Popular Posts

Sabtu, 2 Julai 2011

DEMONSTRASI : SEBUAH LUAHAN RASA...


Salah satu aktiviti yang sering dilakukan oleh beberapa aktivis dalam meluahkan beberapa permasalahan di dunia ini ialah dengan aksi turun ke jalanan, atau yang lebih dikenal dengan istilah demonstrasi atau Muzhaharah.

Dalam masa yang sama, aktiviti ini mendapat kritikan dari pihak tertentu yang mengatakan bahawa aktviti Muzharah tersebut merupakan suatu bida`ah, kerana tidak ada panduan di dalam Islam, baik dari nas Al-Quran mahupun Hadis. Mereka yang mengatakan bahawa demonstrasi tersebut merupakan suatu bidaah dengan berdalil pada Hadis, iaitu

“Siapa saja yang membuat ajaran baru dalam agama ini dan bukan termasuk bahagian darinya maka akan tertolak” (Muttafaqun Alaih)

Diriwayatkan oleh Muslim dan Bukhari secara mu’allaq.

“Ertinya : Siapa saja yang melakukan suatu amalan yang tidak kami perintahkan, maka amalan tersebut tertolak”.

Mereka juga berdalil dengan hujah bahawa di dalam demonstrasi ada tasyabbuh (penyerupaan) dengan orang-orang kafir, padahal Rasulullah saw bersabda, “Siapa saja yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk golongan mereka” ( Abu Daud dengan sanad yang hasan)

Itulah beberapa hujah yang digunakan oleh para penentang aksi demonstrasi yang dilakukan oleh beberapa gerakan muslim di belahan bumi ini.

Lalu, bagaimanakah sikap kita? Tentu dengan tidak bermaksud ingin mempertahankan pendapat atau ingin menunjukan sikap asabiyyah terhadap pendapat kelompok tertentu, kerana asabiyyah haram hukumnya di dalam Islam. Tulisan ini hanya ingin memberikan gambaran dan fakta tentang demonstrasi beserta dalil-dalil berkaitan dengan akvtiviti tersebut.

Islam mengajarkan bagaimana untuk menghukum sesuatu perkara , sama ada halal, haram, sunat, makruh ataupun harus. Pertama adalah melakukan tahqiqul manath atau kajian terhadap fakta, barulah menetapkan hukum syariatnya.


FAKTA TENTANG DEMONSTRASI

Di dalam terminologi bahasa Arab, demonstrasi terbahagi kepada dua, iaitu,

1. Muzhaharah (demonstrasi), iaitu aksi sekelompok masyarakat di tempat-tempat umum untuk menuntut perkara-perkara tertentu yang sudah menjadi tugas negara atau para pemegang amanahnya. Para penunjuk perasaan dalam aksinya tersebut biasanya melakukan kerosakkan, pemusnahan dan pembakaran barang-barang milik negara ataupun barang-barang milik individu.

2. Masirah (tunjuk perasaan), hampir sama dengan demonstrasi, iaitu aksi sekelompok masyarakat untuk mendokong atau menuntut sesuatu. Akan tetapi, tidak disertai kerosakkan, penghancuran, dan pembakaran atas barang-barang milik umum mahupun khusus (milik individu).

Dengan demikian, muzhaharah (demonstrasi) tidak diperbolehkan (diharamkan) oleh Islam. Alasannya, di dalamnya disertai beberapa kelakuan yang diharamkan oleh syariat Islam seperti mengganggu ketenteraman awam, merosak, menghancurkan, dan membakar kemudahan awam mahupun barang-barang milik individu masyarakat. Lazimnya juga, demonstrasi mengakibatkan perkelahian, penganiayaan, bahkan pembunuhan. Pengharamannya di dasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi terdapat sejumlah tindakan yang diharamkan oleh syariat Islam.

Aktiviti seperti ini adalah kelakuan meniru para sosialis yang biasa melakukan aksi pemusnahan seiring dengan aksi mereka. Hal ini boleh dianggap sebagai aktiviti bertasyabuh dengan golongan tertentu. “Siapa saja yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk golongan mereka” (Abu Daud)

Meskipun demikian, ‘demonstrasi’ yang dilakukan dengan tertib, memperhatikan syariat Islam, termasuk berkaitan pendapat atau aspirasi yang disampaikan tanpa kekerasan, tidak mengganggu ketenteraman awam dan hak-hak masyarakat seperti tidak membakar, merosak, dan menghancurkan barang-barang milik negara, mahupun milik individu adalah diperbolehkan. Inilah yang disebut dengan masirah (tunjuk perasaan).

Masîrah (tunjuk perasaan) merupakan salah satu cara (uslub) di antara berbagai cara pengungkapan aspirasi atau pendapat. Oleh kerana itu, aktiviti masîrah (tunjuk perasaan) bukanlah cara terbaik menurut Islam bagi melakukan proses perubahan di dalam masyarakat. Apabila keadaan mengizinkan, tunjuk perasaan dapat dilakukan. Sebaliknya, apabila keadaan tidak memungkinkan, tunjuk perasaan tidak perlu dilakukan. Hal ini sesuai dengan hukum kebolehannya.

Masirah bukanlah cara dalam sebuah aktviti dakwah. Ia hanya bersifat sebagai sebuah uslub dakwah, dan sebagai uslub dakwah, ia bersifat harus, bukan wajib.

Kita boleh melihat kepada fakta bahawa Rasulullah saw tidak pernah menjadi dan menggunakan demostrasi sebagai cara untuk mengubah masyarakat jahiliah di kota Mekah menjadi masyarakat Islam. Memang, Baginda saw pernah melakukan aktiviti masîrah sekali di kota Mekah. Baginda saw memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua saf barisan. Satu dipimpin oleh Umar ibnu al-Khattab, dan lainnya dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Mutalib ra dengan diiringi suara takbir kaum Muslimin berjalan mengelilingi Kaabah. Yang dilakukan Rasulullah saw adalah mengambil salah satu cara (uslûb) yang tidak pernah dilakukan oleh kelompok-kelompok masyarakat lain sebelumnya, yang ditujukan dalam rangka mendedahkan dakwah Islam.

Pandangan Islam yang menjadikan masirah (tunjuk perasaan) sebagai uslub mengungkapkan aspirasi atau pendapat, tidak sangat jauh berbeza dengan pandangan masyarakat Sosialis dan Komunis. Mereka menganggap muzhaharah (demonstrasi) sebagai salah satu kaedah baku (thariqah) dalam melakukan perubahan masyarakat. Bagi mereka, demonstrasi adalah semacam keperluan untuk menggerakkan proses perubahan masyarakat ke arah yang mereka inginkan. Oleh itu, apa pun akan mereka lakukan; termasuk dengan cara merosak, menghancurkan, dan membakar kemudahan umum, mahupun barang-barang milik individu.

Berdasarkan hal ini, masyarakat Sosialis atau Komunis telah menjadikan muzhaharah (demonstrasi) sebagai kaedah baku dan ciri khas masyarakat mereka dalam melakukan perubahan di tengah-tengah masyarakat. Keberadaan demonstrasi adalah keharusan yang tidak dapat ditawar-tawar lagi agar proses perubahan dapat berjalan. Dalam skala yang lebih luas lagi, mereka menyebutnya dengan revolusi rakyat. Dengan mengatasnamakan rakyat, mereka berhak menghancurkan, merosak, dan membakar harta milik awam serta milik individu. Tujuannya adalah untuk menghasilkan sebuah luahan, iaitu sebuah masyarakat Sosialis atau Komunis yang mereka angan-angankan.

Bagi kaum Muslim, haram hukumnya melakukan demonstrasi (muzhaharah) seperti yang dilakukan oleh kaum Sosialis mahupun Komunis, yakni dengan cara merosak, menghancurkan, dan membakar barang-barang milik masyarakat, negara, mahupun individu. Bagi kita, kaum Muslim, darah seorang Muslim, harta kekayaan yang dimilikinya, dan kehormatannya haram ditumpahkan, dirampas, dan dilanggar oleh Muslim lainnya. Syariat Islam bahkan menjaga tiga perkara tersebut dalam pagar yang sangat rapat. Pelanggaran terhadap tiga perkara itu digolongkan ke dalam hukum-hukum hudûd, iaitu hukum yang bentuk pelanggaran dan hukumannya hanya ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Di samping itu, kita, kaum Muslim, tidak mengenal prinsip dan kaedah ‘menghalalkan segala cara’ (al-ghayah lâ tubarriru al-washilah), sebagaimana yang dianut oleh masyarakat Sosialis, Komunis, dan Kapitalis. Tindak-tanduk seorang Muslim, masyarakat Muslim, dan pemimpin Muslim wajib terikat dengan syariat Islam. Ini termasuk dalam mengungkapkan aspirasi atau pendapat dengan tunjuk perasaan mahupun dalam melakukan proses perubahan di tengah-tengah masyarakat. Tidak patut  bagi seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah swt dan Rasul-Nya, sementara dalam mengungkapkan aspirasi serta pendapat dan melakukan proses perubahan masyarakat agar menjadi masyarakat Islam, mereka lakukan dengan menghalalkan segala cara, mencampakkan kayu ukur halal-haram, dan membuang tuntunan syariat Islam. Allah swt berfirman, “Tidaklah patut bagi lelaki Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada pilihan (selain hukum Islam) tentang urusan mereka” (QS 33: 36)

Itulah sekilas fakta dan hukum tentang demonstrasi yang sedikit dapat dikaitkan dengan beberapa dalil. Manakala  yang menentang aksi demonstrasi tersebut akan dihuraiakan  di bawah ini, insya Allah.


MEREKA YANG MENGATAKAN BAHAWA DEMONSTRASI TERSEBUT MERUPAKAN SUATU BIDAAH

Dalilnya, “Siapa saja yang membuat ajaran baru dalam agama ini dan bukan termasuk bahagian darinya maka akan tertolak” (Muttafaqun Alaih)

Diriwayatkan oleh Muslim dan Bukhari secara mu’allaq.

Maksud hadis ini ialah, “Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak kami perintahkan, maka amalan tersebut tertolak”.

Jadi, menurut mereka bahawa aktviti tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah mahupun para sahabat. Padahal jika kita kaji sirah nabawiyah akan kita temui bahawa Baginda saw pernah memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua saf barisan. Satu dipimpin oleh Umar al-Khattab dan lainnya dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Mutalib ra.  Dengan diiringi suara takbir, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Kaabah.

Hukum asal masirah itu sendiri mengikuti hukum  uslub yang status asalnya adalah harus. Sebagaimana uslub (cara) yang lain, masirah sebagai salah satu uslub juga dapat digunakan untuk melaksanakan kewajiban, seperti menyampaikan seruan kepada para penguasa yang zalim atau memperbaiki penyelewengan mereka. Hal ini dalam rangka melaksanakan sabda Baginda saw, “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya jihad yang paling baik adalah (menyatakan) pernyataan hak kepada penguasa yang zalim. (al-Hakim).


MEREKA YANG MENGATAKAN BAHAWA MENASIHATI PENGUASA DI TEMPAT UMUM ITU HARAM KERANA MEMBUKA AIB.

Dalil yang digunakan ialah, “Janganlah kalian mencela pemimpin kalian dan janganlah kalian mendengki mereka, janganlah kalian membenci mereka, bertakwalah kepada Allah, bersabarlah kerana urusan ini sudah dekat.” (Ibnu Abi Asim dan disahihkan Al Albani)

“Penguasa adalah naungan Allah di muka bumi maka barangsiapa yang menghina penguasa, maka Allah akan menghinakannya, barangsiapa yang memuliakan penguasa maka Allah akan memuliakannya.” (Ibnu Abi Asim, Ahmad, At Thayalisi, At Tirmizi, dan Ibnu Hibban. Disahihkan Al Albani)

“Barangsiapa yang ingin menasihati penguasa, maka janganlah melakukannya dengan terang-terangan di hadapan umum. Akan tetapi dengan cara mengambil tangan penguasa tersebut dan menyendiri. Jika ia menerimanya maka inilah yang diharapkan, jika tidak menerimanya maka ia telah melakukan kewajipannya.” (Ahmad, Ibnu Abi Asim, Al Hakim, dan Baihaqi. Disahihkan Al Albani)

“Aku mendatangi Usamah bin Zaid ra dan aku katakana, “Kenapa engkau tidak menasihati Uthman bin Affan untuk menegakkan hukum had atas Al Walid?” Maka Usamah berkata : “Apakah kamu mengira aku tidak menasihatinya, kecuali harus dihadapanmu? Demi Allah sungguh aku telah menasihatinya secara sembunyi-sembunyi antara aku dan dia sahaja. Dan aku tidak ingin membuka pintu keaiban dan aku bukanlah orang yang pertama kali membukanya.” (Atsar sahih yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

Hadis-hadis diatas tidak tepat jika ditujukan untuk melarang aktiviti memperbaiki penguasa yang telah berlaku zalim terhadap rakyatnya. Hadis tersebut baru tepat digunakan jika aktviti kemaksiatan itu bersifat individu yang tidak ada kesan terhadap kemaslahatan atau kemudaharatan kepada masyarakat.

Apa yang dilakukan oleh para aktivis Islam bukanlah dalam rangka membongkar aib penguasa, namun adalah menasihati para penguasa agar kembali ke jalan yang benar.

Nasihat adalah hak setiap orang, mulai dari rakyat jelata hingga para penguasa. Ertinya, mereka mempunyai hak untuk dinasihati, dan sebaliknya menjadi kewajipan bagi setiap orang Mukallaf, tatkala menyaksikan kemungkaran atau kezaliman yang dilakukan oleh orang lain; baik pelakunya penguasa mahupun rakyat jelata. Inilah yang dinyatakan dalam hadis Nabi saw, “Agama adalah nasihat, untuk Allah, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslim, dan orang-orang awam.” (Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, nasihat sebagai upaya mengubah perilaku mungkar atau zalim orang lain, baik penguasa mahupun rakyat jelata sesungguhnya tidak dapat dilepaskan dari konteks dakwah bi al-lisan (melalui lisan mahupun tulisan), sebagaimana sabda Nabi saw, “Siapa saja yang menyaksikan kemungkaran, hendaknya mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka hendaknya dengan lisannya.” (Muslim)

Inilah yang dilakukan oleh para ulama Salafusoleh terdahulu, seperti Abdullah bin Yahya an-Nawawi kepada Sultan Badruddin. Dalam Tahzib al-Asma’, karya Abu Yahya Muhyiddin bin Hazzam disebutkan, tatkala Abdullah bin Yahya an-Nawawi mengirim surat kepada Sultan Badruddin, dan baginda menjawab suratnya dengan marah dan nada ancaman, ulama ini pun menulis surat kembali kepada baginda, “Bagiku, ancaman itu tidak akan mengancam diriku sedikitpun. Akupun tidak akan mempedulikannya, dan upaya tersebut tidak akan menghalangiku untuk menasihati Sultan. Kerana saya berkeyakinan, bahawa ini adalah kewajipanku dan orang lain, selain aku. Adapun apa yang menjadi kesan dari kewajipan ini merupakan kebaikan dan tambahan kebajikan.” (Bukhari dan Muslim)

Adapun jenis kemungkaran yang hendak diubah, dilihat dari aspek bagaimana pelakunya melakukan kemungkaran tersebut dapat diklasifikasikan kepada dua, iaitu

Pertama, kemungkaran yang dilakukan secara diam-diam, rahsia dan pelakunya berusaha merahsiakannya.

Kedua, kemungkaran yang dilakukan secara terbuka, dicontohkan dan pelakunya tidak berusaha untuk merahsiakannya, malah sebaliknya mendedahkan dengan bangga.

Jenis kemungkaran yang pertama, dan bagaimana cara mengubah kemungkaran tersebut dari pelakunya, tentu berbeza dengan kemungkaran yang kedua. Orang yang tahu perkara tersebut hendaklah menasihatinya secara diam-diam, dan kemungkaran yang dilakukannya pun tidak boleh dibongkar di depan umum. Aktiviti seperti inilah yang baru dapat dikenakan dengan dalil-dalil yang melarang untuk menasihati penguasa di tempat umum.

Berbeza dengan jenis kemungkaran yang kedua, iaitu kemungkaran yang dilakukan secara terbuka, dan terang-terangan. Dalam kes seperti ini, pelaku kemungkaran tersebut sama saja dengan membogelkan dirinya sendiri dengan kemungkaran yang dilakukan. Untuk menangani jenis kemungkaran yang kedua ini, sikap orang Muslim terhadapnya dapat dipilih daripada dua pilihan, iaitu

1- Jika kemaksiatan atau kemungkaran tersebut pengaruhnya terbatas pada individu pelakunya, dan tidak mempengaruhi orang ramai, maka kemaksiatan atau kemungkaran seperti ini tidak boleh dibahas atau dijadikan perbincangan. Tujuannya agar kemungkaran tersebut tidak merosak fikiran dan perasaan kaum Muslim, dan untuk menjaga lisan mereka dari perkara yang sia-sia. Kecuali, jika kemaksiatan atau kemungkaran tersebut diungkapkan untuk mengingatkan masyarakat akan bahaya orang fasik yang melakukan kemaksiatan tersebut. Maka, pengungkapan seperti ini boleh.

2- Jika kemaksiatan atau kemungkaran tersebut pengaruhnya tidak terbatas pada individu pelakunya, sebaliknya telah mempengaruhi masyarakat, misalnya seperti kemungkaran yang dilakukan oleh sebuah institusi, baik negara, organisasi, kelompok atau komuniti tertentu, maka kemaksiatan atau kemungkaran seperti ini wajib didedah dan diungkapkan kepada pengetahuan umum agar mereka mengetahui bahaya untuk dijauhi dan ditinggalkan supaya mereka terhindar dari bahaya tersebut. Inilah yang biasanya disebut kasyf al-khuthath wa al-mu’amarah (membongkar rancangan dan konspirasi jahat) atau kasyf al-munkarat (membongkar kemungkaran).

Ini didasarkan pada sebuah hadis Zaid bin al-Arqam yang mengatakan, “Ketika aku dalam suatu peperangan, aku mendengar Abdullah bin ‘Ubay bin Salul berkata, ‘Janganlah kalian membelanjakan (harta kalian) kepada orang-orang yang berada di sekitar Rasulullah, agar mereka meninggalkannya. Kalau kita nanti sudah kembali ke Madinah, pasti orang yang lebih mulia di antara kita akan mengusir yang lebih hina. Aku pun menceritakannya kepada bapa saudaraku atau Umar, lalu beliau menceritakannya kepada Nabi saw. Baginda saw. pun memanggilku, dan aku pun menceritakannya kepada Baginda saw”(Ibn Hazzam, Tahzib al-Asma’, Dar al-Fikr, Beirut, cet. Pertama, 1996, juz I, hal. 22.)

Apa yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubay, dan diketahui oleh Zaid bin al-Arqam, kemudian disampaikan kepada Rasulullah saw adalah kemungkaran (kemaksiatan) yang membahayakan kemaslahatan Islam dan kaum Muslim, bukan hanya diri pelakunya. Abdullah bin Ubay sendiri ketika ditanya, dia mengelak tindakannya, yang bererti termasuk kategori perbuatan yang ingin dirahsiakan oleh pelakunya, tetapi tindakan Zaid bin al-Arqam yang membongkar hal dan rahsia Abdullah bin Ubay tersebut ternyata dibenarkan oleh Nabi saw. Padahal, seharusnya tindakan mengintip dan membongkar rahsia orang lain hukum asalnya tidak boleh. Perubahan status dari larangan menjadi boleh ini menjadi petanda bahawa hukum menyebar dan membongkar rahsia seperti ini wajib, kerana di lihat pada kesan bahayanya yang bersifat umum. (Hizbut Tahrir, Min Muqawwimat an-Nafsiyah al-Islamiyyah, Dar al-Ummah, Beirut, cet. Pertama, 2004, hal. 112-113).

Oleh itu, tindakan mengkritik perbuatan zalim atau mungkar yang dilakukan oleh penguasa, baik secara langsung ketika berada di hadapannya mahupun tidak langsung, misalnya melalui tulisan, demonstrasi atau masirah, bukan saja boleh secara syarie, tetapi wajib. (Meskipun sebagai cara (uslub) menyampaikan pendapat, tulisan, demonstrasi atau masirah tersebut statusnya tetap harus, dan tidak berubah menjadi wajib. Yang wajib adalah menyampaikan nasihat dan kritik terhadap perbuatan zalim atau mungkar yang dilakukan oleh penguasa)

Kewajipan ini bahkan pahalanya dinyatakan sebanding dengan pahala penghulu syuhada’, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib, seperti dalam hadis Nabi saw, “Penghulu syuhada adalah Hamzah bin Abdul Mutalib, dan orang yang berkata di hadapan seorang penguasa yang zalim, lalu dia memerintahkannya (pada kemakrufan) dan melarangnya (terhadap kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya.” (al Hakim)

Adapun kenyataam ‘Irbadh bin Ghanam yang menyatakan, “Siapa saja yang hendak menasihati seorang penguasa, maka dia tidak boleh mengemukakannya secara terbuka, tetapi hendaklah menarik tangannya dan menyendiri. Jika dia menerimanya, maka itu kebaikan baginya, dan jika tidak, pada dasarnya dia telah menunaikannya.” Pada dasarnya, ia tidak menunjukkan adanya larangan mengkritik atau menasihati penguasa di depan khalayak, tetapi hanya menjelaskan salah satu cara (uslub) saja.

Dengan demikian, dapat disimpulkan, bahawa menasihati penguasa atau mengkritik perbuatan penguasa yang zalim, termasuk membongkar kemungkaran atau konspirasi jahat terhadap Islam dan kaum Muslim hukumnya wajib, hanya saja cara atau uslub-nya boleh pelbagai ragam, sama ada dilakukan secara langsung, dengan bertemu bersemuka, atau secara tidak langsung, dengan melalui tulisan, surat, demonstrasi atau masirah. Melakukan usaha dengan lisan, termasuk melalui tulisan, seperti surat terbuka, buletin, majalah, atau yang lain, baik langsung mahupun tidak jelas lebih baik, dengan pertimbangan usaha bi al-qalb (dengan memendam ketidaksukaan), apalagi jika tidak melakukan apa-apa, sementara terus mengkritik orang lain yang telah melakukannya.


KENYATAAN BAHAWA WANITA HARAM IKUT SERTA DALAM TUNJUK PERASAAN. 

Mengenai boleh atau tidaknya wanita melakukan masîrah, jelas hukumnya harus. Pertama, di lihat dari aspek penglibatan mereka dalam rombongan perjalanan bersama kaum lelaki di tempat terbuka. Penglibatan mereka dalam hal ini diperbolehkan, baik dengan atau tanpa mahram. Dalilnya, pada saat hijrah ke Habsyah, selain kaum lelaki, juga terdapat 16 kaum wanita yang ikut dalam rombongan perjalanan tersebut. (Ibn Hisyam, As-Sîrah an-Nabawiyyah, ed. Thaha ‘Abd ar-Ra’uf Sa’ad, Dar al-Jil, Beirut, cet. I, 1411, V/15.)

Kedua, dilihat dari aspek pidato atau penyampaian pendapat di tempat terbuka, hukumnya juga harus kerana dilihat dari sudut bahawa suara wanita jelas bukan merupakan aurat. Ini dibuktikan dengan tindakan para sahabat lelaki yang biasa bertanya kepada Syaidatina Aisyah, jika mereka tidak memahami persoalan yang mereka hadapi, termasuk tentang kehidupan Rasulullah saw.

Di samping itu, boleh juga dilihat dari sisi penyampaian pendapat atau protes. Dalam hal ini, Ijmak Sahabat telah menyatakan keharusan sikap seorang wanita memprotes kemungkaran penguasa, sebagaimana yang dilakukan oleh seorang wanita terhadap Umar bin al-Khattab selaku khalifah dalam kes penetapan mahar. (Lihat penuturan Abu Hatim al-Basti, dalam Musnad sahihnya, dari Abu al-Ajfa’ as-Salami).

Dalam hal ini, tidak seorang sahabat pun yang mengingkari tindakan wanita tersebut, malahan mereka mendiamkannya. Padahal, tindakan tersebut dilakukan di tempat terbuka, di hadapan semua orang, dan jika bertentangan dengan hukum, seharusnya perkara tersebut diingkari; tetapi kenyataannya tidak. (Al-Qurtubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qurân, ed. Ahmad ‘Abd al-’Alim al-Barduni, Dar as-Sya’b, Beirut, cet. II, 1372, V/99)

Tindakan muhasabah semacam ini juga telah dilakukan oleh para sahabat wanita, seperti yang dilakukan oleh Asma’ binti Abu Bakar ketika menegur tindakan para penguasa Bani Umaiyyah yang selalu menghina keluarga Ali bin Abi Talib di atas mimbar-mimbar masjid. (Al-Yaqubi, Târîkh al-Yaqûbi, Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, Beirut )

Dalil-dalil di atas dengan jelas membuktikan, bahawa masirah (demonstrasi aman) sebagai sebuah uslûb (cara) untuk berdakwah dan menyampaikan pandangan hukum syariat atau protes terhadap pelanggaran hukum syariat jelas harus. Keharusan tersebut juga berlaku bukan hanya untuk kaum lelaki, tetapi juga untuk para wanita. Sebagaimana dalil-dalil dan alasan yang dikemukakan di atas.


KESIMPULAN

Hukum demonstrasi adalah harus sebagai sebuah uslub dakwah, dalam hal ini ialah demonstrasi yang sesuai dengan syariah Islam, tidak bertasyabuh dengan golongan tertentu seperti masyarakat sosialis yang melakukan aksi dengan disertai kerosakkan. Adapun aktiviti mengkritik dan menasihati penguasa tersebut adalah wajib (walau sebagai cara (uslub) menyampaikan pendapat, tulisan, demonstrasi atau masirah tersebut statusnya tetap harus, dan tidak berubah menjadi wajib. Yang wajib adalah menyampaikan nasihat dan kritik terhadap perbuatan zalim atau mungkar yang dilakukan oleh penguasa)

Wallahu’alam.


Jagalah Hati…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan