Ramai manusia melihat kehidupan dari segenap sudutnya. Ada yang melihat kepayahan hidup lalu memahami kehidupan ini suatu tempat kedukaan. Ada yang melihat kesenangan duniawi lalu memahami kehidupan adalah tempat menikmatinya. Ini semua adalah nilai kehidupan dengan pandangan syahwat dan kepentingan. Untuk apa melihat hidup itu pada senang atau susahnya, sedangkan setelah susah hadirnya senang, dan setelah senang hadirnya susah. Begitulah silih berganti.
Malah, senang dunia tidak selamanya, begitu juga susahnya. Akhirnya si insan yang sibuk dengan susah dan senangnya hidup di dunia, mati meninggalkan dunia. Itu semua hanyalah persepsi kebudak-budakan semata-mata yang ingin khayalannya menjadi mimpi yang nyata.
Hidup ini adalah untuk kita hidup menghadapi realiti, bukan membina makna realiti sendiri. Hakikat hidup sudah ditentukan. Makna hidup sudah dijelaskan. Jika terus memilih selain makna dan hakikat hidup yang telah dijelaskan oleh Ilahi, maka kita hanya mencari kebahagiaan yang palsu. Semakin kita melangkah menuju kebahagiaan palsu, semakin kita menjauhi kebahagiaan hakiki. Semakin kita menuju “realiti” ciptaan sendiri, semakin kita memalingkan diri daripada hakikat sebenar hidup ini.
Begitulah insan yang sentiasa terkesan sama ada dalam kesenangan mahupun dalam kesusahan. Cahaya keimanan yang sepatutnya kita warisi daripada generasi Sahabat r.a. yang sentiasa tenang dalam susah dan senang, seakan-akan suatu fantasi semata.
Memang benar, indah bicara dari menghadapinya. Namun, inilah realitinya. Bagaimana Saidina Bilal r.a. mampu memikul batu berat di bawah terik mentari hanya dengan menyebut Ahad…Ahad. Kita, dengan sembilan puluh sembilan nama Allah telah dihafal, namun belum tentu sanggup memikul dukaan kerana Allah. Jauh benar penghayatan akidah kita berbanding penghayatan akidah mereka yang dididik oleh Rasulullah saw…
Nilai akidah itu letak duduknya pada penghayatannya, bukan pada perbahasannya. Semua orang berbicara dalam manhaj yang berbeza-beza, tetapi tetap berkongsi kemanisan yang sama, jika benar tauhid mereka. Bukti berharga paling utama yang menunjukkan akidah kita benar pada manhaj mereka yang terdahulu (as-salaf as-sholeh) khususnya para sahabat r.a., adalah kita berkongsi penghayatan mereka terhadap akidah Islam itu sendiri.
Iman itu harganya pada kelazatan dalam berinteraksi dengan Allah swt melalui kehidupan. Bagaimana generasi sahabat r.a. khususnya, tidak pernah kenal erti susah dalam menghadapi rintangan kehidupan mereka? Ramai orang kata, kekuatan mereka adalah pada kefahaman mereka tentang dakwah Islam. Ada juga berkata, kekuatan mereka pada ilmu dan amal mereka. Benar bagai dikata oleh mereka yang berkata-kata. Tetapi bukan sekadar itu wahai saudara-saudara seakidahku. Kunci utama kekuatan mereka adalah pada penghayatan mereka terhadap akidah mereka. Kuncinya adalah pada kelazatan tauhid yang mereka kecapi saban hari.
Kelazatan iman mereka membawa mereka kepada mengenal makna hidup yang lebih besar. Ia adalah cahaya yang terbit dari kerohanian yang bersih dan suci daripada maksiat dan kelalaian. Ia lahir daripada jiwa yang sentiasa menginsafi diri dan memperbanyakkan taubat bukan sekadar kerana rasa diri berdosa, tetapi kerana takut rasa diri tidak berdosa yang mana itu juga sifat ujub yang tercela. Contoh teladan mereka adalah Rasulullah saw. Mereka melihat bagaimana Rasulullah saw beristighfar seratus kali setiap hari sedangkan sudah terpelihara daripada dosa. Apa penghayatan Baginda Rasulullah saw dalam memperbanyakkan taubat? Itulah kelazatan dan penghayatan yang diwarisi oleh para sahabat r.a. secara halus meresap dalam tarbiah Rasulullah saw.
Kunci utama bagi seseorang mewarisi hati yang bertaubat dan kebersihan rohani adalah pada kecintaan dalam keimanan. Oleh sebab itulah, Rasulullahsaw menyuruh para sahabat r.a. mencintai Baginda saw lebih daripada diri mereka sendiri dan segala-galanya. Ini kerana, kunci berlakunya proses pewarisan ahwal (hubungan hati seseorang dengan Allah) daripada Rasulullah saw adalah dengan cinta kepada Rasulullah saw.
Jalan untuk mencintai Rasulullah saw adalah dengan mencintai para pewaris Rasulullah saw, iaitu para sahabat r.a. dan keluarga Rasulullah, para ulama yang mewarisi ilmu Rasulullah, para solihin yang mewarisi amalan Rasulullah, para murobbi yang mewarisi manhaj tarbiah Rasulullah dan sebagainya. Ini adalah kecintaan kerana Allah swt yang berteraskan kecintaan kepada Rasulullah saw. Inilah antara sebab untuk mendapatkan kelazatan iman.
Penghayatan ini juga dikuatkan dengan mujahadah melawan hawa nafsu dengan meninggalkan terus maksiat dan dosa kita tanpa menoleh kepadanya semula. Antara kuncinya adalah dengan membenci untuk kembali kepada dosa sebagaimana takut untuk dicampak ke dalam neraka. Perasaan takut itu apabila terus meningkat, maka ia akan membawa takut kepada murka Allah swt.
Kemuncak proses mengecapi penghayatan akidah tauhid dan kelazatan iman adalah dengan menjadikan setinggi-tinggi cinta teragung seseorang adalah ALLAH swt. Kecintaan kepada Allah swt ini bukan suatu proses yang mudah, semudah mengungkapkannya dengan lisan semata-mata. Betapa ramai manusia yang mudah mengungkap cinta tetapi debu cinta pun tiada di hatinya (Astaghfirullah min ad-dakwa).
Prosesnya adalah dengan mencintai jalan-jalan untuk mencintai Allah swt iaitulah mencintai para solihin, para murobbi, para ahlul-bait, para sahabat r.a. dan kemuncaknya adalah cinta kepada Rasulullah saw. Dengan kecintaan kepada Rasulullah melebihi cinta kita kepada segalanya, akan membawa kepada kecintaan kepada Allah swt dengan bantuanNya.
Cinta kepada Allah swt memang benar ia adalah suatu anugerah. Tidak semudah sehingga semua yang mendakwa, memilikinya. Tidak serendah semua yang membicarakannya, merasai. Ia pilihan dalam pilihan. Ia anugerah dalam hadiah. Ia kurniaan dalam pemberian. Maka, mintalah cinta kepada Nya hanya daripada Nya.
Dengan mencintai Allah swt, seseorang akan menghadapkan fokusnya hanya kepada Allah swt. Seluruh jalan cerita dalam kehidupannya adalah ungkapan untuk mendapatkan redha dan cinta Nya. Itulah sebenarnya hakikat apabila sudah mula mencintai. Apa sahaja diredahi demi redha dan cinta. Pandangan redha yang dicinta adalah idaman setiap sang pencinta.
Andai benar kita mencari redha Allah, mengapa mengeluh ketika diberi ruang untuk mendapatkannya? Bukankah ujian dan dugaan hidup itu ruang untuk mendapatkan redha Nya? Mengapa ketika diberi ruang untuk mendapat redha Nya dalam dugaan yang melanda, dengan sabar dan redha dalam setiap ketentuan Nya, namun kita memilih untuk mengeluh dan mula merasa duka?
Bukankah seseorang yang Allah swt cintai, makin kuat diuji? Bukankah ujian itu sebenarnya nilai cinta? Mengapa mengeluh ketika dikurniakan simbol cinta? Adakah kerana kita tidak memahami hakikat cinta? Atau kerana memang dalam diri kita tiada cinta kepadaNya? Oleh kerana itulah, hidup kita tidak sunyi dari keluhan terhadap Ilahi dan memberontak bila diberi ujian.
Para pencinta dari kalangan salaf dan khalaf mengenali dan menghayati hakikat cinta. Lalu, setiap hidup mereka dilalui dengan penuh redha sebagai sang hamba. Mereka melihat agungnya “nilai” di sebalik ujian berbanding beratnya ujian. Mereka melihat besarnya “tujuan” mereka dalam redha kepadaNya, iaitulah demi meraih redhaNya, berbanding melihat ketentuanNya dalam kehidupan mereka.
Seseorang yang sentiasa fokus terhadap kebesaran tujuan dan keagungan nilai di sebalik ketentuan, tidak pernah letih untuk menghadapi ketentuan demi ketentuan kerana tahu apa yang dicari di sebalik kesabaran dalam menempuh ketentuan. Bagaimana terungkap di mulut para pencinta: “sedang lautan api sanggup ku redahi demi cinta…”, kalau memang itu bukanlah hakikat sebenar cinta. Itulah hakikat cinta wahai sang pencari cinta...
Jagalah hati...
wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan