Popular Posts

Jumaat, 28 Disember 2012

AKU CEMBURU DENGAN KEMATIANNYA...



“ALHAMDULILLAH… dia dah meninggal”, begitu ungkapan ahli paramedik yang datang dengan ambulan ke hotel tempat aku menginap di Madinah Al Munawwarah sebaik memeriksa denyut nadi isteri Haji Seman di bilik mereka. Aku pergi kepada Haji Seman dan berbisik di telinganya mengkhabarkan pemergian isteri beliau kerana aku kira dia tidak faham ungkapan itu yang disebut dalam Bahasa Arab. 


Sebak Haji Seman tak dapat ditahan, langsung bercucuran airmatanya ke bahuku. Hening pagi Jumaat itu begitu mendamaikan walaupun rancangan asal aku nak berqiyamullail di Masjid Nabawi bersama Haji Seman pada jam tiga pagi tergendala lantaran kematian isterinya. Sempat aku memandang wajah isteri beliau di pembaringan yang seakan tersenyum tenang sewaktu jenazahnya diangkat ke ambulan untuk disahkan kematiannya di hospital.


Tiga hari sebelum itu sewaktu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang aku sempat berbual dengan isteri Haji Seman yang juga rakan kepada ibuku. Memang lembut tutur katanya meminta aku tolong tengok-tengokkan dia dan suaminya sebab dia tidak begitu sihat. Aku diberitahu yang dia ada darah tinggi dan kencing manis. Hanya setibanya kami di Karachi, Pakistan sewaktu transit dalam perjalanan pergi baru aku diberitahu oleh Haji Seman perihal isterinya yang baru menjalani pembedahan mata buat kali ke-8.


Kami transit dua hari satu malam di Karachi. Pada pagi hari kedua Haji Seman meminta aku tolong carikan klinik untuk memeriksa keadaan isterinya yang muntah setiap beberapa jam selepas makan semenjak dari Subang. Aku beritahu Doktor yang memeriksa makcik ini ada darah tinggi dan kencing manis. Hasil pemeriksaannya mengatakan keadaan makcik stabil termasuk tekanan darahnya. Rumusan Doktor mengesyorkan kami mendapatkan ubat mabuk penerbangan dari farmasi kerana keadaan makcik tidak serius.


Sesampai di Jeddah, kesemua 99 jemaah Umrah bersamaku dijamu dengan makanan yang telah siap dibungkus oleh pihak katering muassasah. Makcik yang semakin lesu dalam perjalanan masih cuba menyuap nasi yang disediakan, namun selepas beberapa jam dalam perjalanan kami menuju ke Madinah, dia muntah lagi. Mujur suaminya Haji Seman sentiasa disisi melayani makcik dengan penuh kasih sayang meskipun mereka sudah berpuluh tahun hidup bersama.


Kami sampai di Madinah yang bercahaya pada awal pagi Khamis. Selesai semua jemaah aku aturkan bilik masing-masing, Haji Seman mengajak aku cari klinik untuk memeriksa isterinya sekali lagi. Mahu sahaja aku setujui permintaan Haji Seman sewaktu kami pulang dari solat subuh di Masjid Nabawi tetapi oleh kerana kami semua kepenatan akibat perjalanan yang meletihkan, aku mencadangkan agar makcik dibiarkan istirehat dahulu sambil memakan ubat mabuk yang dibeli sewaktu di Karachi. 


Selepas asar aku menuju ke klinik berhampiran bersama Haji Seman tetapi Doktor yang bertugas tidak ada. Pembantu klinik mencadangkan kami terus ke hospital sekiranya keadaan serius. Haji Seman mengalah untuk tidak ke hospital kerana keadaan isterinya tidak nampak terlalu serius. Aku teringat sebuah hadis yang diceritakan oleh Mutawwif kami tentang khasiat Kurma Nabi, lalu aku cadangkan Haji Seman membeli sedikit Kurma Ajwa untuk diberikan kepada makcik.


Sewaktu makan malam di hotel sesudah solat Isya, aku bertanyakan khabar makcik dengan Haji Seman. Alhamdulillah dia sudah makan tiga biji dari keseluruhan tujuh biji yang aku cadangkan untuk dimakan berdasarkan Hadith Rasulullah s.a.w berkenaan khasiat Kurma Nabi untuk menawar penyakit dalam perut. Haji Seman turut bercerita berkenaan keputusannya membawa isterinya untuk Umrah kali ini kerana nazarnya sewaktu Umrah sebelum ini yang berhasrat mahu membawa makcik seandainya pembedahan mata kali ke-8 berhasil memulihkan pandangannya yang semakin hilang.


“Anak-anak ada yang kurang setuju saya bawa mak dia kali ini sebab baru sebulan matanya dibedah. Tapi Alhamdulillah saya nekadkan juga sebab memang kali ini pandangan matanya bertambah baik”, ujar Haji Seman. “Lagipun kali ini memang saya bernazar, jadi saya fikir inilah kesempatan terbaik untuk saya Umrah berdua dengan makcik”, tambah Haji Seman yang sudah mencecah usia 60an pada masa itu sambil tersenyum.


Dari hospital aku dan Haji Seman dibawa ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan kematian sambil menyerahkan passport makcik. Kami akhirnya solat subuh pagi Jumaat itu dibalai polis berkenaan. Sambil menunggu laporan disiapkan Haji Seman menyatakan kebimbangan bagaimana urusan penyelenggaraan jenazah makcik harus diaturkan sebab kami orang Batu Pahat yang sedang bermusafir di bumi Madinah yang bertuah.


Aku bertanya kepada Sarjan yang bertugas dan jawapannya begitu mudah. “Tak mengapa, jangan risau… segala urusan jenazah ini akan ditanggung oleh Kerajaan Arab Saudi”. Lalu aku bertanya lagi, “apa yang kami sebagai ahli keluarga makcik ini perlu lakukan?”. Sambil tersenyum Sarjan berbangsa Arab itu menjawab, “duduk dulu, nanti saya buatkan teh. Lepas ini kami hantarkan ke tempat urusan jenazah, OK?”.


Kereta peronda polis yang membawa kami ke tempat urus jenazah meluncur sesudah selesai urusan di balai. Sesampai di situ, aku bertanya kepada lelaki pertengahan umur yang menguruskan tempat itu berkenaan sebarang bayaran urusan yang perlu. “Tidak… tidak… tidak ada sebarang bayaran. Semuanya ditanggung pihak kerajaan” ujarnya menolak sebarang pemberian wang kerana Haji Seman dilihatnya sedang mengeluarkan beberapa ratus riyal dari dompet.


“Sebelum zuhur hari ini jenazah akan dibawa ke Masjid. Duduklah berehat sahaja di sini sebab hari ini Jumaat. Pergi sahaja ke Masjid dengan jenazah kerana pastinya Masjid Nabawi akan penuh”, begitu cadangan Tuan Pengurus Pusat Pengurusan Jenazah Madinah Al Munawwarah kepada kami. Jam di dinding baru menunjukkan lewat 9:30pagi. Kami memutuskan untuk terus sahaja berada di situ mengikut cadangan Tuan Pengurus.


Haji Seman duduk di sebelahku. Beberapa minit kemudian, Tuan Pengurus keluar dari pejabatnya sambil membawakan dua gelas teh susu panas untuk kami berdua selain dua botol air mineral sejuk. Setelah Tuan Pengurus beredar aku bertanya kepada Haji Seman bagaimana keadaan makcik sebelum meninggal. Haji Seman tenang bercerita yang dia sendiri tidak nampak sebarang kelainan pada diri makcik malam itu selain kelesuan mabuk kapalterbang dan muntah segala makanan yang dimakannya.


“Malam tadi balik dari Isya’, saya bagi kurma Ajwa kepada makcik”, tutur Haji Seman memulakan cerita. “Saya tengok dia nampak lemah, jadi saya suapkan. Sempat habis tiga biji, saya berikan air zam-zam yang saya ambil di Masjid tadi. Alhamdulillah lepas itu dia baring semula sambung berehat. Tengah malamnya saya terjaga sebab nak tengok kalau-kalau makcik muntah lagi. Nampaknya dia rehat saja. Saya ke bilik air, bila saya selesai makcik dah terjaga. Dia tanya saya, abang sejuk ke? Kalau sejuk matikan air-cond bukakan tingkap. Saya matikan air-cond dan bukakan tingkap sebab saya kira mungkin dia yang tak tahan air-cond”, sambung Haji Seman.


“Awak nak minum air?” Haji Seman bertanya kepada makcik. “Boleh juga”, jawab makcik ringkas. “Saya ambilkan jus oren dan bagi dia lepas saya bukakan penutupnya. Dia minum separuh saja”, cerita Haji Seman kepada aku bersambung lagi. “Lepas minum, makcik panggil saya duduk di birai katil sebab dia nak baring di pangkuan saya. Kami berbual kosong perihal anak-anak dan lain-lain pengalaman berumahtangga sejak mula berkahwin sambil diiringi ketawa kecil. Berborak suami isterilah kan…” terserlah senyum Haji Seman sambil bercerita. 


“Dia tak muntah lagi lepas tu?” tanyaku menyelangi cerita Haji Seman. “Alhamdulillah memang tak muntah lepas makan kurma Ajwa sama air Zam-zam” jawab Haji Seman melayan soalan aku. “Kami terus berbual hingga jam 2:30pagi. Lepas tu saya bagitau makcik yang saya bercadang nak qiyamullail sambil nak mendoakan agar dia terus sembuh sebelum saya ke bilik air semula. Saya letakkan semula kepala makcik atas bantal. Saya tengok dia macam biasa je… sempat dia senyum sebelum saya masuk bilik air”. Suara Haji Seman seakan tersekat di kerongkong apabila ceritanya sampai di sini.


“Bila saya keluar dari bilik air, saya tengok makcik tidur… saya biarkan saja sambil bersiap nak ke Masjid macam yang kita janji lah kan…” Haji Seman mengungkit janjinya untuk qiyamullail di Masjid Nabawi bersama aku. “Hampir jam tiga pagi saya tengok makcik macam tidur tapi saya tak nampak macam dia bernafas. Saya panggil dia tapi dia diam tak jawab. Saya gerakkan dia pun tak ada jawapan…” Haji Seman berhenti sekali lagi dari bercerita.


Aku terdiam sejenak sambil berdetik di hati kecilku betapa romantiknya pasangan tua ini sehingga hujung nyawa si isteri. Beruntungnya Haji Seman beristerikan makcik ini. Tegar makcik berbual di pangkuan suami sambil bercerita dengan ceria demi mengembirakan lelaki pujaan hatinya meskipun ajalnya bakal berselang selepas beberapa ketika. “Ini benar-benar kisah Cinta bersulam CINTA Sang Pencipta” ujar hatiku berbisik sendiri.


“Macamana nak usung jenazah ke liang lahad nanti? Siapa yang gali liang? Siapa yang akan tolong kita nanti?” bertalu soalan Haji Seman kepada aku. Meskipun aku tak punya jawapan yang pasti, dengan yakin aku menjawab, “Takpe Haji… InsyaALLAH semuanya akan tersedia. Aku jadi begitu yakin kerana segala urusan setakat ini begitu lancar tanpa sebarang masalah malah terasa seakan kami dimuliakan sepanjang urusan dengan layanan yang ramah dan mesra. Memang terasa nak sangat bertanya kepada Haji Seman apa agaknya amalan makcik semasa hidupnya sehingga matinya begitu?


Jam 11:30pagi kereta buggy yang membawa jenazah sampai di pusat itu. Selesai jenazah diangkat ke atas kereta, kami berdua diajak ikut bersama menuju ke Masjid. Kami masuk melalui pintu Imam dan langsung di suruh duduk di dalam saf kedua meskipun pada masa itu Masjid sudah mula penuh. Bersungguh anggota polis menyuruh jemaah sedia ada memberikan ruang duduk untuk aku dan Haji Seman. Kami solat Jumaat berselang sebaris di belakang Imam Masjid Nabawi.


Selesai solat, bilal menyeru jemaah untuk solat jenazah. Sekali lagi kami terasa diberikan keistimewaan apabila Imam menoleh ke belakang dan bertanya, “wein sahibul janaiz?” (maksudnya - mana keluarga jenazah?). Kali ini Imam menunggu sehingga kami berdua berdiri betul-betul di belakangnya untuk menyembahyangkan jenazah makcik bersama puluhan ribu jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Nabawi. Rasanya bagi sesiapa yang pernah ke sana, pasti nilai situasi ini sukar digambarkan perasaannya.


Selesai solat jenazah diangkat beramai-ramai menuju ke tanah perkuburan. Persoalan yang Haji Seman bimbangkan tentang siapa yang akan tolong usung jenazah terjawab sehingga aku dan dia sendiri terpaksa berlari sedikit mengiringi jenazah yang dipikul tangan-tangan para jemaah saudara seislam dari seluruh dunia dengan begitu pantas sekali. 


Keistimewaan urusan jenazah makcik tidak habis di situ. Aku dan Haji Seman terus mengiringi jenazah sehingga ke liang yang tersedia untuknya di dalam Perkuburan Baqi’. Ya benar… liang lahad makcik tersedia di kawasan perkuburan yang juga dikenali sebagai Jannatul Baqi’ yang bermaksud Syurga Baqi’ di kalangan ahli Madinah kerana di tanah perkuburan ini juga bersemadinya ramai sahabat-sahabat dan ahli keluarga seorang lelaki paling mulia pernah hidup di dunia bernama MUHAMMAD BIN ABDULLAH, pesuruh ALLAH yang disebut namanya di dalam kalimah syahadah.



Penggali kubur menghentikan jenazah dari terus diturunkan sambil berteriak, “wein sahibul janazah?”. Sekali lagi Haji Seman ditunggu untuk turun ke dalam liang menyambut jenazah isteri tercinta sebagai penghormatan buatnya bersama si isteri di dunia ini. Aku hanya memerhati di tepi liang lahad kali ini sambil hatiku terus meruntun mahu bertanya kepada Haji Seman apa sebenarnya amalan makcik semasa dia hidup bersamanya sehingga sampai begini mulia layanan ke atas jenazahnya.


Selesai sudah urusan jenazah makcik di bumi Madinah yang penuh barakah. Haji Seman meneruskan umrahnya dan melaksanakan umrah gantian untuk niat arwah isterinya. Aku diminta menemankan Haji Seman kerana dia rasa selesa kalau aku terus bersamanya. Di Makkah akhirnya aku tak mampu tahan keinginanku untuk mengetahui amalan atau sikap kehidupan arwah makcik bersama Haji Seman lalu aku mengajukan soalan.


“Haji, mintak maaf saya nak tanya ya… Arwah makcik dulu masa hidupnya selalu buat apa?” cetusku bertanya kepada Haji Seman pada suatu malam sewaktu kami pulang ke bilik hotel setelah selesai solat Isya di Masjidil Haram. “Hmmmm… entahlah. Tak ada yang terlalu istimewa kalau saya nak cerita. Arwah makcik tu orang biasa je”, agak kecewa aku dengar jawapannya tapi aku yakin mesti ada jawapan lain. “Cuma satu perkara yang saya rasa paling saya tak boleh lupa pasal arwah”, tambah Haji Seman. “Apa benda tu Haji?”, berbunga hati aku rasa nak tahu juga apa ceritanya.


“Masa saya mula-mula kahwin dengan arwah, hidup kami susah… Tapi Alhamdulillah saya dapat juga buka kedai runcit kecil, jual suratkhabar dengan barang-barang kecil di sebelah pejabat imigresen. Bila rezeki makin murah saya memang jadikan amalan bagi duit pada arwah selain duit belanja rumah. Bukan apa… saya ni tak berapa pandai kalau nak belikan hadiah yang cantik ikut mata orang perempuan, jadi saya bagi duit aje lah”, aku tekun mendengar cerita Haji Seman sambil terfikir di mana agaknya bahagian amalan arwah yang istimewa.


“Arwah ni jenis yang pantang kalau orang mintak tolong… mesti dia cuba juga nak tolong walaupun masa kami sendiri tengah susah”, aku mula terasa mungkin inilah bahagian cerita yang aku nak tahu sangat. “Setiap kali bila arwah nak bagi duit pada orang yang dia nak tolong, mesti dia tanya saya dulu… boleh ke bang? Mula-mula saya jawab ikut dialah sebab duit yang saya bagi tu dah jadi milik dia. Lama-lama sampai dah tua-tua pun dia tetap tanya atau bagitau saya setiap kali dia bagi duit tu pada orang lain, saya jadi lali dan jawab ya sepatah je”. Haji Seman membetulkan duduk silanya di atas katil hotel sedang aku terkulat mendengar kisahnya.


“Pernah satu ketika saya cakap, duit ini saya dah bagi kat awak. Kalau awak nak pakai untuk apa saja pun saya takkan tanya sebab saya percaya awak pun boleh fikir sendiri. Lepas-lepas ni kalau awak nak bagi sesiapa pun duit awak tu, awak bagi je lah… tak payah tanya saya pon takpe”, sambung Haji Seman lagi. 


“Saya cakap macam tu sebab dah berpuluh tahun kahwin pun dia masih tanya juga. Saya ingat masa tu arwah makcik jawab, saya tanya sebab duit ni awak yang bagi saya. Jadi duit ini saya anggap amanah suami dari awak untuk saya”. Terkesima aku mendengarnya. Haji Seman menyambung, “lepas pada tu, dia masih terus tanya saya macam biasa cuma saya dah malas nak halang dia dari terus bertanya perkara yang sama sebab pada dia yang penting saya redhakan dia guna duit tu”.


Aku rasa puas mendengar cerita Haji Seman seakan persoalan yang berlegar dalam kotak fikiran aku terjawab secukupnya. Tidak hairanlah jika ALLAH menjemput arwah makcik sedemikian rupa. Dengan makanan terakhir di dunia adalah air zam-zam dan kurma Nabi yang disuapkan suami, dengan perginya setenang orang yang tidur sesudah berbual dengan suami di pangkuan, dengan segala urusan pengkebumian ditanggung sepenuhnya dan dipermudahkan, dengan disolatkan selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi yang mulia dan dengan tempat semadi terpilih bersama para sahabat Rasulullah s.a.w di Jannatul Baqi’. SUBHANALLAH.


Aku belajar sesuatu yang sangat berharga dari pengalaman ini. Pada masa itu tahun 1999, aku bersama 99 orang jemaah berkongsi niat untuk beribadah menunaikan Umrah. Kematian arwah makcik isteri Haji Seman mengajar aku erti sebuah percintaan dalam hidup yang diulit serba kesederhanaan tetapi penuh dengan pengajaran tentang hubungan kemanusiaan yang didasarkan atas keinginan merebut Rahmat Tuhan. Justeru bagi aku yang bersama Haji Seman sepanjang menguruskan jenazah isterinya, aku merasakan kami diselubungi keistimewaan menerusi sebuah kematian sedang jemaah lain masing-masing terus berharap mendapat bahagian yang diinginkan. 


Bila difikirkan semula, memang aku takjub dengan cara Tuhan memberikan kemuliaan dan pengajaran. Mungkin jauh di sudut hati aku terselit sedikit kecemburuan atas Rahmat dan kasih sayang yang dilimpahkan. Bukan atas kedengkian, tapi atas rasa teruja sehingga aku terasa ingin menggantikan diriku di tempat arwah isteri Haji Seman lantaran segala apa yang aku saksikan.


Hanya semudah menjaga amanah suami dengan begitu bersungguh meskipun hidup tidak dilingkari emas permata, aku sendiri menyaksi dan merasai keistimewaan menguruskan jenazah makcik ini sedemikian rupa. Sesungguhnya benar sebagaimana ucapan Hadith Rasulullah, “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” – Riwayat Tirmizi & Ibnu Majah.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Sabtu, 8 Disember 2012

WARKAH BUAT SI DIA...



Assalamualaikum w.b.t

Kehadapan pemilik rusuk kiri ku, semoga ketika ini kau sentiasa berbahagia di samping keluarga tercinta dan di bawah lindungan redha Pemilik segala yang ada di bumi dan di langit.


Sengaja aku menuliskan surat ini semata-mata sebagai peringatan kita bersama bahawa cinta itu bukan di tangan kita, tetapi di tangan Sang Pencipta.


Mungkin kini kau merasakan jarak, masa dan urusan dunia telah memisahkan kita. Tapi ingatlah, Jarak bukan alasan untuk kita berkasih. Masa bukan alasan untuk kita merindu. Dan urusan dunia bukan alasan untuk kita bercinta.


Ketahuilah bahawa cinta tidak pernah bersalah, kerana yang bersalah ialah pengendali cinta. Malah cinta itu bertamu tanpa diundang. Kerana itu cinta perlu dikendali dengan baik. Dilawan, sengsaralah jiwa. Dilayan, matilah jiwa.


Kendalikan cinta dengan sebaiknya. Andai cinta tidak didasarkan pada cinta dan keredhaan Allah, maka sia-sia sahaja ucapan cinta yang diluah. Malah mungkin sahaja cinta itu yang akan membuatkan diri kita jatuh ke lembah hina. Malah mendekatkan kita dengan azab-Nya. Nyahkan cinta seperti itu dari hidup kita. Junjunglah cinta Allah dan Rasul di atas setiap gerak geri agar cinta selain itu ikut serta dalam lindungan-Nya.


Mungkin kau tertanya apakah yang harus dilakukan untuk mendambakan cinta dari manusia soleh andai cinta tidak diluah dan rindu tidak disemai. Jawapanku mudah. Sudah lupakah kau pada ayat suci Al-quran yang bermaksud:


“ Sesungguhnya perempuan yang solehah untuk lelaki yang soleh dan yang jahat pula untuk perempuan yang jahat.”


Tetapkan hati dan yakin sepenuh jiwa bahawa janji Allah itu benar. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Cintailah manusia kerana Allah, bukan cintai Allah kerana manusia.


Seperkara yang penting, manusia sudah pasti tiada yang sesempurna malaikat. Jika kau mendambakan sempurna tiada cela dan cacat, sebenarnya kau telah tertipu. Malah hakikat pernikahan adalah untuk saling menampung yang kurang dari pasangan. Redhalah bahawa aku bukanlah lelaki sempurna. Begitu juga aku redha kau adalah wanita yang tidak sempurna.


Kerana apa aku mengharapkan pernikahan menjadi pengikat antara kita? Kerana tiada jalan lain yang lebih suci dan bersih selain jalan ini untuk menghalalkan sesuatu hubungan antara dua jantina berbeza. Mungkin kau menduga bahawa jalan ini sukar dan penuh liku. Ya, aku akuinya. Memang ianya sebuah jalan yang penuh liku. Kerana tiada sebuah kebahagiaan pun yang ingin digapai tanpa dibasahi peluh dan dicalari duri. Untuk memperoleh syurga Allah pun perlu mengorbankan harta dan jiwa. Jadi bersabarlah menghadapi kepahitan terlebih dahulu kerana aku yakin dipenghujungnya pasti kau akan temui kemanisan.


Marilah kita merealisasikan impian mahligai perkahwinan. Kerana hanya dengan perkahwinan, hati kita menjadi satu. Janji kita menjadi jitu. Dan cinta kita menjadi padu. Kemudian pasti datang menerpa kita sakinah, mawaddah dan rahmah. Aku yakin kerana janji Allah tidak pernah dimungkiri.


Pesan terakhirku buat pemilik tulang rusuk kiriku, bagaimana mungkin rumah yang cantik dan besar dibina di atas tapak yang rapuh dan goyah. Begitu juga pernikahan yang suci dan mulia mana mungkin terbina atas dasar cinta yang palsu dan menipu. Kerana itu aku takut berjanji, kerana aku bimbang tidak mampu menunaikannya. Kita hanya merancang, keputusan tetap di tangan-Nya. Yakinlah. Insyaallah.


Yang benar,


Lelaki tidak sempurna.




Wallahu`alam


Jagalah Hati…

Isnin, 26 November 2012

MISTERI CINTA...




Sungguh suatu misteri, mengapa kita jatuh cinta. Juga suatu misteri, bagaimana itu terjadi. Bagaimana awal mulanya. Mengapa ada cinta yang terus tumbuh dan ada yang patah. Kita boleh menganalisis misteri ini, mencari alasan-alasan dan penyebabnya, tetapi dengan begitu kita akan menyisihkan keindahan yang tersimpan dalam pengalaman tersebut.


Seperti halnya hidup ini bukan sekadar susunan tulang dan otot serta saraf-saraf dalam tubuh manusia, cinta pun bukan sekadar hasil dari minat, daya tarik dan persamaan-persamaan yang dimiliki oleh dua insan. Dan seperti halnya hidup ini merupakan pemberian yang datang dan pergi pada waktunya sendiri, kedatangan cinta pun mesti dianggap sebagai pemberian misteri yang tidak dapat dipersoalkan selok-beloknya.


Setidaknya satu kali dalam hidup ini, anugerah cinta mendatangi kita dalam bentuk seutuhnya. Kita akan mengenggam dan menikmatinya dalam seluruh keindahan yang tidak terkata. Inilah yang kita semua impikan. Tetapi lebih sering terjadi cinta itu datang mengenggam kita, menikmati kita sesaat, lalu pergi lagi.


Terlalu sering kita cuba meraih cinta dan memenjarakannya, menolak untuk melihat bahawa cinta adalah anugerah yang diberikan dengan sukarela dan juga boleh pergi begitu saja.


Kalau cinta tidak lagi bersemayam di dalam hati, atau orang yang kita cintai merasa roh cinta itu sudah berlalu, terkadang kita berusaha keras merebut kembali cinta yang sudah lepas itu, bukannya menerima anugerah tersebut apa adanya, dan melanjutkan kehidupan. Pada saat itu kita menginginkan jawaban . Why? Kita ingin tahu apa yang salah dengan diri kita sehingga orang yang kita cintai tidak mencintai kita lagi. Kita berusaha keras memberikan makna atas apa yang terjadi, tetapi tidak ada makna apa pun di luar cinta itu sendiri.


Seandainya kita jatuh cinta pada seseorang dan orang tersebut tidak mencintai kita, bersikaplah baik pada diri kita sendiri. Tidak ada yang salah pada diri kita, hanya saja cinta tidak memilih untuk hinggap di hati orang yang kita cintai. Itu saja.


Kalau seseorang jatuh cinta pada kita dan kita tidak mencintainya, berbanggalah kerana cinta datang mengetuk di pintu, tetapi tolaklah dengan lembut anugerah yang tidak dapat kita balas tersebut.


Kita semua dapat merasakan kepedihan dan kebahagian yang sama. Kalau kita jatuh cinta pada seseorang dan orang itu jatuh cinta juga pada kita, lalu cinta memilih untuk berlalu, jangan cuba untuk meraihnya kembali, ataupun menilai siapa yang salah.


Biarkanlah berlalu. Pasti ada alasannya. Kita akan tahu pada waktunya, tapi biarlah waktu sendiri yang memilih saatnya.


Kita hanya mampu menerima saat cinta memasuki kehidupan kita dengan segala misterinya. Rasakan bagaimana cinta memenuhi diri hingga berkelimpahan, lalu hulurkan tangan dan lepaskan dia.


Kembalikan dia kepada orang yang telah menumbuhkannya di dalam diri kita. Cinta mempunyai waktunya sendiri, musimnya sendiri, dan alasan-alasannya sendiri untuk datang dan pergi. Kita tidak mampu menyuapnya, memaksanya atau memujuknya untuk tetap tinggal. Kita hanya dapat merangkulnya saat ia datang dan berkongsi.


Tetapi kalau ia memilih untuk pergi dari hati, tidak ada yang mampu kita lakukan. Berbahagialah ia datang dan tinggal sesaat dalam kehidupan kita. Kalau pintu hati kita biarkan terbuka, ia akan datang lagi, insya Allah…


Wallahu`alam



Jagalah Hati…



Wassalam

Khamis, 8 November 2012

SAUDARA SEMUSLIMKU YANG BAIK HATINYA...





Seringkali kita mengetahui yang sesuatu perkara itu sememangnya baik untuk kita tetapi mengapa kita masih tidak melakukannya...??



Kerana... mujahadah itu memerlukan akal untuk kita mengetahui manfaat perkara tersebut dan hati untuk kita m
erasa kebaikan dari perkara tersebut...



Ya... kita sentiasa tahu sesuatu itu baik untuk kita, tetapi hakikatnya hati kita gagal untuk merasa. Dan kerana itulah akhirnya kita cenderung memilih jalan yang salah kerana hati ini lebih merasa nikmat dan bahagia kepada perkara yang akhirnya melalaikan kita dan menjauhkan kita kepada-Nya...



Ketahuilah saudara semuslimku yang baik hatinya...



Hati itu pengawal keseluruhannya. Kerana itu ada istilah mengatakan jika baik hati seseorang itu, insya Allah baiklah keseluruhannya...



Seringkali akal gagal untuk memandu hati kerana itu bersihkanlah hati kita. Bila marah, berdoalah moga dibersihkan hati. Ditenangkan hati. Berceritalah kepada-Nya, nescaya Dia akan menghadiahkan sebuah ketenangan kepada hati milik kita...



Ingatlah saudara semuslimku yang baik hatinya... 



Jika hati kita bersih, insya Allah dengan sendirinya rasa keimanan itu akan datang dan hadir dengan sendirinya ke hati kita...



Dan tahukah kita jika terdetik walau sedetik hati kita untuk berubah, ia adalah hidayah dari Allah untuk kita kerana rasa itu milik Allah dan hanya Dia yang dapat mengilhamkan rasa itu kepada kita...



Cuma mungkin kita di antara sedar atau tidak dengan perkara tersebut. Dan mungkin kita yang mengeraskan hati dari menuju kepada rasa yang telah diilhamkan itu...



Saudara semuslimku yang baik hatinya... 



Sesungguhnya Allah sangat menyintai kita. Diberinya kita dengan perasaan yang halus dan peka. Maka kita harus bersyukur dengan anugerah ini. Dekatilah Dia. Luahkan kesedihan kita kepada-Nya, insya Allah satu hari nanti kita akan bahagia...




Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam

SAAT KAU YANG KU PILIH...






Salam khusus buat saudara semuslimku yang sedang bersedia untuk meminang seorang wanita...


Di depan saksi, ku lingkarkan cincin di jari
Di depan walimu, aku pinang kau...


Di depan ayah bondamu, 
Ku berjanji untuk menjagamu
Menjadikan kau suri dalam rumahku
Ibu dari malaikat kecilku...


Untuk mu yang ku pilih menjadi pendamping hidupku
Jadikanlah aku imammu
Ingatkan aku jika,
Aku salah padamu...


Jangan pernah mengeluh padaku
Kerana kau tinggal di pondok ku
Ku harap kau bersabar
Hingga pondok ku menjadi istana buatmu...


Aku memilihmu
Kerana ku yakin ,
Kau layak untukku.
Layak menjadi ibu,
Dari anak-anakku...


Satu pintaku jadilah cahaya dalam rumahku
Penerang dari kegelapan jiwaku
Penasihat terbaikku
Dan penyemangat hidupku...



Wallahu`alam


Jagalah Hati…


Wassalam

KEINDAHAN HIDUP...





Jika seseorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar...


Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah se
terusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik...


Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we cannot direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita...


Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan, tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu...


Fahamilah hakikat ini... Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup...!



Wallahu`alam



Jagalah Hati…



Wassalam

PERAHU PERNIKAHAN...





Saudari semuslimku yang baik hatinya... 

Hatimu merindui kehadiran teman hidup yang baik

Hatimu ingin merasa ketenangan yang Allah janjikan antara suami dan isteri

Hatimu ingin membina keluarga tempat singgah berteduh

Suami, anak-anak... hatimu ingin milikinya...

Berkongsi kasih dalam perjalanan bertemu Ilahi...


Wahai saudari semuslimku yang baik hatinya...keinginan dan impianmu benar sekali, rumahtangga dan anak-anak adalah perhiasan dunia yang indah...

Namun, dengan seribu satu sebab, lelaki-lelaki yang baik sukar ditemui...

Hingga keinginan dipendam, terpendam.

Di sana, ada para isteri yang dulunya sangat menginginkan pernikahan

Kini, suami dan kekusutan rumahtangga telah meninggalkan luka paling dalam...

Lebih luka dan pilu dari bujang sendiri menghadapi hidup

Lebih mudah rupanya menjawab persoalan...

“Bila nak kahwin…memilih sangat ke?”

Dari menjawab,

“Kenapa nak bercerai…dah fikir betul-betul ke...?"


Sesungguhnya keindahan pernikahan itu sungguh cantik dan mendamaikan jika syariat-Nya selalu mendahului perasaan...


Wallahu`alam


Jagalah Hati…


Wassalam

MUNAJAT PENCINTA...





bismillahirrahmanirrahim..


puji kepada Ar-Rahman
menyelimuti tujuh lapisan langit dan bumi.
ku memberi salam kesejahteraan kepada orang yang ku kasihi
semoga mewangi di pangkuan sang penyejuk alam Baginda Nabi Ilahi


Illahi....
pencipta kata
pencipta rasa
pencipta cinta
pencipta cita


saksikan ketidakupayaan ku di depan takdir kekuasaan Mu
saksikan kekerdilan ku di hadapan keMahabesaran Mu
saksikan kesilapan dosaku dan hanya Engkau yang Maha suci
dan hanya rahmat maghfirah
redha Mu yang ku rindu


Illahi..
dengan rahmat Mu
benarkan aku mencium wangi Mu
agar mewangi seluruh bergelora pesona jiwa hamba Mu ini
untuk mereka saudara semuslimku yang baik hatinya
benarkan kami mencium bau wangi Mu
untuk seluruh hamba Mu
yang merasai cinta kerana Mu


Illahi..
dalam semerbak wangi Mu
benarkan aku adukan 99 lapis hatiku


Illahi...
sejak ku kenal "ba" dalam basmalah Mu
telah terkunci 99 lapis hatiku kecuali untuk Mu
telah ku pahat pada dindingnya
hanya Engkau yang berhak membuka pintu hatiku
maka dengan basmalah Mu benarkan aku berseru
kepada seru seluruh alam


wahai alam...
dan seluruh isinya termasuk segala debu
batu..
kumbang...
saksikan ini 99 lapis hatiku
hatiku terkunci rapat untuk Mu
terkunci rapat untuk anda semua
malah terkunci rapat untuk dunia


saksikan inilah kata hati ku
saat ini,,
tidak ada kata
tidak ada daya
tidak ada cinta
tidak ada cita
kecuali untuk Illahi Rabbi azza wa jalla
meski jiwa ku kembali kepada-Nya


Illahi..
benarkan aku merayu cinta Mu
sehingga saat ini
aku belum dapat memberi cinta kecuali untuk Mu
aku tidak pernah menerima cinta
kecuali dari Mu
aku tidak pernah berkongsi kasih
kecuali untuk Mu


izinkan aku mencintai dia tidak melebihi cinta pada MU...!!!




Jagalah Hati…



Wassalam

DOA NABI DAUD AS...





Saudara semuslimku yang baik hatinya... marilah kita hayati dan amalkan doa ini. Semoga doa Nabi Daud as ini memberi kita semangat dan teguh dalam mencinta Allah swt sepenuh hati kita melebihi cinta kepada makhluk-Nya.

"Ya Allah, kurniakanlah daku perasaan cinta kepada Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta Mu... 


Jadikanlah cinta Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta Mu, dan cinta orang yang mencintai Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cinta Mu...



Ya Allah, apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, maka jadikanlah ia keredhaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai...


Ya Allah, jadikanlah cinta Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan...


Ya Allah, jadikanlah aku mencintai Mu, mencintai malaikat Mu, Rasul Mu dan hamba Mu yang soleh...


Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta Mu dan jadikanlah aku bagi Mu seperti apa yang Engkau cintai...


Ya Allah, jadikanlah aku mencintai Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan Mu...



(Hadis riwayat At-Tirmizi, Rasulullah saw bersabda, "Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud as")




Jagalah Hati...

Selasa, 30 Oktober 2012

JALAN KELUAR DARI SYAITAN...




Di dalam Al Quran, akan kita dapati sebuah rakaman dialog antara Allah swt  dengan iblis yang dihukum oleh Allah. Dalam dialog tersebut, iblis menyatakan untuk selalu menyesatkan manusia. Hal tersebut terakam dalam surah Al A’raf ayat 16-17, “Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat’” 


Dari ayat Al Quran di atas dijelaskan bahawa Iblis akan selalu menghalang-halangi kita dari jalan yang lurus. Caranya, dia akan mendatangi kita dari muka, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri kita. Lalu apa maksud dari keempat-empat penjuru itu?


Dalam tafsir Ibnu Katsir dijelaskan bahawa yang dimaksud dengan firman Allah swt dalam surah Al-A’raf ayat 17 di atas adalah:


“Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka”:
Iblis akan membuat manusia ragu akan permasalahan akhirat (Min baini Aidihim),


“dan dari belakang mereka”:
membuat mereka cinta kepada dunia (Wa Min Kholfihim),


“dari kanan”:
urusan-urusan agama akan dibuat tidak jelas (Wa ‘An Aimaanihim)


“dan dari kiri mereka”:
dan manusia akan dibuat tertarik dan senang terhadap kemaksiatan (Wa ‘An Syama’ilihim).


Lalu timbul pertanyaan di benak kita, mengapa iblis tidak mendatangi kita dari ATAS dan dari BAWAH kita?Hal tersebut dijelaskan dalam sebuah tafsir Al Quran yang diredaksikan dari Al-Fakrur-Razi dalam tafsirnya berkata, “Diriwayatkan bahawa ketika Iblis mengatakan ucapannya tersebut, maka para malaikat menjadi kasihan terhadap manusia mereka berkata: “Wahai Robb kami, bagaimana mungkin manusia dapat melepaskan diri dari gangguan syaitan?” Maka Allah berfirman kepada mereka bahawa bagi manusia masih ada dua jalan: atas dan bawah, jika manusia mengangkat kedua tangannya dalam doa dengan penuh kerendahan hati atau bersujud dengan dahinya di atas tanah dengan penuh khusyuk, Aku akan mengampuni dosa-dosa mereka” (At-Tafsir Al-Kabir )


Dalam tafsir yang lain juga dikatakan bahwa Iblis tidak mendatangi kita dari atas, kerana rahmat turun kepada manusia dari atas (Tafsir Ibnu Katsir).


Oleh kerana itu iman adalah senjata kita. Berdoalah, mari kita berlindung kepada Allah atas segala godaan syaitan yang terkutuk 



Wallahu`alam



Jagalah Hati….



Wassalam

Rabu, 24 Oktober 2012

SOLEHAH....




Solehah...


Sepatah perkataan yang mudah disebut. Perkataan yang memberi maksud sesuatu yang paling baik diantara perhiasan-perhiasan dunia yang lain. Perkataan yang indah bilamana ia benar melambangkan maksudnya. Perkataan yang cantik bila ia dimiliki dengan sebenarnya oleh pemiliknya.


Namun solehah ternyata bukan mudah pada realiti kehidupan ini. Solehah itu bukan hanya boleh dinilai di penghujung perjalanan, namun sentiasa diberi nilai dalam setiap tahap-tahap kehidupan.


Mudahkah menjadi anak yang solehah? Bila balik bertemu ibu ayah sekali sekala, dua tiga hari di kampung, mempamer dan menonjolkan akhlak terbaik, mentaati tanpa jemu setiap permintaan ibu dan ayah. Tapi bila tinggal lebih lama, hati mula jemu, mula kurang sabar, suara tidak lagi rendah dan lunak – disuruh mula berdalih dan merasa berat, ditegur mula memberontak mempertahankan kesilapan...


Wahai anak, di manakah solehahmu pada ayah ibu yang terlalu banyak pengorbanan dilakukan untukmu…?


Mudahkan menjadi gadis yang solehah? Di akhir zaman yang mendatangkan fashion yang menampakkan keindahan berharga seorang perempuan, mampukah menepis nafsu yang sering ingin cantik di pandangan awam,,, Membiarkan diri dan tubuh dijamah pandangan lelaki murahan kerana tipis dan pendeknya pakaian...? 


Dengan akhir zaman yang membuka seluas-luasnya ruang perhubungan lelaki dan perempuan, dengan ransangan filem-filem, lagu-lagu dan bahan bacaan yang menghidup kan rasa cinta hingga menyala-nyala dalam dada, mudahkah untuk menepis kedatangan SMS, call, chatting YM, Facebook, email dan pelbagai medium yang bertalu-talu dari lelaki yang 'soleh' dan tak soleh?


Awalnya mungkin mudah, dengan prinsip cinta hanya untuk suami dan isteri, tapi jika konsistennya SMS yang mengambil berat lagi prihatin hingga menghidupkan warna merah muda dalam hati, mampukah lagi menolak? Mampukah lagi mengelak dari serangan-serangan perasaan ‘fitrah’ yang ingin disayangi dan menyayangi, lebih-lebih lagi teman-teman disekeling juga tidak lagi sendiri ?


Mudahkah menjadi solehah, jika pergaulan yang dirasakan sederhana mengundang curiga dimata masyarakat? Mengundang cemburu di hati si isteri-isteri? Mengundang fitnah di hati yang berlainan jenis?


Mudahkah menjadi isteri solehah? Di awal mahligai cinta dibina dalam pernikahan, waktu kasih membara, solehah itu seolah pasti terjadi, ada ketaatan sebelum dipinta, ada layanan kelas pertama, ada pengorbanan yang tidak terasa, ada kelembutan yang mempesona, diri terhias tersembunyi dan nyata..


Namun, bila masa berlalu memaparkan suami sebagai insan biasa-biasa punya banyak alpa, yang terus zahir pada suami adalah terlalu banyak keburukan dan kelemahan. Hingga tidak merasa perlu mentaati dirinya yang dulu pernah paling ditaati, hingga acuh tak acuh pada suami yang dulu mendapat cinta kelas pertama, hingga tidak mampu melihat apatah lagi mensyukuri pemberian suami pada keluarga.


Pudar kasih, luput sayang, yang ada hanya lah hati yang luka berbisa. Tiada penghormatan, tiada penghargaan, yang ada hanya ungkitan kesilapan pasangan . Tiada kesyukuran, tiada keredaan hingga diri memikirkan untuk meruntuhkan, melarikan diri dari perjanjian dan ikatan yang dibuat atas nama ALLAH…


Dimanakah solehah? Waktu belum dituntut menjadi pasangan, di luar ikatan mampu menjadi solehah memenuhi segala permintaanya, memohon maaf penuh perasaaan atas kesilapan padanya, mengasihinya sepenuh jiwa raga, tidak mahu melukai hanya ingin mencintai… merasa hebatnya aura sayang dua jiwa dipenuhi kata-kata sopan lagi manja…namun bila ikatan pernikahan yang benar-benar menuntut soleh dan solehah,.. terus sirna, kesopanan dan kelembutan hilang ditelan kejemuan… solehah, dimanakah solehah…?


Solehah…bagaimanakah untuk solehah..? Bagaimanakah untuk terus solehah selepas diri jauh meninggalkan solehah…? Bagaimanakah untuk tetap solehah diwaktu tidak lagi ingin solehah?


Bagaimana bertahan untuk solehah sewaktu sukarnya ingin menjadikan diri solehah?


Sukarnya solehah…sewaktu masih sendiri, terasa sukar menjaga kesucian diri dan hati.. kerana diluar sana tarikan untuk memudarkan solehah terlalu tinggi,… dan sewaktu sudah bersuami, mungkin lebih sukar kerana ada pula hati suami untuk ditaati , dijagai agar tidak tercalar, sedangkan hati dan iman sendiri masih terkontang kanting kering nur rabbani…


Solehah itu anugerah Ilahi. Mahal harganya, Tidak terhitung nilai kepayahannya, Kerana syurga balasannya.


Ya ALLAH ajari saudari semuslimku yang baik hatinya untuk solehah dalam menghadapi ujian-ujian dari Mu, ujian kesenangan atau kesusahan.


Bantulah mereka untuk memilih solehah dari yang lainnya dalam keadaan sukar atau mudah. Bantulah diri hamba Mu itu agar mampu mentaati Mu, yang dengannya menjadikan mereka mampu mentaati ibubapa dan sesiapa pun yang perlu di taati.


Bantulah mereka menunaikan segala suruhan Mu agar mampu di tunai hak-hak sahabat dan saudara mara demi cinta kerana Mu.. Bantulah mereka menjauhi segala larangan Mu agar Engkau memberikan jalan keluar atas segala urusan mereka… Bantulah kami ya ALLAH, dengan rahmat da kasih sayang Mu, perbaikilah urusan kami dan jangan biarkan kami membuat keputusan sendiri walau sekelip mata.


Bantulah diri saudari semuslimku yang baik hatinya untuk memilih solehah walau memilih solehah terasa letih, sakit dan sukar bagi mereka, namun izinkan semuany bertemu Asiah ra, Maryam ra, Khadijah ra dan Fatimah ra di dunia sana yang berkekalan...


Amiin….



Wallahu`alam




Jagalah Hati….



Wassalam

Selasa, 23 Oktober 2012

KITAKAH ISTERI YANG DIDAMBAKAN....?




Dari pengalaman hidup melihat sikap dan karakter lelaki yang berada di sekeliling, maka insan yang bernama perempuan sering memerhati dan akhirnya mempelajari apakah ciri-ciri yang baik pada seorang suami. 


Bukan lelaki sahaja yang menjadi tidak tentu arah bila melihat perempuan solehah idamannya, bahkan yang bernama perempuan itu juga boleh bergetar hatinya melihat lelaki yang soleh. Hingga tersemat di sudut hatinya, berdoa dan meminta pada ALLAH agar dipilih oleh lelaki soleh itu…


Idealnya, semua yang memiliki hati perempuan inginkan bakal suami yang baik, bertanggungjawab, peramah, penyayang, beriman, beramal soleh, berilmu… 


Ada yang inginkan yang kaya dan kacak… yang penuh sifat kelelakian. 


Ada yang inginkan yang sekufu dan ‘sekepala’… 


Ada yang inginkan sama-sama aktif dalam jemaah dan dakwah. Sama-sama bersemangat dalam kerja-kerja sosial dan kebaikan. 


Namun, apakah realiti yang sering berlaku…? 



Bila suami baik… 


“ Abang ni baik sangatlah.. kalau ya pun nak buat baik, agak-agaklah sikit…” luah si isteri tidak puas hati si suami membeli kereta baru untuk ibu dan ayah mertua. Apatah lagi, suami tidak melayan permintaan isteri untuk bercuti ke negara empat musim. Sedangkan kereta itu untuk mengganti kereta lama yang telah terlalu uzur. 


Bila suami bertanggungjawab… 


“Abang ni asyik balik kerja lewat.. Bila tak kerja pulak, ada je urusan lain yang tak habis-habis.. Abang tinggalkan saya sorang-sorang layan anak kat rumah..” 


Sedangkan suami pulang lewat kerana mengurus perniagaannya dengan penuh tanggungjawab. Kerana kemudiannya dia ingin melaksanakan tanggungjawab memberi makan minum pakai pada anak isteri. Kerana dia juga ada tanggungjawab dakwah dan membantu ummah, bukan sekadar mencintai isteri dan anak-anak. 


Bila suami berkarakter penuh kelelakian, kita para isteri ingin mem ‘perempuankan’ diri si suami. Diajak suami bershopping baju dan kasut lama-lama, diajak suami bersembang dan bergosip lama-lama tanpa arah tuju, ingin melihat suami juga menangis terharu bila sesuatu yang menyentuh berlaku.. sedangkan itu semua jauh dari minat dan sifat kebanyakan lelaki.. 


Akan sabarkah kita dengan suami yang baik dan bertanggungjawab sebegini..? Yang berkarisma dengan kelelakiannya…? 


Atau kita hanya ingin menjadi isteri yang memiliki suami yang lalai tanggungjawab kerana sibuk memenuhkan keinginan nafsu dan kehendak isteri yang tak pernah puas..? 


Bila suami peramah… 


“ Abang ni tak payah lah senyum kat semua orang, tak payah sembang dengan diorang selalu.. seronok la perempuan tu abang senyum kat dia, layan sembang..” 


Padahal si suami cuba berbaik-baik dengan kakak ipar dan adik ipar perempuan supaya tidak dikatakan sombong dan dingin. 


Bila suami berilmu, beriman dan beramal soleh… 


“Abang ni asyik baca buku..asyik depan laptop menulis.. bila hujung minggu, sibuk dengan program dakwah, kelas quran lah, kuliah lah, daurah lah.. bila abang nak spend masa dengan saya dan anak-anak..!” ujar isteri dengan rasa sedih tak puas hati. 


Sedangkan dulu si isteri mengagumi lelaki yang nampak ke depan dalam program dakwah. Si isteri terkagum-kagum dengan aura ilmu dan keimanan yang terpancar di wajah pemuda dakwah itu. Si isteri tertarik dengan kemurahan hati pemuda itu bersedekah. Si isteri dulunya teruja untuk bersama pemuda dakwah yang giat aktif.. 


Dan akhirnya meluahkan… “Lebih baik saya kahwin dengan orang biasa..” 


Kerana setelah berkahwin dengan ustaz, pendakwah, agamawan, ilmuwan, jutawan, dermawan.. ternyata para isteri sukar untuk menerima gaya hidup suami yang kononnya dulu itulah ciri-ciri idaman. 


Dan bagi yang bernikah dengan ‘orang biasa’, mereka berharap pula mendapat ‘orang-orang agama’. 


Sedangkan nantinya, sukar para isteri untuk menerima apa-apa kesalahan dan kesilapan suaminya.. Orang agama diharapkan seperti malaikat suci diri sempurna peribadi. 


“Tak sangka suami aku macam tu, dia tu kan penghafaz Al Quran..” 


“ Suami saya tu namanya je pegawai di jabatan agama tapi…” 


“Dengan orang lain sibuk berdakwah, dengan isteri dan anak sendiri tak ada masa…” 


Sedangkan seorang suami itu- ‘orang agama atau orang biasa’ - mengharap kita menerima kelemahan dirinya seadanya. 


Seorang suami itu harapkan kita bersabar dan kuat mengurus emosi sendiri dan keluarga sewaktu ketiadaannya. 

Seorang suami itu juga mengharap isteri tidak berhenti menuntut ilmu, agar mampu mendidik fitrah anak dan mencorak rumahtangga dengan suasana islami. Suami keluar berkerja dan berdakwah, isteri di rumah konsisten dan strategik mentarbiyyah [mendidik]. 


Suami berharap isteri berhenti bergosip dan bersembang kosong tentang artis atau orang lain, tentang fesyen, tentang perabot, make-up, tentang melancong yang memakan kos yang banyak dan topik lain yang menjauhkan famili dari kesederhanaan dan keredhaan tuhan. 


Setelah bernikah, ternyata kita yang bernama isteri tidak sabar dengan ciri yang kita idamkan dulu..? 


Atau kita yang tidak pandai membawa diri dengan karakter suami yang pelbagai bentuk dan gaya…? 


Atau kita jarang sekali merasa cukup dengan masa, wang dan kemesraan yang suami kongsikan…? 


Ingin yang sekufu, namun sedarkah bahawa sekufu itu boleh jadi kupu-kupu yang meninggalkan pasangannya jika kita tidak bersungguh berubah ke arah kebaikan…dan menjadi renggang jika kita tak pandai memimpin pasangan kepada kebaikan? 


Manusia itu mungkin, mungkin pada satu tahap boleh sekufu. 


Tapi realitinya, manusia sentiasa dan kerap berubah. Kepada yang lebih baik atau lebih teruk. Tak akan terus sekufu. 


Dan kita tak berubah dengan kadar dan cara yang sama dengan pasangan hidup. Apapun, moga perubahan itu destinasinya sama –menuju redha Ilahi. 


Lalu sebenarnya, yang teramat penting adalah kemampuan kita para isteri membawa diri dalam rumahtangga yang dibina setelah membuat keputusan dengan istikharah dan musyawarah. 


Mampu membawa diri yang bagaimana..? 


Jika suami kaya, bagaimana untuk kita memahami dan menghormati gaya hidupnya yang berbeza dari kita ‘orang kampung’ (yang tak berapa kaya). 


Jika suami orang kampung, bagaimana kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan suasana kekampungan dan tidak menunjuk muka serba tak kena kerana ‘kebandaran’ kita. 


Jika suami bijak atau bergulung ijazah hingga PhD, bagaimana untuk kita membina kecerdasan diri agar kita tidak seperti budak tadika yang banyak sangat tak tahu.. 


Jika suami miskin atau berpangkat lebih rendah, bagaimana untuk kita merendah hati dan bergaul mesra dengannya agar dia tidak merasa tertinggal di belakang isteri, kerana selamanya seorang suami harus di atas sebagai pemimpin yang wajar ditaati dan dihormati. 


Jika suami sebaya atau lebih muda, bagaimana untuk kita taat dan redha dengan keputusannya, kerana kita rasa kita lebih matang dari dia atau kita dengan dia sama sahaja, bukan pandai sangat buat keputusan. 


Jika suami lebih berusia, bagaimana untuk kita memahami dan meletakkan diri sejajar dengan banyak pengalaman dan pengetahuannya.. 


Jadi, simpan sebentar senarai calon suami idaman.. 


Ayuh kita buat senarai menulis apa kekurangan diri kita, apa skills dan value yang kita perlu tambah pada diri dalam rangka menjadi isteri idaman … apa senarai kekuatan yang perlu kita bina, agar kita mampu menjadi isteri yang pandai membawa diri, walau siapa pun ditakdirkanNYA buat kita… 


Di lempar ke lautan menjadi pulau, di lempar ke awan menjadi bintang yang berkerdipan.. 


Menjadi isteri yang bahagia bukan dengan mengharap, mengharap dan banyak menerima, namun dengan banyak memberi, memberi dan terus mencari kebaikan dalam setiap keadaan…



Wallahu`alam




Jagalah Hati…




Wassalam

Ahad, 2 September 2012

SANDARAN HIDUP...





Tiada keuntungan yang sangat besar dalam hidup ini, kecuali orang yang tidak memiliki sandaran, selain bersandar kepada Allah swt. Dengan menyakini bahawa memang Allah jua yang menguasai segala-galanya;mutlak , tidak ada satu celah pun yang luput dari kekuasaan Allah, tidak ada satu noktah sekecil apa pun yang luput dari  genggaman Allah. Segala-galanya dengan sempurna Allah yang membuat, Allah yang mengurus dan Allah yang menguasai.



Ada pun kita sebagai manusia, diberi kebebasan untuk memilih dan telah di ilhamkan di hati manusia untuk memilih mana kebaikan dan mana keburukan. Potensi baik dan potensi buruk telah diberikan, kita  hanya perlu memilih mana yang akan kita kembangkan dalam hidup ini. Oleh itu, jangan salahkan siapa pun andaikata kita termasuk berkelakuan buruk dan hidup porak peranda, kecuali diri kita sendirilah yang memilih menjadi buruk,naudzubillah.



Sedangkan keberuntungan bagi orang-orang yang bersandarnya kepada Allah mengakibatkan dunia ini, atau siapapun, terlampau kecil untuk menjadi sandaran baginya. Sebab, seseorang yang bersandar pada sebatang tiang akan sangat takut jika tiangnya diambil kerana dia akan terguling dan terjatuh. Bersandarlah pada sebuah kerusi, takut kerusinya diambil. Begitulah orang-orang yang panik dalam kehidupan ini kerana dia bersandar kepada hartanya, bersandar pada kedudukannya, bersandar pada kekuatan fizikal dan pelbagai sandaran lain.



Padahal, semua yang kita sandari sangat mudah bagi Allah mengambilnya semula. Namun, andaikata kita hanya bersandar kepada Allah yang menguasai tiap kejadian, kita tidak pernah akan panik, insya Allah.



Kedudukan diambil, tiada masalah kerana jaminan dari Allah tidak tergantung pada kerusi itu, malahan kedudukan itu sering memperbudak diri kita, bahkan tidak jarang menjerumus dan menghinakan diri kita. Kita lihat ramai orang yang hidupnya porak peranda kerana jawatannya. Maka, jika kita bergantung kepada kedudukan dan kuasa, kita akan kehilangannya. Akibatnya, kita akan berusaha bermati-matian untuk kekalkan posisi itu hingga sikap kita jadi jauh dari kearifan.



Tetapi bagi orang yang bersandar kepada Allah dengan ikhlas, mereka merelakan kehilangan milikan jika ia tidak mendekatkannya pada Allah serta tidak membuat mereka terhormat pada pandangan Allah. Tidak mengapa jika kita tidak mendapat pujian dan penghormatan dari makhluk, tetapi mendapat penghormatan yang besar dari Allah swt. Percayalah, walaupun kita punya gaji RM100 ribu sebulan, tidak sukar bagi Allah membuatkan kita perlukan RM 120 ribu sebulan. Jika kita punyai simpanan RM 50 ribu, tetapi Allah beri penyakit seharga RM 100 ribu, bukankah ia lahirkan kekalutan hidup?



Semakin kita bergantung pada sesuatu maka, semakin diri kita diperbudakkan. Oleh kerana itu, para isteri jangan terlalu bergantung pada suami, kerana suami bukanlah pemberi rezeki. Suami hanya salah satu jalan rezeki dari Allah. Bila suami keluar rumah untuk mencari rezeki, alangkah indahnya jika sang isteri menitipkan doa kepada Allah… “ Ya Allah, Engkaulah penguasa suami hamba. Lindungilah matanya agar terpelihara, kirimkanlah harta padanya andai ada rezeki yang halal lagi berkah buat kami, pimpinlah suami hamba agar dia upaya berikhtiar di jalan-Mu hingga berjumpa dengan peruntukan rezeki yang berkat. Tetapi jika tiada peruntukan rezekinya, tolonglah diadakan ya Allah, kerana Engkaulah yang Maha Pembuka dan Penutup Rezeki, jadikan pekerjaannya menjadi amal soleh…Amin!”



Suami yang pergi bekerja dengan dibekalkan doa sang isteri akan melahirkan sebuah keluarga yang sungguh-sungguh menyandarkan dirinya hanya kepada Allah.Yang hatinya bulat tanpa ada celah, tanpa ada retak dan tanpa ada lubang sedikit pun; mutlak dan penuh hatinya hanya kepada Allah, maka bakal dicukupi segala keperluannya. Allah Maha Pencemburu pada hamba-Nya yang bergantung kepada makhluk, apalagi bergantung pada benda-benda mati. Mana mungkin? Sedangkan setiap makhluk ada dalam kekuasaan Allah.


                                         
Oleh itu, harus bagi kita untuk terus menerus mengurangkan pergantungan. Kerana makin banyak bergantung, maka persiapkan diri untuk lebih banyak kecewa! Maka sudah semestinya hanya kepada Allah sajalah kita bergantung harap, kita menyandarkan segala sesuatu dan sekali-kali tidak kepada yang lain, insya Allah.




Wallahu`alam





Jagalah Hati…



Wassalam