Azan Maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Masih banyak lagi barang-barang yang
belum dikemaskan. Penat juga nak
kemaskan semua ni.
"Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu." Ujar ayah padaku.
Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah satu agenda yang tidak boleh dilupakan. Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwuduk di bilik air.
Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik.
Selesai iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam.
Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu.
Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia
memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada
malam itu. Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu
membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan
mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih, bagaikan seorang arab yang menjadi
imam.
"Wahai Robb kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami
terlupa atau tersilap.
Wahai Robb kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami."
"Wahai Robb kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang
tidak terdaya kami memikulnya, dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah
dosa kami dan berilah rahmat kepada kami."
"Wahai Robb kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin."
Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Ilahi setelah selesai solat. Kami bersalaman. Aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan.
"Bang, maafkan Ana!"Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya.
Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus.
"Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang."
Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku.
Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah.
"Abang
nak ke mana tu?"Soalku.
"Nak
kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada
sikit lagi." Jawabnya.
"Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi." Aku kesian melihatnya, keletihan.
"Betul kata Ana tu Zul,Sambung esok sajalah." Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu.
"Takpelah ayah, Ana.Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya."
Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah.
Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas
barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari
kehadiranku. Semua barang-barang
telah dikemasnya. Aku mencapai
kain pengelap dan mula mengelap meja.
Bersambung…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan