Popular Posts

Sabtu, 22 Oktober 2011

BILA AIRMATA TIDAK MAHU BERHENTI MENGALIR...




Hidup ini tidak pernah berhenti pada satu noktah.

Lalu mengapa tidak kita hamparkan sahaja sajadah dan ratakan kening di atasnya?

Mohonkan ampun dalam hamburan doa kepada Pemilik Cinta...



Pandangannya menerawang dari balik jendela kaca. Di luar sana, sang rembulan malam masih bersinar kekuningan. Purnama tidak pernah berhenti mempamerkan kecantikan pada setiap makhluk yang tersentuh cahayanya. Saat itu, dengan tangan gementar digosok perutnya yang kelihantan semakin membesar.



Tidak seindah rembulan, raut wajahnya kuyu dan kusam. Mata pun sembab kerana bekas tangisan. Kepedihan itu masih berdarah, membuat longgokan gundah dan keluh kesah yang semakin meninggi.



Kekecewaan jelas menyelubungi jiwa dan raganya. Kenangan itu memang sangat menyakitkan, kerana telah dirampas sebuah nilai kesucian. Hati kecilnya berteriak, ingin memberontak. Namun, kenyataan tidak mungkin begitu mudah dihapuskan. Lelaki yang diharapkan, ternyata hanyalah seorang durjana. Memetik sari bunga, kemudian terbang entah ke mana.



Berjuta impian tentang sebuah keluarga sakinah perlahan-lahan sirna. Mimpi akan kerinduan rumahtangga yang penuh canda tawa, kini hanya sekadar khayalan. Hasrat untuk mengukir jiwa-jiwa suci dan murni seakan-akan tenggelam kerana tiadanya pendamping seorang suami. Hari-hari telah berlalu berganti dengan derai tangisan. Memilukan, sehingga menciptakan serpihan hati yang berserakan di mana-mana.



Perlahan-lahan, dilangkahkan kakinya ke pembaringan. Cuba sejenak melepaskan lelah jiwa dan raga. Dipejamkannya mata, namun air jernih tidak mudah dibendungnya. Air mata itu mengalir, bahkan membasahi sarung bantal dan kekabu di dalamnya. Tubuhnya lemah, longlai tiada daya. Di kesenyapan malam, esaknya masih terdengar memilukan, menyiratkan penyesalan akan nasibnya yang telah ditoreh nista.






Esok menjelang, dan dengan rasa letih ia terjaga saat sinar mentari menerpa raut wajahnya. Jiwa yang rapuh itu seakan-akan enggan menggerakkan raga. Tidak berubah, tatapan matanya kosong menerawang. Hatinya seperti hilang fitrah sebagai wanita menyapa kesedaran bahawa ada degupan jantung kecil, sebuah kehidupan di alam rahimnya. Pedih itu masih ada. Luka pun masih mengalir. Tanpa kuasa menahan segalanya, kembali airmata menerobos kelopak mata.



Aduhai…


Apalah daya dirinya, jika di kala itu syaitan telah pula mengambil peranan. Sepercik darah yang mestinya tersaji setelah ikatan suci disimpulkan, tidak akan pernah lagi dihidangkan. Belaian mesra yang diharapkan saat mereguk cinta di malam pertama pun hanyalah sekadar khayalan.



Aaaah…!


Indah harapan terkadang sangatlah berbeza dengan kenyataan. Namun, bila impian itu selalu saja dipenjara dalam jiwa, apakah ada beza antara keduanya? Penyesalan yang tiada kunjung selesai pun bukankah dapat meranggas keimanan.



Duri tajam yang pernah menancap di jiwa memang sungguh menyakitkan. Tetapi hidup juga tidak pernah berhenti pada satu titik persinggahan. Waktu akan selalu bergilir antara siang dan malam atas titah Pemiliknya. Lalu, mengapa dibiarkan torehan itu memusnahkan seluruh hidup yang masih panjang di hadapan? Bukankah lebih baik disegerakan rawatan luka biar hanya tinggal parut? Bukankah hidup ini akan jauh lebih berharga…



Hapuskanlah airmata, hentikan juga sedu sedan. Bila akhir sepertiga malam menjelang, hamparkan sajadah dan ratakan kening di atasnya. Kemudian, tadahkan telapak tangan seraya memohon ampunan dalam jutaan butir doa. Bersimpuh, seraya merenungkan semua kekhilafan tentu akan lebih menenangkan jiwa.



Sabarlah…


Tiada seorang jua di dunia yang bersih dari segala dosa dan noda. Pun, masih pula tersedia banyak lembaran kertas untuk menggoreskan kehidupan yang lebih bermakna. Tataplah keindahan alam di luar sana, dengar dan rasakan senandung tasbih serta tahmid yang tidak henti-henti dialunkan penghuninya. Belajarlah dari mereka yang tercipta tidak sempurna seperti manusia, namun tidak pernah berkeluh kesah akan nasibnya…



Semoga kita boleh melihat segudang kasih sayang disebalik kepayahan mangsa kerakusan nafsu lelaki durjana ini….



Wallahu`alam.




Jagalah Hati…




Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan