Popular Posts

Selasa, 13 Ogos 2013

PRIHATINKAH KITA...?




apakah yang terlukis dari dalam hati saat memandangnya...?


Seorang abang yang keletihan, barangkali lapar dan penat. Tiada tempat berteduh, hanya di tepi tangga kotor. Beralaskan kadbod nipis. Comotnya tak terkira...


Namun dalam keadaan demikian, seorang abang masih memangku adiknya dalam dakapannya, tidak rela terbiar di tepi tangga. Lalu mereka tertidur bersama-sama..


Setiap hari dengan membaca pelbagai berita menyayatkan hati seperti buang anak, buang ayah, buang iman.. tiba-tiba apabila merenung gambar ini, saya bertanya dalam diri saya...


Mungkin sudah masanya kita bersedekah senilai dengan apa yang kita makan setiap hari...



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

AKUKAH SI MISKIN ITU...?



apakah yang terlukis dari dalam hati saat memandangnya...?





Mereka katakan aku miskin... di hina kerana pakaianku yang lusuh, dan rumahku yang mereka sebut sebagai pondok buruk. Aku bertanya, "Siapakah mereka? Inikah peduli...?"


Mereka labelkan aku seorang miskin... mereka mencemuh, mencebik, malahan memfitnah di belakangku. Aku bertanya, "Siapakah mereka? Inikah belas kasihan...?"


Mereka ucapkan aku ini miskin... dengan tatapan jijik aku ditampar dan dengan senyuman pahit aku ditusuk. Aku bertanya, "Siapakah mereka? Inikah kasih...?"


Mereka katakan aku ini miskin... gersang kerana matahari dan kotor berlumuran debu. Akukah itu...? Ataukah itu hati mereka...?


Sekarang aku ragu-ragu... benarkah aku yang miskin... ATAUKAH MEREKA...??!!



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

BUAT PARA PENDAKWAH....





Salam khusus buat para pendakwah.....



Berdakwah kata kuncinya adalah mendakwahkan diri sendiri…



Ketika serasi antara lisan, hati, dan sikap maka pada saat itulah dakwah memiliki kekuatan. Tetapi ketika sibuk dengan memperbaiki kata-kata atau dengan perlakuan zahir tetapi hati tidak ikut serta, maka pada ketika itulah dakwah akan menjadi sangat tumpul dan dangkal. Tapi di antara ketiga perkara tersebut, hatilah kuncinya.



Hati yang benar-benar murni niatnya, lillahi ta’ala yang benar-benar asli dari lubuk hati yang terdalam…



Dakwah adalah untuk taqarub kepada Allah swt dan yang paling tahu kebenaran adalah Allah swt.



Allah swt telah berjanji melalui firman-Nya, “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik” ( QS 29:69).


Allah swt akan lebih bersungguh-sungguh memimpin orang yang bersungguh. Maksudnya, hati yang lurus mahu kepada Allah swt itulah yang akan mendapatkan bimbingan.


Ada pun objek dakwah adalah amanah dari Allah swt. Satu-satunya yang mampu membuka hati orang adalah Allah swt, bukan dakwah kita. Sehingga tidak boleh terselit ujub dan merasa hebat kerana sudah mampu berdakwah. Jangan terselit takabur serta meremehkan sesiapa pun kerana boleh jadi yang belum faham Islam sekarang, esok lusa jauh lebih tinggi darjatnya di sisi Allah swt.


Malahan yang berdosa sekarang boleh jadi taubat nasuha mereka membuat dirinya berkedudukan di sisi Allah swt. Atau mungkin yang belum kenal Islam saat ini, malahan menentang Islam, esok lusa mungkin jadi pembela Islam di barisan paling depan. Oleh kerana itulah tidak boleh ada hati yang kotor. Biarkan hati itu bersih, murni, lillahi ta’ala, penuh dengan kerinduan agar orang lain pun diselamatkan oleh Allah swt. Insya Allah akan terpancar dari lisan serta sikap dan itu akan sangat mungkin dirasakan oleh objek dakwah dengan izin Allah.



Allah swt Maha Tahu semuanya dan mudah bagi Allah swt menggerakkan hati siapa pun untuk mendapatkan hidayah dan tauhid.



Mudah-mudahan kita antara yang dipilih menjadi salah seorang yang ada di jalan-Nya…



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

REALITI HATI KITA...





REALITI HATI kita yang sentiasa membuatkan saya menangis bila azan solat fardu di kumandangkan.......



Cuba kita bayangkan, apabila kita bertakbir untuk solat, lalu Allah swt pun memandang kita dengan pandangan rahmat-Nya...


Allah memandang pada hati kita dengan penuh kasih sayang, tetapi kita memalingkan hati kita ke arah lain...



Bukankah ini yang sering berlaku, ketika solat pun kita tidak mampu benar-benar menghadapkan wajah kita pada Dia yang menjadikan langit dan bumi apatah lagi ketika kita sibuk dengan urusan kehidupan kita...



Kita berikrar setiap kali kita selesai takbiratul ihram "Aku menghadapkan wajahku kepada Dia yang menjadikan langit dan bumi, dengan suci hati dan penuh ketundukan’ tetapi hati sedang tertumpu kepada selain Allah swt...



Allah memandang ke arah kita ketika mendengar panggilan kita, tetapi kita yang sombong lalu memalingkan hati kita ke arah lain...


Tidak takutkah kita dengan teguran Allah swt di awal surah Al Baqarah; “Dan di antara manusia ada yang mengatakan bahawa kami beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan (padahal) bukanlah mereka itu orang-orang yang beriman. Mereka cuba menipu Allah dan orang-orang beriman padahal tidaklah mereka menipu melainkan diri mereka sendiri tetapi mereka tidak terasa”


Bukankah ayat ini menggambarkan golongan Munafik...? Jadi berapa lama lagi kita nak menipu Allah swt dan menipu diri kita sendiri...?



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

RINDU SAHABAT...





Rindu
Hanya itu yang terluah dari sanubariku
Dalam keseorangan ku melangkah
Kadang terasa langkahku longlai dan lemah



Rindu
Aku rindu pada sahabat-sahabatku
Mereka yang tidak lekang memberi aku peringatan
Agar diri ini, tidak terus alpa dan lalai
Menghidupkan aku dalam keimanan



Rindu
Mahu ku lepaskan kerinduan ini
Dalam dakapan mereka yang ku rindui
Ya Allah, kekalkanlah ikatan persahabatan ini
Biar sampai syurga ia merentasi



Rindu
Dalam kejauhan ia menyapaku
Mungkin Ilahi ingin mengajar aku sesuatu
Agar diriku lebih menghargai nikmat persahabatan itu...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

APABILA KITA INGIN BERSAHABAT....





apabila kita ingin bersahabat, janganlah kerana kelebihannya, kerana dengan satu kelemahan, kita mungkin akan menjauhinya...



apabila kita ingin bersahabat, janganlah kerana kebaikannya, kerana mungkin dengan satu keburukan, kita akan membencinya...



andai kita inginkan sahabat janganlah kerana ilmunya, kerana apabila dia buntu, kita mungkin akan bersangka buruk padanya...



andai kita ingnkan sahabat, janganlah kerana sifat cerianya, kerana andai dia tidak pandai menceriakan, kita mungkin akan menyalahkannya...



andai kita ingin bersahabat, terimalah dia seadanya, kerana dia seorang sahabat yang hanya manusia biasa...



jangan diharapkan semuanya sempurna kita juga tidak sempurna, maka bersahabatlah kerana Allah swt...




Wallahu`alam



Jagalah Hati....

Isnin, 12 Ogos 2013

PERMATA TERINDAH....





Ku mohon, 

wahai Permata Terindah...



Jangan beri kami walau hanya sekelip harapan pun untuk mengagumi keindahanmu
kerana sungguh belumlah layak diri kami dengan hatinya yang cacat, untuk mengagumimu dengan penuh ketulusan serta keikhlasan...




Ku mohon, 


wahai Permata Terindah…


Jagalah pesonamu yang dengannya tidak ada satu benteng pun yang dapat tegak berdiri, kecuali ia roboh... Dan tidak ada satu gunung salji pun dapat bertahan, kecuali ia pasti mencair oleh hijab terurai yang akan sentiasa menjaga kesucianmu, dari buruknya rupa angan-angan kami...



Ku mohon, 


wahai Permata Terindah…



Perlihatkan selalu keangkuhanmu di hadapan kami, kaum Adam yang tidak mampu menjaga hati agar terjagalah selalu keanggunanmu...



Wallahu`alam 



Jagalah Hati...

MENGINTAI REDHA ILAHI...





Selepas Isyak tadi, aku mencari diri ketika cuba mengintai redha Ilahi... 



Aku insan biasa
Hamba-Nya yang tidak luput dari dosa
Hidupku sentiasa dikelilingi dengan kejahilan
Duniaku penuh dengan keseronokan...



Permulaan hidupku singgah di rahim bonda
Sebelum aku dijejakkan ke dunia
Banyak kelalaian yang aku temui di dunia
Banyak juga berlaku dusta dan aniaya di dalamnya...



Kelalaian menyebabkan aku lupa pada-Nya
Keseronokan hidup menjadikan aku seorang hamba yang alpa
Sehingga apabila musibah melanda diri ini
Barulah aku tersedar dari buaian mimpi palsu duniawi...



Selama ini,aku leka dari mengingati-Nya
Aku abaikan tanggungjawab ku sebagai seorang hamba
Aku terlalu taksub dan cinta akan dunia
Sehingga melupakan hari Akhirat yang bakal menjelma...



Dosa dan noda telah menggelapkan hati
Hanya pintu taubat sebagai penyembuh nurani
Hidayah itu pemberian ILAHI
Mati itu suatu yang amat pasti...



Kini,aku insaf akan kejahilan diri ini
Aku bertaubat pada Yang Maha Esa
Aku ingin kembali ke pangkal jalan ILAHI
Jalan kebenaran yang membawa aku pada keredhaan-Nya...



Aku tidak mahu lagi hidupku berlumuran dengan dosa
Aku tahu,aku tidak layak untuk ke syurga Mu
Tetapi aku tidak sanggup hendak menanggung seksa api Neraka
Ampunkanlah dosa-dosaku...



Masih adakah lagi secebis rahmat ILAHI buat diri ini??
Masih adakah lagi ruang untuk aku mengintai redha ILAHI??
Sesungguhnya hidupku ini tidak akan bererti dan bermakna
Tanpa redha daripada Allah yang Maha Kuasa...



Terimalah taubat kami...



Ampunkanlah dosa-dosa kami...



Redhailah kehidupan kami...



Semoga hidup dan mati kami hanya untuk Mu...



Amiin...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

SEKADAR RENUNGAN...





Sebuah kisah untuk kita sama-sama mengambil pelajaran...



Seorang guru mendatangi seorang muridnya yang sedang berwajah sedih.



“Kenapa kau selalu murung, nak? Bukankah banyak perkara indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah bersyukurmu?” sang guru bertanya.



“Guru, sejak kebelakangan ini hidup, hidup saya penuh masalah. Sukar bagi saya untuk tersenyum. Masalah datang seperti tidak ada habis-habisnya,” jawab sang murid muda.



Sang Guru tersenyum. “Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawalah ke mari. Biar ku perbaiki suasana hatimu itu.”



Si murid pun menurut kehendak gurunya tanpa semangat. Ia laksanakan permintaan gurunya itu, lalu kembali lagi membawa gelas dan garam sebagaimana yang diminta.



“Cuba ambil segenggam garam, dan masukkan ke gelas air itu,” kata sang Guru.



“Setelah itu cuba kau minum airnya sedikit.”



Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini mengerut kerana meminum air masin.



“Bagaimana rasanya?” tanya sang Guru.



“Masin, dan perutku jadi mual,” jawab si murid dengan wajah yang masih mengerut.



Sang Guru tersenyum panjang melihat wajah muridnya yang mencuka menahan kemasinan.



“Sekarang kau ikut aku.” sang Guru membawa muridnya ke tasik dekat tempat tinggal mereka. “Ambil garam yang tersisa, dan taburkan ke tasik ini.”



Si murid menebarkan segenggam garam yang tersisa ke tasik tanpa bicara. Rasa masin di mulutnya belum hilang. Ia ingin meludahkan rasa masin dari mulutnya, tapi tidak dilakukannya. Rasanya tidak sopan meludah di hadapan mursyid, begitu fikirnya.



“Sekarang, cuba kau minum air tasik ini,” kata sang Guru sambil mencari batu yang cukup datar untuk didudukinya, tepat di pinggir tasik.



Si murid menangkupkan kedua tangannya, mengambil air tasik, dan membawanya ke mulutnya lalu meneguknya. Ketika air tasik yang dingin dan segar mengalir di kerongkongnya, sang Guru bertanya kepadanya, “Bagaimana rasanya?”



“Segar, segar sekali,” kata si murid sambil mengelap bibir dengan tangannya.



Tentu saja ia segar kerana tasik ini berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti, air tasik ini juga menghilangkan rasa masin yang tersisa di mulutnya.



“Terasakah rasa garam yang kau taburkan tadi?”



“Tidak sama sekali,” kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi. Sang Guru hanya tersenyum memperhatikannya, membiarkan muridnya itu meminum air tasik hingga puas.



“Nak,” kata sang Guru setelah muridnya selesai minum. “Segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam"



Lanjut sang guru lagi, "Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang kehidupanmu itu sudah dikadar oleh Allah, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap, tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah.”



Si murid terdiam, mendengarkan.



“Tapi Nak, rasa ‘masin’ dari penderitaan yang di alami itu sangat bergantung dari besarnya hati yang menampungnya. Jadi Nak, supaya tidak merasa menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikan hati dalam dadamu itu sebesar tasik”



Wallahu`alam...




Jagalah Hati...

Sabtu, 10 Ogos 2013

MERANCANG HARI ESOK III...





Menceritakan kisah ini tidak selancar seperti yang diharapkan. 
Bismillah; dengan demi Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani



Di surau berhampiran taman perumahan yang aku duduki ada beberapa anak remaja yang sangat aku kagumi. Mereka selalu datang awal ke surau terutamanya ketika waktu Maghrib dan Subuh. Menyiapkan tempat solat, mengambil wuduk dan mengalunkan azan sekali. Alahai, baik dan mulia sungguh mereka ini.



Kekaguman aku bertambah-tambah apabila melihat sesekali seorang anak muda sering menjadi imam jika tidak ada sesiapa pun yang mahu tampil ke hadapan. Barangkali, orang seperti aku dan penduduk yang lain malu dengan keaiban sendiri sehinggakan tidak betah mahu menjadi imam di hadapan. Sesekali, aku juga dipaksa dan diseret ke hadapan. Namun, anak muda itu sentiasa suka mengambil peluang mahu menjadi imam.



Baru sahaja di Tingakatan 5. Bukan bersekolah agama pun. Bersekolah di sekolah menengah harian sahaja. Namun, aku nampak penghayatan anak muda ini sangat -sangat mengkagumkan. Cara tunduk hormat , salam yang disapa malah tidak pernah meninggalkan solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu. Oleh sebab kekaguman itu menjadikan aku seringkali mendoakan dirinya (dalam diam-diam) supaya suatu hari nanti, anak muda ini bakal berdiri menjadi seorang Daei.



Daei. Seorang penyeru ke arah kebaikan hidup beragama. Mengajak kepada amalan kebaikan dan amalan soleh. Mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu agama dan menyebarkan risalah addeen kepada orang di sekeliling. Daei tidak perlu menjadi seorang agamawan terulung. Dia mungkin seorang jurutera, doktor atau penulis. Tetapi, dia harus menjadi seorang Daei. Kerana dia malah kita semua sepatutnya dan sayugianya menjadi seorang Daei.



Tiap-tiap hari aku titipkan doa ini kepada sekalian anak murid dan bekas anak muridku agar satu hari nanti berupaya menjadi seorang yang bermanfaat untuk diri mereka. Menjadi khalifah ‘daei’ kepada diri sendiri. Doa ini yang seringkali dikirimkan telah aku panjangkan juga sekaligus buat anak muda di surau itu. Setiap kali, dia menyalami usai solat aku terasa sunguh serasa sebak di hati seraya aku terus berdoa



“ Allah, Allah, Allah, kau muliakanlah dirinya satu hari nanti “



Kemudian, pada satu hari aku mendapat satu kiriman sms yang sangat mengejutkan. Anak muda remaja yang selalu kami gelarkan “Imam Muda” itu telah menemui kemalangan di jalan raya. Anak muda itu yang hanya sebagai pembonceng mengikut teman rapatnya ke kenduri perkahwinan di sebuah kampung, telah kemalangan dan telah menemui ajalnya.



Betapa, peristiwa ini sangat mengejutkan kami, para jemaah surau. Saat ini aku terbayangkan wajah manis Imam Muda ini melagukan ayat-ayat Surah Al-Insyirah, Al- Fiil mengimami kami di surau. Wajah manis yang sentiasa mengucup tangan kami ketika bersalam-salaman.Betapa kami senang dan selesa dengan keberadaan dirinya yang sentiasa menghormati orang dewasa telah pergi lebih awal daripada kami.



Arwah dikatakan diselamatkan oleh seorang penduduk kampung di sebuah beranda rumah. Mengucapkan syahadah terakhir dengan tiada kesukaran. Rakannya yang menunggang terselamat tetapi arwah pergi meninggalkan keluarganya terlebih dahulu.



Peristiwa ini mengajar aku tentang maksud merancang kematian. Anak muda ini telah merancang kematian dengan begitu indah dan manis sekali. Alangkah indahnya, nyawanya ditarik ketika orang-orang berkata-kata tentang kebaikan dan kebajikan soleh yang dilakukannya. Saat anak-anak muda yang lain berpeleseran dan membuang masa dengan perkara-perkara yang sia-sia tetapi anak muda ini pergi menemui penciptanya saat diri beramal soleh dengan sebaik mungkin. Tdak sama dengan diri kita yang masih lagi bergelumang dengan noda, kotor dipalit dosa tetapi kita masih mahu enggan ke sana. Sedangkan ada seorang anak muda yang sentiasa utamakan amal kebajikan sudah menemui Ilahi dalam keadaan putih bersih.



Allah, Allah, Allah


Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.


Al-Fatihah buat Imam Muda tersebut.



Mahukah kita merancang kematian kita sebegitu hebat...?



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

MERANCANG HARI ESOK II...





Amat sukar seandainya kita mahu merancang tetapi tidak mengetahui apa yang kita mahukan. Ibaratnya, mahu mengenggam segulung ijazah pada 3 atau 4 tahun masa hadapan perlulah dimulakan dengan rancangan - rancangan kecil. Realisasikan rancangan - rancangan kecil ini supaya pada akhirnya menjadikan kita semakin hampir mencapai matlamat yang hendak ditujui.



Menghadiri kelas,


Mengulangkaji,


Mencatat nota,


Mengulangkaji semula,


Menambah bacaan,


Membuat tugasan,


Mengharungi peperiksaan.




Begitulah rutin semester demi semester sehinggalah akhirnya segulung ijazah mampu dijulang tinggi.



Merancang kematian. Bagaimana pula mahu merancang kematian kita?



Barangkali yang pertama; sediakan duit secukupnya untuk perbelanjaan mengurus mayat diri kita sendiri. Jangan harapkan duit orang lain. Simpan pada tempat/bank tertentu dan maklumkan kepada waris terdekat.



Jangkakan jika aku mati bagaimana kehidupan orang sekeliling aku. Maklumkan alternatif begini dan begitu. Terangkan secara spesifik

Wasiat 1; Roh Islam



“ Jika ayah telah tiada, ayah mahu ummi didik anak kita dengan roh islam. Apapun cabaran, matlamat inilah yang paling teras dalam hidup kita. Ummi buat yang terbaik untuk anak kita. Anak kita boleh jadi sesiapapun meskipun seorang pelukis tetapi jiwa dan rohnya mesti ada roh Islam. Roh Islam yang sebenar - benarnya bukan mengambil cebisan-cebisan mana yang disukai semata-mata. Untuk itu, ummi haruskan fahamkan dan didik dengan ajaran Islam yang sebenarnya. “



Wasiat 2; Tentang harta dan kebendaan

" Rumah dan kereta ini abang belikan untuk isteri abang. Sungguhpun rumah ini hanya sederhana besar dan bukan rumah baru namun ia tetap rumah kita. Jual rumah dan kereta ini jika perlu sekiranya abang tiada lagi. Pulanglah ke kampung semula dan didiklah anak kita di sana. Carikan sekolah yang sesuai dengan hasrat abang dan realisasikan impian abang."



Wasiat 3; Jika Ummi dan Ayah Tiada

" Bagaimana jika kedua -dua (ayah dan ummi) tiada lagi di dunia menjaga kita. Sampaikan pesanan ini kepada insan yang menjadi pilihan kita. Dialah yang ayah percaya boleh mendidik anak kita dengan roh Islam. Ayah percaya keluarga dia mampu menunaikan amanah kita."



Wasiat 4 ; Hidupkan Islam, Al-Quran dan amalannya

" Sejauhmana kita berjaya sekalipun di dunia ini, kita tetap seorang hamba. Kita tetap akan kembali. Bukankah ‘itu’ halaman kampung asal kita dahulu? Kita tetap akan mati. Ayah mahu keluarga kita bertemu semula di jannah. Biarlah kita bersusah-susah di dunia ini sedangkan di akhirat nanti kita bakal bertemu semula. Untuk merealisasikan cita-cita ayah, marilah sama-sama kita hidupkan Islam dalam diri kita. Untuk itu, marilah kita dalami ilmu dan mengamalkannya."



Aku melakukan semua ini hasil daripada inspirasi daripada rancangan emak yang telah menyusun atur segalanya. Tidak pernah ada satu hari yang aku tinggalkan fikiran dalaman ini berlegar-legar di dalam kepala.Mudah-mudahan, isteri dan anak aku meladeninya dan mampu menghadaminya demi keutuhan sebuah ‘usratun hasanah' yang mahu aku capai. Biarlah orang lain sibuk merancang sesuatu yang hanya sementara tetapi biarlah aku sibuk dengan rancangan kematian ini. Rancangan kematian ini akan seluruhnya mengubah landskap dan perspektif kehidupan aku dengan menjadikan


1. Seluruh kerja professional aku sebagai ibadah kerana ibadah khusus aku tidak mampu menampung segala amalan ini.


2. Mendalami ilmu dunia dan akhirat dan seterusnya memadamkan kejahilan - kejahilan lama supaya dimansuhkan dan dibersihkan dengan 'air tangan’yang baru.


3. Sentiasa berusaha ‘memberi’ sebanyak-banyak kebaikan kepada orang lain dengan niat kerana Allah.


4. Sentiasa berusaha memelihara hati aku agar tidak terjebak dengan penyakit orang yang sombong; yang selalu merasakan dirinya terbaik dan ikhlas. Nauzubillah.


5. Memegang utuh kontrak ‘masa’ dalam surah Al-Asr. Memahami prinsip "yang berpegang kepada amalan soleh, kebenaran dan sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan dengan penuh kesabaran."




Kita mencarum insuran untuk masa depan anak, isteri, rumah. Kita mencarum 'hutang' yang semakin hari semakin menimbun. Kita merancang itu dan ini, tetapi kita tidak pernah merancang kematian kita.




Tanyakan kepada diri sendiri, mengapa tidak...?



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

MERANCANG HARI ESOK I....





Pernah pada suatu hari, emak memanggil anak - anak mak pulang ke kampung. Emak kata ada hal untuk berbincang dengan anak-anak. Lalu, pulanglah anak - anak mak bersama dengan cucu - cucu mak ke kampung.



Mak membentangkan tikar untuk anak - anak mak duduk bersimpuh bersama-sama. Dimulai dengan bacaan beramai - ramai ayat-ayat daripada Surah Yaasin. Lalu, mak meminta aku membacakan doa memohon keberkatan bagi majlis ringkas itu.



Mak memulakan ucap utama tentang perlunya rumah mak terus dikunjungi meskipun kelak nanti emak sudah tiada lagi. Mak kata lagi, mak tidak mahu rumah mak ditinggalkan sepi dan usang begitu sahaja.



“ Mak mahu anak-anak mak terus datang ke rumah ini. Mak mahu anak - anak mak membacakan tahlil dan ayat-ayat al-quran di rumah ini. Mak tidak mahu rumah ini tidak dibacakan quran lagi. “



Aku melihat sudah ada antara anak-anak emak sudah menitiskan air mata. Termasuk diriku.



Kemudian, mak berkata lagi



“ Sekiranya mak mati nanti , mak mahu anak-anak mak yang memandikan mak. Mak tidak mahu orang lain memandikan mak . Mak minta tolong supaya aurat mak ditutup sehinggalah mak ditanam. Mak harap anak-anak mak faham tentang ini ya “.



“ Ketiganya, hari ini mak akan beritahu kepada anak- anak mak semua tentang tanah-tanah yang akan mak bahagikan kepada anak-anak mak. “



Emak menerangkan satu persatu tanah - tanah yang ada dan siapakah pemiliknya. Emak juga mengingatkan tentang perlunya berbakti kepada tanah jika mahu menikmati hasilnya.



Peristiwa ini seakan-akan sudah terakam kemas dalam ingatan aku. Seolah - olah seperti semalam. Walaupun emak suri masih lagi sihat meskipun kadangkala sakit lutut emak sesekali menjengah , emak sekali lagi membuat kejutan kepada aku. Selaku ‘orang luar’ aku kagum akan sikap mak. Meskpun emak hanya seorang suri rumah, emak mampu memiliki prinsip hidup yang jarang aku lihat ada pada orang lain.



Emak sudah merancang kematian emak sendiri!



Emak mahu rumah warisan mak sentiasa diisi dengan alunan-alunan Al-Quran.
Emak mahu anak-anak perempuan mak seramai enam orang memandi dan mengkafankan mak.



Sangatlah sedikit dalam kalangan kita yang benar-benar merancang kematian kita. Mak telah melalui fasa kehidupan yang pelbagai. Tentu sahaja kesukaran dan kepayahan meniti titian kehidupan sudah hampir menemui jalan penamat. Anak-anak mak sudah berjaya melangsungkan kehidupan seperti yang mak mahukan. Bapa telah dahulu meninggalkan mak. Pasti sahaja ini satu tamparan buat mak. Separuh nafas mak terhenti dan mengingatkan tentang separuh nafas lagi yang bakal berakhir.



Peristiwa ini telah mencetus semangat mahu aku. Ya, aku juga mahu merancang kematian aku.



Wallahu`alam



Jagalah Hati....

Selasa, 6 Ogos 2013

KEMBALI PADA FITRAH...





Pada yang empunya harta melimpah
hulurkanlah zakat dan sedekah
Pada yang gagah sihat dan kuat
berilah tenaga dan keringat



Pada yang berbakat dan cendikiawan
murahlah dengan khidmat dan pengajaran
Pada yang miskin dan kesempitan
bersedekahlah dengan senyuman



Semua kita harus pemurah
Memberi bukan untuk bermegah
Tetapi itulah perintah Allah
Sebagai perantara rahmat dan barakah



Di dunia menyemai kebaikan…
Di akhirat nanti menuai keredhaan…
Di sini tempat berkerja memerah tenaga
Di sana tempat berehat menikmati syurga



Ramadan itu medan mujahadah
Agar di Syawal kembali ke fitrah
Perjuangan memang pahit kerana syurga itu manis
Ramadan itu bagai ‘dunia’ – menempuh ujian
Syawal itu umpama ‘akhirat’ – menempah kejayaan...!



Wallahu`alam

MUHASABAH 1 SYAWAL...





Hari Raya Hari Kemenangan
Hari Kesyukuran Dilimpahi Kemuliaan
Di Lipatan Seni Mehnah
Ada Maksud Murni Yang Lebih Hakiki



Pada Nafsu Yang Dilentur Lapar Dahaga
Pada fikiran Disinar Wahyu dan Sabda
Pada Hati Bersih Di Solat Tarawih
Apakah Semuanya Telah Dimiliki



Puasa Mengajar Erti Ketabahan
Menghadap Ujian Berlandaskan Iman
Puasa Perisai Yang Sangat Maknawi
Penyinkap Hijab Antara Hamba Dengan Illahi



Puasa Sempurna Menahan Rohani dan Rasa
Puasa Sederhana Menahan Indera dan Juga Anggota
Puasa Biasa Hanya Melawan Lapar dan Dahaga
Lalu Di Manakah Puasa Kita
Adakah Masih Di Tahap Lama



Lalu Muhasabah Di Hujung Ramadhan
Sudahkah Terbangun Jiwa Teguh Dankukuh
Atau Kolam Jiwa Masih Tercemar Keruh
Bersembilu Dosa Duri Angkara



Ketika Bertahmid
Bertakbir
Bertasbih
Terasakah kita hamba Illahi
Yang Hanya Mampu Mengukir Tadbir
Sedangkan Padanya Segala Takdir...




Wallahu`alam

1 SYAWAL...





di pagi yang hening
terdengar suara takbir
mendayu-dayu sarat dengan keinsafan
sarat dengan kerinduan



ku kuak jendela....
ku rasa angin pagi....
dinginnya....sedingin hati ini
ku layarkan pandanganku ku langit....
hari ini 1 SYAWAL



di pagi yang hening
ku rasa seperti pagi yang lain
tiada apa yang lain
udaranya masih sama



ku lihat di jendela..
ku terkenang seseorang...
ku tercari -cari wajahnya
dipelusuk rumah...
namun tiada ku jumpa...



derap langkah kakiku
melihat keluargaku
baru ku sedar
insan yang ku sayangi
tiada di sisi ku



pagi itu semua bergaya baju baru
namun hatiku masih sayu


mataku merenung ke pusara...
air mataku berhamburan
bagai tangisan tiada hujungnya
ku renung lagi



ku pejam mata
ku lihat pusara bonda
bonda yang amat ku cintai
ku lihat senyuman tulusnya
air mataku berderai lagi



hijab dunia tidak akan terbuka
apabila roh berpisah jasad
tiada mungkin bercantum kembali
tinggallah bonda di makam abadi



ku hadiahkannya Al-Fatihah
ku kalungkannya doa
ku siraminya air mawar...
mewangi seharum kasturi
walau hanya kemboja putih yang ada



bonda...
aidilfitri sekali lagi tanpa bonda
sekali lagi tanpa mengucup tangan bonda
memohon keampunan khilaf anakanda



bersemadilan bonda di sana
anakanda disini hanya mampu melihat bonda
hanya dalam mimpi
kerana itu sudah membahagiakan anakanda



bonda....jika dapat anakanda putar kembali masa
ingin anakanda kucupimu....pelukmu....ucapkan kata sayang
ucapkan kata maaf....
tapi itu cuma alam fantasi saja...kerana hakikatnya
ia tidak akan jadi realiti



bonda...
ingin anakanda selitkan rasa cinta...rindu pada bonda
ingin anakanda laungkan kalimah maaf pada bonda
ingin anakanda sujud di kaki bonda atas khilaf anakanda



bonda....
semoga kita berjumpa di padang masyar
semoga kita berkumpul semula
tika itu ingin anakanda peluk bonda...
dan tak ingin lepaskan



bonda...
anakanda akur janji Illahi
anakanda redha pada hakiki
anakanda pasrah apa yang terjadi



tinggallah bonda di alam barzakh sana
sementelah anakanda doakan kesejahteraan bonda
tinggalah bonda di sana..nescaya akan anakanda susuli bonda...
kerana anakanda rindu pada bonda...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Sabtu, 3 Ogos 2013

CINTA YANG PERGI...





Hati ini terasa sunyi tanpa nafas cintamu...



Hidup ini sepi tanpa senyuman darimu...



Diri ini senyap tanpa jiwa kasihmu...



Ruang hatiku gelap tanpa arah untuk melangkah...



Cinta, mengapa semua harus terjadi...???



Mengapa di saat terang dunia kalbuku, kau berlalu... kau tinggalkan sepenggal dusta dalam rasa...



Cinta... aku hanya mampu memeluk rasa, memeluk mimpi senja yang kelabu, meniti harapan fajar kelana...



Cinta... kau buat aku tidak yakin untuk melangkah...



Kau beri aku segenggam luka...



Mengapa cahaya pelangi menjadi api...



Selamat jalan cinta...



Selamat berbahagia di atas luka ku...



Biarkan kata merangkai hati serupa darah di balik tirai...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Khamis, 1 Ogos 2013

SEMALAM YANG GIRANG...





Baru semalam aku girang bersama kasih Mu...
Menganyam sejadah cinta,
Mengulit kembali tasbih pengharapan,
Membuang jauh-jauh palitan noda dan dosa,
Mencari sebuah nur kebahagiaan yang abadi,
Merawat hati yang tandus dan kelam,
Hanya untuk bersama Mu Ya Robb…



Namun hari-hari yang ku lalui...
Terasa semakin berat, semakin tandus,
Bila aku ingin mendekati Mu...



Mungkin inilah tarbiyah terhebat buatku,
Engkau mahu aku selalu tahu,
Bahawa Engkau menyayangi aku...



Dugaan inilah tarbiyah terindah buatku,
Aku tahu Engkau mahu aku lebih tabah,
Lebih matang dan lebih kuat,
Untuk mengharungi hari-hari yang mendatang…



Di Penghulu Segala Hari ini Ya Allah...
Aku mohon dekatkanlah hatiku pada Mu,
Temukanlah aku dengan insan-insan yang dekat dengan Mu
Supaya aku lebih tahu Engkau selalu ada untukku,
Aku ingin kembali pada Mu Ya Robb....



Amiin....



Wallahu`alam



Jagalah Hati...