Para pekerja yang sedang sibuk membersihkan kawasan taman rekreasi gempar! Raungan bunyi ambulans begitu mengejutkan, ketika pagi yang masih terlalu awal ini. Kelihatan beberapa petugas kesihatan begitu sibuk memberi pertolongan kepada sepasang muda-mudi yang terperangkap di dalam atas rel keretapi di kota tersebut. Pasangan merpati dua sejoli itu telah meninggal dunia ditempat kejadian, malaikat maut telah mencabut nyawa mereka dalam keadaan yang sungguh tragik dan memilukan.
Apa yang terjadi sebenarnya? Dikatakan sepasang kekasih itu nekad membunuh diri dengan berbaring di atas landasan keretapi. Akibatnya mereka mati dalam keadaan berpelukan dan saling berciuman dengan keadaan tubuh hancur, sehingga begitu sukar bagi pihak berkuasa memisahkan antara dua jasad tersebut. Begitu mengharukan. Di dalam rel keretapi tersebut, ditemui selembar kertas yang telah mereka tanda tangan. Antara isi kandungannya, “tolong jangan pisahkan mayat kami dan terus dikebumikan untuk membuktikan cinta abadi kami sehidup semati”. Dan di bahagian akhir surat tersebut tercatat bahawa mereka melakukan ini demi menyelamatkan cinta sejati yang suci ini kerana orang tua mereka tidak merestui hubungan cinta mereka. Astaghfirullah.!!
Di sebuah rumah di Semenanjung Arab, kira-kira ,1400 tahun yang lampau.
Abdullah bin Abu Bakar baru saja melangsungkan pernikahan dengan Atikah binti Zaid, seorang wanita cantik rupawan dan berbudi luhur. Dia seorang wanita berakhlak mulia, berfikiran cemerlang dan berkedudukan tinggi. Sudah tentu Abdullah amat mencintai isteri yang sangat sempurna menurut pandangan manusia.
Pada suatu hari, ayahnya, Saidina Abu Bakar ra melalui jalan rumah Abdullah untuk diajak pergi bersama untuk solat berjamaah di masjid. Namun apabila beliau mendapati anaknya sedang bermesraan dengan Atikah dengan lembut dan romantik sekali, beliau membatalkan niatnya dan meneruskan perjalanan ke masjid.
Setelah selesai menunaikan solat, Saidina Abu Bakar ra sekali lagi melalui jalan rumah anaknya. Alangkah kesalnya Saidina Abu Bakar ra apabila beliau mendapati anaknya masih bersenda gurau dengan isterinya sebagaimana sebelum beliau menunaikan solat di masjid. Kemudian Saidina Abu Bakar segera memanggil Abdullah, seterusnya bertanya : ” Wahai Abdullah, adakah kamu solat berjemaah? ” Tanpa menunggu jawapan, Saidina Abu Bakar berkata : “Wahai Abdullah, Atikah telah melalaikan kamu dari kehidupan dan pandangan hidup malah dia juga telah melupakan kamu dari solat fardhu, maka ceraikanlah dia!” Demikianlah perintah Saidina Abu Bakar kepada Abdullah. Suatu perintah ketika Saidina Abu Bakar mendapati anaknya melalaikan hak Allah. Ketika beliau mendapati Abdullah mulai sibuk dengan isterinya yang cantik. Ketika beliau melihat Abdullah terpesona keindahan dunia sehingga menyebabkan semangat juangnya semakin luntur.
Lalu bagaimana tindakan Abdullah ? Tanpa sebarang hujah dalih apatah lagi cuba membunuh diri, Abdullah terus menurut perintah ayahandanya dan menceraikan isteri yang cantik dan amat dicintainya. Subhanallah!!!
Dari dua petikan kisah di atas, marilah kita sama-sama merenung sejenak tentang hakikat dan bagaimana cinta sejati, tulus dan suci itu sebenarnya. Sesungguhnya perjalanan hidup manusia akan sentiasa dipenuhi dengan warna-warna cinta. Bahkan kita dapat ungkapkan bahawa kehadiran manusia di muka bumi ini disebabkan Allah swt meletakkan sebuah perasaan di dalam jiwa manusia, dan ia adalah cinta.
Membicarakan tentang cinta ibarat menapis air di lautan dalam yang kaya dengan pelbagai khazanah alam. Tidak akan pernah habis dan kita akan sentiasa menemui berjuta macam benda. Dari sekecil-kecil ikan hingga ikan paus yang terbesar. Dari kerang sampai mutiara malah jika diizinkan Allah, kita mungkin menemui bangkai kapal dan bangkai manusia!!!
Usia sejarah cinta seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika di suatu tempat ada 1,000 manusia maka di situ ada 1,000 kisah cinta. Dan jika di muka bumi ini ada lebih 5 billion manusia, maka sejumlah itu pulalah kisah cinta akan hadir.
Walau berapa banyak pun nuansa cinta yang menjelma menjadi sebuah syair, drama, filem, drama, lagu dan berbagai bentuk hasil seni lain, namun pada hakikatnya, cinta itu hanya ada dua buah versi saja. Versi Cinta Nafsu (syahwat) dan Cinta Rabbani.
Yang menjadi persoalan sekarang, mampukah kita membezakan yang mana cinta syahwat dan mana cinta Rabbani? Kuatnya arus serangan pemikiran terutama dalam kesenian telah berjaya mempromosi cinta syahwat sebagai cinta “suci” yang mesti diperjuangkan, dimenangkan dan diraih, seterusnya untuk dinikmati.
Manusia seakan lupa pada sejarah. Lupa pada kisah-kisah tragik yang berakhir di hujung pisau atau dalam segelas racun. Mereka semua rela diseret dan dijeremuskan ke dalam lubang neraka hanya untuk mengejar salah satu rasa dari sekian banyak rasa yang ada di sudut hati manusia, itulah cinta.
Cinta memiliki kekuatan luar biasa. Dan kekuatan cinta mampu menjadikan manusia sangat nekad atau sangat taat. Nekad dalam konteks sangat berani dalam melanggar peraturan-peraturan Allah seperti berkhalwat (berdua-duaan dengan bukan mahram), berkasih-kasihan lelaki dan perempuan, berpegangan tangan, mempertontonkan adegan berahi di depan khalayak ramai apatah lagi dalam sembunyi. Atau jika cinta tidak mendapat restu dari orang tua, pasangan akan nekad untuk lari dari rumah atau berzina (naudzubillah). Dan tidak sedikit pula yang begitu nekad hingga ke tahap sanggup melakukan perbuatan yang dilaknat Allah iaitu membunuh diri demi cinta.
Seseorang yang nekad seperti ini menjadikan cinta sebagai tujuan bukan lagi sebagai alat bagi mencapai tujuan. Oleh itu tidaklah menghairankan, jika kita menemui pelbagai perilaku aneh para pencari cinta yang tidak masuk akal. Sebab apa yang mereka tuju adalah suatu yang abstrak, tidak jelas dan bukan perkara yang pokok. Mereka sibuk mencari dan memberi makna cinta sementara lalai terhadap Zat yang menganugerahkan cinta. Zat yang menumbuhsuburkan rasa cinta. Zat yang memberikan kekuatan cinta. Zat yang paling layak dicintai, kerana Dia juga Pemilik nikmat cinta…Allah Rabbul Alamin.
Kisah tragik di awal tulisan ini memberikan gambaran jelas sikap manusia yang rela mengorbankan diri demi sepotong cinta. Muda-mudi yang nekad bunuh diri dengan perbagai cara ini pada dasarnya belum mengenali hakikat cinta. Cinta yang mereka kenal selama ini adalah cinta yang ditunggang oleh nafsu syahwat. Dan joki penunggangnya adalah syaitan laknatulllah. Pada ketika ini, syaitan berteriak keriangan sambil mengibar-ngibarkan bendera kemenangan kerana berhasil menjerumuskan anak cucu Nabi Adam as dalam Neraka Jahannam dengan alas an cinta yang begitu murah nilainya.
Cinta memang buta warna. Cinta tidak mengenal baik-buruk. Cinta tidak kenal rupa dan pertalian darah. Memang begitulah adanya. Kerana yang mampu mengenal warna dan baik-buruk adalah pelaku-pelaku cinta yang menggunakan akal fikirannya.
Sebaliknya cinta juga mampu melahirkan peribadi-peribadi yang mengagumkan. Peribadi yang tidak takut kehilangan suatu apa pun walau ia amat cinta pada sesuatu. Oleh kerana cinta yang hadir dipenuhi dengan nuansa keimanan, maka mereka rela mengorbankan apa saja yang mereka amat cintai demi memperoleh keredhaan Zat Pemberi Cinta. Jiwa mereka tidak gundah gulana hanya kerana kehilangan cinta duniawi, kerana Allah sebagai Zat Pemberi Ketenteraman diri yang taat ini amat menyedari bahawa cinta hanyalah sebagai pengantara untuk mencapai tujuan. Mereka yakin kenikmatan cinta tidak ada ertinya tanpa ada restu Allah sebagai Pemberi Cinta. Maka yang mereka cari adalah redha dan cinta kasih Allah, bukan cinta yang bersifat sementara.
Kisah Abdullah, putera Saidina Abu Bakar ra menjadi contoh kematangan pemuda yang mengenal erti cinta. Bayangkan!! Dia memiliki isteri yang amat cantik, berakhlak mulia, berkedudukan tinggi dan berharta. Namun saat ayahandanya memerintahkan untuk menceraikan isterinya, dengan alasan isterinya telah melalaikan Abdullah dalam menunaikan hak Allah seterusnya akan membuat Abdullah lalai dari berjihad di jalan Allah. Maka apa reaksi Abdullah? Tidak!! Abdullah tidak marah langsung pada ayahnya. Atau berusaha mengambil pedang dan ingin memenggal kepala si ayah yang berusaha memisahkan jalinan cinta yang memang sudah sah itu. Sekali lagi tidak!! Pemuda yang bernama Abdullah melihat perintah itu dengan kacamata cinta yang diberikan Allah. Ia rela menceraikan isteri yang dicintainya demi mempereratkan hubungan cinta dengan Allah. Subhanallah.. Masih adakah pemuda-pemuda seperti peribadi Abdullah di zaman globalisasi kini?
Begitulah cinta. Ia mampu melambungkan manusia pada darjat kemuliaan yang tidak terhingga. Sehingga frekuensi atau gelombang cintanya juga sudah selaras dengan frekuensi atau gelombang cinta yang Allah kehendaki. Semuanya akan senada seirama. Tiada dengung sumbang, tiada nada ternoda. Demikian indah dan aslinya irama cinta sejati. Wallahu`alam.
Moga bermanfaat
Jagalah hati...
wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan