Popular Posts

Jumaat, 28 Januari 2011

SEANDAINYA DULU...

Dalam satu riwayat, Rasulullah saw mendapat berita bahawa seorang sahabat yang tinggal jauh dari Madinah telah meninggal dunia. Rasulullah saw baru saja ingin bertanya khabar terakhir sahabat itu, kerana sebelumnya Baginda saw mendengar bahawa ia sakit dan beliau belum sempat berziarah kerana jarak yang begitu jauh.

Mendengar berita bahawa sahabat yang ditanyakan telah meninggal dunia, Rasulullah saw bertanya kepada orang yang membawa berita, “Apakah ia mengatakan sesuatu sebelum dia meninggal?” Orang itu menjawab, “Benar, wahai Rasulullah.”

“Apa yang diucapkannya?” tanya Rasulullah saw.

Katanya, “Andaikan Dulu…”

“Ia mengucapkan, ‘Aduhai, cuba andaikan dulu itu banyak. Aduhai, cuba andaikan dulu itu baru. Aduhai, cuba andaikan dulu itu sempurna.” Dan sungguh kami semua tidak mengerti apa yang dimaksudkannya dengan “banyak, baru, dan sempurna’ itu,” tutur sahabat pembawa berita tadi kepada Baginda saw.

Rasulullah saw menjelaskan, “Maksud ucapannya ‘andaikan dulu itu banyak’, Suatu ketika ia hendak pergi melaksanakan solat berjamaah. Dalam perjalanan, ia berjumpa seorang yang buta. Maka ia memimpin orang buta itu menuju masjid untuk solat berjamaah. Pada saat ia hendak meninggal, Allah swt tunjukkan betapa besar pahala amalnya ketika memimpin orang tua buta menuju masjid. Itulah sebabnya ia berkata, ‘Andaikan dulu itu banyak.’ Banyak kesempatan menolong orang buta dan kesempatan baik lainnya untuk tidak disia-siakan, kerana begitu besar pahalanya.

Ucapannya ‘andaikan dulu itu baru’, maksudnya, suatu ketika ia keluar hendak solat Subuh berjamaah. Saat itu cuaca teramat dingin dan berkabus. Di tengah perjalanan, ia menemui orang tua di pinggir jalan tengah menggigil kedinginan, mungkin tidak akan selamat kerana menahan dingin yang begitu mencekam kalau tidak segera ditolong. Pada saat itu si Fulan mengenakan dua lapis pakaian, sehelai pakaian yang baru dan sehelai lainnya sudah usang. Melihat keadaan orang itu, ia melepaskan pakaian tebalnya yang sudah usang dan memberikannya kepada si tua yang tengah menggigil kedinginan. Pada saat hendak meninggal, Allah swt tunjukkan betapa besar pahala yang akan diterimanya kerana telah memberikan baju usangnya kepada si tua itu. Itulah sebabnya ia berkata, ‘Andaikan dulu itu baru.’ Bukan yang usang yang ia berikan kepada orang tua itu. Pastilah lebih besar lagi pahala yang akan Allah swt berikan.

Adapun ucapannya ‘andaikan dulu itu sempurna’, madsudnya, suatu ketika ia pergi berdagang seperti kebiasaannya. Sepulang berdagang ia segera menemui isterinya seraya menanyakan apakah ada makanan yang tersedia, kerana rasa lapar yang teramat sangat sehingga tubuhnya mulai lemah. Si isteri memberitahu bahawa tidak ada makanan yang tersisa kecuali hanya sekerat roti kering. Oleh kerana sudah tidak lagi mampu menahan rasa lapar, ia meminta isterinya untuk segera mengambil roti tersebut dengan segelas air untuk mengalas perut. Baru saja hendak menyuap roti itu, tiba-tiba terdengar ada seseorang mengetuk pintu dari luar. Ketika pintu dibuka, didapatinya seorang tua lusuh berdiri di depan pintu. Orang itu memohon agar ia sudi memberikan makanan untuk menghilangkan rasa laparnya yang sudah teramat berat dirasakan kerana seharian tidak menemui apa jua makanan. Menyaksikan orang tua yang teramat lemah itu, hatinya merasa hiba. Sekerat roti yang hendak dimakannya tadi ia belah menjadi dua bahagian dan ia memberikan satu bahagian kepada orang tua tadi. Pada saat menjelang kematiannya, Allah swt memperlihatkan pahala yang akan diterima kerana amalannya menolong orang tua dengan memberinya sepotong roti. Itulah sebabnya ia berkata, ‘Andaikan dulu itu sempurna.’ Sempurna yang ia berikan kepada orang tua yang lapar itu, pastilah akan lebih besar dan sempurna lagi pahala serta balasan yang akan diterimanya,” tutur Rasulullah saw menjelaskan kepada para sahabat yang ada di sekeliling Baginda saw pada saat itu tentang maksud ucapan sahabat yang diberitakan telah meninggal dunia tersebut.


Menghormati Orang Tua

Dalam riwayat yang lain, suatu ketika Imam Ali bin Abi Talib ra hendak menuju masjid untuk menunaikan solat berjamaah. Di tengah jalan, ia perlahankan langkah kerana di depannya terdapat orang tua yang juga berjalan pada arah yang sama. Imam Ali terus berjalan di belakang orang tua itu dan tidak mendahuluinya meskipun ia tahu akan tertinggal jamaah.

Begitu mulia akhlak Imam Ali dalam menghormati orang tua. Ini kerana ia selalu mengingat sabda Rasulullah saw, “Bukan golongan kami orang yang tidak menghormati orang yang tua di antara kami dan tidak menyayangi orang yang kecil di antara kami.”

Setelah beberapa saat berada di belakang orang tua itu, sesampainya di depan masjid, ternyata orang tua itu tidak masuk ke dalam masjid, kerana ternyata dia orang Yahudi.

Imam Ali kemudian memuji Allah swt. Ia mengucapkan, “Alhamdulillah.”

Di dalam masjid, Rasulullah saw sedang mengimamkan solat.  Ketika Imam Ali masuk ke dalam masjid, Rasulullah dan para sahabat sedang rukuk rakaat keempat. Agak lama Baginda saw tetap dalam posisi rukuk sampai Imam Ali masuk ke dalam saf. Setelah itu barulah Rasulullah saw mengangkat kepalanya. Dan kali itu Rasulullah tidak membaca bacaan yang biasa dibaca saat kembali dari rukuk (“Allahu Akbar”). Beliau membaca “Sami`allahu liman hamidah (Allah mendengar hamba yang memuji Nya)”.

Selesai solat, para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw mengapa Baginda saw melakukan rukuk lama sekali dan bacaan yang dibaca di saat bangkit dari rukuk bukan takbir seperti biasanya.

Rasulullah saw menjelaskan, “Pada saat hendak rukuk, Malaikat Jibril as datang dan menahanku untuk tidak segera bangkit, menunggu kedatangan Ali, kerana Allah swt redha dengan apa yang dilakukan oleh Ali dengan menunjukkan ketinggian akhlaknya, sekalipun itu kepada orang Yahudi, dan Allah mendengar pujian yang diucapkan oleh Ali. Itulah sebabnya aku mengucapkan ’Sami`allahu liman hamidah’.”

Setelah anjing-anjing itu Kenyang

Dalam riwayat yang lain diceritkan, suatu saat Imam Ahmad bin Hambal datang ke suatu tempat yang jauh dari negerinya untuk mengambil hadis dari seorang ulama yang dia ketahui banyak meriwayatkan hadits Nabi saw.
Sesampainya di kediaman syeikh tersebut, Imam Ahmad melihat syeikh itu sedang memberi makan kepada berpuluh-puluh ekor anjing.

Melihat kedatangan Imam Ahmad, syeikh mempersilakannya untuk menunggu di dalam rumah. Imam Ahmad masuk ke dalam rumah dan duduk menunggu syeikh memberikan hadis kepadanya. Setelah beberapa lama ia menunggu, syeikh tiak juga masuk ke dalam rumah untuk menemuinya, seakan-akan syeikh tidak mempedulikan kedatangannya.

Merasa terlalu lama menunggu dan tidak dihiraukan oleh tuan rumah, Imam Ahmad berniat untuk beranjak dari tempat duduknya untuk menemui syeikh. Namun, tiba-tiba syeikh muncul dari luar dan menghampirinya.
Setelah bertanya asal, maksud, dan tujuan Imam Ahmad, si syeikh berkata, “Mohon maaf bila aku tidak segera menemuimu dan memenuhi harapanmu datang kemari. Aku melakukan ini kerana mengamalkan hadis Rasulullah saw, “Barang siapa memutuskan harapan seseorang yang berharap padanya, nescaya Allah memutuskan harapannya, dan orang tersebut tidak akan masuk ke dalam syurga”. Aku mengetahui engkau mengharapkan sesuatu dariku. Namun di depan tadi ada banyak sekali anjing yang datang, tidak seperti biasanya. Mereka datang dalam keadaan lapar. Mereka tengah mengharap makanan dariku. Itulah sebabnya aku memenuhi dahulu harapan mereka, kerana mereka lebih dahulu datang ke tempat ini daripada engkau. Setelah harapan mereka dipenuhi dan semuanya merasa kenyang dengan makanan yang aku berikan, barulah aku menemuimu di sini.”

Imam Ahmad kagum dengan ketinggian akhlak dan ketakwaan syeikh yang didatanginya itu. Ia pun kemudian mengambil hadis yang syeikh sampaikan tersebut dan meriwayatkannya...

Moga kita sama-sama berusaha mengamalkan Sunnah Rasulullah saw dalam setiap hari kehidupan ini...

Wassalam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan