Popular Posts

Ahad, 30 Jun 2013

DUHAI HATI...





Duhai hati yang sendirian...

Engkau bernama 'sepi' jauh terhindar tercemar duniawi

Dalam jiwa mu penuh kesan terluka

Meredah kemuncup perjuangan yang penuh duga

Saling menzahir cinta demi cinta

Engkau cukup terluka, terluka seribu rasa

Adakah mereka mengerti duhai hati...?

Adakah mereka memahami...?



Sungguh zalimnya dirimu

Menghunus pedang ke jantungmu sendiri

Teganya engkau membenamkan ia di lubuk hatimu

Membiarkan hatimu luka dan parah

Aku tahu, perit engkau mengusir semak dilubuk hatimu

Mengharap segenggam harapan demi harapan

Demi sebuah impian dan cinta...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

MENANTI RAMADHAN...





Teriakku semalaman,
Menangisi kealpaan diri,
Hidayah Mu Ilahi acapkali menerpa diri,
Namun mengapakah diri masih belum menyedarinya...?



Adakah hati ini telah tertutup untuk semua itu...



Aku tahu Ya Allah Engkau rindukan rintihanku,
Aku tahu Ya Allah betapa Engkau mencintai aku,
Aku tahu Ya Allah betapa Engkau mahu aku dekat pada Mu...



Ya Allah…
Di keterbatasan waktu ini,
Diam-diam aku berdoa,
Kuatkanlah hati hamba Mu ini,
Bukakanlah seluas-luasnya lorong hati ini,
Menerima hadiah istimewa dari Mu Ya Allah...



Aku ingin sekali kembali pada Mu Ya Allah,
Mengisi ruang-ruang kalbu yang telah sekian lama kosong...



Aku ingin sekali menelusuri jalan-jalan Mu Ya Allah,
Jalan yang ada hanya buat insan yang terpilih...



Aku rindukan kedamaian abadi,
Ya Allah aku merintih sayu, pilu
Penuh pengharapan agar Engkau sentiasa membuka pintu Mu
Buatku insan yang terlalu rindukan Mu...



Ya Allah aku tahu Engkau mendengar hati ini,
Engkau tetapkanlah pendirianku menuju redha Mu…



Aamiin Ya Rabbal ‘Alamiim...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

IMPIANKU...





Sebuah Impian Dari Hamba Allah...



Aku inginkan umat Islam kembali takut dan cintakan Allah kerana kekuatan kita adalah pada Allah...



Allah adalah segala-galanya buat umat Islam...



Aku rindukan perpaduan umat Islam kerana perpaduan salah satu daripada kekuatan umat Islam



Aku mengimpikan umat Islam hidup berkasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama, bertolong bantu, tahu-menahu, bela-membela kerana di sinilah keselamatan, kebahagiaan dan keharmonian umat Islam...



Aku mengharapkan bilakah orang-orang kaya umat Islam menjadi bank kepada masyarakatnya kerana di sinilah rahsianya lahir kasih sayang dari orang miskin kepada orang-orang kaya supaya yang miskin dan yang kaya tidak ada jurang. Semoga hilang hasad dengki dari orang miskin kepada orang kaya dan orang kaya pula lahir timbang rasa dan jadi pembela serta orang kaya adalah menjadi tonggak masyarakatnya



Aku bercita-cita ulama menjadi obor kepada kehidupan umat Islam kerana mereka adalah penyuluh jalan di malam yang gelap gelita dengan kezaliman, kemunduran dan kesesatan



Aku mengharapkan para ulama tidak hanyut bersama dengan orangramai yang dihanyut oleh cintakan dunia kerana ulama adalah ikutan, contoh, suri teladan buat umat Islam. Jika ulama rosak dan tidak berperanan, maka rosaklah pembesar-pembesar dan rakyat jelata, dunia akan menjadi huru-hara, porak-peranda, kemungkaran akan bermaharajalela di dalam kehidupan manusia



Aku mengangan-angankan bilakah pemuda-pemudi yang menjadi tiang negara, berakhlak mulia, pemalu, bersopan-santun, memberi tenaga kepada agama, bangsa dan negara. Mereka adalah aset negara. Mereka juga adalah benteng pertahanan agama, bangsa dan negara. Mereka adalah pemimpin pelapis selepas pemimpin yang ada



Aku sangat mengkehendaki agar orang miskin berlaku sabar, tidak keluh-kesah, tidak meminta-minta dan tidak hasad dengki dengan orang kaya dan yang berada



Aku rindukan cerdik pandai membangun dan membuat kemajuan serta tidak mementing diri. Mereka dapat membangunkan tamadun material untuk kemakmuran seperti juga ulama dapat membangunkan tamadun rohani untuk keselamatan, kasih sayang dan keharmonian



Alangkah indahnya hidup seperti semua golongan tadi takut dan cintakan Allah dan berperanan di dalam kehidupan...



Jika terjadi yang aku impikan, maka jadilah dunia ini syurga sebelum Syurga...



Alangkah indahnya kehidupan ini...



Aku tidak tahu bilakah agaknya akan terjadi...



Allah jua yang Maha Mengetahui...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

GAGAL MERASA...





Seringkali kita mengetahui yang sesuatu perkara itu sememangnya baik untuk kita tetapi mengapa kita masih tidak melakukannya...??



Kerana... mujahadah itu memerlukan akal untuk kita mengetahui manfaat perkara tersebut dan hati untuk kita merasa kebaikan dari perkara tersebut...



Ya... kita sentiasa tahu sesuatu itu baik untuk kita, tetapi hakikatnya hati kita gagal untuk merasa. Dan kerana itulah akhirnya kita cenderung memilih jalan yang salah kerana hati ini lebih merasa nikmat dan bahagia kepada perkara yang akhirnya melalaikan kita dan menjauhkan kita kepada-Nya...



Ketahuilah saudara semuslimku yang baik hatinya...



Hati itu pengawal keseluruhannya. Kerana itu ada istilah mengatakan jika baik hati seseorang itu, insya Allah baiklah keseluruhannya...



Seringkali akal gagal untuk memandu hati kerana itu bersihkanlah hati kita. Bila marah, berdoalah moga dibersihkan hati. Ditenangkan hati. Berceritalah kepada-Nya, nescaya Dia akan menghadiahkan sebuah ketenangan kepada hati milik kita...



Ingatlah saudara semuslimku yang baik hatinya...



Jika hati kita bersih, insya Allah dengan sendirinya rasa keimanan itu akan datang dan hadir dengan sendirinya ke hati kita...



Dan tahukah kita jika terdetik walau sedetik hati kita untuk berubah, ia adalah hidayah dari Allah untuk kita kerana rasa itu milik Allah dan hanya Dia yang dapat mengilhamkan rasa itu kepada kita...



Cuma mungkin kita di antara sedar atau tidak dengan perkara tersebut. Dan mungkin kita yang mengeraskan hati dari menuju kepada rasa yang telah diilhamkan itu...



Saudara semuslimku yang baik hatinya...



Sesungguhnya Allah sangat menyintai kita. Diberinya kita dengan perasaan yang halus dan peka. Maka kita harus bersyukur dengan anugerah ini. Dekatilah Dia. Luahkan kesedihan kita kepada-Nya, insya Allah satu hari nanti kita akan bahagia...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

MUHASSABAH III...





Seringkali aku berkata ketika semua orang memuji milikku... bahawa sesungguhnya ini semua hanyalah titipan...



bahawa keretaku hanyalah titipan-Nya
bahawa rumahku hanyalah titipan-Nya
bahawa hartaku hanyalah titipan-Nya
bahawa anak-anak ku hanyalah titipan-Nya



Tetapi, mengapa aku tidak pernah bertanya,
"Mengapa Dia menitipkan padaku ?
Untuk apa Dia menitipkan ini padaku…?
Dan kalau bukan milikku, apa yang harus ku lakukan untuk milik-Nya itu…?
Adakah aku memiliki hak atas sesuatu yang bukan milikku…?”



Mengapa hatiku terasa berat, ketika titipan itu diminta kembali oleh-Nya…?
Ketika diminta kembali, ku sebut itu sebagai musibah
Ku sebut itu sebagai ujian, ku sebut itu sebagai petaka
Ku sebut itu sebagai panggilan apa sahaja untuk melukiskan kalau itu adalah derita
Ketika aku berdoa, ku minta titipan yang serasi dengan hawa nafsuku



Aku ingin lebih banyak harta,
ingin lebih banyak kereta,
lebih banyak populariti dan
ku tolak sakit,
ku tolak kemiskinan,
seolah-olah semua "derita" adalah hukuman bagiku



Seolah-olah keadilan dan kasih-Nya harus berjalan seperti matematik
Aku rajin beribadah, maka selayaknyalah derita menjauh dariku, dan nikmat dunia kerap menghampiriku.



Ku perlakukan Dia seolah-olah pedagang dan bukan kekasih
Ku minta Dia membalas "perlakuan baikku",
Dan menolak keputusan-Nya yang tidak sesuai keinginanku



Ya Allah…
Padahal setiap hari ku ucapkan, hidup dan matiku hanya untuk beribadah...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

MUHASSABAH II...





Mereka berbaik sangka kepadaku

Padahal hakikatnya tidaklah begitu

Tetapi aku adalah orang yang zalim

Sebagimana yang Engkau sedia maklum...



Engkau sembunyikan semua aib yang ada

Dari pandangan mata mereka...



Engkau kenakan pakaian menawan

Sebagai tabir tutupan

Jadilah mereka meyintai

Padahal aku tidak layak dicintai

Tapi hanyalah diserupai



Janganlah Engkau hinakan aku

Pada Hari Kiamat di tengah mereka

Jadikanlah aku yang mulia

Termasuk yang hina dina...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

MUHASSABAH...





Sedang ku bersiar di laman rumah selepas penat memerah akal fikir berkaitan urusan kehidupan sebentar tadi, sehelai daun mangga telah jatuh melayang-layang ke atas bahuku...



Terus terlintas dalam fikiranku bahawa walaupun cuma sehelai daun, pastinya Allah swt mengetahui perihal daun yang usang berwarna coklat itu. Hanya dengan kuasa Allah, ditakdirkan 'ia' gugur dari rantingnya menandakan telah tamat tempohnya hidup di bumi Allah ini. Allah itu MAHA DEKAT dan MAHA MENGETAHUI...



Ku ambil, ku belek dan ku renung sehelai daun yang masih jelas urat-urat jejala tapi ada satu lubang pada daun yang telah koyak mungkin dimakan ulat... daun yang dulunya segar menghijau hijau kini berwarna kusam dan tidak lagi mendamaikan mata memandang...



Daun itu mengingatkan diriku bahawa masa yang beredar akan menukar yang muda kepada tua..yang cantik kepada hodoh...yang gagah kepada lemah..dan yang paling pasti...yang hidup kepada mati...



Sesungguhnya daun itu memberi penuh makna padaku. Dengan statusnya 'dilahirkan' ke bumi sebagai daun, tugas menghasilkan oksigen seperti yang dipertanggungjawabkan telah dilaksanakan sebaik mungkin. Tidak mungkin sehelai daun itu menderhakai perintah Allah..., mogok tidak mahu menjalankan tugas fotosintesis...



Bayangkan apa yang terjadi jika ia memberontak tidak mahu menjalankan suruhan Allah untuk membina molekul-molekul udara yang segar..? Akan huru-hara dunia dan ramai manusia yang mati lantaran tiada kecukupan udara untuk bernafas...



Daun itu bukti nyata di hadapanku bahawa seluruh tumbuh-tumbuhan dan alam sejagat ini sentiasa tunduk dan akur pada sunnatullah dan perintah Allah... dan 'mati'nya daun, ranting, dahan, serta kawan-kawan sejenisnya yang lain tidak akan dibangkitkan lagi untuk melalui Hari Pembalasan... Mereka gugur, jatuh ke tanah, reput lalu menyebatikan diri semula dengan tanah dan mikrob yang lain...



Namun, kitaran itu tidak sama sekali berlaku pada kita yang bergelar manusia. Kita hidup, mati dan pasti dibangkitkan semula untuk Allah menyoal apakah yang telah kita lakukan dengan jawatan kita sebagai:



1) hamba-Nya


2) khalifah-Nya



Renung ke dalam diri...



Apakah yang telah ku lakukan dengan 2 jawatan penting itu...?



Sehelai daun itu telah kembali pada ALLAH...



Kita akan turut kembali pada-Nya...sebagai manusia.



Bersediakah kita....?



Wallahu`alam...



Jagalah Hati...

YA ALLAH... BANTULAH KAMI...





Ya Allah...
Engkau yang menciptakan diri kami..
Engkau tahu tentang kelemahan kami...
Engkau tahu betapa nafsu kami sentiasa bergelora..
Iblis dan syaitan yang sentiasa mengintai kelemahan kami...



Justeru itu,
Berilah kekuatan kepada kami,
Sepertimana Engkau telah berikan pada Yusuf as
untuk menghadapi isteri Al-Aziz..
bantulah kami untuk menghadapi ujian gelojak nafsu ini..
bantulah kami untuk melentur nafsu ini..
supaya sentiasa taat kepada Mu...



Ya Allah...
rahmat Mu seluas angkasa raya..
keampunan Mu mendahului azab Mu..
kasih Mu lebih daripada kasih seorang ibu..
limpahkanlah kasih sayang Mu kepada kami...



Ya Allah...
Penuhkan hati kami dengan cinta MU..
Cinta kepada Rasul Mu...
Cinta untuk masuk ke syurga Mu...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

AKU PENDOSA....





Liang lahad yang ku pijak
Rapuh... tidak kuasa menahan dosaku
Banjir... oleh belatung menggeliat meratah tulang kaki
Sementara jiwaku hanya mampu teriak
Aku jijik!!! Aku takut!!! Aku hina…



Tidak ada yang peduli
Segerombolan makhluk di atas sana, lalu lalang
Tidak sedikit pun menoleh
Kecuali tatapan ratusan burung bangkai
Siap menyantapku… melahap daging nistaku
Hingga ke tulang
Sementara… ragaku kian terperosok



Hanya satu mampuku… berdoa!
“Jangan biarkan nista menyelimuti matiku, ya Allah!”



Lalu seketika…
Gumpalan doa membumbung tinggi ke awan
Membawa petir berkumandang di siang terang



Dalam asaku... ku lihat bola cahaya
Bukan satu, tetapi dua
Menghampiri… berdansa di cakerawala
Membentuk tarian indah
Menebarkan aura cinta dan harapan



Aku tertegun…



Bola-bola cahaya mendekat
Pancarkan kilau syurga
Membutakan roh-roh jahat
Membantu… mengangkatku…
Bebaskan diri dari kematian suram



Ku berharap...
Meskipun ragaku tidak suci bersih
Meskipun jiwaku tak seharum bunga



Setidaknya...



Kini ku miliki dua bola cahaya di hati



Telah siap...
Mengisi kekosongan jiwa dengan ayat Mu
Mengisi kealpaan raga dengan solat Mu
Membantuku terbebaskan dari liang durhaka



Terima kasih, Ya Allah...!




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

IMPIANKU...





Aku tahu...
Aku bukanlah seorang pembimbing ke arah kebaikan yang hebat
atau seorang mujahid di jalan ini
yang boleh engkau tahtakan



Aku hanyalah hamba Allah
yang mengimpikan sebuah kenyataan
dari impian-impianku.



Impian yang hanya bergolek dan berputar putar
laksana embun di permukaan kaca



lalu sepi
bergelimang malas dalam jiwaku



Namun ...
bila ku terbayangkan sekujur tubuh Asy-Syahid Sayyid Qutb
keseorangan hidup dan syahid di jalan ini



jiwaku kembali membakar
dalam sebuah erti cinta
dan aku ...
kembali menyusun langkah-langkahku
menyusuri jalannya
menuju sebuah kedamaian.



Di hati kecil ku
menaruh harapan
agar roh ku jua
akan bermukim di dada burung burung hijau
berkicau dan beterbangan
dipinggir pohon syurga …
menikmati cinta yang hilang di dunia...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Jumaat, 28 Jun 2013

DI SEBALIK WAJAH CINTA...





Di sebalik wajah cinta..
aku bercerita..
Tentang erti bahagia..
bahagia yang jika ku bahasakan..
terlihat senyuman dan kegembiraan..



Namun..
bukanlah bahagia itu yang ku maksudkan..
bahagia yang terlihat di sebalik cinta..
yang sukar dirungkai dengan bicara yang penuh dusta..



Bahagia itu adalah tarian hati..
melodinya yang indah sekali..
bisikannya yang terabadi..
bergetar sanubari mendendangkan lagu bahagia..
walau terkadang sumbang ku nyanyikannya..



Bahagia bukanlah yang tersenyum..
tetapi bahagia itu adalah yang tersembunyi
dalam tangisan..
dalam keperitan..
dalam kesengsaraan..
dalam kedukaan..
dalam kepahitan..
dalam keputus asaan..
dalam kesabaran..
dan
dalam kegembiraan..


Itulah bahagia yang penuh cinta dan syukur..
Bahagia yang selalu tersembunyi..
yang penuh sujud cinta kepada Allah..



Ilahi...
ampunkanlah aku yang selalu berdosa..
bermaksiat pada Mu..
saat aku bermaksiat..
aku hampir gila..
gila mengharapkan ampunan Mu..
pandangan Mu..
Andai dosaku bertebar di bumi dan setinggi langit..
ku harap agar dosa itu tiada menghijab mereka yang ku cintai...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Rabu, 26 Jun 2013

MARAHNYA SEORANG ISTERI...





Marahnya seorang isteri...

"Ustaz ...isteri saya bila marah suka jeling saya dengan ekor mata.Tersirap juga darah saya dibuatnya. Seram pun ada dengan pandangan begitu macam Pontianak Harum Sundal Malam la pulak." 

Memang ada isteri begitu... dia tak pandang wajah suami tetapi ekor matanya amat tajam menjeling itu tanda isteri benar-benar marah.




Peringatan untuk isteri...

Kalau benci sangat nak tengok wajah suami ketika marah janganlah jeling-jeling tajam...ia akan mengeruhkan lagi keadaan.. So.. apa kata,ketika marahkan suami cepat-cepat pandang pokok-pokok yang hijau,atau warna-warna lembut dan jangan sekali tengok warna-warna yg garang.Warna memainkan peranan ketika marah. Ulamak kata Kalau di rumah ada naskhah Al-Quran pandang sahaja Al-Quran dan istiqfar. Ambil wudhu' nescaya berkuranglah sikit marah dan syaitan pun akan lari.





Marahnya seorang Suami..

Suami saya kalau marah macam singa lapar. Matanya merah pandang tepat ke muka macam nak makan orang.Telinganya nampak bergerak-gerak dan cakapnya penuh emosi.




Peringatan untuk suami..

Sifat amarah sifat iblis. Pandang wajah isteri ketika marah...renung matanya mungkin ketika itu air mata isteri sedang mengalir membasahi pipi. Biasalah isteri bila dimarah diherdik,ditengking akan mudah menangis. Suami yang sedang marah cuba tatap wajah isteri. Lihat pada matanya Bayangkan air mata isteri yang bercucuran ketika kita memarahinya. Sesungguhnya air mata itulah jugak yg berlinangan dan mengalir ketika sang isteri kesakitan melahirkan zuriat untuk kita. Pandang pada tangannya...Tangan itulah yang menghayun buaian, menyapu sampah, mengemas rumah dan memasak untuk kita. Rasanya tahap kemarahan kita akan menurun sekiranya akal memandu kita bukan emosi.



Marah seorang isteri..

Ada suami mengadu..isteri kuat berleter ketika marah. "Saya tak suka nak marah isteri ustaz...?tetapi kalau leterannya makin menjadi-jadi hangat jugak hati dibuatnya."



Peringatan untuk isteri..

Mungkin semua suami tak suka isteri berleter. kalau nak bahagia rumahtangga cuba kawal habit suka berleter. Pakar psikologi berpendapat kalau dah tension sangat,masuk bilik tutup rapat-rapat kemudian menjeritlah sekuat hati hingga puas. Betul ke tidak saya pun tak tau. Ini tips yg saya dengar dari pakar motivasi dalam tv




Marah seorang suami...

"Suami saya kalau marah suka mengamok tendang kerusi meja, pecah cermin dsbnya." Bahaya tu... suami macam ni perlu dikaunseling atau diberi rawatan psikitri kerana mungkin boleh membahayakan orang lain



Marah seorang isteri...

Ini satu lagi satu feel...suka siksa diri. Isteri kalau marah hantuk kepala sendiri kat dinding. Masa tu tak sedar diri. Putus satu urat saraf di otak tak pasal-pasal duduk kat Tanjung Rambutan.



Marah seorang suami...

Ada suami yang romantik, suka bercerita...Tiba-tiba bertukar jadi pendiam tak mau bercakap. Itu salah satu tanda suami marah atau ada masaalah. lainlah kalau suami memang jenis pendiam atau kurang cakap



Marah seorang Isteri..

kadang-kadang tanda isteri marah dekat suami... anak yang jadi mangsa. Tujuannya nak lepaskan geram kat suami. Anak-anak dipukul dicubit ditengking. Kesian anak-anak mereka tak faham apa-apa masaalah rumahtangga kita.



Marah seorang suami...

Tak sentuh pun makanan yang kita hidangkan. Lalu suami mula belajar makan di luar. kalau dibiarkan berlarutan boleh membawa kemudharatan pada rumahtangga. Kaji dan selidik kenapa suami marah sehingga tak mau makan sedangkan kita tahu suami kita seorang yang pemakan dan tak pernah cerewet atau menolak apa yang kita masak.



Marah seorang Isteri...

Isteri bila marah..suruh suami tidur kat luar bilik. kunci pintu bilik. Ugut suami..tak mau layan suami... ni apa cerita..? Suami yang sabar tak apa. Kalau selalu sangat buat begini bermakna mengundang bala. Ingat... suami ada 3 lagi kuota kosong untuk diisi.



Apa yang paling penting, terimalah anugerah Allah seadanya. Jangan harapkan pasangan hidup kita itu sempurna tanpa ada kelemahan. Kenal pasti keistimewaan atau kelebihan isteri/suami lebih baik dari kita mencari kesalahan, kekurangan atau kelemahan.




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

RINDU...





jika kita rindukan seseorang, pejamkanlah mata dan ucaplah... 



“Ya Allah, aku rindukannya kerana Mu Ya Allah...jauhkanlah daku dari perkara yang membuatkan aku lupa kepada Mu...



aku semakin mengerti, jarak ini bukan untuk menghukumku, tetapi jarak ini untuk menjaga aku dan dia...



dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik...



dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Ilahi...



dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya...



dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi...



dan dengan jarakini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

AKU INSAN BERDOSA...





Ketika ku sujudkan kepala ku di sejadah...



Ku sedari begitu banyak nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku selama ini, ya Ilahi. Kehidupan yang baik, fizikal yang sempurna, kerjaya yang baik, kesihatan yang mencukupi dan berjuta-juta kenikmatan lainnya yang tidak dapat ku tuliskan...



Tapi mengapa…hati ini selalu sahaja berpaling. Lebih banyak di isi dengan hal-hal duniawi. Hati ini penuh dengan kesibukan sehingga tidak ada ruang kosong buat Mu… yang Maha Pengasih...



Ruang hati ku terasa penuh sesak sehingga tidak sanggup lagi menghadirkan Engkau kerana terlalu terbius dengan tepuk tangan dan puji-pujian atas kurniaan yang sebenarnya berasal dari Mu ya Rahim…



Tapi… Engkau tetap menolongku dikala teman-teman sibuk dengan kegiatannya masing-masing…



dikala orang-orang yang ku cintai pergi satu persatu…



dikala kerabat dan handai taulan tenggelam dengan masalah mereka masing-masing…
.


Engkau tetap hadir… Engkau tetap menolong dengan segala Rahman Mu, Rahim Mu, Rahmat Mu…



Engkau berikan aku cinta Mu yang tiada tara. Tapi ku balas dengan meninggalkan Mu…



Air mata terus mengalir deras membasahi sejadah. Aku tahu itu tidak dapat menghilangkan kesalahan ku. Aku faham…



Engkau akan menerima ku ketika aku mulai membuka ruang buat Mu…



Ku biarkan sebahagian ruang hati kosong… agar Engkau dapat bersemayam di sana untuk terus membimbing ku...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

BUAT WANITA....





Salam khusus buat saudari semuslimku yang baik hatinya...



Bangkitlah dari lenamu yang panjang dan tidak berkesudahan. Sekali kamu terjatuh, jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya. Kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan. Yakinlah kasih sayang dan keampunan Allah terlalu luas...



Saudariku,


Hidup ini seperti mimpi...



seorang pengemis bermimpi menjadi seorang raja, dipuji dan dipuja, segala kemuliaan dan kekayaan tunduk kepadanya, tapi bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis yang miskin dan tidak punya apa-apa...



Seorang raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin dan hodoh, dia dihina dan dikeji di setiap persimpangan yang dilalui, tapi bila raja itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja...



Matanglah dalam urusan akhiratmu. Jangan kerana kesenangan dunia yang sementara, kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya...



Janganlah kerana kasih makhluk yang sementara, kau hilang kasih Allah swt di akhirat sana. Jika kau hilang kasih Allah swt, nescaya kau akan hilang segalanya...



Saudariku,


Syaidatina Aisyah ra pernah berpesan, "Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"



Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu.



Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja.



Muliakanlah dirimu dengan takwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

KERANA CINTA AKU MENULIS...





Hari ini, tumbuhnya cinta dalam hati kita kepada sesiapa pun, adalah titisan dari selautan CINTA Allah kepada kita...



Allah inginkan manusia tahu bagaimana rasanya bila DIA mencintai KITA. Lalu Dia letak perasaan itu sedikit dalam hati kita, sikit dari sebesar-besar cinta-Nya kepada kita, untuk tunjuk pada kita macam mana rasanya mencintai seseorang...



Cinta boleh datang dan pergi...



Cinta boleh muncul dan hilang kembali...



Cinta boleh tinggi dan merendah kembali...



Kerana cinta bukan milik kita dan tidak pernah menjadi milik kita...



Ketahuilah, betapa banyak hati-hati yang mekar dengan perasaan cinta yang amat berat dan sarat, dan kerana merasakan itulah tanda cinta Ilahi, lantas dipelihara hati itu sedaya upaya, ditahan perasaan yang membara di dada, ditangisi waktu-waktu sukar tatkala cinta itu benar-benar menggegar jiwa dan membungakan rindu yang nyata..namun kerana besarnya cita-cita untuk meraih redha-Nya, lantas dihadapi semua itu dengan penuh kesabaran yang terindah...



Kerana CINTA ini aku menulis... Allah, saksikanlah...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

YANG INDAH ITU...





Cinta itu indah...
jika cinta itu kerana ALLAH... kerana cinta itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada sesiapa sahaja yang kamu cintai..



Rindu itu indah…
jika rindu itu kerana ALLAH… kerana rindu itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada sesiapa sahaja yang kamu rindui…



Kegembiraan itu indah...
jika gembira itu kerana ALLAH… kerana gembira itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu gembira…



Sedih itu indah...
jika sedih itu kerana ALLAH.. kerana sedih itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu sedih…
.


Bosan itu indah..
jika bosan itu kerana ALLAH.. kerana bosan itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang kamu bosankan…



Kesibukan itu indah...
jika sibuk itu kerana ALLAH.. kerana kesibukan itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang kamu sibukkan…



Sakit itu indah...
jika sakit itu kerana ALLAH.. kerana kesakitan itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang menyakitkan kamu…



Benci itu indah...
jika benci itu kerana ALLAH.. kerana kebencian itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu benci…



Kesusahan dan derita itu indah...
jika ia kerana ALLAH.. kerana derita dan kesusahan itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu susah dan deritai...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

KENAL TANPA CINTA...





Allah berfirman, "Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat" (QS 7:175)



Saudara semuslimku yang baik hatinya.... ayat ini membawa maksud yang sangat mendalam buat kita untuk menilik pandang kembali perjalanan hidup sehari-harian....



Maksudnya yang tersirat.... ramai antara kita dan mungkin termasuk diri kita sendiri telah banyak membaca ayat-ayat Allah melalui Quran dan hadis, tetapi hanyalah mengenal ayat-ayat Allah, tetapi gagal mengendalikan hawa nafsu. Maka pengetahuan tentang ayat-ayat Allah itu tidak memberi sebarang faedah kepada dirinya. Agama tidak ada dalam diri walau tahu pelbagai hukum halal dan haramnya sebab akhlak telah rosak...



Oleh kerana hawa nafsu yang diperturut, maka Quran yang diketahui tidak lagi membawa terang ke dalam hati dan akhirnya dia menjadi pengikut syaitan sehingga ayat-ayat yang dia kenal atau hafal hanya disalahgunakan. Dan semakin lama semakin sesat.



Contohnya seorang pemabuk, bila ditanya kenapa minum arak, dia akan menjawab tidak ada satu ayat pun dalam Quran yang mengatakan bahawa peminum arak akan masuk Neraka. Jika di tanya kenapa tidak solat, dia akan membaca ayat pada surah al ma`un, yang di sebut bahawa Neraka Wailun untuk orang bersolat.



Oleh kerana dia telah tersesat, digunakan Quran dan hadis untuk mempertahankan kesesatannya dan sebenarnya dia telah lama hidup bertelanjang...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

CINTAKU...





Ada gambar di dinding kalbuku

Sebuah nama yang terukir kuat di dinding kepastianku

Tiada yang lain selain hanya gambar diri Mu

Ada tenteram di sebalik dinding hatiku

Saat nama Mu ku sebut berulang-ulang

dalam gelapnya malam dan gelitanya siang...



Ya Robb... jangan biarkan cintaku berpaling dari cinta Mu,

tenggelamkanlah nyawaku dalam lautan rindu Mu

hanya kerana Engkau jua bahagiaku

meliputi segala darah yang mengalir di tubuhku...



Sudah sejuta ujian Engkau turunkan untuk ku, tetapi

dengan seribu macam pakej kurniaan dan rahmat dari Mu...



Namun bukan itu harapku, ya Robb...

Aku hanya inginkan sambutan hangat dalam rumah Mu

kerana redha Mu adalah segalanya bagiku.

Aku selalu merindukan wajah indah Mu...


Aku mencintai Mu melebihi cintaku pada diri dan hidupku

matiku kerana cinta Mu adalah kebahagiaan untuk ku...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...