Popular Posts

Rabu, 20 Julai 2011

HAMPARAN KITA DAN HALAMAN MEREKA...


Daripada Syaidina Ali bin Abi Talib kwh,"Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair ra dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampal dengan kulit.


"Tatkala Rasulullah saw melihat kepadanya,  Baginda saw menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah).


"Kemudian Nabi Muhammad saw bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menghiasi rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Kaabah?"


Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada pada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak perlu bersusah mencari rezeki."


Lalu Nabi saw bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu." (Tirmizi)


Dalam hadis ini Junjungan kita, Muhammad saw menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat, iaitu  “Jika semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadah. Tetapi Junjungan Nabi kita, Muhammad saw mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", maksudnya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.


Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada berbuat ibadat kepada Allah swt, sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki jika pun tidak melebihi keperluan, namun ia sudah mencukupi tetapi, apabila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan.


Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw, "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu lembah emas, dia berhasrat untuk mencari lembah yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)."


Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi pada saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.


Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan.


Biarlah kita mencari harta benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk Hari Akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa Akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan Akhirat tempat memetik buahnya.

Wallahu`alam.




Jagalah Hati....

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan