Popular Posts

Jumaat, 20 April 2012

INDAHNYA CINTA... (EPISOD 6)





Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. 
Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. 


Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku. 


"Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah." Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan.


"Baik bang. Bang, ni baju abang." Ujarku sambil bangun untuk ke dapur.


Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Ku lihat jam dah dekat pukul 1 pagi.


"Patutlah." Bisik hatiku. 


Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam samar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang. Ku penuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik. Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan. 


Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah.
Mulutnya terkumat kamit tanpa ku tahu butir bicaranya. Ku tuangkan air kedalam gelas dan ku letakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa.


Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.


"Bang…."Seruku. 


"Ada apa sayang?" Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu ke arahnya. 


"Malam ni abang nak…..nak….."Agak segan untuk ku teruskan pertanyaan itu.


Suamiku masih lagi menanti persoalan yang ku tanya… " 


Nak apa sayang?" Soalnya lagi sambil tersenyum. 


"Ah..abang ni…"Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku.


"Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?" Bisiknya ke telingaku. 


Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.


"Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!" Bisik suamiku.


"Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia." Jawabku.


Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah ku serahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya ke atasku. 
Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Allah dan Rasul.


Pertama kali ku lalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama ladang dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku.


Aku cuba untuk mempraktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.


Rasulullah saw bersabda, "Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada."


Rasulullah saw bersabda lagi, "Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu." Rasulullah bersabda: "Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."


Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu."


Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. 
Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya.


Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama.  Ia amat mustahil sekali.


Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu… Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya.
Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu.Kita pastinya akan dipersoalkan tentang amanah itu, sama ada di dunia mahu pun di hadapan Allah nanti kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang. 


Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini…



Bersambung…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan