Berhati-hatilah bagi orang yang ibadahnya tidak istiqamah, kerana perbuatan tersebut merupakan tanda-tanda keikhlasannya belum sempurna. Ibadah yang dilakukan secara sementara tiada lain ukurannya, melainkan kerana urusan duniawi. Ia hanya dilakukan ketika sedang duka, sedang dilanda musibah, atau sedang disempitkan oleh ujian dan kesusahan, maka meningkatlah amal ibadahnya. Tapi, ketika pertolongan Allah datang, kemudahan menghampiri, kesenangan berlimpahan, maka keinginannya untuk bersenang-senang bersama Allah jadi menghilang.
Bagi yang amalnya bersifat selektif, contohnya seperti ketika menjelang pernikahan tiba-tiba saja ibadah si hamba jadi meningkat, solat wajib tepat waktu, tahajud nampak khusyuk. Anehnya ketika telah di ijab kabulkan, jangankan tahajud, solat subuh pun terlambat. Ini perbuatan yang memalukan. Sudah diberi kesenangan, tetapi melalaikan perintah Nya. Seharusnya setelah bergelar suami atau isteri,usaha lebih gigih lagi dalam bertaqarrub kepada Allah sebagai bentuk ungkapan rasa syukur.
Ketika berwuduk, misalnya, jika disamping kita ada seorang ulama yang cukup terkenal dan disegani, maka wuduk kita pun secara sedar atau tidak, tiba-tiba dilakukan dengan penuh tertib dan sopan. Lain pula halnya ketika tidak ada sesiapa pun yang melihat, maka wuduk kita pun kembali dilakukan dengan seadanya, malah sembrono.
Atau ketika menjadi imam solat, bacaan Quran kita kadangkala digetar-getarkan atau disedih-sedihkan agar orang lain ikut sedih. Tapi sebaliknya ketika solat sendirian, solat kita menjadi sepantas kilat,ringkas dan cepat.
Hati-hatilah dalam beribadah kepada Nya. Perhatikanlah amal-amal yang kita lakukan, adakah jadi lemah, kurang berkualiti dan tidak bersungguh ketika diberi kesenangan? Jika YA, maka itulah tanda bahawa kita kurang ikhlas dalam beramal.
Hal ini berbeza dengan hamba-hamba Nya yang telah menggapai tingkat ikhlas, makam di mana seorang hamba mampu beribadah secara istiqamah dan terus-menerus berkesinambungan. Ketika diberi kesusahan, dia akan segera saja bersimpuh sujud merindukan pertolongan Allah. Dan ketika diberi kelapangan dan kesenangan, ia semakin bersimpuh dan bersyukur lagi atas nikmat Nya itu.
Orang-orang yang ikhlas adalah orang yang kualiti beramalnya sama saja, sama ada, ada atau tiada orang yang memperhatikannya. Berbeza dengan orang yang kurang ikhlas, ibadahnya akan dilakukan lebih baik ketika ada orang lain memperhatikannya, apatah lagi bila orang tersebut dihormati dan disegani.
Sungguh suatu keuntungan yang sangat besar bagi orang-orang yang ikhlas ini. Betapa tidak? Orang-orang yang ikhlas akan sentiasa dianugerahkan pahala, bahkan bagi orang-orang ikhlas, amal-amal mubah pun pahalanya akan berubah jadi pahala amalan sunat atau wajib. Hal ini akibat niatnya yang bagus.
Maka, bagi orang-orang yang ikhlas, dia tidak akan melakukan sesuatu kecuali ia kemas niatnya lurus kepada Allah saja. Kalau hendak duduk di kerusi diucapkannya, "Bismilahirrahmanirrahiim, ya Allah semoga usaha hamba untuk duduk ini menjadi amal kebaikan". Lisannya yang tulus sentiasa memuji Allah atas nikmatnya berupa kurniaan mampu untuk duduk sehingga ia dapat beristirehat menghilangkan kepenatan. Jadilah aktiviti duduk itu sebagai taqarrub kepada Allah.
Kerana ramai orang yang melakukan aktiviti duduk, namun tidak mendapatkan pertambahan nilai apapun, selain hanya meletak (maaf!) punggung di kerusi. Tidak perlu dihairankan jika suatu masa nanti Allah memberi peringatan dengan sakit bisul. Hanya sekadar ingatan, bahawa aktiviti duduk pun adalah anugerah nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.
Begitu juga ketika makan, sempurnakan niat dalam hati, sebab sudah seharusnya di lubuk hati yang paling dalam kita meyakini bahawa Allah jua yang memberi makan setiap hari, tiada satu hari pun yang luput dari limpahan curahan nikmat Nya.
Kalau membeli sesuatu, sematkan dalam ingatan bahawa apa yang dibeli diniatkan kerana Allah. Ketika membeli kenderaan, niatkan kerana Allah. Kerana menurut Rasulullah saw, kenderaan itu ada tiga jenis, 1) Kenderaan untuk Allah, 2) Kenderaan untuk syaitan, 3) Kenderaan untuk dirinya sendiri. Apa cirinya? Kalau niatnya benar, dipakai untuk keperluan ibadah, agama dan mencari rezeki maka inilah kenderaan untuk Allah. Tapi jika sekadar untuk dipamerkan, riak serta ujub, maka inilah kenderaan untuk syaitan. Manakala kenderaan untuk dirinya sendiri, contohnya memelihara kuda, ia dikembangbiakan, dipelihara tanpa niat, maka inilah kenderaan untuk diri sendiri.
Pastikan bila kita membeli kenderaan, niat kita tiada lain hanyalah kerana Allah. Oleh itu, bermohonlah kepada Allah, "Ya Allah, saya perlukan sebuah kenderaan yang sesuai, yang boleh meringankan saya untuk menuntut ilmu, yang mampu meringankan saya untuk berbuat amal,yang boleh meringankan dalam menjaga amanah". Subhanallah bagi orang yang telah berniat seperti ini. Maka, semua komponen dari kenderaan itu ada dalam timbangan kebaikan, insya Allah. Sebaliknya jika digunakan untuk maksiat, maka kita juga yang akan menanggungnya.
Keajaiban lain dari seorang hamba yang ikhlas adalah memperolehi pahala amal, walaupun sebenarnya belum menyempurnakan amal tersebut, bahkan belum mengamalkanya. Inilah istimewanya amalan orang yang ikhlas. Suatu saat hati sudah berniat mahu bangun malam untuk tahajud, "Ya Allah, saya ingin bertahajud, bangunkan saya pukul 3.00 pagi ya Allah". Jam loceng pun dikunci, isteri pula turut dipesan, "Dinda, kalau dinda bangun dulu, kejutkan sama abang. Jam 3.30 pagi nanti kita sama-sama tahajud ya! Ya Allah, saya ingin bersujud kepada Mu di waktu makbulnya doa". Berdoa dan tidurlah ia dengan tekad bulat akan bangun tahajud.
Sayangnya, ketika terjaga, azan subuh sudah berkumandang. Bagi hamba yang ikhlas, dia akan gembira bercampur sedih. Sedih kerana tidak dapat solat tahajud dan gembira kerana ia masih ada bahagian dari pahala niatnya. Bagi orang yang sudah berniat untuk tahajud dan tidak dibangunkan oleh Allah, maka kalau ia sudah bertekad, Allah pasti akan memberikan pahala. Mungkin Allah tahu, hari-hari yang kita lalui akan memerlukan banyak tenaga. Allah Maha Tahu apa yang akan terjadi, Allah juga Maha Tahu bahawa kita mungkin telah keletihan seharian kerana penuh dengan aktiviti. Hanya Allah jualah yang menidurkan kita dengan nyenyak...
Sungguh apapun amal yang dilakukan seorang hamba yang ikhlas akan tetap bermakna, akan tetap bernilai, dan akan tetap mendapatkan balasan pahala yang setimpal. Subhanallah…!!!
Jagalah hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan