Malam pertama adalah saat yang paling di idam dan dinantikan oleh setiap pasangan yang baru bergelar raja sehari. Kesibukkan di siang harinya akan tidak begitu terasa memandangkan fikiran melayang kepada layanan yang akan diberikan oleh pasangan masing-masing.
Tetapi, pernahkah terbayang dan terlintas di benak fikiran kita satu malam lain yang juga dinamakan malam pertama, namun ia bukanlah malam pertama perkahwinan?
Perenggan pertama bukan maksud penulisan nota ini. Maksud malam pertama di sini ialah MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!
Pernahkah kita melihat tanah perkuburan?
Pernahkah kita melihat gelapnya liang kubur?
Pernahkah kita melihat sempit dan dalamnya liang lahad?
Pernahkah kita membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah kita bahawa kuburan itu dipersiapkan untuk kita, pasangan kita, anak-anak serta saudara dan rakan taulan kita?
Bukankah telah silih berganti kita melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekat di usung dari dunia fana ini ke perkuburan?
Wahai diri, apa yang telah dipersiapkan saat malam pertama nanti di alam kubur? Tidakkah kita maklum bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.
Suatu hari pasti kita akan tinggalkan tilam empuk alas tidur kita selama ini (di dunia), dan ketenangan pun menghilang dari kita. Bila kita berada di kubur pada malam pertama. Demi Allah, fikirkanlah untung nasib kita dan apa yang akan terjadi pada kita di sana?
Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai. Dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran. Dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita. Lilin-lilin yang menerangi dunia ini adalah amalan-amalan yang pernah kita lakukan.
Selamatkah kita beradu di dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.
Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, teriak raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!
Di dalam usaha mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:
“Ya Robb ku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah ku tinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)
Kemudian ia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim di dapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertakwa kepada Allah!
Wahai saudara seakidahku, tidakkah kita mahu menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemput diri kita?
Wahai saudara seakidahku, tidakkah kita ingin menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya?
Wahai saudara seakidahku, tidakkah kita ingin menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan?
Wahai saudara seakidahku, tidakkah kita menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?
Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah kenikmatan hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”
Justeru, bersamalah kita fikirkan MALAM PERTAMA ini dengan mata hati.. Semoga cahaya kesedaran bersarang di hati kita dan nur keinsafan tertajak sekaligus melimpahi jiwa-jiwa kita. Semoga kita semua terlepas dari azab kubur dan beroleh nikmat Syurga Nya di Akhirat kelak. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.
“Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan