Popular Posts

Jumaat, 28 Januari 2011

TANGISAN...

PENJENAYAH di penjara memiliki gelaran paling buruk yang diberi oleh masyarakat kerana membenci perbuatan mereka. Si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun bertaubat atau tamat tempoh tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas banduan ini. Kalau pun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.

Dapatkah bayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah Allah nanti?

Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?

Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?

Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Tuhan pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.

Mengapakah Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah bermaksud, “Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali.” (Surah al-Hajj, ayat 48)

Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.

Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.

Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.

Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

“Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: “Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: “Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: “Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam neraka jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.

Mengapakah mereka memilih kesenangan haram yang sebentar saja di dunia ini? Pada hal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya bermaksud, “Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun daripada apa yang kamu hitung.” (Surah al-Hajj, ayat 47)

Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan daripada keluarganya? Tangisan orang yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anaknya?

Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun, ayat 107)

Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud, “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah.
Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.

Balasan Allah sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dulunya terngadah sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan bengkak serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.

Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan Allah?
Jawapannya payung Allah itu hanya untuk tujuh golongan saja...
  1. Pemimpin yang adil.
  2. Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah semasa hidupnya.
  3. Seseorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan Masjid.
  4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul & berpisah kerana Allah.
  5. Seorang lelaki yang diajak oleh seorang perempuan cantik & berkedudukan untuk berzina tetapi dia berkata, “Aku takut kepada Allah”.
  6. Seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
  7. Seseorang yang mengingat Allah di waktu sunyi sehingga bercucuran air matanya.

Moa kita sama-sama mendapat manfaatnya...

wallahu`alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan