Popular Posts

Jumaat, 28 Januari 2011

BILA HATI BERCAHAYA...

Adakah di antara kita yang merasa mencapai kegemilangan hidup kerana telah berjaya meraih segalanya: harta, pangkat dan kedudukan?

Marilah kita selidiki seberapa besar sebenarnya nilai dari apa jua yang telah kita raih selama ini….

Dalam sebuah akhbar tidak berapa lama dulu, pernah diberitakan tentang penemuan baru berupa teropong yang diberi nama telescope Hubble. Dengan teropong ini, saintis berjaya menemui sebanyak lima juta gugusan galaksi. Padahal yang telah kita ketahui selama ini adalah suatu gugusan bernama Galaksi Bimasakti, yang di dalamnya terdapat planet-planet. Matahari saja merupakan salah satu planet yang sangat kecil, yang berada dalam gugusan galaksi di dalam tata suria kita. Apalagi planet bumi ini sendiri yang besarnya hanya satu noktah. Sungguh tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan lima juta gugusan galaksi tersebut. Alangkah hebatnya susun atur Allah swt.

Sayangnya, seringkali orang yang merasa telah berjaya meraih segala apa pun yang dirindukannya di bumi ini—dan dengan demikian merasa telah berjaya—mudah tergelincir kerana hanya bergaul mesra  dengan dunianya saja. Kesannya, pemilikan tersebut telah melahirkan sifat bangga dan bongkak, tetapi kehilangan dunia dengan serta merta membuat lahir batinnya sengsara dan tersiksa. Ia merasakan bahawa apa yang dicapai semuanya itu hasil usaha dan kerja kerasnya semata-mata. Sedangkan ketika gagal mendapatkannya, ia pun serta merta merasa diri sial. Bahkan tidak jarang kesialannya itu ditimpakan atau dicarikan kambing hitamnya pada orang lain.

Orang semacam ini tentu telah lupa bahwa apa pun yang diinginkannya dan diusahakan oleh manusia sangat tergantung pada izin Allah Azza wa Jalla. Mati-matian ia berjuang mengejar apa-apa yang dinginkannya, pasti tidak akan dapat dicapai tanpa izin-Nya. Laa haula walaa quwwata illaabillaah! Begitulah keadaannya jika orang hanya bergaul dengan dunia yang ternyata tidak ada apa-apanya ini.

Padahal, seharusnya kita bergaul hanya dengan Allah swt, Zat yang Maha Menguasai alam raya, sehingga hati kita tidak akan pernah terpesona dengan dunia yang kecil ini. Laa khaufun alaihim walaa hum yahjanuun! Sama sekali tidak ada kebimbangan dalam menghadapi urusan apa pun di dunia ini. Semuanya tidak lain kerana hati selalu sibuk dengan Dia, Zat Pemilik Alam Semesta yang begitu hebat dan dahsyat.

Sikap inilah sesungguhnya yang harus sentiasa kita latih dalam mempergauli kehidupan di dunia ini. Tubuh lekat dengan dunia, tetapi jangan biarkan hati turut lekat dengannya. Ada dan tiadanya segala perkara dunia ini di sisi kita jangan sekali-kali membuat hati goyah kerana ia tetap sama pahalanya di sisi Allah. Sekali hati ini lekat dengan dunia, maka adanya akan membuat bahagia, sedangkan tiadanya akan membuat kita terluka. Ini bererti kita akan sengsara kerananya, sebab ada dan tiada itu akan terus menerus terjadi pada kita. Itulah hakikatnya…

Tabiat dunia itu sentiasa digilirkan. Datang, tertahan, diambil. Mudah, susah. Sihat, sakit. Dipuji, dicaci. Dihormati, direndahkan. Semuanya terjadi silih berganti. Jika hati kita hanya akrab dengan kejadian-kejadian seperti itu tanpa akrab dengan Zat pemilik kejadiannya, maka letihlah hidup kita.

Lain halnya kalau hati kita selalu bersama Allah. Perubahan apa saja dalam episod kehidupan dunia tidak akan ada satu pun yang merugikan kita. Maksudnya, memang kita harus terus menerus meningkatkan mutu pengenalan kita kepada Allah Azza wa Jalla.

Di antara yang penting untuk diperhatikan sekiranya ingin dicintai Allah adalah kita harus zuhud terhadap dunia ini. Rasulullah saw pernah bersabda, "Barangsiapa yang zuhud terhadap dunia, neiscaya Allah mencintainya, dan barangsiapa yang zuhud terhadap apa yang ada di tangan manusia, nescaya manusia mencintainya."

Zuhud terhadap dunia bukan bererti tidak mempunyai hal-hal yang bersifat duniawi, tetapi kita lebih yakin dengan apa yang ada di sisi Allah daripada apa yang ada di tangan kita. Bagi orang-orang yang zuhud terhadap dunia, sebanyak apa pun yang dimiliki sama sekali tidak akan membuat hati merasa tenteram kerana ketenteraman itu hanyalah apa-apa yang ada di sisi Allah.

Rasulullah saw bersabda, "Melakukan zuhud dalam kehidupan di dunia bukanlah dengan mengharamkan yang halal dan bukan pula memboroskan kekayaan. Zuhud terhadap kehidupan dunia itu ialah tidak menganggap apa yang ada pada dirimu lebih pasti daripada apa yang ada pada Allah." (HR Ahmad, Mauqufan)

Andaikata kita merasa lebih tenteram dengan sejumlah simpanan di bank, maka bererti kita belum zuhud. Seberapa besar pun wang simpanan kita, seharusnya kita lebih merasa tenteram dengan jaminan Allah. Ini kerana, apa pun yang kita miliki belum tentu menjadi rezeki kalau tidak ada izin Allah.

Sekiranya kita memiliki orang tua atau sahabat yang memiliki kedudukan atau status tertentu dalam masyarakat, hendaknya kita tidak sampai merasa tenteram dengan jaminan mereka atau siapa pun. Kerana semua itu tidak akan datang kepada kita, kecuali dengan izin Allah.

Orang yang zuhud terhadap dunia melihat apa pun yang dimilikinya tidak menjadi jaminan. Ia lebih suka dengan jaminan Allah kerana walaupun tidak nampak dan tidak tertulis, tetapi Dia Maha Tahu akan segala keperluan kita. Jangan ukur kemuliaan seseorang dengan adanya dunia digenggamannya. Sebaliknya jangan pula meremehkan seseorang kerana ia tidak memiliki apa-apa. Kalau kita tidak menghormati seseorang kerana ia tidak memiliki apa-apa. Kalau kita menghormati seseorang kerana kedudukan, ilmu dan kekayaannya. Kalau meremehkan seseorang kerana ia fakir dan rakyat marhain, maka ini bererti kita sudah mulai cinta dunia. Akibatnya akan susah hati ini bercahaya di sisi Allah.

Mengapa demikian? Kerana hati kita akan dihinggap sifat sombong dan takabur dengan selalu mudah membeza-bezakan rakan atau seseorang yang datang kepada kita. Padahal siapa tahu Allah mendatangkan seseorang yang sederhana itu sebagai isyarat bahawa Dia akan menurunkan pertolongan Nya kepada kita.

Hendaknya dari sekarang mulai diubah sistem pengiraan kita atas akaun untung rugi. Ketika hendak membeli suatu barang dan kita tahu harga barang tersebut di supermarket lebih murah berbanding membelinya pada seorang ibu tua yang menjual di kedai runcit, sehingga kita merasa perlu untuk menawar dengan harga serendah mungkin. Maka mulai saat ini asuhlah diri kita untuk menguntungkan ibu tua itu, berbanding menjimatkan belanja kita. Ertinya, pilihan membeli tentu akan lebih baik jatuh padanya dan dengan harga yang ditawarkannya daripada membelinya ke supermarket. Walhasil, keuntungan sebenarnya bagi kita kerana ketika kita mampu memberikan sesuatu manfaat kepada orang lain. Beranikah kita berniaga dengan Allah, iaitu dengan mengubah kerugian wang ringgit demi keuntungan Akhirat…?

Lain halnya dengan keuntungan duniawi. Keuntungan semacam ini terasa ketika kita mendapatkan sesuatu dari orang lain. Sedangkan erti keuntungan bagi kita selaku muslim adalah ketika mampu memberi lebih daripada yang diberikan oleh orang lain. Percayalah, akan sangat lain nilai kepuasan batinnya…
Bagi orang-orang yang cinta dunia, jelas sekali bahawa keuntungan bagi dirinya adalah ketika ia dihormati, disegani, dipuji, dan dimuliakan. Akan tetapi, bagi orang-orang yang sangat merindukan kedudukan di sisi Allah, kelazatan menikmati keuntungan itu ketika berhasil dengan ikhlas menghargai, memuliakan, dan menolong orang lain. Cukup ini saja!  Perkara berterima kasih atau tidak, itu sama sekali bukan urusan kita. Dapatnya kita menghargai, memuliakan, dan menolong orang lain pun sudah merupakan keberuntungan yang sangat luar biasa.

Sungguh sangat lain bagi ahli dunia, yang segalanya diambil kira, balas membalas, serta ada imbalan atau tidak ada imbalan. Oleh itu, tidak perlu dihairankan jika para ahli dunia itu akan banyak letih kerana hari-harinya selalu penuh dengan tuntutan dan penghargaan, pujian, dan sebagainya, dari orang lain. Terkadang untuk mendapatkan semua itu ia menggunapakai perkataan, penampilan, dan banyak hal demi untuk meraih penghargaan.

Bagi ahli zuhud tidaklah demikian. Yang penting kita buat tentang kehidupan ini buatlah semudah mungkin, dengan menghargai, memuliakan, dan membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan apa pun. Inilah keuntungan bagi ahli-ahli zuhud. Lebih merasa aman dan menyukai apa-apa yang terbaik di sisi Allah daripada apa yang didapati dari selain Dia.

Hasilnya, siapa pun yang merindukan hatinya bercahaya kerana sentiasa dicahayai oleh nur dari sisi Allah, hendaknya ia berjuang sekuat-kuatnya untuk mengubah diri, mengubah sikap hidup, menjadi orang yang tidak cinta dunia, sehingga jadilah ia ahli zuhud.

"Adakalanya nur Illahi itu turun kepadamu, tetapi ternyata hatimu penuh dengan keduniaan, sehingga kembalilah nur itu ke tempatnya semula. Oleh itu, kosongkanlah hatimu dari segala sesuatu selain Allah, nescaya Allah akan memenuhinya dengan makrifat dan rahsia-rahsia Nya."

Subhanallaah, sungguh akan merasakan hakikat kelazatan hidup di dunia ini, yang sangat luar biasa, siapa pun yang hatinya telah dipenuhi dengan cahaya dari sisi Allah Azza wa Jalla. "Cahaya di atas cahaya. Allah membimbing (seorang hamba) kepada cahaya Nya siapa yang Dia kehendaki ..." (QS 24: 35)

Moga sama-sama mendapat manfaat...

wassalam.

Jagalah hati....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan