Popular Posts

Selasa, 8 November 2016

MATEMATIK TAMBAHAN : CARA SKOR A





Kertas Matematik Tambahan akan tiba tidak berapa lama lagi. Timbul satu persoalan menarik tentang Addmath yang anda ambil? Bolehkah aku skor “A” Addmath tahun ini? 



Izinkan saya menjawab soalan anda di atas. Ya, anda mampu. Memang anda boleh skor “A” kalau anda mahu. Tetapi ada syarat-syaratnya. Sebelum saya memberitahu anda syarat-syaratnya dan bagaimana anda mampu mendapat “gred A” di dalam Addmath, mari kita ikuti dulu sebuah cerita yang saya alami tengahari tadi. 



Kejadian itu berlaku sekitar jam 11.30 pagi. Masa itu saya sedang mengajar Matematik. Tiba-tiba ada seorang hamba Allah memberitahu saya bahawa ada seorang pelajar bernama A terkena “hysteria” di bilik masakan di Blok C. 



Saya kenal sangat pelajar yang dimaksudkan. Dia tinggal di asrama dan sudah beberapa kali mengalami hysteria. Tiba berhampirannya, saya mendapati matanya terpejam dan mulutnya enggan bersuara. 



Saya pujuk cara lembut supaya “benda” yang ada dalam tubuhnya keluar cara lembut dan sopan. Mari kita selesaikan cara elok. Tak baik kalau saya berkeras atau menengking. Lagi pun, itu bukan perangai saya. Tetapi “benda” tu degil dan tidak mahu keluar. Hiss, meluat betul saya dengan perangai degil macam tu. Degil macam tu menyusahkan saya. 



Segera saya sediakan “air-garam” dan membaca beberapa surah yang berkenaan ke atasnya. Saya minumkan air itu ke dalam A



Seketika kemudian, dia tertidur. “Benda” yang ada dalam tubuhnya dah XXXX. Maaflah ya. Hang degil sangat. Lain kali, kalau aku sebut “air garam”, hang atau anak-cucu hang atau kawan-kawan hang kena faham maksudnya. Jangan buat aku marah. Aku ni banyak kerja. Tak ada masa nak layan karenah hang. 



Berbalik kepada cerita nak skor Addmath tu, saya sebutkan dahulu syarat-syaratnya. Ada 3 syarat. 



[1] Anda mesti bercita-cita besar untuk dapat gred “A”. Kalau sekadar hangat-hangat tahi ayam, baik tak payah baca entri saya ni. 


[2] Masa trial dulu, anda dah dapat A atau B atau C. Kalau dapat D atau E, boleh juga anda baca tetapi janganlah berlebih-lebihan sangat dalam mengimpikan gred A. Takut tak tercapai. 


[3]. Anda berani katakan YA kepada apa yang saya suruh ni. Kalau anda berani kata YA, teruskan pembacaan entri ni. Kalau TIDAK, elok anda berhenti sahaja di sini. 




MARI KITA MULAKAN...




KERTAS 1 


[1] Elok anda beli buku Addmath Soalan Past Year. Beri tumpuan (fokus) kepada soalan-soalan Addmath yang lepas, terutama 2013, 2014 dan 2015 


[2] Bagi setiap soalan yang anda jawab, buat 4 soalan (klon) tambahan setiap satunya. Anda buat sendirilah. Mudah aje caranya. Anda sekadar tukar anu. 


[3] Maka itu bererti, untuk Addmath soalan Past Year 2013, anda dah jawab 25 soalan sebenar dan 75 soalan klon. Jumlahnya 100 soalan. 


[4] Jika anda mengulangi perkara yang sama untuk Soalan Past Year 2014 dan 2015, anda telah menjawab 300 soalan Kertas 1. 


[5] Sebagai tambahan dan sebagai penguat cita-cita anda, elok anda jawab soalan-soalan Percubaan dari MRSM, SBP dan dari beberapa negeri lain. Ia bertujuan supaya anda tidak terlepas pandang dari sebarang perubahan BENTUK SOALAN 



Selamat Berjaya untuk Kertas Satu. 




KERTAS 2 


Untuk menjawab Kertas Dua dengan baik, saya syorkan anda perkara-perkara berikut. 


[1] Menjawab kesemua soalan-soalan Percubaan yang sampai kepada anda, tetapi fokus kepada soalan dari MRSM, SBP, Perak, Kelantan, Pahang dan Johor. 


[2] Kebiasaannya, soalan-soalan yang saya sebutkan di atas mempunyai banyak persamaan di antara mereka. Kalau wujud perbezaan, maka cuba jawab semua soalan yang berbeza itu. Tetapi jangan pula anda lupa kepada soalan-soalan Past Year, seperti yang saya ceritakan kat atas.(2013 - 2015). 


Anda jawab semua soalan Kertas 2 pada tahun-tahun berkenaan serta membuat 3 soalan (klon) tambahan untuk memahirkan diri. 



INGATAN 1 


Anda mempunyai masa 12.5 minit untuk setiap soalan Kertas 2. Jangan tergesa-gesa sehingga anda cuai atau lalai. Semak semua tanda + dan - , terutama dalam kurungan atau bila anda membuat pemfaktoran. 



INGATAN 2 


Sila buat semakan jawapan untuk bahagian (a). Contohnya, anda dikehendaki cari nilai sudut ABC dalam Penyelesaian Segitiga. Pastikan nilai sudut tersebut betul walau pun anda mesti melakukan kerja anda sampai 2X. Ia penting kerana nilai tersebut diperlukan pada soalan-soalan berikutnya. 


[3] Bagi Bahagian A, soalan No 1 (Persamaan Serentak) semuanya hampir sama.. Anda mesti gunakan rumus untuk dapat nilai x dan y. Walau pun tajuk ini kelihatan mudah, namun ramai pelajar jarang mendapat markah penuh. Secara purata, mereka dapat 2 atau 3 markah sahaja. Untuk membantu anda faham 100% cara nak menjawab soalan ini, bandingkan teknik jawapan anda dengan jawapan dalam koleksi soalan Past Year mana-mana tahun sebagai rujukan. Telitikan jawapan anda dan bandingkannya dari sudut penggunaan rumus, jumlah bilangan jawapan, teknik perletakan jawapan dan bilangan titik perpuluhan yang digunakan. Buat beberapa soalan sehingga anda mahir mengenainya. Kalau anda masih keliru, rujuk guru anda untuk kepastian.. . 



[4] Bagi kes soalan No 2 (Penyempurnaan Kuasa 2 atau Indeks dan log atau graf dalam Trigo), elok anda mahirkan diri anda dalam ketiga-tiga tajuk di atas. Semak semua soalan Percubaan yang anda baca.. Saya melihat trend terbaru No 2 terdiri daripada Indeks dan Log atau graph dalam Trigo. Kedua-dua soalan ini kelihatan agak payah. 



Sebelum SPM, anda mesti mahirkan diri anda secukupnya. Tetapi jangan pula lupa kepada Penyempurnaan Kuasa 2. Anda pun mesti menguasainya. 




NASIHAT SAYA. 



Jika anda rasa soalan No 2 ini agak payah, KIV dulu. Teruskan kepada soalan berikutnya. Jangan habiskan masa kat situ. 



[5] Bagi Bahagian A, soalan No 3 (Janjang), perbezaan bentuk soalan selalu berlaku pada setiap tahun. Elok anda baca semua soalan Percubaan anda untuk melihat pembezaannya. Anda jangan panik tentang Janjang. ANDA MESTI SKOR TAJUK INI. 



[6] Bagi soalan No 4 (statistik), anda mesti mahir dalam 2 bentuk. Bentuk A khusus untuk cari kuartil pertama, median, kuartil ketiga dan julat antara kuartil. Atau Bentuk B yang khusus untuk mencari min, varians dan sisihan piawai. Dan jangan terkejut jika ada soalan mengabungkan bentuk A dan B. 



[7] Soalan 5 & 6 dalam bahagian A agak mudah. Insya Allah anda boleh jawab. 



[8] Bagi Bahagian B, anda kena jawab 4 dari 5 soalan. Soalan No 7 (Hukum Linear) anda mesti mahir dan bijak menguruskannya. Anda mestikan mulakannya dengan melihat kepada kehendak soalan pada bahagian (a). Apa lawan apa? Kemudian tukarkan persamaan yang DIBERI kepada PERSAMAAN LINEAR supaya terbina seperti pada (a). Bila anda sudah mendapat persamaan linear anda, tentukan anu mana yang mewakili keserunan dan pintasan-y. Konsep ini sama macam Moden Matematik yang menekankan Y = mX + c. Kemudian cari nilai-nilai tadi pada graf anda. 



Sebenarnya, tajuk ini mudah seperti tajuk STATISTIK. Ia cuma memerlukan kerja teknikal yang banyak aje. Tetapi kalau anda dah faham, dah mahir, it will be very easy for you, as easy as a,b,c. 



[8] Bahagian B, Soalan 8 (Vektor). Hampir setiap tahun, bentuk soalannya sama sahaja. Tetapi elok anda tengok soalan ini dalam soalan Percubaan MRSM, SBP dan beberapa negeri di atas. Walau pun mereka sama, kadang-kadang berbeza pada bahagian ( c ) yang memperuntukkan 4 markah di situ. ANDA MESTI SKOR TAJUK INI



Dulu, ramai pelajar saya cukup takut dengan tajuk ini, mereka kata ia panjang, berbelit-belit dan susah. Tetapi selepas mereka mahir dengan teknik SEGITIGA yang saya ajar, perjalanan jawapannya sangat mudah. Boleh kutip markah dengan selesa.. 



Saya cadangkan anda buat 5 soalan setiap hari untuk tajuk ini. Anda buat selama seminggu, pasti selepas itu anda menjadi sangat mahir. Saya dahulu pun lemah tajuk ini. Tetapi bila saya buat latih tubi (drilling), kefahaman saya meningkat. Penguasaan saya melonjak 99.9%. 



[9].Bahagian B, Soalan 9 (Geometri Koordinat). Secara keseluruhannya soalan ini mudah dijawab. Tetapi kadang-kadang ia payah giler. Saya nasihatkan anda menyemak soalan ini pada keseluruhan kertas Percubaan yang sampai kepada anda. Bentuk soalannya macam-mana? Kemudian cuba anda fokus kepada bentuk soalan yang kerap naik. Tetapi jangan overconfident. Yang lain-lain tu, mesti kena tengok juga. 



INGATAN BERGUNA : Dalam tajuk ini, anda mesti berhati-hati cari m1. Kalau tersilap m1, m2 pun tersilap juga. Maka persamaan-persamaan berikutnya akan jadi salah. Rugi besar anda. 


a) Berhati-hatilah cari m1. 


b) Kemudian dengan tenang cari m2, menggunakan m1.m2 = -1 


c) Kemudian membentuk persamaan Persamaan garis lurus/tangen, guna y - y1 = m1 (x - x1) Persamaan serenjang/normal, guna y - y1 = m2 (z - z1) 



Secara asasnya, hanya 4 rumus di atas sahaja yang perlu anda gunakan. Walau bagaimana pun, soalan yang keluar kadangkala melibatkan nisbah dalam dan luar, titik tengah, panjang dan sebagainya. Mahirkanlah diri anda dengan semua itu. 



Paling utama, jangan lupa pada LOKUS. Tolong semak semua jenis lokus dalam buku teks Addmath T4 dan kaji semua soalan lokus yang pernah keluar sebelum ini. . 



[10]. Bahagian B, Soalan 10 (Taburan Binomial, Normal). Anda mesti mahirkan diri anda dalam tajuk ini untuk skor A Addmath. Semak semua bentuk soalan yang ada dalam Percubaan MRSM, SBP dan negeri-negeri di atas. Nasihat saya, ANDA MESTI SKOR TAJUK INI, by hook or by crook. 



[11] Saya sengaja diamkan tajuk pengamiran (yang berkaitan luas dan isipadu) kerana majoriti pelajar tidak suka menjawabnya. Tetapi kadang-kadang timbul masalah bila mereka cuba juga menjawab soalan ini kerana merasa berat (takut kot?) untuk menjawab soalan No 10 (Taburan Binomial, Normal). 



Sebenarnya, Soalan No 10 (Taburan Binomial, Normal) lebih mudah daripada soalan No 11 (Pengamiran). Anda lebih mudah skor A Addmath kalau jawab tajuk tu. Ia tidak sukar mana pun. Saya pun hairan ramai pelajar cukup takut soalan tajuk tersebut. 



[11] Untuk Bahagian C, saya selalu cadangkan kepada pelajar saya supaya menjawab Penyelesaian Segitiga (Triangle Solution) dan Penggunaan No Index (The Index Number). Kedua-duanya tidaklah susah sangat. Ia cuma memerlukan latih tubi 5 soalan setiap hari untuk kemahiran jangka panjang. 



Demikian beberapa tips yang dapat saya berikan kepada anda. Selamat Berjaya untuk Kertas Dua. Akhir sekali, saya nasihatkan anda supaya sentiasa merujuk kepada guru anda untuk mengetahui JURUS-JURUS ADDMATH yang sangat berguna kepada anda. Apa yang saya beri hanya sekadar panduan semata-mata. Guru anda tentu lebih arif tentang ANDA. 



Sebagai penutup, kuatkan usaha anda. Jangan takut kepada Addmath kerana Addmath itu hanya makhluk Tuhan seperti anda. Addmath secara fizikal adalah seperti “benda” yang berada di dalam tubuh A pagi tadi. “Benda” itu XXXX bila saya berani menghadapinya. Addmath juga akan XXXX kalau anda berani menghadapinya. Tidak ada apa-apa pun yang pelik mengenai Addmath. 



INSYA ALLAH ANDA BOLEH SKOR A JIKA ANDA MAHU. 

11 ulasan:

  1. terima kasih. sangat berguna. esok saya ada exam harap2 saya berjaya untuk lulus. Aamin.\

    BalasPadam
  2. Thank you ! Saya tak pernah lulus addmath and kalau exam addmath , bukan setakat tak tahu jawab . Semangat nak jawab pun tak . Tapi lepas baca tips ni rasa semangat nak lulus addamth . Terima kasih tuan !

    BalasPadam
  3. Sangat membantu thx yang bagi pengalaman

    BalasPadam
  4. Sy harap sy pun boleh skor A Addmath. Insyaallah

    BalasPadam
  5. Harap hrp yg ambil addmths dpt skor A.

    BalasPadam
  6. kalau mcm kita buat latihan tapi soalan dari latihan tu kebanyakannnya kita x dpt jawab. Mcm mana cg?

    BalasPadam
  7. SAYA HARAP YG SAYA NIE BOLE SKOR ADDMATH




    \\\\

    BalasPadam