Popular Posts

Jumaat, 28 Januari 2011

PERHIASAN HATI...

“Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Indahnya hidup dengan celupan iman. Saat itulah terasa bahawa dunia bukan segala-galanya. Ada yang jauh lebih besar dari yang ada di depan mata. Semuanya teramat kecil dibanding dengan balasan dan siksa Allah swt.

MENYEDARI BAHAWA DOSA DIRI KITA TIDAK AKAN DIPIKUL OLEH ORANG LAIN

Siapa pun kita, jangan pernah berfikir bahawa dosa-dosa yang telah dilakukan akan terpikul di pundak orang lain. Sama ada diri adalah orang kaya, pemimpin mahupun tokoh agama yang punya banyak pengikut. Semua kebaikan dan keburukan akan kembali ke pelakunya.

Maha Benar Allah dengan firman-Nya dalam surah Al-An’am ayat 164. “…Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Robb mulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan.”

Lalu, pernahkah kita menghitung dosa yang telah kita lakukan. Seberapa banyak dan besar dosa-dosa itu. Mungkin, hitungannya tidak berbeza dengan jumlah nikmat Allah yang kita terima. Atau bahkan, jauh lebih banyak lagi.

Masihkah kita merasa aman dengan mutu diri seperti itu? Belumkah tersedar bahawa tidak seorang pun mampu menjamin bahawa esok kita belum berpisah dengan dunia? Belumkah tersedar tidak seorang pun yang mampu yakin bahawa esok ia masih boleh beramal? Belumkah tersedar kalau kelak masing-masing kita sibuk dipertanggungjawabkan apa yang telah kita lakukan…?

MENYEDARI BAHAWA DIRI KITA TERAMAT HINA DI HADAPAN ALLAH YANG MAHA AGUNG

Di antara keindahan iman adalah anugerah pemahaman bahawa kita begitu hina di hadapan Allah swt. Saat itulah, seorang hamba menemukan jati diri yang sebenarnya. Ia datang ke dunia ini tanpa membawa apa-apa. Dan akan kembali dengan selembar kain putih. Itu pun kerana jasa baik orang lain. Apa yang kita dapatkan pun tidak lebih dari anugerah Allah yang tersalur melalui diri kita. Kita pandai kerana orang tua menyekolahkan kita. Seperti itulah sunnatullah yang menjadi kelaziman bagi setiap orang tua. Kekayaan yang kita perolehi mungkin berasal dari warisan orang tua atau kerana berkat persekitaran yang lagi-lagi Allah titipkan buat kita. Kita begitu faqir di hadapan Allah swt. Itulah yang Allah nyatakan dalam surah Faathir ayat 15 hingga 17, “Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, nescaya Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.”

MENYEDARI BAHAWA SYURGA TIDAK DAPAT DIMASUKI DENGAN AMAL YANG SEDIKIT

Mungkin kita pernah berangan-angan dalam fikiran kita bahawa sudah menjadi kemestian bagi Allah swt. akan memasukkan kita ke dalam syurga. Fikiran itu mengalir lantaran merasa diri telah begitu banyak beramal. Siang malam, tidak henti-hentinya kita menunaikan ibadah. “Pasti, pasti saya akan masuk syurga,” begitulah keyakinan diri itu muncul kerana melihat amal diri sudah lebih dari cukup.

Namun, ketika perbandingan nilai dilayangkan jauh ke generasi sahabat Rasul, kita akan melihat pemandangan lain. Bahawa, para generasi sekaliber sahabat pun tidak pernah merasa aman serta selamat kalau mereka pasti masuk syurga atau neraka. Dan seperti itulah dasar pijakan mereka.

Begitulah ketika turun perintah hijrah. Mereka melihat segala bayang-bayang suram soal sanak-saudara yang ditinggalkan, harta yang pasti akan dirampas, dengan satu harapan: Allah pasti akan memberikan balasan yang terbaik. Dan itu adalah pilihan yang tidak boleh disia-siakan.

Begitu juga ketika Allah mempertemukan mereka dengan pasukan yang tiga kali lebih banyak dalam daerah yang bernama Badar. Dan pertarungan serta pertaruhan saat itu bukan hal kecil, iaitu  nyawa. Lagi-lagi, semua itu mereka tempuhi demi menyongsong cita-cita besar, iaitu meraih syurga.

Begitulah Allah menggambarkan mereka dalam surah Al Baqarah ayat 214. “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

MENYEDARI BAHAWA AZAB ALLAH TERAMAT PEDIH

Apa yang boleh kita bayangkan ketika suatu ketika semua manusia berkumpul dalam tempat luas yang tidak seorang pun memiliki hak istimewa kecuali dengan izin Allah. Jangankan hak istimewa, pakaian pun tidak ada. Yang jelas dalam benak manusia saat itu cuma pada dua pilihan: syurga atau neraka. Di dua tempat itulah pilihan akhir nasib seorang anak manusia.

“Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (QS 80:34-37) Mulailah bayang-bayang pedihnya siksa neraka tergambar jelas. Kematian di dunia cuma sekali. Sementara, di neraka orang tidak pernah mati. Selamanya merasakan pedihnya siksa. Terus, dan selamanya.

Seperti apa siksa neraka, Rasulullah saw. pernah menggambarkan sebuah contoh siksa yang paling ringan. “Sesungguhnya seringan-ringan siksa penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang di bawah kedua tumitnya diletakkan dua bara api yang dapat mendidihkan otaknya. Sedangkan ia berpendapat bahawa tidak ada seorang pun yang lebih berat siksaannya daripada itu, padahal itu adalah siksaan yang paling ringan bagi penghuni neraka.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Belum saatnyakah kita menangis di hadapan Allah? Atau jangan-jangan,hati kita sudah teramat keras untuk tersentuh dengan kekuasaan Allah yang teramat jelas di hadapan kita. Imam Ghazali pernah memberi nasihat, jika seorang hamba Allah tidak lagi mudah menangis kerana takut dengan kekuasaan Allah, maka menangislah kerana ketidakmampuan itu…

Wallahu`alam.

Moga sama-sama mengambil manfaatnya….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan