“Assalamualaikum,” sayup terdengar suara memberi salam ketika aku dan keluarga sedang asyik menjamu selera, tengahari hari minggu itu.
“Waalaikumussalam,” jawab kami spontan, tetapi suara abah lebih kuat mengatasi gelombang frekuensi suara-suara kami yang lain. Adikku, Ika meluru ke pintu seperti biasa, membuka pintu dan seraya itu kami semua berpaling ke arah pintu untuk mengenal pasti suara itu.
“Abah! Ada orang nak jumpa!!” jerit Ika dari kejauhan, memang tabiatnya begitu. Suka benar menjerit, bukan tidak boleh datang dan panggil dengan lebih sopan. Jenuh aku menegur, tetapi biasalah, adik yang berusia 16 tahun itu kadangkala menguji kesabaranku.
“Ika!! Dah berapa kali akak pesan, jangan terjerit-jerit! Kalau nak panggil, datang sini lah panggil elok-elok!” Tanpa sedar, aku pula yang menjerit daripada meja makan itu. Aku ditenung abang dan diberi isyarat tangannya di telinga dan membuatku tersedar kesilapanku. Aku hanya tersengih.
“Opss!! Sorry big bro. Ter.. Bukan sengaja,”
“Memanglah ter.. Kita jarang-jarang sedar salah kita, selalu nampak salah orang je,”
Aduh, terkena sekali!! Tetapi aku tidak pernah ambil hati. Aku bersyukur, mujurlah abang Wan satu-satunya orang yang aku harapkan untuk mengadu nasib selain abah yang kadangkala sibuk dengan urusan pejabatnya. Mujur juga ada abang yang boleh menegurku jika ada salah dan silap, mengganti ibu yang telah 15 tahun pergi meninggalkan kami setelah 2 bulan terlantar sakit. Sejak itu, abah dan abang lah yang menjaga dan menyara kehidupan kami sekeluarga.
Aku sekadar memerhati langkah abah ke pintu tanpa sebarang syak siapa yang ingin bertemu dengan abah hari itu kerana memang menjadi kelazimannya, abah akan selalu menerima tetamu. Aku cuma mencapai tudung yang memang aku tinggalkan di dapur dan menyarungnya, takut-takut tetamu itu lama bertandang, aku kemudian menyambung kembali suapan. Abangku membasuh tangan dan menuju ke ruang tamu, barangkali ingin membaca akhbar.
“Siapa bah? Hari-hari minggu pun nak kacau abah,” sapa aku apabila abah kembali duduk di sisiku dengan sekeping sampul di tangannya.
“Ada orang hantar ni ha, calon menantu,” abah tersenyum kepadaku.
Aku tersedak mendengar perkataan ‘calon menantu’ yang keluar daripada mulut abahku.
“Aik, tersedak nampak, kenapa?” abah mula menyakatku, memang sifat semula jadi abah yang suka benar mengusik.
“Tak ada lah, terkejut. Calon menantu abah ke? Untuk abang Wan ke? Kenapa hantar pakai sampul pula?” aku bertanya bertubi-tubi.
“Hehe. Calon menantu abah, untuk anak dara abah ni. Abang Wan biarlah dia cari sendiri. Dia lelaki, pandai nak pilih. Abah Cuma risaukan anak dara abah ni je,”
“Calon menantu??!! Siapa bah??” entah dari mana datangnya abangku yang seorang itu terjenguk di pintu dapur.
“Amboi, gatal nampak!! Ingat untuk kamu ke? Calon untuk Ina ni. Kamu cari sendiri,” abah menambah. Aku hanya tertunduk, diam membisu tanpa sebarang reaksi kepada perbincangan itu. Aku tidak tahu bagaimana mahu terjemahkan perasaanku ketika itu. Aku tiba-tiba menjadi sebak dan terharu, dalam masa yang sama takut dan risau. Berbagai-bagai perkara datang menyerang fikiranku. Aku sedar, aku sudah mencapai umur yang merisaukan abahku, umur untuk melepaskan anak daranya ini bagi melengkapkan tanggungjawabnya, mencari jodoh yang baik untukku. Bukan aku tidak mempercayai abah dalam soal mencari calon suami untukku. Aku juga tidak pernah berpasangan sebelum ini kerana menjaga pesanan abah dalam tazkirahnya setiap kali selesai solat fardhu,
“Menuntut ilmu perlukan jiwa yang bersih, hanya dengan hati yang bersih Allah akan campakkan nur dan ilmu, selain jaga betul-betul hubunganNya serta manusia sekeliling, jangan sesekali menghampiri zina dengan membiarkan diri terbawa-bawa oleh arus.”
Abangku yang membekalkan pesanan yang sama setiap kali kepulanganku ke kampus,
“Ingat tanggungjawab kita pada Allah, pada agama, pada keluarga, pada diri. Abang sangat-sangat berharap Ina belajar berdikari dan kuatkan pergantungan padaNya dalam setiap perkara. Sekarang mungkin Ina ada abang dan abah untuk bergantung. Tetapi kami manusia biasa, kuasa kami terhad dan jika suatu hari nanti abang dan abah tiada, Ina akan terkapai-kapai. Tetapi kalau Ina tahu bahawa Ina masih ada Allah walau apa pun yang berlaku, Ina akan kuat. Ingat, Ina perlu tunjukkan contoh pada Ika, dia tidak merasai kasih sayang ibu sejak daripada kecil, jadi dia akan sedikit sebanyak menjadikan Ina sebagai contoh. InsyaAllah, abang akan selalu berdoa supaya Allah kurniakan kekuatan buat Ina hadapi ujianNya. Jangan putus asa dengan rahmat Allah.”
Aku ingin menjadi anak yang solehah, aku juga ingin menjadi kakak yang baik pada Ika, aku mahu menjadi adik yang baik untuk abang Wan. Tetapi dalam masa aku masih berusaha ke arah itu dan tiba-tiba aku perlu melangkah ke alam perkahwinan? Sudah sempurnakah tanggungjawabku kepada abah, abang Wan dan Ika? Aku ibarat Ibu di rumah dan selepas aku berkahwin, siapa akan jaga abah, abang Wan dan Ika? Buntu aku memikirkan persoalan tersebut.
“Mengelamun nampak, tak elok la duduk luar ni lama-lama. Malam-malam pula tu, kang sakit menyusahkan abang je nak kena menghantar Ina ke klinik,”
Tegur abang Wan ketika aku sedang duduk bersendirian di laman, menikmati angin malam dan kecantikan bintang-bintang di langit. Aku hanya mampu tersenyum tawar ke arah abang. Walaupun aku cuba menyembunyikan perasaan risauku ketika itu, abang Wan seolah-olah boleh meneka.
“Kenapa ni? Adik abang ni kalau muka serabut macam ni mesti ada lah tu perkara di fikiran? Risau dengan pilihan abah ke?” abang Wan mengusik lagi. Cubitan aku hinggap di tangannya. Abang Wan sempat mengelak.
“Tak lah. Cuma Ina risaukan rumah ni kalau suatu hari Ina terpaksa tinggalkan untuk tanggungjawab lain. Abang pun tahu abah bersungguh benar nak Ina kahwin awal, kerana bagi abah, tanggungjawabnya mencari jodoh yang baik untuk anak-anaknya. Bukan Ina meragui calon yang abah pilihkan untuk Ina, tetapi Ina rasakan belum cukup sempurna lagi tanggungjawab Ina pada orang-orang dalam rumah ni. Ika masih kecil dan perlukan Ina untuk bimbing dia. Ina belum rasa puas bela abah lagi. Belum rasa selesai lagi tanggungjawab Ina pada abah yang membela Ina dari kecil. Ina nak balas dulu jasa abah dan abang yang banyak berkorban selama ni untuk Ina. Abang sanggup mengorbankan separuh duit biasiswa abang untuk Ina setiap semester kerana membantu Ina yang asyik tak cukup duit untuk beli buku rujukan. Padahal abang juga perlukan duit untuk pengajian abang, sehingga abang perlu buat kerja sambilan untuk tampung semua tu. Abang perlu bantu abah untuk ringankan bebannya, dengan komitmen abang yang bertambah lagi ketika itu, Ina faham. Tapi Ina nak merasai membalas semua itu dulu. Kalau Ina dah kahwin, tanggungjawab Ina tertumpu pada suami dan keluarga, kerana abah dan abang pernah menyebut, syurga wanita pada redha suaminya. Ina teringin juga menjadi seperti arwah ibu, redha dan kasih sayang abah yang tidak berbelah bagi pada ibu, menjanjikan syurga buat arwah, kan bang? Ina buntu lah.” Aku mula merasai pandanganku kabur kerana air mata yang bergenang. Abang Wan hanya tersenyum.
“Alhamdulillah, abang syukur pada Allah kerana Ina punya perasaan itu semua. Abang tak kata semua itu salah kerana abang faham keadaan Ina. Ina tersepit antara dua perkara yang kedua-duanya membawa nikmat akhirat yang baik, kan? Tetapi abang nak Ina fikir dengan rasional. Ina dah 23 tahun, sudah sebaiknya Ina berumah tangga. Bukan abang ingin menghalang niat murni Ina untuk menjaga abah, Ika mahupun abang sendiri tetapi Ina perlu juga faham mengapa abah mahu Ina kahwin awal. Abah tidak mahu Ina terdedah dengan perkara yang tidak sepatutnya buat anak gadis seperti Ina. Abah tahu bahawa pada umur seperti ini lah anak-anak perlukan bimbingan ke arah rumah tangga buat memenuhi tanggungjawabnya dan juga tuntutan nafsu manusia. Rasulullah pernah berpesan bahawa jika mampu untuk menikah, maka bernikahlah. Kerana itu abah benarkan abang berkahwin tahun lalu bila abang nyatakan keinginan tersebut walaupun abang masih dalam pengajian. Walaupun jodoh kami tidak lama, kerana Allah lebih sayangkan arwah Kak Siti, tetapi abang bersyukur kerana mempunyai abah yang memahami. Tentang Ika dan abang, Ina jangan risau. Kita kan punya Penjaga terbaik? Jangan pernah putus doa. Dengan izin Allah juga abah boleh membesarkan kita sehingga hari ini, kan? Mesti juga dengan kehendak Allah mengizinkan segalanya berlaku, ada ataupun tidak ada penjagaan daripada sesiapa. Siapa kata Ina tak boleh nak berbakti pada kami bila Ina dah berkahwin? Ina pun tidak kenal lagi siapa calon suami Ina kan? Mana lah tahu, aturan Allah, calon tu orang dekat-dekat sini. Boleh lah Ina kerap balik, tolong masak untuk kami lagi! Tetapi layanan untuk suami dan keluarga itu yang lebih awla, ingat tu,” kata-kata abang Wan melegakan gusar dalam hatiku, aku mengangguk-angguk faham. Terima kasih abang Wan.
“Abah mahukan pandangan Ina. Abah ada terima risikan daripada seseorang yang ingin memperisterikan anak abah ni. Daripada penilaian abah, orangnya punya ilmu agama dan beramal dengan agama, abah berkenan pada agama yang ada padanya. InsyaAllah, dia sudah bekerja dan punya kewangan yang baik, biarpun tidak mewah kerana abah tak suka anak abah dimewahkan dengan harta dunia. Kalau tak silap abah, umurnya 27 tahun, rupanya pun sedap mata memandang. Bagaimana? Ina mahu tengok gambarnya?” hurai abah pada petang Jumaat itu.
“Tak perlu lah bah. Erm.. Cuma Ina minta masa 2 atau 3 hari untuk fikirkan, boleh? Ina yakin abah pilih calon yang baik untuk Ina, cuma Ina mahu lebih tetap keyakinan itu dengan petunjukNya,” aku memohon izin kepada abah untuk menangguhkan jawapan ku.
“InsyaAllah, abah tak ada halangan. Abah pun lebih suka kalau Ina lebih percayakan Allah daripada abah,” abah tersenyum. Perbualan aku dan abah hari itu merupakan titik tolak kepada penghijrahan fasa hidupku yang seterusnya. Alhamdulillah, aku bahagia kerana pilihan abah, kerana aku hanyalah seorang anak yang begitu percayakan ketentuan Allah. Terima kasih Allah untuk kurniaan Mu yang tidak ternilai ini. Kau juga menjadi saksi dalam setiap solatku, aku berdoa,
“"Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri."
Wallahu`alam.
Jagalah Hati...
Wassalam.