Popular Posts

Khamis, 7 Julai 2011

ALIRAN KASIH SAYANG ILAHI...



Bumi ini berputar kerana kasih sayang Allah. Beredarnya matahari, bulan, bintang dan planet juga adalah kerana kasih sayang Allah. Adanya siang dan malam, hujan dan panas dan empat musim dalam setahun juga adalah kerana kasih sayang Allah. Wujudnya kita dari dalam rahim ibu ketika bayi dan hingga kita dewasa adalah kerana kasih sayang kedua ibu bapa kita iaitu pancaran dari kasih sayang Allah.


Kita tidak boleh hidup tanpa kasih sayang. Kasih sayang itu makanan rohani. Siapa yang tidak dapat merasai kasih sayang, hati serta jiwanya akan menderita terseksa dan hilang kebahagiaan. Kasih sayang ialah perkara rasa. Ia mainan hati. Ia adalah fitrah semulajadi. Fitrah semulajadi manusia adalah sama. Tidak kira asal keturunannya. Tidak kira bangsanya. Tidak kira agamanya, negaranya atau di zaman mana dia hidup. Fitrah semulajadi manusia tetap sama.


Kasih sayang adalah tuntutan fitrah. Fitrah suka dikasihi dan mengasihi. Suka disayangi dan menyayangi. Inilah mesej yang perlu dibawa kepada semua umat manusia. Kasih sayang atau “love and care” mesti disebarkan seluas-luasnya di kalangan umat manusia.


Perpaduan, kedamaian dan keharmonian juga adalah tuntutan fitrah semulajadi manusia. Semua manusia tidak kira bangsa, agama dan warna kulit cintakan perpaduan. Semua manusia sukakan kedamaian. Semua manusia sukakan keharmonian. Manusia benci kepada krisis, perpecahan dan pergaduhan. Manusia benci kepada huru-hara, anarki dan kacau bilau.


Untuk mencapai perpaduan sejagat bukanlah satu masalah kalau kita sudah boleh berkasih sayang. Tetapi untuk memupuk kasih sayang inilah yang menjadi masalah kepada manusia. Selagi tidak ada kasih sayang, selagi itulah tidak akan ada perpaduan.


Tidak dapat dinafikan bahawa dengan kasih sayang kita boleh bersatu dan berpadu. Tetapi dalam realiti hidup ini, ia tidak berlaku. Kenapa susah sangat kita hendak berkasih sayang dan bersatu padu, walhal kedua-duanya adalah sesuai dengan keinginan fitrah semulajadi kita…?




Puncanya ialah nafsu. Nafsu ialah perosak fitrah. Nafsu yang tidak terkawal akan memburu dan merebut dunia ini dengan rakusnya. Nafsu tidak pernah puas dan tidak pernah rasa cukup. Untuk merebut dunia ini sebanyak-banyaknya, nafsu akan menindas dan menekan sesiapa sahaja yang menghalangnya.


Bila nafsu sudah menguasai diri, maka akan tumbuh di dalam hati berbagai sifat yang buruk dan keji yang selari dengan kehendak nafsu. Sifat-sifat semulajadi manusia yang baik seperti qanaah, cukup dengan apa yang ada, cinta Akhirat, pemaaf, pemurah, pengasih dan penyayang akan digantikan dengan sifat tamak haloba, cinta dunia, gila pujian, hasad dengki, pemarah, bakhil dan berbagai-bagai lagi. Inilah pengaruh jahat nafsu kalau ia dibiarkan bermaharajalela.

Inilah juga punca kita susah hendak berkasih sayang dan susah untuk bersatu padu. Kerana hati sudah rosak. Dalam hati terlalu banyak penyakit mazmumah. Penyakit inilah atau sifat jahat yang bersarang di hati inilah yang menyebabkan kita suka bergaduh, berbalah, berkrisis dan bercakar antara satu sama lain.

Memang benar bahawa kasih sayang itu adalah kunci bagi perpaduan sejagat. Tetapi kita tidak boleh berkasih sayang kalau kita tidak mengawal nafsu kita. Mengawal dan menahan hawa nafsu itu adalah syarat mencapai kasih sayang. Pokok pangkalnya, hendak bersatu atau hendak berpadu atau hendak berkasih sayang, kita terpaksa terlebih dahulu memperbaiki diri dengan mengawal nafsu dan membersihkan hati kita dari sifat-sifat yang keji dan jahat.


Kasih sayang hanya boleh hidup subur di hati yang bersih, tulus ikhlas dan suci murni. Kalau hati jahat dan kotor hanya kebencian yang akan tumbuh. Kebencian merosakkan perpaduan. Ia merosakkan toleransi. Kalau ini tidak dapat kita lakukan, maka konsep “kasih sayang kunci perpaduan sejagat” hanya akan jadi satu slogan semata-mata.


Dalam pada itu perpaduan manusia ada dua bentuk. Ada perpaduan yang berbentuk sementara dan ada perpaduan yang kekal. Perpaduan yang berbentuk sementara seperti kita menghadapi musuh yang sama. Bila musuh sudah tidak ada, kita berpecah semula.


Hanya ada satu bentuk perpaduan yang kekal iaitu perpaduan yang disebabkan kerana Allah. Allah itu kekal dan sesiapa yang berkasih sayang dan bersatu padu kerana Allah maka kasih sayang dan perpaduan yang dicapai itu akan turut kekal sampai bila-bila.


Allah yang Maha Pemurah sentiasa mengalirkan kasih sayang kepada segala ciptaan-Nya, terutama sekali kepada manusia yang berbagai etnik. Pijaklah bumi-Nya, sedutlah udara-Nya, bernaunglah di bawah langit-Nya, gunalah cahaya matahari-Nya, lihatlah keindahan cahaya bulan-Nya, makanlah, minumlah, pakailah, supaya melalui akal fikirannya, hamba-hamba-Nya akan dapat merasakan aliran sebuah kecintaan yang agung dari Allah.


Begitulah Allah, Pembina kasih sayang dan yang meminta supaya dunia ini diurus dengan kasih sayang. Barulah dunia akan jadi Syurga. Walhal jika kasih sayang tidak ditegakkan, Allah janjikan dunia ini akan dijadikan Neraka sebelum datangnya Neraka yang sebenarnya.


Sebaliknya, bilamana manusia tidak mencintai Allah, hatinya akan kosong dari kasih sayang sesama manusia. Hatinya akan sentiasa dalam kelaparan.


Begitulah keadaan dunia hari ini. Sungguh malang sekali. Manusia bukan sahaja tidak berkasih sayang, bahkan istilah kasih sayang pun seperti sudah dilupakan.

Wallahu`alam.


Jagalah Hati…

Wassalam.

1 ulasan:

  1. KASIH SAYANG ALLAH TAALA TIADA SEMPADANNYA MAHA LUAS MELIPUTI SEGALA SESUATU.

    BalasPadam