Popular Posts

Ahad, 10 Julai 2011

MARI KITA BERCERITA TENTANG NABI KITA...


Mari kita bercerita tentang Nabi kita,
iaitu Muhammad Rasulullah saw, penyelamat manusia dunia akhirat.
Walaupun sebelum ini, kita telah menceritakan banyak kali tentang Baginda saw,
mungkin kita ceritakan di sudut-sudut lain yang belum diceritakan lagi.
Jika diceritakan banyak kali lagi pun tidak mengapa,
supaya yang lupa di ingat kembali.
Bertambah ingat lagi…


Nabi Muhammad saw orang luar biasa yang tidak ada taranya,
Sebelum dan sesudahnya di kalangan manusia,
Sekali pun dikalangan para Rasul dan para Nabi yang telah diberitakan.
Baginda saw adalah rohnya malaikat dan tubuhnya manusia,


Orang paling cerdik dan paling bersih hatinya,
dikalangan manusia sebelum dan sesudahnya.
Maka Baginda saw diberi gelaran oleh Ilahi ‘fathonah’.
Bahkan yang paling ‘Fathonah’ dikalangan rasul-Nya.
Ilmu Baginda saw bukan didapati dari akal,
walaupun Baginda saw orang yang paling tajam akalnya.
Baginda saw mendapat ilmu dijatuhkan Allah ke dalam hatinya,
wahyu namanya. Baginda saw belajar secara langsung dari Robb-nya.
Kerana inilah, Baginda saw tidak perlu menulis
Dan membaca seperti manusia biasa.
Kerana itulah ilmunya tidak dilupai sepanjang masa.
Jika dari akal mungkin dilupakannya,
Ilmu Baginda saw menceritakan dunia dan akhirat.


Tawakal Baginda saw luar biasa,
Sebab itulah di malamnya makanan tidak disimpan untuk esok harinya
dan diberikan kepada manusia yang memerlukannya.
Kerana Baginda saw yakin, jika esoknya Baginda saw masih hidup,
Allah akan merezekikan.


Baginda saw tidak membunuh orang,
walaupun disesetengah waktu Baginda saw boleh membunuhnya,
tapi Baginda saw tidak membunuhnya.
Baginda saw mengambil jalan yang utama,
iaitu memaafkannya,
Kerana itu orang sentiasa Islam ditangan suci Baginda saw.


Beraninya luarbiasa tiada tandingannya,
Baginda saw sanggup melalui di hadapan musuh seorang diri,
Musuhnya tidak mengapa-apakannya, bahkan terpinga-pinga,


Kasih sayang Baginda saw sangat ketara,
terutama kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda.
Orang yang bersalah dimaafkan,
Sekalipun orang itu tidak memintanya.
Pernah hamba sahaya hendak dihukum oleh tuannya,
Baginda saw membuka bajunya untuk disebat,
Pengganti hamba sahaya, tuan hamba sahaya itu malu dibuatnya,
Lalu dimerdekakannya.
Pernah Rasulullah saw membeli hamba sahaya kemudian dimerdekakannya,


Pemurah Baginda saw tidak ada taranya,
seperti angin kencang lajunya.
Tiada siapa yang dapat menandingi Baginda saw,
Dan tidak pernah menghampakan orang yang meminta,
sekalipun Baginda saw terpaksa berhutang buat sementara,


Kalau ada orang mengata dan menghina,
Baginda saw diam saja, tidak menjawabnya.
Gembira Baginda saw tidak ketawa, hanya senyum sahaja,
cuma ketaranya pada riak muka,
Bahkan tidak pernah menghina orang atau mengata aibnya,
sekalipun musuh Baginda saw.


Rasulullah makannya sedikit sekadar mengalas perut.
Baginda saw tidak pernah makan seorang, sekalipun lapar.
Paling tidak, Baginda saw makan berdua.
Tapi jika Baginda saw tidak suka sesetengah jenis makanan itu,
tidak pula Baginda saw mencercanya.


Jika Baginda saw marah pada seseorang, disembunyikan marahnya
sehingga orang tidak tahu marahnya.
Baginda saw tidak pernah melahirkan rasa jijik kepada manusia,
sebab itu Baginda saw sanggup makan dengan orang berkudis-kudis badannya,


Sabar Baginda saw luar biasa.
Tentang ujian yang Allah timpakan kepadanya berbagai-bagai bentuknya.
Baginda saw redha,
Lantaran itu Ilahi member gelaran ‘Ulul Azmi’
yang tiada bandingannya.
Bahkan Baginda saw ketua ‘Ulul Azmi’, dikalangan rasul-rasul,


Ditangan Baginda saw lahirlah murid-murid yang luar biasa,
Diberi gelaran sahabat.
Ratusan ribu banyaknya, lebih seratus ribu bilangannya,
Ini tidak pernah berlaku di kalangan rasul-rasul sebelum Baginda saw.
Semua sahabat-sahabat masuk syurga,
dosa-dosa mereka diampunkan oleh Robb-nya,
kerana menjadi sahabat-sahabat Muhammad saw.
Sahabat-sahabat Baginda saw laksana bintang-bintang dilangit,
Rasul adalah bulan purnama.


Hati Baginda saw tidak tidur sekalipun matanya tidur,
Menunjukkan hatinya sentiasa jaga.
Sebab itulah jika Baginda saw tidur tidak membatalkan wuduknya,
Baginda saw menghormati manusia sesuai dengan darjatnya,
sekalipun orang itu kafir,
Adakala dibentangkan serbannya untuk tempat duduk tetamu,
kerana menghormati tetamu,


Baginda saw tidak mengutuk dan melaknat makhluk Allah,
sekalipun binatang yang melata.
Begitu juga tidak pernah melakukan kesalahan,
sekalipun menyalahi utama.


Jika Baginda saw melihat perempuan, matanya ditundukkan,
Rasulullah saw orang paling pemalu,
Malunya kalah anak dara yang paling pemalu,
Sebab itu seumur hidup Baginda saw tidak pernah
melihat kemaluannya dan kemaluan isterinya.


Ibadah Baginda saw banyak, terutama di waktu malam,
hingga bengkak-bengkak kakinya.
Baginda saw suka berkhidmat dengan isteri-isteri dan keluarga,
bukan diarah-arahkan oleh isteri-isteri,
tapi Baginda saw buat dengan sukarela,
kerana mencari redha Ilahi.
Rasulullah saw sebaik-baik suami,
tidak mampu orang lain menyainginya.


Bahkan Baginda saw berkhidmat dengan musuhnya,
Satu cerita yang menyayat hati kita,
Seorang buta yang benci kepada Rasulullah saw.
Rasul berkhidmat tanpa diketahuinya,
hingga sampai waktu wafatnya,
Diganti oleh Syaidina Abu Bakar untuk berkhidmat kepadanya.
Tapi dirasakan olehnya ada kelainan dari sebelumnya,
“Kamu ini siapa?”
Syaidina Abu Bakar berkata “Saya Abu Bakar,
pengganti Rasul berkhidmat kepada kamu,
Rasul itu sudah wafat”
Si buta itu terkejut!
Rupanya yang berkhidmat padanya orang yang paling dibenci,
Kerana terkejutnya menjadikan dia mati,
Tapi sempat dia mengucap dua kalimah syahadat,
Islamlah dia,


Jika Baginda saw bersahabat atau berkawan,
sentiasa mengutamakan kawannya,
Bahkan berkhidmat kepada sahabatnya.
Setiap orang yang bergaul, berpuas hati dengan Baginda saw.
Setiap orang merasa dihormatinya,
walaupun pelbagai peringkat kedudukannya.


Mari kita teruskan cerita tentang nabi kita,
Supaya lebih terperinci lagi
Cerita dan kisahnya.
Dia manusia luarbiasa kekasih Allah,
Agar lebih nampak Baginda saw manusia istimewa.


Rasulullah saw tidak akan makan sebelum lapar,
Baginda saw akan berhenti sebelum kenyang,
tidak seperti manusia biasa.
Baginda saw tidak suka makanan banyak jenis lauknya,
Jika Baginda saw suka kerana Robb-nya,
jika Baginda saw marah pun kerana Robb-nya,
Bukan kerana peribadinya,


Rasulullah saw wafat, boleh dikatakan tidak meninggalkan harta.
Baginda saw tidak meninggalkan soalt berjamaah,
kecuali sekali saja di dalam hidupnya,
iaitu waktu sakit hingga membawa wafatnya.
Makan minum Baginda saw bukan diusahakan,
tetapi setiap kali hendak makan, ada rezekinya.
Namun, pengikut Baginda saw disuruh berusaha,
terutama yang ada keluarga.


Rasulullah saw tidak menerima upah,
lebih-lebih lagi meminta upah,
kerana usaha perjuangan Baginda saw.
Tetapi ulama di hari ini, memakan upah
dari usaha dakwahnya,
seperti yang dibuat oleh kebanyakan ulama-ulama yang cinta dunia.
Bahkan ada ulama yang meminta upah dari dakwah dan pengajiannya.


Takut dengan Allah ketara di wajah Rasulullah saw.
Baginda saw beristerikan janda kaya, Khadijah namanya.
Hartanya diserahkan habis kepada Baginda saw,
tetapi Nabi korbankan harta itu semuanya demi Islam.


Dan Nabi, jika Baginda saw berkawan, sebaik-baik kawan.
Jika di rumah, Baginda saw sebaik-baik bapa.
Jika bersama isteri, Baginda saw sebaik-baik suami.
Jika memimpin, Baginda saw sebaik-baik pemimpin.


Bila berkata-kata, lantang suara Rasulullah saw,
tegang urat nadinya.
Bila Baginda saw bercakap bak mutiara,
sangat terkesan pada hati orang yang mendengarnya.
Bila Baginda saw dia berucap atau berpidato,
tidak ada gelak ketawa dari manusia yang mendengarnya,
kerana manusia yang mendengar insaf dibuatnya.
Tidak seperti ulama-ulama hari ini,
bila mereka bercakap, gelak ketawa orang yang mendengarnya,
kerana yang dicakapkan itu dari lidahnya,
bukan dari hatinya.


Nabi bila berkata-kata singkat-singkat sahaja, tidak meleret.
Tidak seperti kebanyakan manusia.
Baginda saw bercakap pendek sahaja,
tapi terhimpun berbagai-bagai ilmu di dalamnya.
Kata-kata Baginda saw singkat tapi padat.
Kata-kata Baginda saw singkat, tapi maksudnya luas.


Kata-kata Baginda saw singkat tapi puas dan menggetarkan hati.
Tidak seperti orang lain bercakap berjela-jela, isinya tiada.
Masa terbuang, cakapnya tidak menggetarkan hati.


Kita sambung lagi cerita Nabi kita…
Nabi tidak suka berjalan-jalan membuang masa,
juga tidak akan bercakap yang sia-sia,
sekalipun tidak berdosa.
Bila Baginda saw ketawa tidak berbunyi,


Insafnya Baginda saw dapat dilihat pada raut wajah.
Takutnya kepada Allah tergambar dimuka dengan ketara.
Baginda saw melahirkan kegembiraan
Bila kawan-kawannya gembira.
Baginda saw melahirkan kesedihan di atas kesedihan kawan-kawannya.


Rasulullah mudah menangis
kerana takutkan Robb-nya.
Rasulullah saw tahu Allah kasih kepadanya.


Akhlak Baginda saw sungguh agung,
Ilahi memujinya,
bahkan mengatakan Rasulullah saw yang paling bertakwa di kalangan manusia,
sebelum dan sesudahnya.
Seolah-olah Baginda saw tidak mendengar apa yang Allah katakan terhadap dirinya,
Allah berkata “Akhlaknya, sungguh agungnya,
tidak ada siapa boleh menandinginya,
tetapi dia tidak merasa bangga, dia tetap merasa hamba”


Rasulullah saw tetap dapat mengekalkan rasa takut dengan Robb-nya.
Rasa kehambaan sentiasa di dalam hatinya,
bahkan tidak pernah putus daripada perasaannya.
Soal Allah memujinya, itu hak Robb-nya,
tapi dia tetap merasa hamba kepada Robb-nya.


Tawaduk dengan Robb-nya sentiasa ada,
sangat ketara, di dalam hidupnya.
Baginda saw berpakaian jubah dan serban,
warna yang disukai kebanyakannya putih dan hijau.
Warna lain ada juga dipakai,
tapi sekali sekala.


Makanan yang Rasulullah saw suka adalah susu dan kurma,
Daging sebagai lauknya.
Itulah penguat badannya,
Demikianlah secara ringkas
yang umum tentang cerita nabi kita.
Yang tidak disebut, berusahalah untuk mempelajarinya.
Di dalam sejarah nabi kita ada dicerita.


Mukjizat banyak berlaku ditangan Rasulullah saw,
yang lahir dan yang batin,
yang besar ialah Al Quran dan Al Hadis,
yang kekal sampai ke akhir zaman,
yntuk pengajaran dan panduan kepada manusia,
demi keselamatan manusia dunia dan akhiratnya.
Tetapi apa yang disebutkan itu,
sudah memadai,
Bagi orang yang tiada masa mengkajinya.


Jika akhlak seseorang itu dapat menggambarkan bayangan Nabi kita,
orang itu boleh menjadi ikutan manusia.
Jika dia memimpin, Allah memberkatinya.
Tetapi apa yang berlaku di akhir zaman ini,
orang yang menceritakan kisah nabi,
dia melupakan diri sendiri.
Dia bercerita serta memuji nabi,
tapi dirinya sendiri tidak terpuji.
Kerana itulah banyak cakap tidak memberi kesan.


Seseorang yang banyak bercakap tidak menggambarkan sikap Nabinya,
walaupun dia seorang pemimpin.
Orang tidak suka mengikutnya,
lidahnya tidak masin.
Dia berkata tapi tidak mengamalkannya.
Bahkan orang mengata dan mencerca di belakangnya.
Bahkan anak isterinya tidak menghormatinya,

Sekianlah adanya……
Wallahu`alam.

Jagalah Hati…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan