Popular Posts

Selasa, 17 April 2012

SEBUAH KISAH CINTA AGUNG...




Dipendamkan di dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya. Tertarik dirinya seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah saw. Itulah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad saw, serikandi berperibadi mulia.


Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa, untuk meminang puteri Rasulullah saw. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya. Itulah Ali, sepupu Baginda saw sendiri. Sehingga beliau tersentap, mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia nabi, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah.


”Allah mengujiku rupanya”, begitu batin Ali. Ia merasa diuji kerana merasa apalah dirinya dibandingkan dengan Abu Bakar. Kedudukan di sisi Nabi saw? Abu Bakar lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan Rasul-Nya tidak dapat di tandingi. Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi kawan perjalanan Nabi saw dalam hijrah, sementara Ali bertugas menggantikan beliau untuk menanti maut di ranjang Baginda saw.Lihatlah juga bagaimana Abu Bakar berdakwah. Lihatlah berapa ramai tokoh bangsawan dan saudagar Mekah yang masuk Islam kerana sentuhan Abu Bakar; Uthman, Abdurrahman ibn ’Auf, Thalhah, Zubair, Sa’d ibn Abi Waqqash, Mush’ab. Ini yang tidak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti Ali. Lihatlah berapa ramai hamba muslim yang dibebaskan dan para fakir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, ’Abdullah ibn Mas’ud. Dan siapa budak yang dibebaskan Ali…?Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insya Allah lebih mampu membahagiakan Fatimah. Ali hanya pemuda miskin dari keluarga miskin.


”Inilah persaudaraan dan cinta”, gumam Ali. ”Aku mengutamakan Abu Bakar atas diriku, aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku.” Namun, sinar masih ada buatnya. Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi saw. Ini menaikkan semangat beliau untuk berusaha mempersiapkan diri. Tetapi, ujian itu bukan setakat disitu, kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khatab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh Islam, dan dia pula cuba meminang Fatimah. Seorang lelaki yang terang-terangan mengisytiharkan ke-Islamannya, yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir Quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan.


Ya, Al Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebatilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betapa seringnya Nabi saw berkata, ”Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan Umar”. Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasul saw, di sisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lagi layak darinya. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan nabi, sedangkan dua sahabat Baginda saw turut ditolak peminangannya?


Pada suatu hari, Abu Bakar As-Shiddiq ra,  Umar Ibnul Khatab ra dan Sa’ad bin Mu’adz bersama-sama Rasulullah saw duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasul Allah saw. Saat itu Baginda saw bertanya kepada Abu Bakar As-Shiddiq ra,  “Adakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Talib?”


Abu Bakar As-Shiddiq menyatakan kesediaanya. Ia beranjak untuk menghubungi Ali ra. Sewaktu Ali ra melihat datangnya Abu Bakar As-Shiddiq ra dengan tergopoh-gopoh dan terperanjat ia menyambutnya kemudian bertanya, “Anda datang membawa berita apa?”


Setelah duduk beristirehat sejenak, Abu Bakar As-Shiddiq ra segera menjelaskan persoalannya, “Hai Ali, engkau adalah orang pertama yg beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai keutamaan lebih dibanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasul Allah saw. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada Baginda saw untuk mempersunting puteri Baginda saw. Semua lamaran itu telah Baginda saw tolak. Baginda saw menyatakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah swt. Akan tetapi hai Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri Baginda saw itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Ku harap semoga Allah dan Rasul-Nya akan menyerahkan puteri itu untukmu.”


Mendengar perkataan Abu Bakar ra, mata Ali ra berlinang air mata. Lalu Ali ra berkata, “Wahai Abu Bakar, anda telah membuatkan hatiku bergoncang yang semulanya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah ku lupakan. Demi Allah aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”


Abu Bakar ra terharu mendengar jawapan Ali ra itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Ali ra, Abu Bakar ra berkata, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”


Setelah berlangsung dialog seperlunya Abu Bakar ra berjaya mendorong keberanian Ali ra untuk melamar puteri Rasulullah saw


Beberapa waktu kemudian Ali ra datang menghadap Rasulullah saw yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salmah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salmah bertanya kepada Rasulullah saw, “Siapakah yang mengetuk pintu?” Baginda saw menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”


Jawapan Nabi Muhammad saw itu belum memuaskan Ummu Salmah ra. Ia bertanya lagi, “Ya tetapi siapakah dia itu?”


“Dia saudaraku… orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad saw.


Tercantum dalam banyak riwayat bahawa Ummu Salmah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Ali ra kepada Rasulullah saw itu, “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu sampai kakiku terantuk-antuk. Setelah pintu ku buka, ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Talib. Aku lalu kembali ke tempat semula. Ia masuk kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasulullah saw. Ia dipersilakan duduk di Baginda saw. Ali bin Abi Talib ra menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.


Rasulullah saw berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa sahaja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!” Mendengar kata-kata Rasulullah saw yang demikian itu, lahirlah keberanian Ali bin Abi Talib untuk berkata, “Maafkanlah saya ya Rasul Allah. Anda tentu masih ingat bahawa anda telah mengambil aku dari pakcikmu, Abu Talib dan makcikmu Fatimah binti Asad di kala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa.


Sesungguhnya Allah telah memberi hidayah kepadaku melalui anda juga. Dan anda ya Rasul Allah adalah tempat aku bernaung dan anda jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa, aku ingin berumah tangga; hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri anda Fatimah. Ya Rasul Allah apakah anda berkenan menyetujui dan menikahkan diriku dengan Fatimah?”


Ummu Salmah melanjutkan kisahnya, “Saat itu ku lihat wajah Rasulullah saw nampak berseri-seri. Sambil tersenyum Baginda saw berkata kepada Ali bin Abi Talib, “Wahai Ali, adakah engkau mempunyai suatu harta sebagai mas kahwin?”


“Demi Allah” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang “Anda sendiri mengetahui bagaimana keadaanku, tidak ada sesuatu tentang diriku yang tidak anda ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi sebilah pedang dan seekor unta.”  “Tentang pedangmu itu, engkau tetap memerlukannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja”, kata Rasulullah saw.


“Aku redha menerima barang itu dari tanganmu. Wahai Ali, engkau wajib bergembira sebab Allah swt sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikian riwayat yang diceritakan Ummu Salmah ra. Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas dan hati gembira dan disaksikan oleh para sahabat ra. Rasulullah saw mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puteri Baginda saw, “Bahwasanya Allah swt memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah dengan mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”


“Wahai Rasulullah, itu ku terima dengan baik” jawab Ali bin Abi Talib ra dalam pernikahan itu. Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab.


Dalam suatu riwayat dikisahkan, bahawa suatu hari, Fatimah berkata kepada Ali, “Maafkan aku, kerana sebelum menikah denganmu. Aku pernah sekali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda”. Ali terkejut dan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah engkau mahu menikah denganku? Dan siapakah pemuda itu” Sambil tersenyum Fatimah berkata, “Ya, kerana pemuda itu adalah dirimu”


Saudara semuslimku yang baik hati… Sesungguhnya cinta tidak pernah meminta untuk menanti atau mengambil kesempatan.


Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan