Popular Posts

Ahad, 30 Januari 2011

10 PINTU REZEKI...

Ingin kaya harta dan pahala?


1. MEMPERBANYAK ISTIGHFAR.

Allah swt berfirman: “Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Robb mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, membanyak harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Qs. Nuh: 10-12)

Al-Qurtubi berkata, “Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahwa istighfar merupakan salah satu cara diturunkan rezeki dan hujan.

Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa memperbanyak istighfar (memohon ampun pada Allah), nescaya Allah menggantikan setiap kesempitan menjadi jalan keluar, setiap kesedihan menjadi kelapangan dan Allah akan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” ( Abu Daud)


2. BERTAKWA KEPADA ALLAH

Allah berfirman: “Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” (Qs. Ath-Thalaq: 2-3).

Ibnu Katsir berkata, “Maknanya, barangsiapa yang bertakwa kepada Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan Nya dan meninggalkan apa yang dilarang Nya, nescaya Allah akan memberinya jalan keluar, serta rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, yakni dari arah yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.”


3. BERTAWAKAL KEPADA ALLAH

Nabi Muhammad saw bersabda, “Sungguh, seandainya kalian betawakkal kepada Allah  dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana rezeki burung-burung, mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar, dan pulang  di petang hari dalam keadaan kenyang.” (Ahmad dan Tirmizi)


4. RAJIN BERIBADAH

Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah berfirman, “Wahai anak Adam!, beribadahlah sepenuhnya kepada Ku, nescaya Aku penuhi (hatimu) di dalam dada dengan kekayaan dan Aku penuhi keperluanmu. Jika kalian tidak lakukan yang sedemikian, nescaya Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan tidak aku penuhi keperluanmu (kepada manusia).” ( Tirmizi, Ahmad, dan Ibnu Majah).


5. HAJI DAN UMRAH

Firman Allah swt, “Lakukanlah haji dan umrah, kerana sesungguhnya keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa, sebagaimana api dapat menghilangkan karat besi, emas, dan perak. Dan tidak ada pahala haji yang mabrur kecuali syurga.” (Ahmad, Tirmizi, dan An-Nasa`i).


6. MENJAGA SILATURAHIM

Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaknya ia menyambung (tali) silaturahim.” (Bukhari).


7. BANYAK BERSEDEKAH

Allah berfirman, “Katakanlah: ‘Sesungguhnya Robb ku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki Nya di antara hamba-hamba Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki Nya)’, dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Qs. Saba`: 39).

Rasulullah saw bersabda dalam hadis Qudsi, “Wahai anak Adam, bersedekahlah, nescaya Aku  memberi rezeki kepadamu.” (Abu Daud).

8. MEMBANTU PENUNTUT ILMU
Disebutkan sebuah kisah, “Dahulu ada dua orang saudara pada masa Rasulullah saw. Salah seorang daripadanya mendatangi nabi dan (saudaranya) yang lain bekerja. Lalu saudaranya yang bekerja itu mengadu pada nabi, maka Baginda saw bersabda, “Mudah-mudahan engkau diberi rezeki dengan sebab dia.” (Tirmizi, Hakim).

9. MEMBANTU ORANG LEMAH
Rasulullah saw bersabda, “Bantulah orang-orang lemah, kerana kalian diberi rezeki dan ditolong lantaran orang-orang lemah di antara kalian.” (Muslim dan An-Nasa`i).

10. BERHIJRAH
“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.” (Qs. An-Nisa`: 100).

Moga kita sama-sama mengambil manfaat dan diberikan kemudahan oleh Allah untuk melakukannya dengan istiqamah…
Jagalah hati…
Wassalam.

Jumaat, 28 Januari 2011

ISTIQAMAH BESERTA IKHLAS...


Berhati-hatilah bagi orang yang ibadahnya tidak istiqamah, kerana perbuatan tersebut merupakan tanda-tanda keikhlasannya belum sempurna. Ibadah yang dilakukan secara sementara tiada lain ukurannya, melainkan kerana urusan duniawi. Ia hanya dilakukan ketika sedang duka, sedang dilanda musibah, atau sedang disempitkan oleh ujian dan kesusahan, maka meningkatlah amal ibadahnya. Tapi, ketika pertolongan Allah datang, kemudahan menghampiri, kesenangan berlimpahan, maka keinginannya untuk bersenang-senang bersama Allah jadi menghilang. 

Bagi yang amalnya bersifat selektif, contohnya seperti ketika menjelang pernikahan tiba-tiba saja ibadah si hamba jadi meningkat, solat wajib tepat waktu, tahajud nampak khusyuk. Anehnya ketika telah di ijab kabulkan, jangankan tahajud, solat subuh pun terlambat. Ini perbuatan yang memalukan. Sudah diberi kesenangan, tetapi melalaikan perintah Nya. Seharusnya setelah bergelar suami atau isteri,usaha lebih gigih lagi dalam bertaqarrub kepada Allah sebagai bentuk ungkapan rasa syukur. 

Ketika berwuduk, misalnya, jika disamping kita ada seorang ulama yang cukup terkenal dan disegani, maka wuduk kita pun secara sedar atau tidak, tiba-tiba dilakukan dengan penuh tertib dan sopan. Lain pula halnya ketika tidak ada sesiapa pun yang melihat, maka wuduk kita pun kembali dilakukan dengan seadanya, malah sembrono. 

Atau ketika menjadi imam solat, bacaan Quran kita kadangkala digetar-getarkan atau disedih-sedihkan agar orang lain ikut sedih. Tapi sebaliknya ketika solat sendirian, solat kita menjadi sepantas kilat,ringkas dan cepat.
Hati-hatilah dalam beribadah kepada Nya. Perhatikanlah amal-amal yang kita lakukan, adakah jadi lemah, kurang berkualiti dan tidak bersungguh ketika diberi kesenangan? Jika YA, maka itulah tanda bahawa kita kurang ikhlas dalam beramal.

Hal ini berbeza dengan hamba-hamba Nya yang telah menggapai tingkat ikhlas, makam di mana seorang hamba mampu beribadah secara istiqamah dan terus-menerus berkesinambungan. Ketika diberi kesusahan, dia akan segera saja bersimpuh sujud merindukan pertolongan Allah. Dan ketika diberi kelapangan dan kesenangan, ia semakin bersimpuh dan bersyukur lagi atas nikmat Nya itu. 

Orang-orang yang ikhlas adalah orang yang kualiti beramalnya sama saja, sama ada, ada atau tiada orang yang memperhatikannya. Berbeza dengan orang yang kurang ikhlas, ibadahnya akan dilakukan lebih baik ketika ada orang lain memperhatikannya, apatah lagi bila orang tersebut dihormati dan disegani. 


Sungguh suatu keuntungan yang sangat besar bagi orang-orang yang ikhlas ini. Betapa tidak? Orang-orang yang ikhlas akan sentiasa dianugerahkan pahala, bahkan bagi orang-orang ikhlas, amal-amal mubah pun pahalanya akan berubah jadi pahala amalan sunat atau wajib. Hal ini akibat niatnya yang bagus. 

Maka, bagi orang-orang yang ikhlas, dia tidak akan melakukan sesuatu kecuali ia kemas niatnya lurus kepada Allah saja. Kalau hendak duduk di kerusi diucapkannya, "Bismilahirrahmanirrahiim, ya Allah semoga usaha hamba untuk duduk ini menjadi amal kebaikan". Lisannya yang tulus sentiasa memuji Allah atas nikmatnya berupa kurniaan mampu untuk duduk sehingga ia dapat beristirehat menghilangkan kepenatan. Jadilah aktiviti duduk itu sebagai taqarrub kepada Allah.

Kerana ramai orang yang melakukan aktiviti duduk, namun tidak mendapatkan pertambahan nilai apapun, selain hanya meletak (maaf!) punggung di kerusi. Tidak perlu dihairankan jika suatu masa nanti Allah memberi peringatan dengan sakit bisul. Hanya sekadar ingatan, bahawa aktiviti duduk pun adalah anugerah nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. 

Begitu juga ketika makan, sempurnakan niat dalam hati, sebab sudah seharusnya di lubuk hati yang paling dalam kita meyakini bahawa Allah jua yang memberi makan setiap hari, tiada satu hari pun yang luput dari limpahan curahan nikmat Nya. 

Kalau membeli sesuatu, sematkan dalam ingatan bahawa apa yang dibeli diniatkan kerana Allah. Ketika membeli kenderaan, niatkan kerana Allah. Kerana menurut Rasulullah saw, kenderaan itu ada tiga jenis, 1) Kenderaan untuk Allah, 2) Kenderaan untuk syaitan, 3) Kenderaan untuk dirinya sendiri. Apa cirinya? Kalau niatnya benar, dipakai untuk keperluan ibadah, agama dan mencari rezeki maka inilah kenderaan untuk Allah. Tapi jika sekadar untuk dipamerkan, riak serta ujub, maka inilah kenderaan untuk syaitan. Manakala kenderaan untuk dirinya sendiri, contohnya memelihara kuda, ia dikembangbiakan, dipelihara tanpa niat, maka inilah kenderaan untuk diri sendiri. 

Pastikan bila kita membeli kenderaan, niat kita tiada lain hanyalah kerana Allah. Oleh itu, bermohonlah kepada Allah, "Ya Allah, saya perlukan sebuah kenderaan yang sesuai, yang boleh meringankan saya untuk menuntut ilmu, yang mampu meringankan saya untuk berbuat amal,yang boleh meringankan dalam menjaga amanah". Subhanallah bagi orang yang telah berniat seperti ini. Maka, semua komponen dari kenderaan itu ada dalam timbangan kebaikan, insya Allah. Sebaliknya jika digunakan untuk maksiat, maka kita juga yang akan menanggungnya. 

Keajaiban lain dari seorang hamba yang ikhlas adalah memperolehi pahala amal, walaupun sebenarnya belum menyempurnakan amal tersebut, bahkan belum mengamalkanya. Inilah istimewanya amalan orang yang ikhlas. Suatu saat hati sudah berniat mahu bangun malam untuk tahajud, "Ya Allah, saya ingin bertahajud, bangunkan saya pukul 3.00 pagi ya Allah". Jam loceng pun dikunci, isteri pula turut dipesan, "Dinda, kalau dinda bangun dulu, kejutkan sama abang. Jam 3.30 pagi nanti kita sama-sama tahajud ya! Ya Allah, saya ingin bersujud kepada Mu di waktu makbulnya doa". Berdoa dan tidurlah ia dengan tekad bulat akan bangun tahajud. 

Sayangnya, ketika terjaga, azan subuh sudah berkumandang. Bagi hamba yang ikhlas, dia akan gembira bercampur sedih. Sedih kerana tidak dapat solat tahajud dan gembira kerana ia masih ada bahagian dari pahala niatnya. Bagi orang yang sudah berniat untuk tahajud dan tidak dibangunkan oleh Allah, maka kalau ia sudah bertekad, Allah pasti akan memberikan pahala. Mungkin Allah tahu, hari-hari yang kita lalui akan memerlukan banyak tenaga. Allah Maha Tahu apa yang akan terjadi, Allah juga Maha Tahu bahawa kita mungkin telah keletihan seharian kerana penuh dengan aktiviti. Hanya Allah jualah yang menidurkan kita dengan nyenyak... 

Sungguh apapun amal yang dilakukan seorang hamba yang ikhlas akan tetap bermakna, akan tetap bernilai, dan akan tetap mendapatkan balasan pahala yang setimpal. Subhanallah…!!!


Jagalah hati…


Wassalam. 

PELAJARAN BUAT ANAK-ANAK KU...

Petang tadi saya bertemu seorang kenalan lama yang kini bertugas di sebuah syarikat swasta Kuala Lumpur. Dalam kesempatan tersebut, beliau mengadu perihal kehidupan di KL yang tidak seperti dahulu. Keadaan hidup yang agak menekan, menyebabkan diri dan keluarganya agak tertekan - berikut antara luahan warkah yang sempat disampaikan kepada anaknya di sebuah sekolah berasrama penuh. 

Kak Long yang dirindui, Apa khabar anak ayah di sana? Semoga sihat dan bahagia selalu. Di sini, ayah bersama ibu dan adik-adik sihat sahaja. 

Cuma semalam, adik usu mengadu sakit perut - berak-berak. Agaknya, perut adik dah tak tahan - bersebu sebab sejak beberapa hari adik asyik makan maggi aje. Itu yang semalam, dan hari ni, ibu masakkan bubur. Kesian tengok adik-adik kat rumah. 

Masak bubur sepot beras dapatlah, ayah dan adik-adik makan kenyang sikit dengan kicap cap kipas yang Kak Long suka tu. Itulah, yang mampu ayah sediakan untuk hidangan malam ini dan malam tadi. 

Ayah tak tahu esok macamana. Mungkin ibu akan masak beras buat bubur lagi. Boleh kot, ayah ambikkan duit tabung adik usu untuk beli telur sebiji dua. Kalau goreng telur hancur dengan bubur, lainlah sikit menu daripada semalam. Harap-harap adik-adik tak akan merungut makan bubur lagi. 

Kak Long, Ayah bukan berniat nak merisaukan Kak Long yang sedang berada di asrama kini. Cuma ayah nak bagitau, kita sekarang dah tak sesenang dulu. Kalau dulu, sebulan sekali boleh kita keluar untuk selebrate apa-apa event dengan makan di luar. Tapi kini, nak makan lauk ikan atau ayam sebulan sekali pun belum pasti lagi. 

Keadaan ekonomi keluarga kita sudah tak seperti dahulu. Hidup kita makin terhimpit along. Ayah tak tahu, sampai bila lagi kita mampu terus hidup di bandar KL ini. Dengan gaji ayah setelah tolak bersih duit EPF dan hutang syarikat, yang tinggal hanya sekitar RM1,800 sahaja sebulan. 

Bayangkanlah Kak Long, setiap bulan kereta yang kita gunakan perlu dibayar sebanyak RM550.00, sewa rumah - RM500.00, bil-bil telefon,air dan elektrik - RM250.00, bayaran duit yuran Kak Long, adik-adik dan persekolahan - RM200.00, duit minyak kereta dan tol untuk ayah berulang kerja - RM300.00, semua ini dah mencecah genap RM1,800 (sebulan gaji ayah).

Ini tak ditambah lagi dengan duit untuk sakit pening, balik kampung, belanja dapur dan pasar, simpanan dan keperluan harian lain. Kadang untuk belanja dapur, ayah terpaksa ambik duit bayar kereta (kita dah tiga bulan duit kereta tertunggak). Pihak bank dah mula hantar surat kata nak tarik kereta. Ada sekali ayah gunakan duit yuran sekolah adik-adik untuk beli sayur dan sedikit ikan, akibatnya dua bulan yuran sekolah adik-adik tertunggak. Bil telefon pula, baru sebulan ayah tak bayar, pihak telekom dah hantar surat amaran nak potong. Memang agak susah hidup kita ini Kak Long. 

Semalam, adik sakit perut ayah hanya dapat gosokkan minyak masak kat dapur pada perut adik. Selepas adik merengek sejam lebih, tertidur dia. Nak ke klinik, ayah dah tak tahu nak cari duit kat mana.Duit-duit simpanan ayah dan ibu (termasuk duit di Tabung Haji) dah diguna masa daftarkan Kak Long masuk asrama dahulu. 

Minggu lepas, ayah balik kampung dengan ibu. Jumpa dengan Pak Usu, Pak Uda dan Pak Lang, cuba bawa berbincang nak minta tolong. Tapi hampa. Kata mereka, tinggal kat KL takkan susah. Itulah agaknya, mentaliti orang kampung, dan tak belajar agaknya. Susah nak terima hahikat bahawa bukan semua di bandar ini senang dan mewah seadanya. Agaknya, orang kampung susah dapat berita. Atau orang kampung hanya dapat berita yang indah sahaja kat peti televisyen dan radio. 

Padahal, dalam dunia masa kini semuanya tidak seperti dahulu lagi. Dahulu kalau Kak Long ingat, duit RM50 boleh isi tangki minyak kereta agak penuh, sekarang hanya separuh aje. Duit tol dah tak sama kak long. Harga ayam setahun dua dulu dah tak sama dengan hari ini. Baru ni, harga barang-barang dapur dah naik. Makin susah. Adik Usu yang boleh makan roti canai setiap minggu dulu dah jarang dan susah nak makan (dulu RM0.50 - kini RM0.80). 

Itulah, dilema ayah dan ibu kini Kak Long. Jika keadaan masih tak berubah, mungkin ayah lepas ni akan berpindah balik kampung. Rumah atuk, masih kosong. Cuma sayanglah, adik ngah yang akan periksa UPSR tahun ni akan terjejaslah pelajaran dia sebab kena pindah sekolah. Adik usu yang mula nak kenal belajar Bahasa Inggeris, akan kelam kabutlah sebab guru kesayangan Bahasa Inggeris dia bertukar rupa. Makin susahlah adik Usu nak kuasai Inggeris. Dahlah, subjek Matematik dan Sains dalam periksa pertengahan tahun tempohari dia hanya dapat 'C'. Lepas ni tak tahulah pula apa nak berlaku.

Oh ya, Kak Long mungkin tertanya-tanya apa dah jadi dengan projek jual nasi lemak dan kerepek kat pejabat ayah dulu? Ayah dan ibu dah sepakat untuk menghentikan jualan-jualan tersebut. 

Pertama; setiap malam ayah dan ibu bersengkang mata sehingga jam 1 pagi untuk siapkan bahan-bahan untuk berjual nasi lemak dan esoknya terpaksa pula bangun jam 4 pagi - akibatnya Kak Long, ibu sering sakit-sakit, kesihatan ibu terjejas. 

Kedua; bukan ayah nak mengata, tapi realitinya dalam dunia berniaga begitulah. Kadang-kadang ada yang membeli dengan berhutang. Dan bila berhutang tak ada pula yang membayar.Ada pula yang ambil begitu aje tanpa bagitahu, akibatnya modal hilang, dan ayah serta ibu terpaksa keluarkan modal baru setiap kali nak berjual. BUkan ayah nak menuduh semua, tetapi akibat setitik nila habis rosak susu sebelanga. 

Ketiga; kenaikan harga barang mentah dah tak dapat nak ayah dan ibu untuk menampungnya. Maklumlah, bukan berniaga secara besar, hanya kecil-kecilan. Itu yang agak susah. 

Maka, disebabkan itulah ayah dan ibu ambil keputusan untuk hentikan jualan kecil-kecilan itu. 

Kak Long, Ayah harap Kak Long rajin-rajinlah belajar. Berusahalah menjadi anak yang cemerlang bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam agama. Berusahalah, jangan sia-siakan peluang yang Kak Long dapat untuk belajar di sekolah asrama tu. 

Ayah harap Kak Long akan berjaya. Berjaya mencapai cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Cuma dalam mengejar cita-cita Kak Long, ayah berharap Kak Long beringatlah. Kita kini bukan orang senang. Hidup dah tak macam dulu. Kalau Kak Long boleh berjimat, berjimatlah sehabis baik. 

Ayah tahu, yuran asrama Kak Long tertunggak dua bulan. Bersabarlah. Bagitau pada cikgu, ayah akan jelaskan. Cuma bukan dalam masa terdekat ini. Insya-Allah, ayah akan cuba sedaya upaya untuk jelaskannya sebelum berakhirnya sesi persekolahan tahun ini. 

Cuma selepas ini, ayah tak pasti berapa kerap lagi ayah akan mampu menulis. Bukan apa, kadang memikir, duit pos (setem Rm0.40) boleh ayah gunakan belikan dua biji telur untuk adik-adik makan tengahari bila mereka balik sekolah. 

Jadi, janganlah Kak Long bersedih ok. Tabahkan hati. Ayah tahu, anak ayah seorang yang tabah, cekal dan sentiasa berusaha yang terbaik. 

Dan akhir sekali, maafkan ayah kerana membebani Kak Long dengan segala kisah yang berlaku ini. Bukan apa, sebagai anak ayah yang sulung ayah rasa Kak Long berhak tahu dan wajar memahami apa yang sedang berlaku dalam keluarga ini. 

Sekian, ibu dan adik-adik menyampaikan salam rindu pada Kak Long. 

Wassalam.

WASIAT DARI HATIKU BUAT SAUDARA SEAKIDAH...

Renungkanlah pendeknya umur kita. Andaikata kita berumur seratus tahun sekalipun, maka umur itu masih pendek jika dibandingkan dengan masa hidup di akhirat kelak yang abadi…selama-lamanya. Cuba renungkan, kita sanggup menanggung berbagai beban berat dan kehinaan di dalam mencari dunia, tetapi mengapa kita tidak sanggup menanggung beban ibadah selama beberapa hari demi mengharapkan kebahagiaan abadi di Akhirat nanti?

Usahlah memanjangkan angan-angan, nanti kita akan merasa berat untuk beramal. Yakinlah bahawa tidak lama lagi kita akan mati. Katakanlah dalam hati, “Pagi ini aku akan beribadah meskipun berat, siapa tahu malam nanti aku mati. Malam ini aku akan sabar untuk beribadah, siapa tahu esok aku mati”.

Sebab, kematian tidak datang pada waktu, keadaan dan tahun tertentu. Yang jelas ia pasti datang. Oleh itu, mempersiapkan diri menyambut kedatangan maut lebih utama daripada menpersiapkan diri menyambut dunia. Bukankah kita menyedari betapa pendek waktu hidup di dunia ini? Bukankah mungkin terjadi, ajal kita hanya tersisa satu tarikan dan hembusan nafas atau satu hari?

Setiap hari lakukanlah hal ini dan paksakan diri kita untuk sabar beribadah kepada Allah swt. Andaikata kita ditakdirkan untuk hidup selama lima puluh tahun dan  kita biasakan diri untuk sabar beribadah, nafsu kita tetap akan memberontak, tetapi ketika maut datang menjemput, kita akan berbahagia selama-lamanya. Tetapi, jika kita suka bertangguh-tangguh dalam mengerjakan amal, dan kematian datang di waktu yang tidak kita ramalkan. Bagaimanakah rupanya kesudahan kita?

Jika kita telah berusia empat puluh tahun, maka segeralah untuk memperbanyakkan amal soleh siang mahupun malam. Sebab, waktu pertemuan kita dengan Allah ‘Azza wa Jalla semakin dekat. Ibadah yang dikerjakan saat ini tidak mampu menyamai ibadah seorang pemuda yang tidak mensia-siakan masa mudanya. Bukankah selama ini kita telah sia-siakan masa muda dan kekuatan jasmani? Andaikata saat ini kita ingin beramal sekuat-kuatnya, tenaga kita sudah tidak kuat lagi. Oleh itu, beramallah sesuai dengan keupayaan dan kekuatan diri.

Perbaikilah masa lalu kita dengan banyak berzikir, sebab tidak ada amal yang lebih mudah dari zikir. Zikirullah dapat dilakukan ketika berdiri, duduk, berbaring mahupun sakit. Zikir adalah ibadah yang paling mudah. Rasulullah saw bersabda “Dan hendaklah lisanmu basah dengan berzikir kepada Allah swt”

Bacalah secara istiqamah doa dan zikir apa pun yang mudah bagi kita. Pada hakikatnya, kita dapat berzikir kepada Allah swt adalah kerana rahmat dan kebaikan Nya jua…

 Ketahuilah, sebuah umur yang awalnya hidup dalam kelalaian, janganlah pula sisa umur itu disia-siakan manfaatnya. Jika seorang ibu memiliki sepuluh anak dan sembilan di antaranya meninggal dunia. Tentu ia akan lebih mencintai satu-satunya anak yang masih hidup itu...

Jujurnya, kita telah mensia-siakan sebahagian besar umur. Oleh itu jagalah sisa umur kita yang sangat sedikit itu. Demi Allah, sesungguhnya umur kita bukanlah umur yang dihitung sejak kita  dilahirkan, tetapi umur kita dihitung sejak hari pertama kita mengenal Allah swt.

Seseorang yang telah mendekati ajalnya dan ingin memperbaiki segala kekurangan diri di masa lalu, hendaknya ia banyak membaca zikir yang ringkas tetapi berpahala besar.  Zikir semacam itu akan membuat sisa umur yang pendek menjadi panjang, seperti zikir yang berbunyi, “Maha suci Allah yang Maha Agung dan segala puji bagi Nya, ( kalimat ini ku ucapkan ) sebanyak jumlah ciptaan Nya, sesuai dengan yang ia sukai, seberat timbangan Arsy Nya dan setara dengan jumlah kata-kata Nya”.

Jika sebelumnya kita sedikit melakukan solat serta puasa sunat, maka perbaikilah kekurangan itu dengan banyak berselawat kepada Rasulullah saw.

Andaikata sepanjang hidup ini kita melakukan segala jenis ketaatan, tetapi kemudiannya Allah swt berselawat kepada kita sekali saja, maka satu selawat Allah ini akan mengalahkan semua amal kita selama hayat ini! Sebab, kita berselawat kepada Rasulullah saw sesuai dengan kekuatan kita, sedangkan Allah swt berselawat kepada kita sesuai dengan kebesaran Nya. Ini jika Allah swt berselawat kepada kita sekali, lalu bagaimana jika Allah swt membalas setiap selawat kita dengan sepuluh selawat sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis Shahih Subhanallah!!!

Betapa indah hidup ini jika kita isi dengan ketaatan kepada Allah swt, dengan berzikir kepada Nya dan berselawat kepada Rasulullah saw.

Semoga kita sama-sama dapat mengambil manfaat, dan sesungguhnya,  “Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul”. (QS: Al Israa' : 15)

Jagalah hati…

Wallahu`alam.

BAHAYA ILMUAN JADIAN...

Ada segolongan umat Islam yang baru berjinak-jinak belajar hadis, tetapi mengaku dirinya sebagai salafi. Bila berbicara tentang hadis atau hukum biasanya tidak lepas dari memetik kata Imam Syafie.

Mereka kata, “Imam Syafie sendiri mengatakan ambil hadis sahih. Hadis Sahih itulah mazhabku”.  Ungkapan inilah yang selalu digunakan untuk membenarkan tindakan mengeluarkan hukum sendiri. Walaupun dirinya jahil dan tiada disiplin ilmu langsung untuk memutuskan hukum.

Bahaya sebenarnya memandai-mandai dalam perkara agama yang melibatkan hukum hakam.

Sebab Rasulullah saw sendiri telah bersabda, “Allah swt tidak akan mengangkat  ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka. Dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu. Dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ramailah sekarang ini yang berlagak seperti mujtahid. Bila berkata terus keluarkan hadis (itupun belum tentu ia menguasai bahasa Arab untuk tahu tentang hadis). Asal ada isu terus keluarkan hukum dari hadis. Bolehkah jadi ulama dengan hafal dan baca 10, 100 hadis sahaja?

Salah seorang ulama yang sezaman dengan Imam Ahmad pernah ditanya,“Jika seseorang sudah dapat menghafal seratus ribu hadis, dapatkah ia dikatakan sebagai faqih…? “Tidak…!”, jawabnya. “Dua ratus ribu hadis..?” “Tidak..!.. katanya. “Tiga ratus ribu hadis..?” “Tidak..! Jawabnya. “Empat ratus ribu hadith..? “Juga tidak..!, tetapi begini (iaitu lima ratus ribu) katanya sambil mengisyaratkan dengan sebelah telapak tangannya.

Banyaknya perlu dihafaz hadis. 500,000 hadis dihafaz baru dikatakan sebagai faqih. Dalam keadaan itupun, ulama amat berhati-hati apabila mengeluarkan hukum walaupun sudah hebat dalam ilmunya. Contohnya, Imam Malik r.a. pernah berkata, “Jika seseorang diminta untuk berfatwa, sebelum memberikan jawapan ia wajib meletakkan dirinya antara Syurga dan Neraka, serta memikirkan nasibnya di Akhirat nanti, kemudian baru boleh ia memberikan jawapan (mengeluarkan fatwanya)”.

Ibn al Qasim berkata, “Aku pernah mendengar Imam Malik berkata : “Saya sedang memikirkan (jawapan) bagi suatu kemusykilan sejak beberapa puluh tahun dulu, tetapi hingga saat ini belum juga sampai kepada pendapat yang pasti”.
Ibn Abi Layla pernah berkata, “Saya menemui seramai seratus dua puluh orang Ansar dari sahabat Rasulullah saw, jika seorang di antara mereka diajukan pertanyaan (diminta berfatwa), ia akan mengalihkannya kepada yang kedua, dan orang yang kedua akan mengalihkannya kepada orang ketiga dan seterusnya. Sehingga pertanyaan tadi kembali kepada orang yang pertama. Jika salah seorang daripada mereka diminta untuk berfatwa atau ditanya tentang sesuatu masalah, ia akan memohon sahabat yang lain menjawabnya” (Rujuk Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker’s Library, Selangor)

Hebat betul ulama dan para sahabat zaman dahulu, mereka amat warak (berhati-hati) sebab takut untuk mengeluarkan hukum. Takut berdusta atas nama Allah dan Rasul Nya. Ini halal dan ini haram hak siapa untuk berkata? Sedangkan Allah sendiri mengingatkan kita dalam firman Nya, “Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahawa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia.” (an-Nahl: 116)

Berbalik pada persoalan mengenai kalam Imam Syafie yang selalu digunakan oleh golongan tertentu untuk membenarkan tindakannya. Sebenarnya kalam Imam Syafie ini perlu difahami melalui ulama yang mengikut mazhab syafie juga. Sebab mereka lebih arif dan mendalami apa pengertian sebenar kalam Imam Syafie yang dimaksudkan.

Imam Syafie ada menyatakan, “Apabila hadis itu sahih maka itulah mazhabku”

Penjelasan :

Apa yang telah diucapkan oleh Imam Asy Syafie bahawa bila hadis itu sahih maka itulah mazhabnya. Ini bukan bererti bahawa kalau melihat suatu hadis sahih, seseorang itu boleh menyatakan bahawa itu adalah mazhab syafie dan boleh diamalkan menurut zahirnya.

Apa yang tersebut di atas hanya ditujukan bagi orang yang sudah mencapai darjat ijtihad dalam mazhab Syafie. Syaratnya ialah ia harus mempunyai sangkaan yang kuat bahawa Imam Syafie belum pernah menemukan hadis tersebut atau tidak mengetahui kalau hadis  itu sahih.

Untuk mengetahui hal ini, ia harus menelaah semua kitab Imam Asy Syafie dan kitab-kitab para ulama pengikutnya. Sudah tentu syarat ini sangat sulit dan jarang dapat dipenuhi. Adapun disyaratkan demikian kerana Imam Syafie sendiri sering meninggalkan  hadis-hadis yang telah dilihat dan diketahuinya dan menurut pendapatnya bahawa hadis tersebut cacat dalam riwayat. atau maknanya sudah dinasakh, ditakhsis, ditakwil atau sebab lainnya

Sekarang sudah jelas bukan? Perkataan Imam Syafie itu ditujukan untuk individu yang mencapai taraf mujtahid. Hendak jadi mujtahid bukan calang-calang orang boleh memiliki taraf ini. Perlu mengikut disiplinnya. Sebagaimana nak jadi seorang doktor bedah, perlu mengikuti kursus-kursusnya, kena tahu tentang biologi, atonomi dalam badan, perkara yang berkaitan dengan saraf. Bolehkah siapa sahaja mengaku dirinya sebagai doktor bedah? Dan kemudian terus melakukan pembedahan ke atas pesakit? Apa akan terjadi pada pesakit tersebut? Contohnya : pesakit A perlu dibedah pada tulang belakang, tetapi ‘doktor bedah palsu’ ini membedah pesakit dan mengeluarkan jantungnya. Jawabnya – tamatlah riwayat pesakit itu atas kejahilan ‘doktor bedah palsu’ terbabit. Kerosakan demi kerosakanlah yang dibawanya.

Itu baru contoh doktor bedah. Bagaimana pula perihal hukum hakam agama yang diserahkan kepada bukan ahlinya? Jawapannya sudah ada diberikan di dalam hadis di atas pada permulaan bicara.

Moga sama-sama mendapat manfaat

Wallahu`alam.

Jagalah hati…

PEMBERIAN KEPADA RAJA...

Suatu ketika, hiduplah seorang petani bersama keluarganya. Mereka menetap di sebuah kerajaan yang besar, dengan raja yang adil dan bijaksana. Beruntunglah siapa saja yang tinggal disana. Tanahnya subur, keadaannya pun aman dan sentosa. Semuanya hidup dalam kerukunan, tanpa pernah mengenal perang ataupun bencana.

Setiap pagi, Si Petani selalu pergi ke sawah. Tak lupa ia membawa bajak dan kerbau peliharaannya. Walaupun sudah tua, namun bajak dan kerbau itu selalu setia menemaninya bekerja. Sisi-sisi kayu dan garu bajak itu tampak mengelupas, begitupun kerbau yang sering tampak letih jika bekerja terlalu lama. "Inilah hartaku yang paling berharga", demikian gumam petani itu dalam hati, sambil melayangkan pandangannya ke arah bajak dan kerbaunya.

Tak seperti biasa, tiba-tiba ada serombongan pasukan yang datang menghampiri petani itu. Kelihatan ketua pasukan datang menghampiri Si Petani, lalu berkata, "Berikan bajak dan kerbaumu kepada kami. "Ini perintah Raja!". Suara itu terdengar begitu keras, mengejutkan petani itu yang kebingungan.

Petani itu lalu menjawab, "Untuk apa Raja menginginkan bajak dan kerbauku? "Ini adalah hartaku yang paling berharga, bagaimana aku boleh bekerja tanpa itu semua. Petani itu meluahkan keperluannya, memohon agar diberikan kesempatan untuk tetap bekerja. "Tolonglah, kasihani anak dan isteriku…berilah tempoh hingga esok. Aku ingin berbincang dengan keluargaku…"

Namun, ketua pasukan raja berkata lagi, "Kami hanya menjalankan perintah dari Baginda. Terserah, apakah kamu mahu menjalankannya atau tidak. Namun, ingatlah, kekuasaannya sangat kuat. "Petani seperti kamu tak akan mampu melawan perintahnya." Akhirnya, pasukan itu pulang ke istana.

Di malam hari, petani pun menceritakan kejadian itu dengan keluarganya. Mereka kelihatan bingung dengan keadaan ini. Hati bertanya-tanya, "Apakah baginda sudah mulai kehilangan kebijaksanaannya? Kenapa baginda seperti tak melindungi rakyatnya dengan mengambil bajak dan kerbau kita? Gundah, dan resah memenuhi ruang bicara keluarga itu. Namun, akhirnya, mereka hanya pasrah dan memilih untuk menyerahkan kedua benda itu kepada raja.

Keesokan pagi, Si Petani nampak sedih. Bersama dengan bajak dan kerbaunya, ia melangkah menuju arah istana. Petani itu ingin menyerahkan hartanya yang paling berharga itu kepada Raja. Tibalah ia di halaman Istana, dan terus mengadap Raja. "Baginda, hamba hanya mampu berserah diri. Walaupun hamba merasa sayang dengan harta itu, namun hamba ingin berbakti kepada Baginda. Duli Paduka, terimalah pemberian ini…."

Baginda Raja tersenyum. Sambil menepuk kedua tangannya, ia memanggil pengawal. "Pengawal, buka selubung itu!! Tiba-tiba, terkuaklah selubung di dekat taman. Ternyata, disana ada sebuah bajak yang baru dan kerbau yang gemuk. Kayu-kayu bajak itu tampak kukuh, dengan urat-urat kayu yang mengilap. Begitu juga dengan kerbau, haiwan itu begitu gemuk, dengan kedua kaki yang tegap.

Si Petani kebingungan. Baginda bertitah, "Sesungguhnya, aku telah mengenal dirimu sejak lama. Dan aku tahu kamu adalah petani yang rajin dan baik. Namun, aku ingin mengujimu dengan hal ini. Ternyata, kau memang benar-benar hamba yang baik. Engkau rela memberikan hartamu yang paling berharga untukku. Maka, terimalah hadiah dariku. Engkau layak menerimanya…."

Petani itu pun bersyukur dan ia pun kembali pulang dengan hadiah yang sangat besar, buah kebaikan dan baktinya pada Raja.

============================================

Pengajaran...


Saudara seakidahku...

boleh jadi, tak ramai orang yang mampu dan mempunyai tahap berserah diri sepertimana berlaku pada petani itu. Hanya sedikit orang yang mahu memberikan harta yang terbaik yang dimilikinya kepada yang lain. Namun, petani tersebut adalah satu dari orang-orang yang sedikit itu. Dan ia, memberikan sedikit pelajaran buat kita.

Saudara seakidahku...

Sesungguhnya, Allah sering meminta kita memberikan yang terbaik yang kita miliki untuk-Nya. Allah, sering memerintahkan kita untuk menyampaikan yang paling berharga, hanya ditujukan pada-Nya. Bukan kerana Allah perlukan semua itu, dan juga bukan kerana Allah kekurangan. Namun kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, dan Allah sedang menguji setiap hamba-Nya.

Allah sedang menguji, apakah hamba-Nya adalah sebahagian dari orang-orang yang beriman dan mahu bersyukur. Allah sedang menguji, apakah ada dari hamba-hamba-Nya yang mahu menafkahkan harta di jalan-Nya. Dan Allah, pasti akan memberikan balasan atas usaha itu dengan pemberian yang tak akan kita bayangkan. Imbalan dan pahala yang akan kita terima, sesungguhya akan mampu membuat kita faham, bahawa Allah memang Maha Pemberi Kemuliaan.

Sauadara seakidahku...

mari kita berikan yang terbaik yang kita miliki kepada-Nya. Marilah kita tujukan waktu, kerja dan usaha kita yang terbaik hanya kepada-Nya. Kerana sesungguhnya memang, kita tak akan pernah menyedari balasan apa yang akan kita terima atas semua itu.

Allah mempunyai banyak cara-cara rahsia untuk memberikan kemuliaan bagi hamba-Nya. Dan Dia akan selalu memberikan pengganti yang lebih baik untuk semua yang ikhlas kita berikan pada-Nya

Wallahu`alam

Terima kasih ada masa yang diluangkan untuk membaca nota ini. Moga rahmat Allah memayungi kita semua dan semoga Allah meredhai seluruh usaha kita selaku hambaNYA... Wassalam.

HANYA KERANA PENCUNGKIL GIGI...

Semasa Nabi Isa berjalan di satu kawasan perkuburan, ia terdengar suara dari dalam satu kubur suara lelaki yang menjerit-jerit meminta tolong dan dalam kesakitan yang amat sangat...

Nabi Isa ingin mengetahui apakah yang telah terjadi kepadanya Sebagaimana yang kita tahu nabi Allah Isa mempunyai mukjizat boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Maka nabi Allah Isa pun memohon doa kepada Allah SWT sambil menadahkan tangannya ke langit supaya menghidupkan lelaki tersebut.

Doanya dimakbul oleh Allah SWT, maka terbelah kubur itu dan keluarlah seorang lelaki yang sedang terbakar menjerit-jerit meminta tolong. Melihat akan keadaan lelaki tersebut, maka ditanya oleh nabi Isa kepada lelaki itu apakah kamu tidak sembahyang sehingga kamu diseksa sebegini. lelaki itu menjawab.. bahawa ia tidak meninggalkan sembahyang. ditanya lagi oleh nabi Isa adakah kamu tidak berpuasa.. lelaki itu menjawab... saya berpuasa dan lelaki itu pun berkata sesungguhnya ia taat akan perintah Allah SWT.... maka ditanya oleh nabi Isa lagi apakah yang kamu lakukan sehingga kamu diseksa sebegitu rupa?

Maka berceritalah lelaki itu.... Saya bekerja sebagai penjual kayu api dan saya akan mencari kayu api di hutan dan menjualkannya kepada sesiapa yang hendak membelinya.Maka pada suatu hari datanglah seorang pembeli menemuinya utk membeli kayu api lalu diberinya wang dan disuruhnya hantar ke rumahnya . Maka pergilah saya mencari kayu dihutan dan apabila sudah dapat seberkas kayu di ikatnya elok-elok dan pergi lah saya hendak menghantar ke rumah si pembeli itu..Dipertengahan jalan, saya merasa lapar dan teruslah saya berhenti untuk makan.... selepas itu saya pun meneruskan perjalanan ke rumah pembeli kayu itu. Sedang saya berjalan, saya terasa ada sisa makanan yang terselit dicelah gigi saya. maka dicuba berbagai cara mengeluarkannya dgn lidah tetapi tak berjaya.... kemudian dicubanya dengan menggunakan kukunya...tetapi tak berjaya juga.


Akhirnya saya pun dengan menggunakan kuku saya mencungkil kayu api yang dipikul itu utk dibuat mencungkil gigi.Maka akhirnya dapatlah mengeluarkannya. Maka saya teruskan perjalanan dan setelah sampai ke rumah si pembeli itu, saya pun menyerahkan kayu api itu dan terus pulang. Oleh kerana saya tidak meminta halal akan kayu yang saya cungkil dengan kuku saya tu, maka saya diseksa selama 70 tahun sebagaimana yang tuan lihat. Saya menyangka Allah tidak melihat akan perkara yang sekecil ini.... astaghfirullah al azim...


Elok lah kita ambil ikhtibar akan riwayat ini...

Sesungguhnya takutlah kita akan azab Allah kerana mati itu adalah benar....

Azab neraka itu adalah benar...Dan syurga itu adalah benar...

wassalam...

DIALOG ABU HANIFAH DENGAN ILMUAN KAFIR TENTANG KETUHANAN...

Imam Abu Hanifah pernah bercerita…

Ada seorang ilmuwan besar, Atheis dari kalangan bangsa Rom, tapi ia orang kafir. Ulama-ulama Islam membiarkan saja, kecuali seorang, iaitu Hammad guru Abu Hanifah, oleh kerana itu dia segan bila bertemu dengannya.

Pada suatu hari, manusia berkumpul di masjid, orang kafir itu naik mimbar dan mahu mengadakan dialog dengan sesiapa saja, dia hendak menyerang ulama-ulama Islam. Di antara saf-saf masjid, bangunlah seorang lelaki muda, dialah Abu Hanifah dan ketika sudah berada dekat depan mimbar, dia berkata: "Inilah saya, hendak bertukar fikiran dengan tuan". Mata Abu Hanifah berusaha untuk menguasai suasana, namun dia tetap merendahkan diri kerana usia mudanya. Dia pun mula bertanya, "Katakan pendapat tuan!". Ilmuwan kafir itu hairan akan keberanian Abu Hanifah, lalu bermulalah acara dialog…

Atheis : Pada tahun berapakah Robbmu dilahirkan?

Abu Hanifah : Allah berfirman: "Dia (Allah) tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan"

Atheis : Masuk akalkah bahawa Allah ada pertama yang tiada apa-apa sebelum-Nya?

Abu Hanifah : Dia berada sebelum adanya sesuatu.

Atheis : Kami mohon diberikan contoh yang lebih jelas dari kenyataan!

Abu Hanifah : Tahukah tuan tentang ilmu matematik?

Atheis : Ya.

Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka satu?

Atheis : Tidak ada angka (kosong).

Abu Hanifah : Kalau sebelum angka satu tidak ada angka lain yang mendahuluinya, kenapa tuan
hairan kalau sebelum Allah Yang Maha Satu yang hakiki tidak ada yang mendahuluiNya?

Atheis : Dimanakah Robbmu berada sekarang?, sesuatu yang ada, pasti ada tempatnya.

Abu Hanifah : Tahukah tuan bagaimana bentuk susu?, apakah di dalam susu itu keju?

Atheis : Ya, sudah tentu.

Abu Hanifah : Tolong perlihatkan kepadaku di mana dan di bahagian mana tempatnya keju itu sekarang?

Atheis : Tak ada tempat yang khusus. Keju itu menyeluruh meliputi dan bercampur dengan susu diseluruh bahagian.

Abu Hanifah : Kalau keju makhluk itu tidak ada tempat khusus dalam susu tersebut, apakah layak tuan meminta kepadaku untuk menetapkan tempat Allah Ta`ala?, Dia tidak bertempat dan tidak ditempatkan!

Atheis : Tunjukkan kepada kami zat Robbmu, apakah ia benda padat seperti besi, atau benda cair seperti air, atau mengewap seperti gas?

Abu Hanifah : Pernahkan tuan mendampingi orang sakit yang akan meninggal?

Atheis : Ya, pernah.

Abu Hanifah : Sebermula ia berbicara dengan tuan dan menggerak-gerakan anggota tubuhnya. Lalu tiba-tiba diam tak bergerak, apa yang menimbulkan perubahan itu?

Atheis : Kerana rohnya telah meninggalkan tubuhnya.

Abu Hanifah : Apakah waktu keluarnya roh itu tuan masih ada disana?

Atheis : Ya, masih ada.

Abu Hanifah : Ceritakanlah kepadaku, apakah rohnya itu benda padat seperti besi, atau cair seperti air atau menguap seprti gas?

Atheis : Entahlah, kami tidak tahu.

Abu Hanifah : Kalau tuan tidak boleh mengetahui bagaimana zat mahupun bentuk roh yang hanya sebuah makhluk, bagaimana tuan boleh memaksaku untuk mengutarakan zat Allah Ta`ala?!!

Atheis : Ke arah manakah Allah sekarang menghadapkan wajahnya? Sebab segala sesuatu pasti mempunyai arah?

Abu Hanifah : Jika tuan menyalakan lampu di dalam gelap malam, ke arah manakah sinar lampu itu menghadap?

Atheis : Sinarnya menghadap ke seluruh arah dan penjuru.

Abu Hanifah : Kalau demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan itu, bagaimana dengan Allah Ta`ala Pencipta langit dan bumi, sebab Dia nur cahaya langit dan bumi.

Atheis : Kalau ada orang masuk ke syurga itu ada awalnya, kenapa tidak ada akhirnya? Kenapa di syurga kekal selamanya?

Abu Hanifah : Perhitungan angka pun ada awalnya tetapi tidak ada akhirnya.

Atheis : Bagaimana kita boleh makan dan minum di syurga tanpa buang air kecil dan besar?

Abu Hanifah : Tuan sudah mempraktikkanya ketika tuan ada di perut ibu tuan. Hidup dan makan minum selama sembilan bulan, akan tetapi tidak pernah buang air kecil dan besar disana. Kita mula melakukan dua hajat tersebut setelah keluar beberapa saat ke dunia.

Atheis : Bagaimana kebaikan syurga akan bertambah dan tidak akan habis-habisnya jika dinafkahkan?

Abu Hanifah : Allah juga menciptakan sesuatu di dunia, yang bila dinafkahkan malah bertambah banyak, seperti ilmu. Semakin diberikan (disebarkan) ilmu kita semakin berkembang (bertambah) dan tidak berkurang.

 "Ya! kalau segala sesuatu sudah ditakdirkan sebelum diciptakan, apa yang sedang Allah kerjakan sekarang?" tanyak Atheis. "Tuan menjawab pertanyaan-pertanyaan saya dari atas mimbar, sedangkan saya menjawabnya dari atas lantai. Maka untuk menjawab pertanyaan tuan, saya mohon tuan turun dari atas mimbar dan saya akan menjawabnya di tempat tuan", pinta Abu Hanifah.

Ilmuwan kafir itu turun dari mimbarnya, dan Abu Hanifah naik di atas. "Baiklah, sekarang saya akan menjawab pertanyaan tuan. Tuan bertanya apa pekerjaan Allah sekarang?". Ilmuwan kafir mengangguk. "Ada pekerjaan Nya yang dijelaskan dan ada pula yang tidak dijelaskan. Pekerjaan Nya sekarang ialah bahawa apabila di atas mimbar sedang berdiri seorang kafir yang tidak berhak seperti tuan, Dia akan menurunkannya seperti sekarang, sedangkan apabila ada seorang mukmin di lantai yang berhak, dengan segera itu pula Dia akan mengangkatnya ke atas mimbar, demikian pekerjaan Allah setiap waktu". Para hadirin puas dengan jawapan yang diberikan oleh Abu Hanifah dan begitu pula dengan orang kafir itu.

Moga bermanfaat...