Popular Posts

Selasa, 31 Mei 2011

POHON TAKWA...



Hati manusia itu ibarat ladang tempat bertanam dan kita adalah petaninya. Setiap petani bebas menanam apa saja yang disukai dan menguntungkan di ladang miliknya. Dia bebas menentukan baja apa yang akan digunakan agar tanaman tumbuh subur. Dalam masa yang sama, dia juga bebas menggunakan racun serangga apa jua untuk menjaga tanamannya dari gangguan hama dan penyakit.


Demikianlah tamsil manusia dengan amalnya. Sejak lahir, di dalam setiap hati manusia, Allah swt menyimpan dua benih, iaitu benih fujur (kefasikan) dan benih takwa (kebaikan). Hal ini ditegaskan Allah swt dalam Al Quran, Asy-Syams: 8-10, "Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan merugilah orang yang mengotorinya."


Petani yang bijaksana tentu akan menanam benih takwa di ladang hatinya dan membiarkan benih fujur tumbuh kerdil dan merana. Dia akan memupuk benih takwa itu dengan Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw sebagai bahan utama. Lalu menyiraminya dengan air hikmah, berupa ucapan dan perilaku para salafus soleh.


Dalam masa yang sama, dia juga berusaha menjauhi segala bentuk maksiat agar tanaman terhindar dari hama dan penyakit. "Dan tanah yang subur, tanamannya tumbuh baik dengan izin Allah, sebaliknya tanah yang gesang tanamannya tumbuh kerdil ...." (QS 7:58).


Tanaman seperti inilah yang diumpamakan oleh Allah swt dalam Al Quran, surah Ibrahim: 24-25, "Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Robb nya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat."




Betapa indah pohon takwa Rasulullah saw. Bagitu ramai orang melemparkan pada Baginda saw dengan batu, cacian, dan berbagai fitnah, tapi Rasulullah saw selalu membalasnya dengan sebuah senyuman serta kasih sayang.


Begitu juga dengan pohon takwa Saidina Abu Bakar Siddiq, Saidina Umar bin Khattab, Saidina Usman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Thalib Radliyallahu anhum, dan para sahabat lainnya yang selalu berbuah Akhlaqul Karimah. Mereka, generasi pertama Islam yang selalu menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai rujukan utama, hingga Saidatina Aisyah ra menyebut akhlak Rasulullah saw sebagai Khuluquhul Quran (akhlak Rasulullah adalah Al Quran).


Bagaimana dengan generasi Islam saat ini, apa yang menjadi rujukan utama mereka dalam berucap dan bertindak? Pertanyaan inilah yang harus dijawab oleh para ibubapa dan pemimpin Islam saat ini. Wallahu  a'lam.




Jagalah Hati...

Wassalam.

Isnin, 30 Mei 2011

HADIS PALSU REJAB DAN SYA`ABAN...



Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.


Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi saw, begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.


Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.


Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.


Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi saw tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi saw dalam hadis yang mutawatir:


 “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).


Berbohong menggunakan nama Nabi saw adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi saw adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi saw secara dusta, yang mana Baginda saw tidak ada kaitan dengannya.


Ini seperti menyebut Nabi saw bersabda sesuatu yang Baginda saw tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang Baginda saw tidak pernah melakukannya.


Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi saw sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.


Namun menyandar sesuatu kepada Nabi saw secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasarkan apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi saw secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi saw” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).


Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.


Kedudukan Nabi saw tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi saw menyebut:


 “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi saw dan semua jenis pendustaan ke atas Baginda saw.” Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).








Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.


Kata al-Imam Ibn al-Salah, “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)


Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis:


 “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”


Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.


Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).


Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah menyebut, “Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi)”


Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.


Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)








Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.


Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, “Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah saw


Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi saw Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam” (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).


Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.


Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).


Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).


Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi saw


Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi saw dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”


Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.


Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.


Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).


Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.


Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw








Justeru, Hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.


Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.


Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.


Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”


Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.


Apa yang mereka pentingkan hanyalah redha orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.


Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).


Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi saw.





Jagalah Hati...




Wassalam.

Ahad, 29 Mei 2011

PARA PENDOA...


Limpahan puji ke hadirat Allah swt yang selalu naik kepada-Nya setiap getaran doa dari hati-hati suci mulai dari Abul Basyar Nabi Adam as hingga ke hari ini. Getaran doa dari hamba-hamba yang bermunajat ke hadirat Rabbul ‘alamin terus terlantun dan berkumandang dengan gema yang tidak didengari telinga, namun di dengar seluruh alam semesta, doa yang dengan sekelip mata telah sampai ke hadirat Allah yang Maha Esa dan dengan itu bercahayalah permukaan bumi dengan limpahan rahmat Ilahi dari hati para pendoa.


Allah swt berfirman, ” Dan kalau bukan kerana ada beberapa orang beriman lelaki dan perempuan yang tidak kamu ketahui, tentulah kamu akan membunuh mereka yang menyebabkan kamu ditimpa kesulitan tanpa kamu sedari, kerana Allah hendak memasukkan siapa yang Dia kehendaki ke dalam rahmat-Nya. Sekiranya mereka terpisah tentu Kami akan mengazab orang-orang yang kafir di antara mereka dengan azab yang pedih “. (QS Al Fath:25)


Saudara seakidahku…

Jika bukan kerana lelaki dan wanita beriman yang tidak diketahui kemuliaan doa dan zikir mereka yang bermunajat memohon keselamatan, kalau seandainya kelompok-kelompok itu tidak ada, para mukminin dan wanita solehah yang selalu berdoa kepada Allah meminta keselamatan di bumi, jika mereka itu tidak ada, nescaya Allah akan tumpahkan siksaan yang pedih bagi semua yang kufur terhadap kenikmatan Allah.


Saudara seakidahku…

Para pemilik jiwa luhur yang bercahaya dengan cahaya munajat, semakin hari semakin sedikit, semakin hari semakin berkurang. Sebagaimana Rasulullah saw bersabda,  “Orang-orang soleh telah pergi (wafat), satu per satu, sampai tidak tersisa seorang pun, kecuali manusia-manusia yang buruk, ibarat sampah gandum atau ampas kurma yang Allah tidak lagi mempedulikan mereka sedikitpun” (Bukhari)


Maka dari waktu ke waktu orang-orang soleh terus wafat, dan yang tersisa hanyalah para pemilik hati yang kosong dari keluhuran cahaya doa, jiwa yang penuh dengan hal-hal yang hina di sisi Allah Ta’ala bagaikan hampas gandum atau sampah yang tidak terlihat kemuliaannya di hadapan Allah Ta’ala, kerana hari-hari dan jiwanya penuh dengan hal-hal yang dihinakan Allah swt. Tiada lagi tersisa hati yang menginginkan Allah swt.


Di antara mereka, ada yang meminta ini dan itu, tapi adakah yang meminta Allah? Adakah yang meminta cinta-Nya ? Adakah yang meminta ingin dekat dengan-Nya ? Adakah yang meminta ingin dicintai-Nya ?, Adakah yang meminta ingin diredhai-Nya? Bagaimana yang Maha Mendengar melihat berbillion-billion doa hamba-Nya dan sedikit dari mereka yang meminta Zat-Nya untuk dekat, yang meminta Zat-Nya untuk mencintai? Terus menerus mereka meminta ini dan itu, lalu bilakah mereka meminta Zat Allah, meminta cinta Allah yang selalu ditawarkan, meminta pengampunan dan keredhaan Allah???


Semoga Allah swt menerangi sanubari kita semua dengan cahaya kemuliaan dan menjaga orang soleh serta memanjangkan usia mereka dalam kemuliaan dan kebahagiaan yang berada di tengah-tengah kita. Dan semoga Allah memanjangkan usia, dilimpahkan keberkatan para guru dan ulama kita dijaga oleh Allah untuk terus dipanjangkan usianya, kerana tersisanya hati mereka itu merupakan benteng-benteng bagi permukaan bumi atas turunnya bala dan bencana, kerana pengampunan turun sebab mereka meminta…


Berdoalah selalu, ” Wahai Allah berilah kami hidayah, seperti orang yang telah Engkau beri hidayah ”


Demikian indahnya hati muslim yang menginginkan turunnya hidayah bagi para pendosa di barat dan timur dari umat Muhammad saw dan menginginkan semua yang belum menyembah Allah agar diberi cahaya hidayah oleh Allah swt, merekalah pewaris hati jiwa yang luhur,iaitu Rasulullah Muhammad saw yang bermunajat sebagaimana riwayat Musnad Ahmad,


Baginda saw menghadap ke Yaman, menghadap ke Syam, menghadap ke barat dan timur dan ke seluruh penjuru dunia seraya berdoa ” Wahai Allah berilah sanubari mereka hidayah, datangkan hati mereka pada kemuliaan“. Rasulullah saw tidak sampai ke barat dan timur, namun doa Baginda saw sampai, hidayah terpancar di barat dan timur dengan bantuan doa Nabi Muhammad saw.


Saudara seakidahku…

Tiada henti-hentinya Allah swt memperindah dan memuliakan hati para pendoa di setiap waktu serta saat terus bergema dan gemuruh doa mereka, membuat keamanan dan keselamatan di sekitar kita. Allah swt, ” Tiadalah Allah akan menghukum mereka selama engkau ( Muhammad ) berada di antara mereka, dan tidaklah ( pula ) Allah menghukum mereka , sedang mereka masih memohon ampunan ”(QS. Al Anfal: 33)


Maka Allah tidak akan menumpahkan musibah selama Nabi Muhammad saw berada di antara mereka, dan tiada pula Allah swt akan menimpakan musibah selama masih ada di antara mereka yang memohon pengampunan kepada Allah atas dosa-dosa. Kalau masih ramai yang beristighfar, maka Allah tahan musibah itu, semakin banyak orang yang beristighfar maka semakin berkuranglah musibah bagi mereka dan bagi negeri mereka. Sebaliknya, jika semakin berkurang orang yang beristighfar kepada Allah, dan tidak peduli lagi atas dosanya maka yang Maha Pembersih dosa siap untuk mengikis dosa-dosa tersebut dengan ujian dan musibah.


Saudara seakidahku…

Pisau jika sudah berkarat tentunya harus diasah kembali, apatah lagi keadaan hati kita. Jika kita tidak berusaha menajamkan sendiri, maka ia harus ditajamkan oleh Pemilik hati tersebut. Oleh sebab itu, tajamkanlah sentiasa. Apa yang saya maksudkan ialah selalu basuh dosa-dosa kita dengan istighfar, dan dari banyaknya dosa yang telah kita perbuat, maka perbanyaklah berbuat amal pahala. Sebagaimana firman Allah swt, ” Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu menghapus kesalahan ( dosa-dosa ) “. (QS Hud: 114)


Jagalah Hati…

Wassalam

Sabtu, 28 Mei 2011

MENGHIDUPKAN CAHAYA HATI...


Pernahkah kita merasakan kegelisahan hati dan fikiran? Seperti, kita tidak tahu apa yang harus dilakukan, sedangkan pekerjaan sebenarnya berbukit di hadapan kita? Pernahkah kita merasakan beban hidup yang terasa berat dan berkumpul di kepala kita, hingga kita merasakan tidak tahu bagaimana untuk menguranginya? Pernahkah kita merasakan tekanan dan himpitan ekonomi yang menghalang setiap langkah kehidupan kita, tubuh terasa lemah dan longlai, tidak tahu harus melangkah ke mana? Pernahkah kita merasakan kegelisahan hati yang mendalam, tubuh bergetar dan semuanya menjadi serba tidak kena dan serba salah? Kalau hal-hal seperti itu menimpa diri kita, ia bermakna kita berada dalam kegelapan cahaya hati.


Sekarang bayangkan orang yang hidup dalam kegelapan tanpa disinari cahaya, tentu sahaja semuanya serba gelap, Kita hanya berpusing-pusing dan menyibukan diri sendiri, tetapi sebenarnya tidak melangkah ke manapun. Kita merasakan setiap langkah yang di atur sentiasa tersandung dan serba tidak beraturan. Inilah perumpaan bagi manusia yang sedang dalam kegelapan hidup. Hal yang sama juga berlaku jika kita tidak menemukan cahaya hati dalam diri sendiri. Mereka yang hidup dalam kegelapan cahaya hati bagaikan berada dalam gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya masih dipenuhi ombak-ombak lautan, di atasnya lagi awan gelap gulita yang bertindih-tindihan.



Bagaimana caranya menemukan cahaya hati ?.



Cahaya hati sesungguhnya bersumber dari cahaya Illahi yang akan menerangi hati kita. Menemukan cahaya hati bererti kembali kepada jati diri atau fitrah kita sebagai manusia yang jernih dan bersih. Kembali kepada hati yang tanpa tertutup pelbagai belenggu yang menutup cahaya hati. Sesungguhnya dalam hati ini sudah ditiupkan sifat-sifat mulia anugerah Allah pada saat proses penciptaannya.


Cubalah bercermin dan lihatlah kita ke dalam cermin, berapa banyak pakaian kesombongan, pakaian riya’, pakaian dengki, pakaian takabur yang kita kenakan? Berapa banyak pengalaman masa lalu yang negatif, pakaian ego peribadi, pakaian pengaruh sudut pandang yang salah yang menyesatkan dalam diri? Mari kita tanggalkan pakaian-pakain itu yang menyelimuti hati kita dari cahaya hati yang jernih dan tajam.


Tanggalkan pakaian kesombongan hati dengan sikap rendah hati. Tidak ada yang layak pun untuk disombongkan manusia dalam hidup ini.


Tanggalkan pakaian dengki dan gantikan dengan cinta dan kasih sayang.


Tanggalkan pakaian takabur dan gantikan dengan kesedaran diri sebagai hamba dan abdi Allah semata-mata.


Buanglah pakaian prasangka negatif dengan mengembangkan sikap positif dalam setiap langkah kaki ke hadapan.


Kendalikan ego diri dengan menumbuhkan sikap empati kepada orang lain.


Buanglah pengaruh sudut pandang negative, mahupun pengalaman hidup lampau yang negatif.


Hindarlah prinsip hidup yang salah dengan kembali dalam kejernihan jati diri yang bersumber dari hati.



Kejayaan dan kemuliaan dalam hidup tidak akan dapat diraih hanya dari keupayaan fizikal diri dan kecerdasan akal fikiran. Lebih dari itu, kita memerlukan kecerdasan hati dan kemampuan menemukan cahaya hati yang bersumber dari cahaya Illahi.


Berbahagialah mereka yang dapat menghidupkan cahaya hatinya, kerana mereka yang dapat mengenali cahaya hatinya akan dapat menggapai kehidupan yang penuh keagungan yang memandang kehidupan jauh ke depan dengan hati jernih. Hidupnya akan dipenuhi cahaya terang dengan pelbagai kemudahan serta kelapangan.


Moga kita saling mendapat manfaat.


Jagalah Hati…

Wassalam.


Jumaat, 27 Mei 2011

MENGGAPAI MAKRIFAT...


Al-Wali adalah salah satu asma Allah yang bererti Allah Maha Melindungi. Allah menciptakan kesulitan supaya kita mencari perlindungan-Nya. Allah pelindung bagi orang yang beriman dengan menerangi dari kegelapan ke cahaya iman. Hal yang paling nikmat dari perlindungan Allah adalah diberi ketebalan iman. Pertolongan Allah dapat juga  berupa menjauhkan dari apa yang kita inginkan kerana Allah mengetahui hal itu akan menjauhkan kita daripada Allah swt. Perlindungan dari Allah adalah anugerah yang membuat kita mampu bersikap redha apa jua yang terjadi dengan cara yang terbaik menurut Allah. Inilah yang kita dambakan.

Orang yang paling beruntung dalam hidup ini adalah orang yang berhasil mengenal Allah. Semua kenikmatan itu kecil jika dibandingkan nikmat mengenal Allah. Orang yang tidak mengenal Allah akan selalu kalut dengan masalah dunia hingga ia mengorbankan kemuliaan, harga diri dan ketenangannya. Orang yang bersungguh-sungguh kepada Allah, maka Allah akan bersungguh-sungguh kepadanya. Dalam Hadis Qudsi dinukilkan,  “Jika seorang hamba Allah mendekat sejengkal, maka Allah akan mendekat setapak, jika kita setapak, maka Allah satu hasta, kalau kita berjalan ke arah Allah, maka Allah akan memburu hamba-Nya dengan berlari-lari kecil”.

Jadi kita semua berpeluang dekat dengan Allah. Syaratnya adalah jihad atau bersungguh-sungguh kepada Allah. Sempurnakan sekecil apapun pengabdian kita kepada Allah. Jika kita tidak dapat melakukan  yang besar-besar, lakukanlah yang kecil dahulu, tetapi bersungguh-sungguh. Contohnya, seperti solat tepat pada waktunya. Kerapian diri seharusnya dijaga ketika hendak solat. Ketika masuk masjid, cari saf yang paling depan. Para sahabat Rasulullah saw diriwayatkan sentiasa berebut untuk berada di saf paling hadapan.

Maka jangan mengharapkan untuk mengerjakan yang besar. Hal besar yang baik adalah rangkaian dari hal-hal kecil yang baik. Marilah kita dekati Allah dengan yang kecil-kecil dulu. Sekecil apapun amal kita, maka tetap akan sempurna perhitungannya oleh Allah. Marilah perbaiki solat, dimulai dengan wuduk dengan nikmat. Dari wuduk hingga menjelang saat solat, berzikirlah mengingati Allah dan minta diberi kenikmatan solat yang khusyuk. Badan memakai wangi-wangian, kalau perlu bersiwak dahulu. Sempurnakanlah. Rasakan kenikmatan solat.

Padahal, berkomunikasi selama 10 minit sesama manusia tanpa terasa masa yang berlalu, jadi kenapa solat di hadapan Allah swt tidak kita sempurnakan….?

Ketika keluar dari masjid bersesak-sesak, padahal dapat dijadikan amal dengan mendahulukan orang tua. Ketika kehilangan alas kaki beristigfar dan berbaik sangkalah dengan begitu akan sempurna episod kehilangan alas kaki kita. Tidak ada keadaan yang kebetulan dalam hidup ini, kerana semua kejadian terjadi dengan perhitungan Allah yang Maha Sempurna.  Jangan sampai urusan dunia mencuri hati kita.

Yang penting, kita ikhtiarkan dengan menyempurnakan tiap episod dari seharian hidup kita dengan apa yang ada, soal hasil akhir, sama ada untung atau rugi, itu adalah urusan Allah swt. Jadikan setiap langkah menjadi amal untuk bekal mati kita.

Sebelum tidur berwuduk, baca Al-Quran walau cuma sepuluh ayat dan maafkan semua orang yang kita temui hari ini. Mati dalam tidur seperti ini, insya Allah mati dengan keadaan berzikir. Bila bangun tidur, bacalah doa dan bergegaslah ke bilik mandi sambil bersyukur ketika dibangunkan oleh Allah swt di seperempat malam untuk solat Tahajjud. Doakan orang-orang sekeliling kita agar dapat bersama menghidupkan malam.

Berzikirlah supaya kita beruntung. Jangan sempatkan hati ini di isi dengan kebencian. Setiap kita yang punyai musuh, maka kotorlah hati kita. Biarlah wang berkurang, asalkan hati kita tidak miskin. 

Usahakanlah bermatlamat  setiap pagi sebelum keluar rumah, “Tidak boleh ada apa pun yang mencuri hati ini selain Allah swt”.

Setiap orang harus memiliki misi dakwah kedamaian. Jangan awali sesuatu dengan kebencian. Walhamdulillahirobbil’alamiin….

Moga kita sama-sama dapat mengambil manfaat.

Jagalah Hati…

Wassalam.

Khamis, 26 Mei 2011

BERNIAGA DENGAN HATI, BEKERJA DENGAN CINTA...


 “Barangsiapa yang menjadikan dunia ini sebagai satu-satunya tujuan akhir (yang utama), nescaya Allah akan menyibukkan dia dengan (urusan dunia itu) dan Allah akan membuatnya miskin seketika, dan ia akan tercatat (ditakdirkan) merana di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuan akhirnya, Allah akan mengumpulkan teman-teman untuknya dan Allah akan membuat hatinya kaya dan dunia akan takluk dan menyerah kepadanya.” Al-Hadis



Setiap orang yang bekerja atau menjalankan perniagaan tentu sudah memiliki mimpi-mimpi yang menjadi tujuan hidupnya. Sebahagian dari mereka memiliki visi atau tujuan yang jauh ke hadapan berdasarkan nilai-nilai suara hati nuraninya, sedangkan yang lain hanya berkeinginan menjadi seorang usahawan terkenal dan kaya raya. Bagi mereka yang berniaga dengan hati nurani, menjadi usahawan kaya raya bukanlah menjadi tujuan akhirnya. Memiliki kekayaan berlimpah bukanlah tujuan utamanya, melainkan sebagai sarana untuk memperbanyak kebaikan dan memperkaya jiwanya.


Keuntungan atau “profit” adalah penting dalam berniaga, walaupun demikian, keuntungan bukanlah tujuan akhirnya, kerana keuntungan dipandang sebagai sarana memberikan manfaat bagi orang lain sebanyak-banyaknya. Dengan kata lain, mereka memiliki keinginan memperkaya harta dan memperkaya jiwanya secara seimbang. Ini kerana, berniaga adalah sebahagian daripada ibadah yang harus dipertanggungjawabkan kepada Allah yang Maha Esa di kemudian hari.


Dalam perniagaan, keuntungan atau “profit” adalah darah bagi kehidupan usaha tersebut. Maka, hampir semua usahawan sepakat bahawa keuntungan adalah hal yang harus diperjuangkan demi perkembangan usaha niaganya. Bagi mereka yang hanya dimotivasikan oleh kepentingan materialisme, maka dalam berniaga lebih membawa nilai-nilai materialisme, mendahulukan kepentingan keuntungan harta yang sebanyak-banyaknya. Akibatnya, banyak usahawan yang rela melakukan berbagai penyelewengan etika, menempuh cara-cara yang kurang terpuji, mempercayai unsur-unsur mistik demi keuntungan wang semata.


Seringkali mereka tidak menyedari bahawa sesungguhnya nilai keuntungan itu bukan semata-mata diukur dari besarnya wang yang dibukukan. Mereka, cenderung melakukan pelbagai cara asalkan dapat mendatangkan kekayaan material bagi hidupnya. Kesannya, mereka mudah mengabaikan nilai-nilai murni dalam hatinya, demi meraih keuntungan. Inilah yang menjadikan ramai orang kehilangan makna kejayaan yang diperolehinya. Keberhasilan usaha dan harta yang dimilikinya tidak memberikan nilai tambah bagi kemuliaan dan kebahagiaan tertinggi hidupnya.


Mereka begitu sibuk mencari berbagai cara dan alternatif demi memaksimumkan pendapatan dan keuntungan perniagaan. Bahkan tidak sedikit yang tanpa disedarinya, telah dikuasai dan dikendalikan oleh kepentingan material ini, hingga mengabaikan nilai-nilai kebenaran. Secara mata kasar juga, kita dapat melihat kebanyakkan orang yang tenggelam dengan penyelewengan dan penipuan dalam dunia perniagaan adalah orang-orang yang terlena dengan kekayaan harta, sehingga mereka mengabaikan nilai-nilai Islam dalam hatinya. Mereka ini menjadi manusia yang begitu mendewakan harta kekayaan dan men-Tuhankan harta kekayaan.



Perniagaan sesungguhnya memiliki makna yang luas, bukan semata-mata dinilai dari keuntungan wang, namun ada makna yang lebih tinggi dari keuntungan material. Dalam berniaga, selain untuk meraih unsur-unsur material, kita juga perlu mempertimbangkan agar perniagaan yang kita lakukan, produk yang kita hasilkan dapat memberikan sumbangan kebaikan dan manfaat bagi orang lain sebesar-besarnya. Dengan demikian, berniaga akan selalu mempertimbangkan nilai-nilai etika, moral dan hati nurani.


Menurut Henry David Thoreau, “A man is rich in proportion to the things he can afford to let alone. – Seseorang yang mampu hidup sederhana, maka ia tidak akan pernah merasa kekurangan.” Maknanya, kita perlu mengembangkan budaya positif dalam berniaga, bukan hanya berorientasi pada kekayaan dan hidup kemewahan, melainkan berorientasi pada manfaat kebaikan bagi banyak orang lain.


Sesungguhnya perniagaan merupakan panggilan mulia dalam kehidupan, kerana perniagaan dapat menjadi jalan bagi seseorang untuk memperkaya harta kekayaan dan menggunakannya untuk memperbanyak kebaikan bagi orang lain. Ia juga dapat menjadi jalan memperolehi makna kehidupan dan kebahagiaan sejati melebihi nilai-nilai materialisme. Berniaga dapat menjadi lading amal dari ibadah dan bentuk pengabdian kita kepada Allah, jika dijalankan dengan mengutamakan nilai-nilai kebenaran. Perniagaan adalah juga sebahagian dari melayani orang lain dan harus dipertanggungjawabkan kepada Allah swt.


Mereka yang berniaga dengan berorientasikan kepada manfaat kebaikan bagi orang lain, menjadikan usahanya adalah jalan untuk meraih keberkatan hidup. Dengan demikian, mereka tidak mudah dikendalikan oleh nafsu kekayaan berlebihan, tidak serakah dan tamak akan harta kekayaan dan kekuasaan berlebihan. Meskipun mungkin dapat hidup serba mewah dan moden dengan keuntungan usaha yang diperolehnya, namun tetap menjalani hidup sederhana dan lebih senang memberikan manfaat kebaikan kepada orang ramai. Hidup sederhana bukan bererti tidak memanfaatkan segala kemudahan yang memungkinkan kita lebih maju, melainkan ia memberi makna hidup berhemat, tidak boros atau berlebih-lebihan dan memiliki keprihatinan yang tinggi kepada orang lain yang memerlukan di sekeliling kita. Wallahu`alam.


SEMOGA BERMANFAAT.



Jagalah Hati…

Wassalam.

Selasa, 24 Mei 2011

TIADA DAYA UPAYA...


Seseorang hamba Allah swt yang menghayati bahawasanya, tiada yang berkuasa dalam kewujudan ini dengan kuasa yang mutlak melainkan Allah swt, pasti akan merasakan kekurangan dan kelemahan diri di hadapan Allah swt. Pada ketika itu, penyaksian hatinya terhadap kekuasaan Allah swt membuatkan dirinya sentiasa merasakan dirinya memerlukan Allah swt dalam setiap saat kerana pada hakikatnya, tiada daya dan upaya bagi seseorang melainkan dengan bantuan Allah swt.


Allah swt yang menganugerahkan nikmat keupayaan dan kuasa dalam diri seseorang manusia dalam rangka untuk berusaha dan melakukan perbuatannya. Namun kuasa dan keupayaan yang terkandung dalam diri seseorang tidak terlepas daripada kekuasaan Allah swt kerana sifat keupayaan yang dimiliki oleh manusia adalah daripada sifat kuasa Allah swt itu sendiri.


Seseorang yang menghayati perasaan ini adalah orang yang telah pun terlahir pada dirinya makna La Haula wa La Quwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah). Ungkapan tauhid ini mengandungi rahsia keagungan ketuhanan Allah swt dan rahsia ketinggian kehambaan seseorang hamba itu sendiri jika dia menghayatinya lalu menterjemahkannya ke dalam kehidupan.


Seseorang yang tenggelam dalam lautan penyaksian wahdah (kesatuan sifat-sifat Allah) pasti menghayati bahawasanya manusia dan seluruh alam ini tidak pernah terlepas daripada kekuasaan Allah swt. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak mampu untuk keluar daripada kehambaan diri mereka kepada Allah swt lalu memilih untuk tidak mentaatiNya kerana penghayatan terhadap rasa kelemahan diri di hadapan kekuasaan Allah swt.


Adapun orang yang lalai daripada penghayatan ini adalah orang yang terkeliru dalam memahami erti dirinya sendiri dan erti kehidupan di sekelilingnya sehingga terhijab daripada hakikat bahawasanya dia tidak terlepas daripada kekuasaan Allah swt. Hijab orang yang lalai tersebut adalah dirinya sendiri di samping makhluk-makhluk di sekelilingnya sehingga dia menyangka bahawasanya yang berperanan dalam memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya adalah dirinya sendiri dan makhluk-makhluk di sekitarnya, sedangkan pada hakikatnya, hanya Allah swt jua yang Maha Pemberi Manfaat dan Maha Menolak Kemudaratan.


Namun, kerana seseorang yang lalai itu terhijab dengan perbuatan-perbuatan Allah swt (af’aal) melalui makhluk-makhlukNya (infi’al), maka dia gagal menghayati makna sebenar kewujudan seluruh makhluk tersebut, iaitu untuk menjadi tanda kepada kewujudan dan keesaan Allah swt yang Maha Zahir melalui perbuatan-perbuatanNya. Mereka yang terus terhijab dalam kepompong hukum sebab musabab, kepompong adat tabi’e dan sebagainya sebenarnya tidak dapat menghayati konsep Qudrat (kekuasaan), Iradah dan ilmu Allah swt dalam kehidupannya.


Rasulullah saw menyebutkan kepada Syaidina Ibn Abbas ra bahawasanya, jika seluruh makhluk berhimpun untuk menegah apa yang dikehendaki oleh Allah swt ke atas seseorang itu, nescaya makhluk-makhluk tersebut tidak mampu untuk menegah ketentuan Allah swt kepada orang tersebut. Begitulah juga sebaliknya. (hadith sahih. Sila rujuk Al-Ar’biin oleh Imam An-Nawawi).


Rasulullah saw mengajar konsep sebenar kekuasaan Allah swt dan betapa lemahnya makhluk di hadapan kekuasaan Allah swt. Aqidah ini jika diterjemahkan dalam diri seseorang muslim, maka dia akan menghadapi kehidupan ini dengan penuh ketergantungan hati kepada Allah swt tanpa rasa kebimbangan terhadap masa hadapan dan sebagainya.


Apa yang dikerjakan adalah apa yang dituntut oleh Allah swt dan tidak perlu risau apa yang dijamin oleh Allah ke atas dirinya. Allah jua yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.


Berhati-hatilah, janganlah seseorang itu, tatkala mengetahui bahawasanya hanya Allah swt yang Maha Berkuasa dalam kehidupan ini, maka dia pun meninggalkan “berusaha” dan beramal dalam kehidupan ini, kerana mendakwa bahawa apa yang ditentukan oleh Allah swt pasti datang walaupun tidak berusaha.


Ini sebuah angan-angan yang bohong. Ia juga merupakan bahasa orang-orang yang leka dan tertipu dengan kemalasan diri semata-mata. Sesungguhnya Allah swt sentiasa menyuruh para hambaNya berusaha dalam rangka menunaikan tugas kehambaan diri kepada Allah swt. Oleh yang demikian, usaha yang kita lakukan, kita lakukan kerana ia adalah perintah Allah dan dilakukan sebagai ibadah, bukan kerana kita bergantung kepada usaha kita.


Kita tidak boleh mengabaikan sifat upaya dalam diri kita yang dianugerahkan oleh Allah swt untuk menjadi pemalas dengan tidak melakukan apa-apa dalam kehidupan ini, kerana selaku hamba, kita perlulah mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt kepada kita sama ada ibadah tersebut adalah ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya mahupun ibadah umum seperti mencari rezeki dan sebagainya.


Dalam pegangan ahlus-sunnah, mereka menetapkan konsep Al-Kasb iaitu usaha bagi hamba-hamba Allah yang faham akan hakikat kehambaan diri. Usaha adalah sesuatu yang dituntut oleh Allah swt ke atas kita kerana Dia telah pun menganungerahkan akal dan keupayaan dalam diri kita untuk melakukan tugas-tugas kehambaan dalam kehidupan seharian.


Imam Abdullah As-Syarqowi berkata, “Adapun mazhab ahlus-sunnah bahawasanya perbuatan-perbuatan semuanya terbit dengan Qudrat Allah semata-mata. Namun dalam masa yang sama, masih menetapkan wujudnya qudrat bagi hamba walau pun mereka menafikan qudrat hamba memberi kesan. Bagi seorang hamba itu masih ada bahagian untuk memilih (kurniaan Allah) yang daripada itulah dihitung untuk diberi pahala atau disiksa”.


Imam Junaid Al-Baghdadi ra ketika diberitahu tentang golongan yang meninggalkan amal lalu menjawab: “Sesungguhnya golongan arifin itu mengambil amal daripada Allah (maksudnya: tidak meninggalkan amalan), dan kepada-Nya jua mereka kembalikan amalan tersebut (dengan melakukan amalan kerana-Nya dan dengan-Nya)…”
Wallahu a’lam…

Jagalah Hati...

Wassalam.

Isnin, 23 Mei 2011

KENALKAH ALLAH...?


Suatu hari, ketika kita sedang asyik dengan urusan kerja seharian, tiba-tiba rakan baik kita bertanya, “APAKAH KAMU SUDAH MENGENAL ALLAH…?”

Pertanyaan ini mungkin jarang sekali kita dengar. Bahkan, bagi kebanyakkan orang, mereka akan terasa aneh dengan persoalan tersebut. Padahal, mengenal Allah dengan benar, iaitu dengan makrifatullah merupakan sumber ketenteraman hidup di dunia mahupun di akhirat. Orang yang tidak mengenal Allah, pasti tidak akan mengenal kemaslahatan dirinya, melanggar hak-hak orang lain, menzalimi dirinya sendiri, dan menebarkan kerosakan di atas muka bumi tanpa sedikitpun mengenal rasa malu.
Berikut ini, sebahagian ciri-ciri atau tanda aras dari al-Quran dan as-Sunnah serta keterangan para ulama salaf yang dapat kita jadikan sebagai pedoman dalam menjawab pertanyaan di atas…

 PERTAMA : Orang Yang Mengenal Allah Merasa Takut Kepada-Nya.

Allah berfirman, “Sesungguhnya yang merasa takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya adalah orang-orang yang berilmu saja.” (QS. Fathir: 28)

Ibnu Qayyim rahimahullah berkata, “…Ibnu Mas’ud pernah mengatakan, ‘Cukuplah rasa takut kepada Allah sebagai bukti keilmuan.’ Kurangnya rasa takut kepada Allah itu muncul akibat kurangnya pengenalan, iaitu makrifat yang dimiliki seorang hamba kepada-Nya. Oleh sebab itu, orang yang paling mengenal Allah ialah yang paling takut kepada Allah di antara mereka. Barangsiapa yang mengenal Allah, nescaya akan menebal rasa malu kepada-Nya, semakin dalam rasa takut kepada-Nya, dan semakin kuat cinta kepada-Nya. Semakin pengenalan itu bertambah, maka semakin bertambah pula rasa malu, takut dan cinta tersebut….” (Thariq al-Hijratain, dinukil dari adh-Dhau’ al-Munir ‘ala at-Tafsir 5/97)


KEDUA :Orang Yang Mengenal Allah Mencurigai Dirinya Sendiri.

Ibnu Abi Mulaikah, salah seorang tabi’in berkata, “Aku telah bertemu dengan tiga puluh orang sahabat Rasulullah saw, sedangkan mereka semua merasa sangat takut kalau-kalau dirinya tertimpa kemunafikan.” (HR. Bukhari secara mu’allaq).

Suatu ketika, ada seseorang yang berkata kepada asy-Sya’bi, “Wahai sang alim.” Maka beliau menjawab, “Kami ini bukan ulama. Sebenarnya orang yang alim itu adalah orang yang sentiasa merasa takut kepada Allah. (dinukil dari adh-Dhau’ al-Munir ‘ala at-Tafsir 5/98)


KETIGA : Orang Yang Mengenal Allah Mengawasi Gerak-Geri Hatinya

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, “..Hati yang telah disibukkan dengan kecintaan kepada selain Allah, keinginan terhadapnya, rindu dan merasa tenteram dengannya, maka tidak akan mungkin baginya untuk disibukkan dengan kecintaan kepada Allah, keinginan, rasa cinta dan kerinduan untuk bertemu dengan-Nya kecuali dengan mengosongkan hati tersebut dari ketergantungan terhadap selain-Nya”.

“Lisan juga tidak akan mungkin digerakkan untuk mengingati-Nya dan anggota badan pun tidak akan tunduk berkhidmat kepada-Nya kecuali apabila ia dibersihkan dari mengingati dan berkhidmat kepada selain-Nya. Apabila hati telah dipenuhi dengan kesibukan dengan makhluk atau ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat, maka tidak akan tersisa lagi padanya ruang untuk menyibukkan diri dengan Allah serta mengenal nama-nama, sifat-sifat dan hukum-hukum-Nya…” (al-Fawa’id, hal. 31-32)


KEEMPAT : Orang Yang Mengenal Allah Selalu Mengingati Hari  Akhirat.

Allah swt berfirman, “Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, maka akan Kami sempurnakan baginya balasan amalnya di sana dan mereka tidak sedikitpun dirugikan. Mereka itulah orang-orang yang tidak mendapatkan apa-apa di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah apa yang mereka perbuat serta sia-sia apa yang telah mereka kerjakan.(QS. Huud: 15-16)

Rasulullah saw bersabda, “Bersegeralah dalam melakukan amal-amal, sebelum datangnya fitnah-fitnah (ujian dan malapetaka) bagaikan potongan-potongan malam yang gelap gulita, sehingga membuat seseorang yang di pagi hari beriman, namun di petang harinya menjadi kafir, atau petang harinya beriman, namun di pagi harinya menjadi kafir, dia menjual agamanya demi mendapatkan kesenangan duniawi semata.” (HR. Muslim)


KELIMA : Orang Yang Mengenal Allah Tidak Tertipu Oleh Harta.

Rasulullah saw bersabda, “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya perbendaharaan dunia. Akan tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah rasa cukup di dalam hati.” (HR. Bukhari).

Rasulullah saw bersabda, “Seandainya anak Adam itu memiliki dua lembah emas, nescaya dia akan mencari yang ketiga. Dan tidak akan mengenyangkan rongga perut anak Adam selain tanah. Dan Allah akan menerima taubat siapa pun yang mahu bertaubat.” (HR. Bukhari)


KEENAM : Orang Yang Mengenal Allah Akan Merasakan Manisnya Iman.

Rasulullah saw bersabda, “Ada tiga perkara, barangsiapa memilikinya, maka dia akan merasakan manisnya iman…” Di antaranya, “Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada segala sesuatu selain keduanya.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Rasulullah saw juga bersabda, “Akan dapat merasakan lazatnya iman orang-orang yang redha kepada Robb nya, redha Islam sebagai agamanya, dan Muhammad sebagai Rasul.” (HR. Muslim).


KETUJUH : Orang Yang Mengenal Allah Tulus Beribadah Kepada-Nya.

Rasulullah saw bersabda, Sesungguhnya setiap amal itu dinilai berdasarkan niatnya. Dan setiap orang hanya akan mendapat balasan sebatas apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya (tulus) kerana Allah dan Rasul-Nya, nescaya hijrahnya itu akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana perkara dunia yang ingin dia gapai atau perempuan yang ingin dia nikahi, itu ertinya hijrahnya akan dibalas sebatas apa yang dia inginkan saja.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Rasulullah saw turut bersabda, Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kalian, tidak juga harta kalian. Akan tetapi yang dipandang adalah hati dan amal kalian.” (HR. Muslim).

Ibnu Mubarak rahimahullah mengingatkan, “Betapa banyak amalan kecil yang menjadi besar kerana niat. Dan betapa banyak amalan besar menjadi kecil gara-gara niat. (Jami’ al-’Ulum wal Hikam oleh Ibnu Rajab).



Demikianlah, sebahagian ciri-ciri orang yang benar-benar mengenal Allah. Semoga Allah memberikan taufik kepada kita untuk termasuk dalam golongan mereka. Amin…

Wallahu`alam


Jagalah Hati…

Wassalam.