Popular Posts

Jumaat, 28 Januari 2011

MELIHAT SEGALANYA BAIK...

“... boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (QS 2:216)


Belajar untuk menyedari bahawa Allah jua yang telah mentakdirkan semua hal…

Kebanyakan orang merasa senang dikala segala sesuatu terjadi sesuai dengan keinginannya. Akan tetapi, orang beriman tidak boleh cenderung kepada perasaan seperti itu. Di dalam Al-Quran, Allah memberikan khabar gembira bahawa Dia telah menentukan setiap peristiwa demi kebaikan hamba-Nya dan hal tersebut tidaklah menimbulkan rasa sedih ataupun masalah bagi mereka yang benar-benar beriman.

Seseorang yang menyedari kebenaran ini di dalam hatinya, akan merasa tenang terhadap apa yang dihadapinya dan ia melihat hikmah yang tersimpan di balik apa yang terjadi.

Ramai orang yang tidak ingin sibuk berfikir bagaimana dan mengapa mereka ada di dunia ini. Walaupun kata hati akan menuntun mereka untuk menyedari bahawa keajaiban dunia yang sempurna ini memiliki Pencipta, cinta yang luar biasa banyaknya yang dirasakan di dunia ini, keengganan mereka untuk melihat kebenaran, membawa mereka kepada pengingkaran terhadap realiti keberadaan Allah. Mereka mengabaikan fakta bahawa setiap kejadian dalam hidupnya ditentukan sesuai dengan rencana dan tujuan tertentu; mereka malah menghubungkannya dengan idea yang sebenarnya salah, yakni hanya kebetulan. Inilah sebuah pandangan yang menghalangi seseorang untuk melihat kebaikan dalam peristiwa-peristiwa yang terjadi dan kemudian mengambil pelajaran dari peristiwa tersebut.

Ada pula mereka yang sedar akan keESAan Allah dan mengerti bahawa Dialah yang telah menciptakan seluruh alam. Mereka mengakui fakta bahawa Allah yang menurunkan hujan dan meninggikan matahari. Mereka menyedari bahawa tidak mungkin ada Zat lain yang melakukan semua itu. Meskipun demikian, Allahlah yang mentakdirkan seorang pencuri memasuki rumah di malam hari, sebuah halangan yang menyebabkan seseorang terjatuh, sebuah tanah subur untuk bercucuk tanam atau dibiarkan gersang, malah perniagaan yang menguntungkan sekalipun. Setiap peristiwa terjadi dengan kebijaksanaan-Nya yang tidak terbatas untuk menyelesaikan ketentuan-Nya yang agung. Sepercik lumpur yang mengotori baju kita, jerawat yang muncul, penyakit, atau kejadian yang tidak diharapkan berlaku, semuanya terbentuk dalam kehidupan seseorang sesuai dengan ketentuan tertentu.

Sejak seseorang membuka matanya, tidak ada satu pun yang dialaminya di dunia ini terjadi dengan sendirinya dan terlepas dari Allah. Segala yang ada secara keseluruhan diciptakan oleh Allah, satu-satunya zat yang memegang kerajaan alam semesta. Ciptaan Allah bersifat sempurna, tanpa cacat, dan sarat dengan tujuan. Ini adalah takdir yang diciptakan oleh Allah. Seseorang tidak boleh memperlekeh peristiwa yang terjadi dengan menamakannya kebaikan pada sebuah peristiwa dan kejahatan pada peristiwa yang lain. Apa yang menjadi kewajiban seseorang adalah menyedari dan menghargai kesempurnaan dalam setiap peristiwa. Kita harus percaya bahawa ada kebaikan dalam setiap ketetapan-Nya serta tetap menyedari kenyataan bahawa kebijaksanaan Allah yang tidak terbatas ini telah direncanakan untuk sebuah hasil akhir yang paling sempurna. Bahkan mereka yang percaya dan mencari kebaikan dalam segala peristiwa yang menimpa mereka, baik di dunia ini mahupun akhirat nanti, mereka akan menjadi bahagian dari kebaikan yang abadi tersebut.

Hampir di setiap halaman Al-Quran, Allah meminta kita untuk memerhatikan hal tersebut. Inilah sebabnya mengapa ketidakmampuan dalam mengingati segalanya berjalan sesuai dengan takdir itu menjadi sebuah kegagalan yang mengerikan bagi seorang muslim. Takdir yang dituliskan oleh Allah begitu unik dan dilalui oleh seseorang benar-benar sesuai dengan apa yang telah Allah tetapkan. Orang awam menganggap kepercayaan akan takdir semata-mata hanya merupakan cara untuk "menghibur diri" di saat tertimpa kemalangan. Sebaliknya, seorang mukmin memiliki pemahaman yang benar akan takdir. Ia sepenuhnya menganggap bahawa takdir adalah sebuah rencana Allah yang sempurna yang telah dirancang khusus untuk dirinya.

Takdir adalah rencana tanpa cacat yang dibuat untuk mempersiapkan seseorang untuk sebuah kenikmatan syurga. Takdir penuh dengan keberkatan dan maksud Ilahiah. Setiap kesulitan yang dihadapi seorang mukmin di dunia ini akan menjadi sumber kebahagiaan, kesenangan, dan kedamaian yang tidak terbatas di kemudian hari. "Sesungguhnya, setelah kesulitan itu ada kemudahan." (al-Insyirah: 5) Ayat ini menarik kita pada kenyataan bahawa di dalam takdir seseorang, kesabaran dan semangat yang ditunjukkan oleh seorang mukmin, telah dituliskan sebelumnya bersama-sama dengan balasannya masing-masing di akhirat.

Sesekali mungkin terjadi dalam sejarah kehidupan, seorang mukmin menjadi marah atau bimbang  akan terjadinya hal-hal tertentu. Penyebab utama dari kemarahan yang ia rasakan adalah kerana ia lupa bahawa semua itu merupakan bahagian dari takdirnya dan bahawa takdirnya itu telah diciptakan oleh Allah hanya untuk dirinya sendiri. Walaupun demikian, ia akan merasa aman dan tenang ketika ia diingatkan akan tujuan ciptaan Allah.

Kerana itulah, seorang mukmin harus belajar untuk terus mengingati bahawa segalanya telah ditetapkan sebelumnya. Ia harus mengingatkan orang lain akan hal ini. Ia harus bersabar saat menghadapi peristiwa-peristiwa yang Allah telah takdirkan untuknya dengan memberikan rasa percayanya kepada Allah dalam jarak waktu yang tidak terbatas. Dalam masa yang sama, ia harus berusaha mencari alasan-alasan di sebalik semua peristiwa tersebut. Jika ia berusaha memahami alasan-alasan ini, dengan seizin Allah, ia akhirnya akan berhasil. Bahkan walaupun ia tidak selalu berhasil menemukan maksud di baliknya, ia masih tetap yakin bahawa ketika sesuatu terjadi, pastilah semua itu demi kebaikan dan maksud tertentu.

Memahami sepenuhnya bahawa setiap makhluk, hidup ataupun tidak, diciptakan dalam kepatuhannya pada takdir.

Takdir adalah pengetahuan sempurna Allah atas semua peristiwa di masa lalu dan masa akan datang, laksana satu waktu saja. Ini menunjukkan kekuasaan mutlak Allah atas semua makhluk dan semua peristiwa. Manusia mungkiin berhati-hati agar tidak mengalami suatu peristiwa yang buruk, tetapi Allah mengetahui semua peristiwa sebelum hal itu terjadi. Bagi Allah, masa lalu dan masa depan adalah satu. Semua itu sama-sama berada dalam pengetahuan Allah kerana Dialah yang menciptakannya.

"Sesungguhnya, Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran." (QS 54:49)

Manakala Redha menerima hukum-hukum Allah adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan takwa dan kepatuhan kepada Allah kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah swt. dan RasulNya adalah pancaran dari mahabbah kerana cinta kepada Allah swt dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah swt. yang bermaksud, " Tetapi tidak ! Demi Robb mu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( QS 4:65 )

Dan firman Allah swt yang bermaksud, " Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan RasulNya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan RasulNya akan berikan pada kami kurniaanya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".( QS 9:59 )

Pada dasarnya segala perintah Allah swt, baik yang wajib mahupun yang sunat ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah, hendaklah dijauhi dengan lapang dada . Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah swt. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah. Firman Allah yang bermaksud, " Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( QS 47:26 )

Andai kata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka lakukan dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah swt, yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Di dalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah swt, iaitu mereka memuji Allah (bertahmid) baik dalam keadaan susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah saw apabila memperolehi kegembiraan Baginda saw berkata, " Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat Nya menjadi sempurnalah kebaikan ". Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda saw mengucapkan, " Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah dijelaskan di dalam hadis Baginda saw yang lain yang bermaksud, " Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan : Allah telah mentakdirkan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian, iaitu

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.
Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, " Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ". (Riwayat Muslim)

semoga sama-sama mendapat manfaat.

Jagalah hati...

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan