Popular Posts

Sabtu, 9 Julai 2011

PERINGKAT HABLUMINALLAH...


Orang yang beriman itu ialah orang-orang yang mereka itu ingat pada Allah di waktu berdiri, duduk, baring. Dan mereka bertafakur, maka bertambah lagi rasa kebesaran Allah, bertambah lagi rasa bertuhan.


Hubungan dengan Allah ada beberapa peringkat. Jika tidak mengikuti peringkat yang disebutkan ini, maka kita tidak di anggap berhubung dengan Allah, walaupun percaya Allah itu ada, walaupun kita percaya Allah wujud, walaupun kita percaya Allah itu berkuasa,


I. Peringkat paling dasar ( Percaya adanya Allah )

Diluar dari yang asas ini tidak dianggap seseorang itu berhubungan dengan Ilahi.

Peringkat paling dasar adalah, “Percaya adanya Allah, Allah mempunyai sifat yang Maha Sempurna, kesempurnaan-Nya tidak terhingga dan Maha Suci Allah daripada mempunyai sifat-sifat kekurangan walaupun sebesar debu.

Ini peringkat perhubungan yang paling lemah, akidah yang paling asas atau hubungan yang paling asas dengan Allah. Jika keluar dari peringkat ini, maka si hamba itu bukan lagi orang Islam, bukan orang mukmin. Peringkat ini tidak cukup. Ia sekadar asas supaya manusia tidak menjadi kafir saja, yakni memastikan imannya.


II. Peringkat kedua ( Percaya adanya Allah dengan Ilmu )

Percaya bahawa Allah mempunyai sifat sempurna, 20 sifat yang dulu diajarkan guru kita. Mustahil bagi Allah mempunyai sifat-sifat berlawanan dengan sifat yang wajib tadi itu dengan hujah akal dan naqli, nas Quran dan Hadis. Jadi hubungan dengan Allah pada peringkat kedua ini lebih tinggi sedikit dari tahap pertama, tapi ini pun tidak cukup untuk dapat mengembalikan kehormatan umat Islam. Itu sekadar ada hujah, ada dalil, ada bukti dari sifat-sifat Allah yang sempurna.

III. Peringkat ketiga ( Hubungan orang soleh dengan Allah )

Setelah mengenal Allah melalui tahap pertama dan kedua, datanglah rasa takut pada Allah, datanglah rasa cinta pada Allah.


Siapa dapat mencapai tahap ketiga ini, si hamba dianggap terhubung dengan Ilahi, sudah masuk golongan orang soleh tapi belum masuk peringkat bertakwa. Di akhirat, si hamba selamat, tetapi di dunia belum tahu. Untuk mengelakkan diri dari kehinaaan belum mampu. Untuk mengelak dari diperbudak oleh musuh juga tidak mampu lagi. Sebab Allah akan menolong dari diperbudakkan oleh musuh adalah orang bertakwa. Sedangkan orang soleh belum lagi akan dapat pembelaan Allah. Banyak ayat Quran yang menyebut bila orang sudah bertakwa, maka Allah akan tolong. Tapi tidak ada ayat yang mengatakan bahawa orang soleh akan ditolong Allah. Di Akhirat kelak, orang soleh akan selamat, insya Allah si hamba itu akan ke Syurga tapi hisabnya banyak. Sedangkan di dunia tidak terjamin lagi keselamatannya, kerana kualiti dirinya hanya sebagai orang soleh dan tidak bertakwa pada Allah.

IV. Peringkat keempat ( Hubungan orang bertakwa [ Muttaqqin ] )

Orang bertakwa ialah mereka yang selamat di dunia dan selamat di Akhirat. Di Akhirat selamat dari Nerakan insya Allah. Di dunia, Allah akan serahkan dirinya pada umat Islam yang bertakwa. Bagaimanakah hubungan dengan Allah di tahap ini…?

Selain takut dan cinta Ilahi, rasa bertuhan dibawa ke mana-mana.

Sepertimana yang tertulis di dalam Quran, “Orang yang beriman itu ialah orang-orang yang mereka itu ingatkan Allah pada waktu berdiri, duduk, baring. dan mereka bertafakur, bertambah lagi rasa kebesaran Robb, tambah lagi rasa bertuhan.”

Hati sentiasa hidup, sama ada di pejabat, ketika makan, si hamba sentiasa terasa kebesaran Allah, rasa kehambaan, kehinaan diri terasa. Waktu makan, waktu duduk, waktu bekerja, di pejabat terasa kebesaran Allah, terasa kecilnya diri. Ini hubungan dengan Allah yang sudah bertaraf orang bertakwa.

V. Peringkat kelima ( MUQARRABIN & SIDDIQQIN )

Yang paling tinggi orang yang mabuk dengan Allah, tenggelam perasaannya dengan Allah.

Sepertimana Rasulullah saw, Khulafa rasyidin, para mujaddid dan imam mujtahid. Jika si hamba bukan pemimpin, mujaddid atau mujtahid, si hamba lazimnya dilihat seperti orang gila, anti sosial dan sebagainya, seperti Uwais Al Qarni yang terus mabuk dan tidak mahu berjumpa orang ramai. Si hamba seperti ini dapat menyelamatkan dirinya sendiri sahaja, tetapi tidak dapat selamatkan orang lain.


Orang seperti ini tidak lagi disebut sebagai orang bertakwa. Tetapi digelar sebagai muqarrabin dan siddiqin, sepertimana wali-wali besar dan Rasul serta para Nabi. Jika kita dapat usahakan ke peringkat takwa pun cukup memadai, iaitu pada peringkat keempat. Jika ramai umat Islam bertakwa, Allah akan serahkan dunia. Segala yang hilang, Allah kembalikan. Maka lahirlah semula kemuliaan umat Islam.

Tapi sayangnya, ilmu ini tidak diperdengarkan sebagai suatu pengajian di masjid atau surau. Para pejuang-pejuang Islam yang berkhidmat melalui politik juga tidak pernah perdengarkan cerita ini. Padahal mereka perjuangkan Islam. Ilmunya pun sudah habis dipelajari, Cuma belum lengkap diamalkan. Jadi, kata Allah, jika kita hendak selamat, mulia semula dan hendak dapatkan semua yang hilang, maka mestilah kita rapatkat hubungan dengan Allah. Hubungan pada peringkat pertama dan kedua hanya sekadar mengesahkan iman. Keduanya tidak selamatkan kita di dunia  membawa ke Akhirat. Cuma di Akhirat, kita tidak kekal di Neraka.

Peringkat yang ketiga adalah orang-orang soleh. Di dunia, mereka tidak dijamin selamat tapi di Akhirat selamat, insya Allah. Sedangkan peringkat yang keempat, iaitu peringkat orang bertakwa, mereka dapat selamat dan menyelamatkan orang lain.

Bila ada orang bertakwa agak ramai, maka orang Islam yang lain sama-sama dapat rahmat, sama-sama terbela. Taraf perhubungan di peringkat lima dan enam sudah terlalu tinggi bagi kita di zaman ini. Ia tidak mustahil dicapai, tapi pengorbanan yang diperlukan sangat besar serta ujian pula sangat hebat.

Habluminallah atau bentuk hubungan dengan Allah yang paling sempurna adalah solat.

Dalam solat ini ada tiga bentuk hubungan dengan Allah, iaitu hubungan perbuatan, perkataan dan perasaan (hati).

Sebab itu solat wajib. Solat ini adalah perhubungan dengan Allah yang paling sempurna, dimana di dalamnya ada hubungan fizikal, perkataan dan perasaan. Yang dihuraikan di atas tadi, tidak semua aspek ada, hanya ada ilmu dan perasaan sahaja. Sebab itu solat tidak boleh diremehkan, apatah lagi ditinggalkan. Siapa yang tinggalkan solat dengan sengaja kata Rasulullah saw, dia di anggap kafir.
Wallahu`alam.

Jagalah Hati...

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan