Popular Posts

Selasa, 12 Julai 2011

SOLATLAH...


Ada satu pemberian yang maha berharga dari Allah kepada setiap hamba yang Islam,iaitu Solat. Mengerjakannya manusia akan terhindar daripada maksiat, kemungkaran dan kegagalan. Solat adalah kebahagiaan dan kemenangan. Ia bermula dari azan dan diakhiri dengan salam dan doa.


Orang yang tidak solat sebenarnya sedang bermusuh dengan Allah.

Di dalamnya manusia diajak bercakap-cakap dengan Maha Raja alam yang merupakan Tuan Punya kepada seluruh isi dunia dan Akhirat. Maha Besar Allah kerana sanggup berbual dengan hamba-Nya yang hina dina dalam satu majlis upacara penyembahan yang sangat profesional, penuh kemanjaan, pengabdian dan dramatik.

Fokusnya ialah perhubungan cinta dua arah antara hamba dan Allah yang Maha Menyintai. Sempat juga dalam tempoh lima minit itu, kita memasuki medan perang untuk membakar semua nafsu mazmumah dan syaitan terkutuk yang sangat jahat mahu merosakan hubungan kasih cinta hamba dan Allah. Nafsu mahu dia yang diTuhankan, dipuja, dicinta dan diperturutkan.


Namun kekuatan solat dan majlis dengan Allah inilah yang benar-benar dapat menangkis godaan nafsu serta syaitan. Bahkan sampai membuahkan satu pemikiran yang agung, perasaan yang agung dan akhlak yang agung hasil solat.


Cinta Allah membuahkan cinta sesama manusia hingga kita sanggup mendoa dan menjaminkan keselamatan bagi seluruh isi langit dan bumi dengan rahmat dan keberkatan dari Allah.


Solat membuatkan seseorang tidak mungkin lagi mengkhianati seseorang yang lain. Tidak mungkin berkrisis dan berperang. Solatlah satu-satunya kursus yang mampu membuatkan manusia menang terhadap nafsunya dan membawa kasih sayang dan pembelaan untuk manusia.


Solat sungguh hebat, agung dan amat menguntungkan. Sebuah perniagaan yang cukup besar. Sebuah projek yang maha menakjubkan dan sejenis aktiviti yang dicipta Allah yang akan membangunkan mental, roh dan fizikal bertaraf dunia dan Akhirat hanya dalam masa yang begitu pendek.


Kalaulah kita tahu erti solat seperti yang Allah swt maksudkan, kita tidak akan meninggalkan solat buat selamanya. Bahkan tidak jemu pun, kerana rindu cinta, bahagia dan berjaya.

Wallahu`alam.



Jagalah Hati…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan