Suamiku…,
Kadangkala mungkin tergambar di benak fikiranmu, bahawa engkau telah salah ketika memilih diriku menjadi pasanganmu. Adakala ia mengganggu dalam pergaulan sehari-harimu denganku, terkadang aku takut perasaan cintamu berubah menjadi benci, limpahan kasih sayangmu menjelma menjadi kemarahan, dan ketenangan pun berubah menjadi ketegangan.
Suamiku…,
Di saat engkau masih sibuk dengan pekerjaan yang tidak kunjung selesai, tidak jarang aku kau abaikan. Waktu di rumah pun begitu, tetapi aku cuba untuk ikhlaskan demi masa depanmu. Bukankah engkau tahu aku pun perlukan perhatian darimu. Terkadang aku curi perhatian mu itu, namun terlihat salah pada pandanganmu. Jika itu terlihat salah, semoga engkau dapat melihat kebaikanku yang lain.
Bukankah Allah swt yang mempertemukan dan menyatukan hati kita telah berpesan,“Dan pergaulilah mereka (isterimu) dengan baik. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (QS An Nisa': 19)
Rasulullah saw yang kita cintai juga berpesan,“Sempurnanya iman seseorang mukmin adalah mereka yang baik akhlaknya, dan yang terbaik (pergaulannya) dengan isteri-isteri mereka.” (Muslim). Jika engkau melihat kekurangan pada diriku, ingatlah kembali pesan Baginda saw. Jangan rasa benci seorang suami pada isterinya di atas sesuatu kelakuan menutup kebaikan lain yang dilakukan si isteri.
Suamiku…,
Sedarkah engkau bahawa tiada manusia di dunia ini yang sempurna segalanya? Bukankah engkau tahu bahawa hanya Alllah yang Maha Sempurna. Tidaklah patut jika kau hanya menghitung-hitung kekurangan pasangan hidupmu, sedangkan engkau sendiri tidak pernah sekalipun menghitung kekurangan dan kesalahanmu. Janganlah engkau selalu mencari-cari kesalahanku, padahal aku telah taat kepadamu.
Suamiku…,
Selepas kita di ikat dalam sebuah pernikahan, aku rela pergi bersama dirimu, ku tinggalkan ibubapa dan sanak saudaraku, ku ingin engkaulah yang mengisi kekosongan hatiku. Naungilah diriku dengan kasih sayang, dan senyuman darimu. Ku ingat pula saat aku ragu-ragu memilih siapa pendampingku, ketakwaan yang terlihat dalam kesehari-harianmu jualah yang mempesona diriku.
Bukankah sahabat Rasulullah saw, Syaidina Ali bin Abi Talib kwh saat ditanya oleh seseorang, “Sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan, dengan siapakah sepatutnya aku nikahkan dia?” Syaidina Ali kwh pun menjawab,“Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, sebab jika lelaki itu mencintainya, maka dia akan memuliakannya, dan jika ia tidak menyukainya maka dia tidak akan menzaliminya.” Aku berharap engkaulah lelaki itu, wahai suamiku.
Ketika terjadi kesalahan yang tidak sengaja aku lakukan, mungkin saat itu engkau mendambakan diriku sebagai isteri tanpa kekurangan dan kelemahan. Sedarlah, sesungguhnya ego telah menguasai dirimu. Perbaikilah kekurangan diriku dengan lemah lembut, janganlah kasar terhadapku. Bukankah Rasulullah saw telah mengajarkan kepada dirimu, saat Muawiah bin Ubaidah ra bertanya kepada Baginda saw tentang tanggungjawab suami terhadap isteri, Baginda saw pun menjawab,“Dia memberinya makan ketika ia makan, dan memberinya pakaian ketika dia berpakaian.” Janganlah engkau keras terhadapku, kerana Rasulullah saw pun tidak pernah berbuat kasar terhadap isteri-isteri Baginda saw.
Suamiku…,
Tahukah engkau anugerah yang akan engkau terima dari Allah di Akhirat kelak? Tahukah engkau pula balasan yang akan dianugerahkan kepada suami-suami yang berlaku baik terhadap isteri-isteri mereka? Renungkanlah bahawa, “Mereka yang berlaku adil, kelak di Hari Kiamat akan bertahta di singgahsana yang dibuat dari cahaya. Mereka adalah orang yang berlaku adil ketika menghukum, dan adil terhadap isteri-isteri mereka serta orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya.” ( Muslim).
Ku doakan agar engkaulah yang kelak salah seorang yang akan mendiami singgasana tersebut, dan aku adalah permaisuri di istanamu.
Jika engkau ada waktu, ajarkanlah diriku dengan ilmu yang telah Allah berikan kepadamu. Apabila engkau sibuk, maka izinkanlah aku menuntut ilmu. Namun, sekali-kali tidak akan aku lupakan tanggungjawabku, sehingga kelak diriku dapat menjadi sekolah buat putera-puteri kita. Bukankah seorang ibu adalah madrasah ilmu pertama buat putera-puterinya? Semoga engkau selalu mendampingiku dalam mendidik putera-puteri kita dan bertakwa kepada Allah swt…
Ya Allah…,
Engkau jua saksi ikatan hati ini… Aku telah jatuh cinta kepada lelaki pasangan hidup ku ini. Jadikanlah cinta ku pada suamiku ini sebagai penambah kekuatan ku untuk mencintai Mu. Namun, ku mohon juga, jagalah cintaku ini agar tidak melebihi cintaku kepada Mu, sehingga aku tidak terjatuh pada jurang cinta yang melalaikan, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling pada Mu. Jika suamiku rindu, jadikanlah rindu syahid di jalan Mu lebih dia rindukan daripada kerinduannya terhadapku, jadikan pula kerinduan terhadapku tidak melupakan kerinduannya terhadap syurga Mu. Bila cintaku pada suamiku telah mengalahkan cintaku kepada Mu, ingatkanlah diriku, jangan Engkau biarkan aku tertatih kemudian tergapai-gapai merengkuh cinta Mu.
Ya Allah…,
Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta pada Mu, telah berjumpa pada taat pada Mu, telah bersatu dalam dakwah pada Mu, telah bersatu dalam membela syariat Mu. Kukuhkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya. Penuhilah hati-hati ini dengan nur Mu yang tiada pernah pudar. Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada Mu dan keindahan bertawakal di jalan Mu…Amin ya rabbal alamin.
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
mohon share..tq
BalasPadam