Jika kita merenung, menilai dan menganalisa manusia dari segi fizikalnya, maka kita boleh katakan bahawa manusia itu boleh dikatakan tidak ada keistimewaan apa-apa. Bahkan boleh dikatakan seperti kain buruk. Kerana, jika kita amati dalam tubuh manusia terdapat 2 unsur negatif, iaitu,
Pertama: Kelemahan
Kelemahan yang kita maksudkan di sini ialah tubuh atau badannya tidak ada ketahanan luar biasa. Ia mudah terkena pelbagai jenis penyakit. Mudah diserang oleh demam, mudah ditimpa sakit kepala. sakit mata, sakit gigi. Bahkan ada penyakit yang lebih berat lagi seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, strok dan lain-lain.
Selain itu ketahanan badan fizikal ini juga sangat lemah dibandingkan hatinya. Kalau terpijak batu, mudah saja luka atau bengkak dan sakit. Kalau jatuh atau terkena benda yang keras, mudah saja terseliuh, luka, patah, remuk dan hancur. Jika melakukan kerja yang memerlukan tenaga, mudah saja letih serta lesu. Jika tidak berhati-hati boleh pula dapat sakit. Bahkan selepas menerima nikmat pun memberi kesan kepada badan atau ada kesan sampingan. Contohnya, setelah makan berlebihan atau makan terlalu banyak, badan menjadi berat dan juga dapat membawa kepada pelbagai penyakit. Setelah bersama dengan isteri, lebih-lebih lagi kalau ia sering dilakukan, badan menjadi lesu, lemah dan hilang tenaga. Kalau kurang tidur di waktu malam, mata jadi mengantuk di waktu siang. Bukan sekadar itu, badan pun menjadi lesu.
Begitu lemahnya manusia.Ketahanan tubuhnya mudah diancam dan selalu terancam. Ancaman luar ini akan memberi kesan sampingan kepada jiwa manusia, menjadikan emosinya tinggi, dia akan jadi pemarah, mudah tersinggung, benci, jemu dan lain-lain.
Kalau tidak dibendung dengan didikan Iman, ditambah lemah bermujahadah, sifat batin yang negatif itu akan turut merosak orang lain. Maka akan timbul krisis dan permusuhan di dalam masyarakat. Akibatnya perpaduan, kasih sayang dan keharmonian hidup akan musnah.
Kedua: Apa yang keluar dari badan manusia, semuanya kotor dan menjijikkan.
Mari kita lihat…
· Air yang keluar dari badan, peluh atau keringat namanya, masam, menjijikkan orang.
· Yang keluar dari telinga, tahi telinga atau nanah yang busuk yang menjijikkan.
· Yang keluar dari hidung, hingus namanya atau tahi hidung, menjijikkan, tiada siapapun yang suka sekalipun dari diri sendiri.
· Yang keluar dari mulut iaitu air liur, berbau busuk terutamanya air liur di waktu tidur, sangat busuk baunya dan juga kotor. Adakalanya air liur itu najis (air liur basi).
· Air mata walaupun tidak berbau, tetap dipandang jijik dan tidak disukai.
·
Apa lagi yang keluar daripada dua jalan, pintu depan dan pintu belakang, qubul dan dubur.Bukan saja sangat busuk, jijik, bahkan najis.Malahan, benda yang keluar dari manusia yang paling tidak disukai. Baunya sangat menyakitkan hidung manusia. Ia wajib dicuci. Kalau tidak, ia akan mengganggu ibadah kita, mengotori dan mencemar udara dan dapat mengancam kesihatan manusia serta dapat mengganggu kedamaian.
Apa yang kita bahas tadi ialah perkara-perkara yang jijik yang alamiah dan tidak dapat dielakkan oleh manusia.Ia merupakan tabiat semulajadi badan manusia.
Belum lagi kita membahas perkara-perkara yang menjijikkan dan dibenci yang sangat mengaibkan manusia serta menyusahkan manusia, iaitu penyakit-penyakit yang datang kemudian yang menimpa tubuh manusia seperti kudis, kencing manis, gatal, bisul, luka yang mengeluarkan nanah yang begitu busuk, kotor dan menjijikkan serta menyakitkan dan melemahkan tubuh manusia. Dengan itu semua manusia terlebih lagi tidak ada harga dan nilainya. Adakalanya orang yang kita sayangi seperti anak dan isteri tiba-tiba saja benci dan lari dari kita.
Kalau manusia itu tidak ada kebaikan dan keistimewaan di sudut-sudut yang lain, yang ada hanya seperti apa yang telah disebutkan tadi, lalu di manakah istimewanya? Maka apalah erti hidup manusia? Tidak ada makna apa-apa kehadiran mereka di dunia ini. Hanya susah dan menyusahkan orang lain sahaja. Tidak ada harga dan nilainya manusia itu. Mereka laksana sampah masyarakat. Bahkan lebih hina daripada sampah. Jika sampah yang tidak berguna yang mengganggu itu dapat disapu, kemudian dibuang atau dikumpulkan kemudian dibakar saja, maka abunya dapat dibuat baja.Sedangkan manusia, tidak dapat dibuang, apa lagi hendak dibakar. Ia benar-benar bangkai bernyawa yang menyusahkan dan mengganggu kehidupan orang lain.
Oleh yang demikian, dengan rahmat Allah dan kasih sayang-Nya kepada manusia sebagai hamba-Nya, maka Allah ingin memuliakan manusia dan meninggikan darjatnya. Maka Allah mengutus para nabi dan rasul alaihimussolatuwassalam dan kepada mereka diberikan panduan dan petunjuk. Nabi yang terakhir ialah Rasulullah Muhammad saw. Kepada Baginda saw, diberi Al Quran sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia, bagaimana manusia itu menjadi orang yang berguna. Di samping menjadi hamba-Nya yang mengabdikan diri kepada-Nya, manusia juga adalah khalifah-Nya untuk membina, memajukan dan mengatur dunia ini agar selamat dan bahagia di dunia. Di Akhirat kelak diberi ganjaran yang lebih besar dan istimewa, iaitu Syurga yang tiada tara dan bandingannya sebagai anugerah Allah kepada manusia. Sebagai rahmat-Nya kepada manusia yang telah membuat kebaikan waktu di dunia seperti yang Dia kehendaki.
Oleh kerana itu, manusia hendaknya mengambil peluang dengan panduan petunjuk dari Allah dengan cara membesarkan Allah, mencintai Dia, takut kepada-Nya, mensucikan Dia, merendah diri kepada-Nya,malu kepada-Nya, bersyukur kepada-Nya, bertawakal kepada-Nya, berharap kepada-Nya, redha dengan ketentuan-Nya, sabar terhadap ujian-ujian dari-Nya melalui solat, puasa, haji, membaca Al Quran, zikir, tasbih,tahmid, tahlil, mujahadah serta jihad. Inilah caranya manusia berhubung dengan Pencipta -nya sebagai hamba ciptaan-Nya.
Seterusnya sebagai khalifah-Nya, dengan memakmurkan dunia ini. Majukan dan aturlah mengikuti sistem dan peraturan dari Allah kerana dunia ini milik Allah swt. Kita jangan berbuat sewenang-wenangnya supaya dunia tidak rosak. Dan berkhidmatlah untuk sesama manusia demi mencetuskan kasih sayang, perpaduan,kerjasama, keharmonian,keselamatan, keamanan dan kebahagiaan bersama melalui kuasa, pemerintahan, ilmu, tenaga, pengaruh, wang, harta dan lain-lain. Sesuaikan dengan panduan dari Allah agar Allah redha dan Allah merahmati serta memberkati. Kemudian takutlah kepada Allah di dalam setiap perkara itu. Dengan itu, moga-moga apa yang dibuat oleh manusia tidak ada berlaku kesan sampingan negatif yang akan merosakkan manusia itu sendiri.
Siapa di kalangan manusia yang dapat melakukan sedemikian rupa, inilah manusia yang bertakwa di sisi Allah. Dia dapat kemuliaan daripada Allah dan keampunan-Nya. Di dunia pula orang yang berjasa dengan manusia kerana kebaikan yang telah dicetuskannya, maka orang itu telah menutup kelemahan-kelemahan yang ada. Dia telah mendapat martabat di sisi Allah dan di sisi manusia kerana walaupun di dalam kelemahan, dia telah menjadi manusia yang berguna. Di Akhirat kelak layaklah dia mendapat keampunan dari Allah serta dapat masuk ke Syurga-Nya, insya Allah.
Dalam pada itu, jika manusia itu tidak dididik dengan didikan Islam, menjadikan manusia tidak takut dengan Allah, lupa dengan kehidupan hari Akhirat, maka manusia itu berani pula melakukan berbagai-bagai bentuk kejahatan sama ada terang-terangan, mahupun secara sembunyi melalui anggota lahirnya. Tangannya digunakan untuk mencuri, merompak, merasuah, memukul, membunuh. Kakinya dihalakan ke tempat-tempat kejahatan dan maksiat, ke kelab malam, disko-disko,tempat-tempat pelacuran, tempat-tempat judi dan pergaulan bebas. Mulutnya digunakan untuk mengumpat, menghina, memfitnah, berbohong, memaki, mengherdik, bercakap lucah. Matanya digunakan untuk melihat perempuan-perempuan ajnabi, gambar-gambar lucah, melihat-lihat kecacatan orang untuk disebarkan. Telinga pula suka mencuri-curi dengar rahsia orang untuk disebar-sebarkan. Dengan akalnya pula manusia selalu sahaja berfikir untuk melakukan berbagai kejahatan, merancang untuk melakukan kerosakan di bumi Allah ini.
Setelah kita mengkaji tentang manusia, tubuhnya atau badan lahirnya dan badan kasarnya tidaklah istimewa mana. Lantaran itulah manusia berusaha untuk menutup kelemahan semula jadi yang lahir ini. Terpaksalah badan mereka dibersihkan selalu,disabun, disyampu, dibedak, digincu, disapu minyak wangi.Dihias pula dengan pakaian yang cantik lagi mahal untuk menarik perhatian orang agar orang boleh dekat dan bergaul. Jika tidak, orang akan lari kerana bau peluh pun adakalanya orang tidak tahan. Bahkan ampun maaf, untuk menunaikan fitrah semula jadi di antara suami isteri pun kalau tidak berhias-hias dan disapu badan dengan minyak wangi dan bedak, tuntutan fitrah itu boleh terbantut atau kemahuan terus mati. Akibatnya boleh timbul krisis rumah tangga.
Begitu jugalah untuk menyihatkan badan agar ia sentiasa segar dan cergas, perlu riadah dan bersenam selalu. Dijaga makan minum, cukup tidur, dijauhi tempat-tempat yang mendatangkan penyakit. Begitulah hakikat diri manusia semula jadi, tiada seorang pun boleh melepaskan diri atau mengelak diri daripada ditimpa oleh apa yang telah disebutkan tadi.
Di sinilah kalau manusia itu sedar hakikat diri masing-masing yang tidak dapat mengelak daripada kelemahan-kelemahan sepertimana disebutkan di atas sekalipun dia raja dan orang yang berkuasa, berilmu dan berharta, maka manusia itu akan sentiasa insaf dan malu. Mereka akan tawaduk dan merendah diri. Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan