. Apakah yang kamu inginkan? Apakah yang kamu ingin lakukan? Apa yang ingin kamu rasakan setiap hari? Semua orang tidak ada yang sama sepertimu bukan?



Mereka memiliki tujuannya masing-masing. Maka kamu juga harus memilikinya. Kamu harus tahu apa tujuanmu yang sebenarnya untuk menjadi berbeza. Dan jika kamu masih dibayangi dengan orang lain, kamu juga harus menanyakan mengapa kamu masih meniru orang lain.




MENGENALI EMOSIMU SENDIRI



Kamu harus tahu bahawa ini adalah diri kamu sendiri. Kata kunci di sini adalah “kamu sendiri”. Kamu harus tahu apa yang kamu rasakan. Jangan sampai kamu terikut oleh emosi orang lain. Kamu harus mampu mengawal emosimu. Dan yang pasti, jangan sampai terbawa-bawa arus emosi hanya kerana mereka adalah temanmu. Bila kamu tidak dapat mengetahui emosimu, kamu hanya akan menjadi pengikut. Ini bukan kamu. Jadi, kamu harus sedar bahawa ini adalah emosimu atau bukan.





BERPENDIRIAN, TETAPI TERBUKA DENGAN SARANAN ORANG LAIN



Ketika kamu mendengar saranan atau pendapat orang lain. Entah apa pun ia, kamu harus mendengarkan saranan mereka. Tetapi kamu juga harus memiliki pendapatmu sendiri. Jangan terlalu mengikut apa kata orang kerana ini dapat mengubahmu. Kamu tidak akan menjadi dirimu sendiri kerana kamu terlalu mengikut arus. Kamu harus mengetahui apa yang kamu fikirkan, tetapi jangan pula terlalu egois dengan pendapatmu sendiri. Semua orang memiliki hak untuk berbicara. Jadi ketika ada orang lain yang cuba memberimu saranan, dengarkan. Kamu boleh menjalin hubung dengan pendapatmu sendiri.




MEMILIKI KEKUATAN UNTUK BERFIKIR SECARA MANDIRI



Jangan pernah menyerah pada tekanan. Setiap manusia memang memiliki masalahnya masing-masing. Dan memiliki tekanannya masing-masing. Kamu harus kuat berdiri untuk menghadapi apa pun masalahmu. Jangan pernah menyerah dengan keadaan.



Kamu harus mampu berfikir untuk menjadi kuat dan menghadapi segala permasalahanmu. Buatlah idea-idea gila yang boleh membuatmu merasa damai. Membuatmu melupakan sejenak masalah yang kamu miliki, tetapi juga dapat menyelesaikan masalahmu. Mungkin ini sangat membingungkan bagimu. Tetapi kamu memang harus berfikir secara mandiri untuk hidupmu sendiri.




BERHENTI BERMAIN-MAIN



Hidup ini singkat. Jangan dibuatnya menjadi membazir kerana kamu hanya bermain-main dengan hidupmu. Bila kamu merasa ada yang salah dengan hidupmu, segera perbaiki, bukan hanya membiarkannya. Bermain-main dengan hidup itu memang perlu, tetapi kamu juga harus mengetahui bahawa hidupmu bukan untuk bermain-main. Kamu harus tahu apa yang kamu lakukan. Jadilah dirimu yang unik kerana kamu memang berbeza dengan orang lain, bukan kerana kamu cuba menjadi makhluk asing.




PAKAIAN UNTUK DIRIMU SENDIRI



Kamu mungkin ingin cuba memakai baju ini, baju itu, ingin mencoba perhiasan ini, perhiasan itu dan semua tentang fashion di dunia ini ingin kamu pakai bukan? Kamu harus tahu apakah kamu gembira dengan pakaian yang kamu pakai. Bukan hanya pakaian, tetapi caramu untuk hidup. Kamu harus tahu apakah akan membuatmu gembiri atau tersiksa.



Buat apa memakai pakaian yang menyiksakan demi menjadikanmu seperti mereka yang sedang trending? Kenapa kamu menyiksa dirimu sendiri demi mengikuti trend? Tidak bolehkah kamu menjadi apa yang membuatmu gembira? Tidak perlu meniru orang lain untuk menjadi insan dikenali. Kamu boleh memakai pakaian yang membuatmu gembira dan menggambarkan dirimu sendiri.



Pakaian memang menggambarkan keperibadian seseorang, tetapi keperibadian dirimulah yang menggambarkan pakaian apa yang kamu kenakan. Tinggalkan pakaian-pakaian atau kebiasaan yang mampu menyiksamu. Jadilah kamu yang bukan orang lain, dan yang pasti yang membuatmu gembira menelusuri hidupmu.




BERDIRI SENDIRI



Untuk menjadi unik, kamu hanya perlu menjadi dirimu sendiri. Kamu harus berdiri di kakimu sendiri. Di tanahmu sendiri. Bukan kerana ada orang lain di sebalik namamu, tetapi memang kerana kamu sendiri. Kamu harus tahu kemampuanmu berbeza dengan orang lain. Jadi, jangan terbawa arus kerana kamu hanya ikut-ikutan saja. Berdirilah sendiri, kerana ini adalah hidup kamu.




BIARKAN PEMBENCI MEMBENCI



Setiap orang di dunia ini pasti memiliki musuh bukan? Mungkin bukan musuh, tetapi orang yang membenci kita. Dan mungkin di luar sana kamu memiliki pembenci. Biarkan saja mereka membencimu. Biarkan saja mereka benci kepadamu keraan kamu lebih baik dari mereka. Biarkan saja mereka berkata sesuka hati mereka. Mereka membencimu kerana kamu berbeza, kerana kamu istimewa.



Jangan dengarkan cerita-cerita buruk mereka tentangmu. Jangan mudah terbawa pengaruh mereka kerana mereka ingin membuatmu terpuruk. Biarkan apa kata mereka, mereka hanya iri saja. Kamu hanya perlu tutup telinga dan jadilah dirimu sendiri. Uruslah hidupmu yang sudah haru biru selama ini. Jadikan hidupmu istimewa tanpa memikirkan tentang pembencimu.




CUBALAH PENGALAMAN BARU



Untuk menjadi unik tidak hanya apa yang menjadi kamu sendiri. Dan hanya berkisar dengan apa yang kamu tahu. Kamu harus mencuba hal-hal lain. Mungkin ketika kamu hanya di rumah menonton TV, kamu boleh keluar dan berjogging dengan teman-temanmu.



Atau apa pun yang belum pernah kamu cuba. Mungkin kamu daapt mengetahui potensimu dan menjadikannya sebuah kelebihan bagimu. Tidak ada salahnya mencuba hal yang baru kamu ketahui




MENDIDIDK DIRI SENDIRI



Ketika kamu mencuba sesuatu yang baru, pasti saat itulah kamu baru pertama kali belajar. Kamu mungkin boleh menjadi lebih pintar dengan mencuba hal baru tersebut. Kamu harus mendidik dirimu sendiri agar tidak mudah terjebak dengan hal baru yang buruk. Kamu perlu mengingati pengalaman apa yang buruk bagimu, dan kamu boleh mengambil pelajaran dari pengalaman buruk tersebut.



Atau kamu juga boleh membacanya di internet, mencari tahu sesuatu yang baru apa yang baik. Kamu harus tahu bahawa hal baru tersebut baik bagimu atau tidak. Didik dirimu menjadi manusia yang unik dan manusia yang baik. Bukan manusia unik yang dibenci dunia.




MEMBUAT SASARAN DIRI



Kamu harus memiliki sasaran dalam hidupmu, bila tidak, kamu mungkin terbabas tanpa halatuju. Contohnya, jika  kamu ingin menjadi seorang seniman. Jika kamu tidak menentukan sasaran bila kamu akan menjadi seniman, besar kemungkinan ketika kamu sudah berputus asas dengan jalan hidup, kamu belum tercapai menjadi seniman.



Kamu harus memiliki juga sasaran untuk menjadikan dirimu menjadi peribadi yang unik. Pastikan kamu memiliki tujuan hidupmu dan memiliki sasaran tempoh masa untuk mencapai tujuan tersebut.




LAKUKAN PERKARA YANG MENGGEMBIRAKAN DIRIMU



Seperti yang sudah dijelaskan di atas, kamu harus melakukan hal yang menggembirakan dirimu. Jangan meniru orang lain dan kamu sendiri tersiksa kerananya. Kamu boleh mendengarkan muzik atau menonton filem sesuai dengan seleramu.



Tidak perlu harus sama dengan orang lain, kamu sendiri memiliki selera muzik sendiri, bukan? Apa pun yang kamu lakukan, kamu harus merasa gembira ketika melakukannya. Jangan memaksakan diri, ini adalah hidupmu. Kamu yang menjalani, jadi kamu yang merasakan apakah kamu merasa gembira dengan semua tindakanmu.



Kamu juga boleh mencari hobi yang unik. Hobi yang mungkin orang lain pun tidak terfikir dengan hobimu tersebut.



Contohnya, kamu menyukai buaya atau haiwan eksotik lainnya. Kamu boleh memelihara dan menjadikannya sebuah hobi. Tidak semua orang menyukainya, bukan? Tetapi tidak semua orang membencinya juga. Kamu boleh mencari hobi yang unik untuk dirimu sendiri.



Dan yang pasti untuk menjadikanmu manusia yang unik dengan kegiatanmu sendiri. Ingat, ini adalah hidupmu, kamu yang menentukan apa akan jadi dengan dirimu. Dan yang pasti, yang menjalani hidup ini adalah kamu. Maka, jadilah dirimu untuk menjalani hidupmu yang unik ini.





Wallahu`alam




Jagalah Hati

Selasa, 8 November 2016

SEJARAH : TIPS BELAJAR





SEJAK akhir-akhir ini ada pelajar yang mengatakan belajar mata pelajaran sejarah susah. Antara alasan yang diberikan ialah susah nak ingat fakta, malas nak hafal isi penting, tidak berminat dan macam-macam lagi alasan yang diberikan. 



WALAU APA ALASAN sekalipun kita kena sedar melalui mata pelajaran sejarahlah kita kenal siapa diri kita, ibu bapa kita, keluarga kita, masyarakat kita dan  negara kita. Cuba bayangkan anda melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan kawan anda dari negara asing bertanya tentang Malaysia.  Contoh soalannya mungkin tentang Raja berperlembagaan, Pilihan Raya di Malaysia, lambang-lambang negara, adat resam, budaya  dan banyak lagi tentang Malaysia daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah sekarang.



JIKA anda tidak belajar sejarah macam mana anda hendak jelaskan. Adalah sesuatu yang memalukan jika anda tidak kenal dengan negara anda sendiri. Adalah satu penipuan yang besar juga anda mengatakan anda tidak minat sejarah. Sebab apa saya katakan penipuan yang  besar?



PERTAMA, anda bercakap tentang sejarah setiap hari. Buktinya “saya tidak dapat menyiapkan kerja sekolah kelmarin’.  Perkataan kelmarin sahaja menunjukkan peristiwa yang lalu. Itu menunjukkan anda bercakap tentang sejarah.



KEDUA, anda menerangkan tentang keluarga anda kepada rakan. Contohnya nama ibu dan bapa, nama tempat tinggal dan bila anda dilahirkan. Adakah itu sejarah.? Memang itu juga sejarah.



KETIGA, anda belajar mata pelajaran yang lain . Adakah terkandung tentang sejarah?. Boleh dikatakan semua mata pelajaran ada sejarah walaupun mata pelajaran matematik. Sebab apa saya katakan begitu, cuba lihat teori dalam matematik dan bandingkan dengan Sejarah tingkatan empat juga ada terkandung teori yang dikemukakan oleh ilmuan Islam.



KEEMPAT, anda menonton permainan bola sepak malam tadi dan anda ceritakan kepada rakan anda. Itu juga sejarah.



KELIMA, anda kata pelajaran sejarah susah. Ada caranya untuk kita
permudahkan. Nanti saya tunjukkan.



KEENAM, anda masuk jurusan apapun di universiti anda tidak akan terlepas daripada sejarah. Tak percaya masuklah mana-mana universiti dulu.



Ada yang tidak sedar kepentingan sejarah itu dan letakkan di tepi. Patutkah  waktu peperiksaan  penggal, mata pelajaran sejarah itu diletakkan pada hari terakhir?.  Sedangkan ini mata pelajaran penting untuk mendidik warga Malaysia yang bertanggungjawab. Tindakan Kementerian Pelajaran mewajibkan mata pelajaran Sejarah wajib lulus adalah wajar supaya kita tidak melahirkan warga yang buta sejarah sampai ke hari tua.



Saya pasti anda akan sedar kepentingan mata pelajaran sejarah semasa anda akan hadapi satu temuduga untuk biasiswa, pekerjaan dan perjawatan atau kenaikan pangkat setelah anda meninggalkan alam persekolahan. Saya pasti.



Tak kenal maka tak cinta. Begitu juga mata pelajaran sejarah. Tak Kenal Maka Tak Cinta. Baiklah apa yang saya katakan mudahnya  belajar sejarah ??  Saya  nyatakan kaedah mudah untuk belajar sejarah seperti berikut mengikut kesesuaian tajuk.





KAEDAH PERTAMA- Menggunakan Formula.


Tajuk: Teori Kedatangan Islam Ke Asia Tenggara dari Semenanjung Tanah Arab, China dan India. (bab:  7  ting 4)

ACI


JES

Negara                                 Tokoh
A= Arab                                J= John Crawford
C= China                              E= Emanuel Gadinho Eredia       
I= India                                 S= Snouck Hurgronje


Pelajar hafal formula ACI dan JES

Ayat penuh: 

Teori yang pertama ialah Islam datang dari China. Teori ini dikemukakan oleh John Crawford. Teori yang kedua ialah Islam datang dari China. Teori ini dikemukakan oleh Emanuel Gadinho Eredia. Manakala teori yang ketiga pula ialah Islam datang dari india. Teori ini dikemukakan oleh Snouck Hurgronje.
Bagaimana?. Adakah anda rasa mudah untuk ingat fakta melalui kaedah ini?.




KAEDAH KEDUA- melukis


Di dalam kelas sesetengah pelajar ada bakat melukis ataupun suka melukis. Jadi bolehlah melukis apabila sampai ke tajuk yang bersesuaian.  Tidak salah di dalam nota pelajar diletakkan satu lukisan supaya mudah mengingati  fakta. Dengan lain perkataan satu kali baca boleh ingat dalam jangka masa yang panjang.

Tajuk : Peranan/kepentingan Tasik Tonle Sap ( sejarah tingkatan 4 bab 3)



Ayat Penuh:

Peranan tasik Tonle Sap ialah menjadi kawasan penanaman padi sawah yang penting. Selain daripada itu kawasan sekitar tasik menjadi subur kerana mendapan lumpur pada musim kemarau. Peranan yang lain ialah tempat bekalan sumber protein atau ikan.


(Lihat perkataan bergaris dan bandingkan dengan perkataan dalam lukisan)


Mudah . Dengan hanya melukis. Yang penting ingat fakta. Lukisan comot  tak apa. Semasa menjawab soalan essei jangan pula dilukis gambar tasik tu. Hanya lukis dalam buku nota.




KAEDAH KETIGA- Persekitaran Pelajar


Biasanya pelajar lebih mudah ingat apa yang ada di sekeliling mereka. Ada tajuk tetentu yang boleh gunakan persekitaran pelajar untuk menjelaskan lagi  tajuk berkenaan. Malah bukan itu sahaja  kaedah ini boleh meningkatkan daya ingatan pelajar  untuk jangka masa yang lama, sebab setiap hari pelajar lihat persekitaran mereka.


Tajuk : Ciri-ciri Bandar Terancang Tamadun Indus.(Bab 1 .Ting 4)


Untuk tajuk ini persekitaran pelajar yang saya gunakan ialah Pekan Jeniang, kerana pelajar saya tinggal di sekitar pekan Jeniang. Setiap hari mereka akan melepasi pekan Jeniang sebelum masuk ke kawasan sekolah . Oleh itu mereka lihat jalan, bangunan yang ada itu setiap hari. Sesuatu yang mustahil jika masih lagi tidak dapat ingat dan rasa susah untuk belajar sejarah. Saya permudahkan tajuk di atas dengan cara seperti berikut.



Bandar Terancang Tamadun Indus
Mohenjo Daro dan Harappa
Pekan Jeniang
Jalan raya yang lurus
Jalan raya yang lurus
Ada pusat pentadbiran
Ada MPSP
Ada pusat keagamaan
Ada masjid dan  wat
Sistem kumbahan terancang
Sistem kumbahan terancang
Bangunan disusun berasaskan blok
Bangunan disusun berasaskan blok
Setiap blok dipisahkan jalan raya
Setiap blok dipisahkan jalan raya
Bandar dihubungkan dengan sungai
Jeniang juga ada sungai
Menggunakan ilmu geometri dan matematik
Menggunakan ilmu geometri dan matematik
Ada kawasan perumahan
Taman Sri Emas



Saya membandingkan persekitaran pelajar dengan bandar terancang tamadun Indus.  Jalan- setiap hari gunakan jalan itu. Masjid- sembahyang di masjid. Sistem kumbahan- hari-hari buang sudah tentu boleh ingat.  Sungai- setiap hari lihat sungai, memancing, mandi dsb.



Ini merupakan satu lagi cara mudah untuk ingati fakta tanpa bersusah payah. Hanya kaitkan dengan persekitaran atau tempat tinggal kita sahaja. Mudah bukan.




KAEDAH KEEMPAT- Penguasan Fakta Melalui Kaedah Rakan Fakta


Aktiviti 1: Pelajar menjawab soalan objektif  yang sama seperti di aktiviti satu dan mencatat ayat buku teks untuk membuktikan jawapan yang dipilih itu tepat. Pelajar juga dikehendaki mencatat muka surat berdasarkan buku teks yang dirujuk. Semua catatan itu ditulis di bawah soalan di ruang yang telah disediakan Catatan itu sebagai tanda pelajar memperolehi jawapan tepat dan fakta yang akan diingati oleh pelajar. Pelajar juga akan membuat pembetulan jawapan  semasa aktiviiti dua ini.



Aktiviti 2: Pelajar mencatat apa yang mereka Terbaca dan Terlihat semasa mencari ayat jawapan bagi soalan dan tajuk berkenaan Contohnya tokoh,peristiwa, gambar, peta dan istilah penting. Semua catatan tersebut dipindahkan  ke dalam buku nota



Aktiviti 3: Pelajar bertukar-tukar fakta iaitu ayat dan muka surat yang diperolehi  dari buku teks.


  1. Contoh pelaksanaan.

1.1 Contoh soalan latihan yang dibekalkan oleh guru
      
 Soalan 1

Apakah tujuan British melaksanakan dasar penaklukannya ke atas negeri-negeri Melayu.

A  Mengukuhkan kedudukan politiknya.

B  Memiliki tanah jajahan di negeri Melayu

C  Menguasai ekonomi negeri-negeri Melayu

D  Mengawal penduduk di kawasan yang dikuasainya


Jawapan:_______
Ayat Buku Teks:___________________________________________
M.S:________



CATATAN: Peristiwa, gambar, peta, tokoh atau apa saja yang pelajar terbaca atau terlihat.

_______________________________________________________




1.2 Tugas pelajar

1.    Mencari jawapan dalam buku teks

2.    Menulis jawapan  A, B, C atau D

3.    Menulis ayat dalam buku teks

4.    Menulis muka surat

5.    Mencatat peristiwa, gambar, tokoh atau apa saja yang pelajar terbaca atau terlihat.

6.    Pelajar bertukar-tukar  maklumat

SEJARAH : GARIS PANDUAN MENJAWAB SOALAN KBAT






KBAT LUAR FAKTA


Contoh Soalan 1:
Pada pandangan anda, mengapakah bidang pertanian penting kepada negara kita?
[bab 3/ tingkatan 4].

KENAL PASTI BENTUK SOALAN KBAT
ARAS SOALAN: ANALISIS, APLIKASI MENILAI, MENJANA IDEA/ MENCIPTA



KBAT FAKTA

Contoh Soalan 1:
Penentangan orang Melayu secara berterusan terhadap Malayan Union 1946 menyebabkan gagasan British tersebut dibubarkan. Bincangkan sebab-sebab Malayan Union 1946 dibubarkan. 


[bab 4/tingkatan 5]

KBAT FAKTA

Contoh Soalan 2:

Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, buktikan sikap politik orang Melayu yang sederhana?
[bab 4/tingkatan 5]

Soalan KBAT dalam Sejarah SPM boleh merentasi buku teks. Ini bermaksud KBAT menguji fakta dalam buku teks dan pengetahuan luar yang berkaitan sejarah.



KBAT LUAR FAKTA

Contoh Soalan 2:

Sebagai seorang pemimpin, apakah yang perlu anda lakukan agar negara Malaysia terus maju dan makmur?

[bab 6/tingkatan 4]


KBAT FAKTA=BERI JAWAPAN BERSANDARKAN SUMBER ISI DALAM BUKU TEKS.

KBAT LUAR FAKTA= BERI JAWAPAN YANG MUNASABAH BERDASARKAN TOPIK/SUB-TOPIK YANG DIUJI.

BERANI MENYATAKAN IDEA

EMPATI TERHADAP SOALAN

  • meletakkan diri dalam situasi soalan


  • JAWAB SEMUA SOALAN KBAT

  • jangan biarkan ruang jawapan kosong.

  • sekiranya anda tidak tahu jawapannya, sila jawab dengan relevan@ apa yang anda tahu.


(langkah terakhir)

anda tidak memerlukan fikir betul atau salah jawapannya. Tugas anda ialah menjawab soalan.

MATEMATIK TAMBAHAN : RESEPI KEJAYAAN III





Sekarang saya hendak menurunkan petua ketiga bagaimana untuk menjadi pandai dalam Addmath. Jangan sesekali anda fikir belajar Addmath ini semudah ABC. Kalau anda hendak berjaya ataupun hendak skor tanpa berusaha sekuat tenaga, lebih baik anda tak payah ambil Addmath. Saya ulangi, ANDA TIDAK PERLU MENGAMBILNYA. 


Resipi ketiga kejayaan saya di dalam Addmath mudah sahaja., iaitu SENTIASA MEMBUAT LATITUBI / DRILLING. Kalau anda benar-benar sukakan Addmath, mencintainya, menyayanginya dan ingin skor A+ untuknya, maka jawapannya terletak kepada SEBANYAK MANA ANDA TELAH MEMBUAT LATIHTUBI / DRILLING Addmath anda. 


Kalau anda MALAS atau MUDAH KECEWA atau MUDAH PUTUS ASA di dalam menyelesaikan masalah Addmath, bererti anda sudah tewas sebelum berjuang. Ibarat seorang pelari, anda sudah rebah sebelum sampai ke garisan penamat. Ibarat seorang pejuang, anda sudah kalah sebelum bertempur. Ibarat seorang pendaki, anda sudah keletihan sebelum mendaki. Macam mana ni???? 



PENGALAMAN 1: Saya sendiri semasa di Tingakata 4 dan T5 pada tahun 1990-1991, mengamalkan disiplin ketat untuk mencapai kejayaan di dalam subjek ini. Balik dari sekolah, saya mengurung diri di dalam bilik sebelum keluar untuk mandi, makan dan solat. Saya mesti membuat 10 latihan Addmath saya dahulu sebelum makan nasi walau pun saya lapar. . 


Mungkin ada yang tidak bersetuju. Tetapi itulah cara saya. Saya memilih cara ketat untuk menghapuskan kemalasan dan kebodohan saya pada masa itu. 




PENGALAMAN 2 : Saya ada seorang rakan semasa Tingkatan 6. Masa itu pada tahun 1992. Namanya Saiful, berambut kerinting dan anak kepada seorang anggota polis di Kuala Terengganu. Kami sama-sama gila Matematik. 


Masa itu, kami ambil Principal Mathemathic T6 (lebih payah daripada Addmath T5) . Tetapi dia ada kelebihannya daripada saya. Dia selalu mendahului saya di dalam membuat semua latih tubi / drilling yang guru berikan kepada kami. 


Hasilnya dia sangat pandai dan menjadi tempat rujukan saya di dalam kelas. 




PENGALAMAN 3 : Semasa saya di Tingkatan 6 juga, terdapat 4 buah kelas aliran sains keseluruhannya. 3 buah kelas dimonopoli oleh pelajar berbangsa Cina manakala bakinya untuk bangsa Melayu. Kami memang tidak boleh menyaingi mereka. Kami cuma boleh bersaing sesama kami. 


Ada satu perkara yang suka saya kongsikan di sini. Saya suka melihat cara pelajar-pelajar Cina belajar matematik. Mereka duduk semeja dan serius berbincang tentang soalan. YANG PANDAI mengajar yang KURANG PANDAI, manakala yang KURANG PANDAI pula bertanya kepada yang PANDAI. Mereka berkongsi kepintaran di situ. 


Saya pun suka belajar cara begitu. Duduk semeja bersama rakan-rakan yang komited dan satu kepala. Hasilnya memang menakjubkan. Tetapi pelajar-pelajar masa sekarang, terutama pelajar lelaki tidak mengambil manfaat dari cara ini. Mereka bukan berbincang tentang pelajaran, tetapi bersembang yang entah apa-apa. Hasilnya, yang pandai tetap pandai, manakala yang bodoh bertambah-tambah kebodohannya. 




PENGALAMAN 4 : Saya sangat TIDAK PERCAYA kalau ada orang yang otaknya pandai, dapat A atau B dalam Matematik PMR, tetapi tidak boleh menguasai Addmath. Saya ulangi sekali lagi, saya TIDAK PERCAYA. Mesti ada kesilapan pada pengucapannya. 


Buktinya,ada seorang pelajar saya yang ambil SPM 2005. Namanya sekarang ini sangat tersohor sebagai pengarang. Dia pernah memenangi Johan Peringkat Kebangsaan Pertandingan Mengarang Esei bagi Hari Guru. Lupa pulak tahunnya. Dia juga pernah menang Johan Peringkat Negeri bagi Pertandingan yang sama. Selanjutnya, dia menyambung Ijazah Penulisan Kreatif dan Deskritif di UiTM. Dia juga berkerja sambilan di DBP, di samping menjadi penulis skrip sambilan untuk filem atau TV. Masa dia di Tingkatan 4, dia pernah berjumpa saya untuk mengugurkan subjek ini. Maksudnya, tak mahu belajar lagi Addmath pada tahun depan. Saya tidak benarkan. Saya kata awak mesti belajar dan saya yakin awak akan lulus. Alhamdulillah, realitinya memang begitu. Dia lulus. 


Tetapi perjalanannya untuk lulus, memang panjang dan memeritkan. Saya berikan dia soalan-soalan latihtubi /drilling untuk diselesaikan. Mesti selesaikan sendiri. Mesti berusaha sendiri. Buat dahulu, jangan tiru sapa-apa. Kalau tak faham, jumpa saya, tanya saya. Jangan copy-paste. 


Daripada markah yang terendah di dalam kelasnya iaitu 8%, dia kemudian meningkat maju, maju dan maju. Semuanya melalui latihan keras. 




PENGALAMAN 5 : Saya menyertakan bersama beberapa petikan pelajar yang memberi respons terhadap sebuah tajuk yang saya berikan dalam kelas, JADI ANDA NAK AMBIL ADDMATH?. 



Kamarul : Math tidak susah asalkan buat latihan banyak-banyak dan harus diingat kita mesti dapat A+ dalam Addmath supaya senang dapat tawaran U.


Asmalina : Mempercayai diri kita lemah (tak pandai Addmath) sebelum benar-benar terbukti kita lemah adalah kelemahan kita yang paling lemah. 


JAWAPAN SAYA... kepada semua respons di atas tadi ialah kita mesti yakin bahawa Addmath boleh dipelajari, bahkan boleh skor A+ kalau kita berusaha bersungguh-sungguh. 


Buang tanggapan awal bahawa ia payah. Perbanyakkanlah latih tubi / drilling seperti yang saya sarankan. Insya Allah, boleh berjaya. 




PENGALAMAN 6 : Ini adalah respons dari seorang bekas pelajar cemerlang Addmath. 


"I used to be the best student in Addmath before. What did I do is that... 50% practice, 40% understand and 10% remember. Mind is like parachute. It can only be used if it is open.. . 

[TERJEMAHANNYA : Saya pernah menjadi pelajar terbaik Addmath sebelum ini. Apa yang saya buat ialah 50% latih tubi, 40% kefahaman dan 10% ingatan. Minda adalah seperti payung terjun. Ia hanya boleh digunakan jika ianya terbuka]. 


LIHAT KEPADA KATA-KATANYA : Ingatan / mengingati semua fakta atau rumus Addmath hanya 10%, kefahaman mengenainya 40% manakala latih tubi / drilling mesti sebanyak 50% atau lebih lagi. 




KOMEN SAYA....mudah sahaja. Anda mesti memperbanyakkan latih tubi demi latih tubi untuk mencapai kejayaan. Tanpa membuat latihan berterusan dalam Addmath, anda hanya berangan-angan sahaja untuk mendapat kejayaan. 

MATEMATIK TAMBAHAN : RESEPI KEJAYAAN II





Barangkali inilah resipi yang paling utama dan terpenting di dalam usaha seseorang pelajar untuk mencapai kejayaan di dalam subjek Addmath. 


Kalau anda boleh lakukan ini, memang benar anda berjiwa kuat, berani dan sanggup menghadapi sebarang risiko untuk mendapat A+ di dalam subjek ini. 


Apa dia??? 


JANGAN TANGGUHKAN KETIDAKFAHAMAN ANDA SEBELUM TENGGELAM MATAHARI PADA HARI TERSEBUT. 


Inilah kata-kata motivasi saya pada hampir semua bekas pelajar saya sebelum ini. 


Mereka terpingga-pingga. Ada yang faham. Ada juga yang tidak faham. Maka saya terpaksa menjelaskan kata-kata saya itu dengan penerangan berikut. Katakan bila cikgu mengajar kamu, kamu kurang jelas atau kurang faham, segeralah mengangkat tangan meminta penerangan semula. Kalau tak faham juga, pergilah berjumpa cikgu pada hari itu juga. Minta dia terangkan semula pada kepada kamu secara peribadi. Kalau kebetulan kamu tak jumpa cikgu, carilah rakan-rakan kamu yang pandai. Minta tolong dia ajarkan kamu sehingga kamu faham. Selesaikan semua masalah ketidakfahaman kamu pada HARI ITU JUGA. 


Jangan biarkan ketidakfahaman kamu itu terbawa-bawa sehingga ke hari esok. Kalau kamu suka bertangguh-tangguh, maka sikap kamu itu akan menyebabkan kamu bertambah-tambah tak faham. Dengan kata lain, kamu menjadi semakin bodoh. Kamu seolah-olah memikul biawak hidup di atas bahu kamu. Biawak itu semakin lama semakin besar, sedangkan kamu semakin lama semakin tak terdaya untuk memikulnya. 



PENGALAMAN 1: 


Masa saya di Tingkatan 4 dahulu, saya memang pemalu. Saya malu nak mendekati guru dan bertanya kepadanya. Padahal Cikgu Wahid tu baik sangat. Mungkin kerana saya terlalu hormatkan dia. Tetapi saya suka mendekati rakan-rakan saya yang pandai untuk mendapatkan pertolongan mereka kalau saya tidak faham. 


Konsep saya mudah. Saya mesti faham apa yang saya pelajari dengan apa cara sekali pun, by hook or by crook. Alhamdulillah, pendekatan saya itu sangat berbaloi. Menakjubkan. 



PENGALAMAN 2 : Pengalaman saya belajar di Tingkatan 6. Bila cikgu (masa itu Cikgu Tan) buat kelas tambahan (jarang-jarang sekali masa tu). pelajar-pelajar berbangsa Cina sangat tekun belajar dan segera meluru ke meja guru untuk bertanya bila habis sahaja kelas tambahan. Mana-mana soalan yang mereka tak faham atau tersangkut, segera mereka selesaikan di situ. 


Demikianlah hebatnya pelajar-pelajar Cina. Pelajar-pelajar Melayu pulak hanya selamba sahaja. Kata mereka, "hero" (mereka menganggap diri mereka hero). Belajar last minute pun, boleh skor. Akibatnya, pelajar-pelajar Cina lulus dengan cemerlang, manakala pelajar-pelajar Melayu hanya lulus cukup-cukup makan aje. 


Masa sekarang keadaan pelajar-pelajar Melayu semakin kronik di dalam Addmath. Hanya 50% yang memanfaatkan kehadiran guru bersama mereka. Yang bakinya, hidup segan, mati tak mahu. Tetapi pelajar-pelajar Cina sentiasa mengambil peluang untuk berjaya. 




PENGALAMAN 3: Suatu ketika dahulu, ramai orang kecoh tentang kejayaan Amalina dari Johor yang dapat 19A dalam SPM. Ramai yang teruja nak tahu bagaimana dia belajar, termasuklah saya. 


Bila saya mendengar atau mengetahui cara dia belajar, saya membuat 3 kesimpulan berikut. 


[1]. Dia bersungguh-sungguh belajar dan tidak bosan berada lama di mejanya. Dia memang kuat study. [KUNCI KEJAYAANNYA: DIA MENCINTAI ILMU]  


[2] BERSUNGGUH-SUNGGUH BELAJAR / BANYAK BUAT LATIH TUBI]. Dia boleh menguasai semua subjek kecuali Prinsip Akaun. Maka kerana itu, dia berusaha menyelesaikan masalah ketidakfahamannya tentang subjek Prinsip Akaun itu dengan cara menghadiri tuisyen. [KUNCI KEJAYAANNYA: DIA SEGERA MENYELESAIKAN KETIDAKFAHAMANNYA] 


[3]. Kalau dia tidak faham apa yang dia baca / pelajari dari subjek-subjek lain selain Prinsip Akaun, dia segera mencari guru yang boleh membimbing dia [KUNCI KEJAYAANNYA: DIA SEGERA MENCARI GURU]