Suatu ketika dahulu…
” Nak, bangun…sudah azan subuh. Sarapanmu telah bonda sediakan di meja…”
Tradisi ini sudah berlangsung 20 tahun, sejak pertama kali aku mampu mengingatinya. Kini usia ku sudah mencecah 23 tahun dan aku jadi seorang seorang pekerja, bukan lagi anak kecil, tetapi kebiasaan bonda tidak pernah berubah.
” Bonda sayang…tak perlu susah-susah, saya dan adik-adik kan sudah dewasa”, pintaku pada bonda pada suatu pagi. Wajah tua itu langsung berubah.
Ketika bonda mengajakku makan tengahari di sebuah restoran. Cepat-cepat ku keluarkan dompet dan ku bayar semuanya. Ingin ku balas jasa bonda selama ini dengan hasil keringatku. Raut sedih itu tidak mampu disembunyikan. Kenapa bonda sedih ? Aku hanya dapat meneka-neka, mungkin benar kata mereka yang membuat kajian bahawa orang yang lanjut usia mudah sangat sensitif dan cenderung untuk bersikap keanak-anakkan…tapi entahlah…. Niatku ingin membahagiakan, bukan membuat bonda sedih. Seperti biasa, bonda tidak akan pernah mengatakan apa-apa…
Suatu hari ku beranikan diri untuk bertanya, ” Bonda, maafkan saya jika saya telah menyakiti perasaan bonda. Apa yang membuat bonda sedih ? “
Ku tatap sudut-sudut mata bonda, ada genangan air mata di sana . Tersekat-sekat bonda berkata, ” Tiba-tiba bonda merasa kalian semua tidak lagi memerlukan bonda. Kalian sudah dewasa, sudah mampu menjaga diri sendiri. Bonda tidak boleh lagi menyiapkan sarapan untuk kalian, bonda tidak boleh lagi memanjakan kalian. Semua sudah mampu kalian lakukan sendiri “
Ya Allah….! ternyata buat seorang Ibu… bersusah payah melayani putera-puterinya adalah sebuah kebahagiaan.
Satu hal yang tidak pernah ku sedari sebelumnya. Niat kita untuk membahagia dan meringankan ibubapa boleh jadi membuat mereka menjadi sedih kerana kita tidak berusaha untuk saling membuka hati melihat erti kebahagiaan dari sudut pandang masing-masing.
Diam-diam aku bermuhasabah… “Apa yang telah ku persembahkan untuk bonda dalam usiaku sekarang?”
Ketika ku tanya pada bonda , “Adakah Ibu bahagia dan bangga pada putera puterinya ?”. Bonda menjawab, ” Banyak sekali kebahagiaan yang telah kalian berikan pada bonda. Kalian membesar dengan sihat dan lucu ketika bayi adalah kebahagiaan . Kalian berjaya di sekolah adalah kebanggaan buat bonda. Kalian berjaya dalam pekerjaan serta perniagaan adalah kebanggaan buat bonda . Setelah dewasa, kalian berperilaku sebagaimana seharusnya seorang hamba, itu kebahagiaan buat bonda. Setiap kali sinar mata kalian mengisyaratkan kebahagiaan di situlah kebahagiaan orang tua.”
Aku hanya mampu bermonolog, ” Ampunkan hamba ya Allah jika selama ini sedikit sekali ketulusan yang hamba berikan kepada bonda, masih banyak alasan dihulurkan ketika bonda menginginkan sesuatu. “
Betapa sabarnya bonda ku melalui liku-liku kehidupan. Sebagai seorang wanita bekerja, banyak alasan yang boleh dilontarkan bonda ku untuk “cuti” dari kerja-kerja rumah atau menyerahkan tugas itu kepada pembantu rumah. Tapi tidak! Bondaku seorang yang ideal. Menjaga keluarga, merawat dan mendidik anak-anak adalah hak keistimewaan seorang ibu yang tidak akan dapat diserahkan kepada sesiapa pun. Pukul 3 pagi, bonda mengejutkan kami untuk tahajud. Sementera menunggu azan subuh, bonda ke dapur menyiapkan sarapan sementara aku dan adik beradik yang lain sering menyambung tidur semula… Ah, maafkan kami bonda…18 jam sehari sebagai “pekerja” seakan-akan tidak pernah membuat bonda lelah…Sanggupkah aku ya Allah…?
” Nak…bangun nak, sudah azan subuh… sarapan sudah Ibu sediakan di meja…“ Kali ini aku lompat bangun segera…ku buka pintu bilik dan ku rangkul bonda sehangat mungkin, ku cium pipinya yang penuh kedut, ku tatap matanya dalam-dalam dan ku ucapkan, ” Terima kasih bonda, saya sangat beruntung memiliki bonda yang baik hati, izinkan saya membahagiakan bonda…”
Ku lihat sinar mata bonda memancarkan kebahagiaan…” Cintaku ini milikmu, bonda…Saya masih sangat memerlukan bonda… Maafkan saya yang belum mampu memahami erti kebahagiaan buat diri bonda…”
Saudara semuslimku, tidak semestinya kata sayang harus di ungkapkan dengan kalimah-kalimah “aku sayang padamu… “ Namun begitu, Rasulullah saw menyuruh kita untuk menyampaikan rasa cinta yang kita ada kepada orang yang kita cintai kerana Allah.
Marilah kita mulakan dengan orang terdekat yang sangat mencintai kita… Ibu dan ayah, walau mereka tidak pernah meminta dan mungkin telah meninggal dunia. Percayalah… kata-kata itu akan membuat mereka sangat tenang dan bahagia…
“Ya Allah, cintai bonda hamba ini, berikan hamba kesempatan untuk membahagiakan bonda…, dan jika saatnya nanti bonda Engkau panggil pulang ke kampung abadi, panggillah dalam keadaan husnul khotimah. Ampunilah segala dosa-dosanya dan sayangilah bonda sebagaimana ia menyayangi hamba ini sejak dari kecil…..“
“Bahagiakanlah semua ibu-ibu di muka bumi ini ya Allah”
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan