Popular Posts

Khamis, 21 Julai 2011

CINTA DAN AKHLAK...



Rahsia kejayaan Rasulullah saw, Khulafa Rasyidin dan salafussoleh dapat meng-Islamkan dunia adalah kerana mereka cintakan Allah swt lebih daripada cintakan dunia. Juga kerana mereka memberi tumpuan yang serius kepada Akhirat dengan membersihkan hati mereka. Mereka mampu menundukkan nafsu, lalu dunia jatuh terkulai ke tangan mereka. Mereka serius membersihkan hati mereka melalui mujahadatunnafsi, riadatunnafsi,dengan disiplin serta berkat pimpinan Rasulullah saw,  maka mereka diberi oleh Allah swt sifat-sifat hati yang bersih.

Jika mereka tidak mengutamakan sifat-sifat terpuji (mahmudah) lebih daripada sifat-sifat terkeji (mazmumah), tentulah mereka bukan sahaja tidak dapat menegakkan empayar, hendak memerintah satu negara pun tidak akan berjaya. Bahkan memerintah satu kampung pun akan timbul pecah belah. Bahkan gagal untuk menawan walau satu hati pun.

Kalau masalah dalam diri tidak dapat diatasi, tidak juga selesai, apa logiknya untuk berjaya menawan hati orang lain kepada Islam? Lebih-lebih lagi apa logiknya untuk tawan hati manusia dalam satu empayar? Bukankah fitrah hati itu akan jatuh cinta hanya dengan orang yang mempunyai akhlak terpuji?


Hakikat yang berlaku ialah bila mereka cintakan Allah dan cintakan Akhirat, di waktu itulah mereka mengorbankan hidup dan mati mereka untuk Allah. Seperti orang bercinta, dia sanggup beri apa sahaja demi menunaikan hajat cintanya. Begitulah hati mereka dengan Allah swt.


Hati, jantung, kaki, tangan serta seluruh anggota tubuh mereka gementar bila disebut nama Allah dan bila mendengar ayat-ayat-Nya. Mereka sangat cinta, rindu dan kasih kepada Rasul-Nya.

Bahkan hidup mati mereka diserahkan kepada Allah. Hati mereka sedikit pun tidak terpaut dengan dunia. Sedangkan di waktu yang sama, mereka mengurus dan mentadbir serta memerintah tiga perempat dunia.

Sesama mereka sangat berkasih sayang, bertolong-tolongan, bertolak ansur, berkorban apa sahaja, pentingkan orang lain, tenang dan damai serta hidup aman makmur. Dengan kehidupan yang beginilah mereka dapat tegakkan masyarakat yang baik selama 300 tahun. Itulah yang dikatakan masyarakat salafussoleh sepertimana yang Allah kehendaki dalam firman-Nya, “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (QS Saba: 15)



Bilamana umat Islam sudah tidak mengikut kaedah ini lagi,yakni selepas umat Islam tidak mengamalkan Islam melalui proses pembersihan hati daripada sifat mazmumah, empayar Islam telah jatuh ke tangan  musuh-musuhnya.

Bila musuh datang, bukan musuh yang diperangi, tetapi sebaliknya yang berlaku. Kawan pula dianggap musuh, maka mereka bermusuh sesama sendiri. Hati penuh dengan cinta dunia, hasad dengki, sombong, bakhil, penakut, pemalas, pemarah, gila pangkat, gila nama dan bermacam-macam gila lagi. Di waktu itu, dunia yang sudah ada di tangan, terlepas semula.


Tanpa proses pembersihan hati, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang jahat kerana rakyatnya telah jahat. Rakyat akan hidup susah dan menderita. Sedangkan orang yang punya kuasa, hidup senang-lenang dan mewah serta berlumba-lumba membina empayar masing-masing.  Hidup nafsi-nafsi, pecah amanah dan rasuah. Penipuan, pergaduhan, pencurian, demonstrasi, pembunuhan sering berlaku dan dunia seluruhnya tidak aman lagi.


Sebab itu Islam meminta agar umatnya membersihkan hati daripada sifat mazmumah dan menanam sifat-sifat mahmudah. Kerana dengan kaedah ini sahaja hati-hati manusia akan dapat ditawan. Dunia akan selamat dan aman makmur.

Hati cinta pada Allah dan dunia dalam tangan. Hati rindu pada Allah, tapi dunia dapat ditadbir dan diuruskan. Kaki berpijak di bumi, mengurus ekonomi, pertanian, perubatan, khidmat masyarakat, berdakwah dan mengajar, berhubung dan mesra dengan manusia tetapi hati dengan Allah swt.


Kesan dari mujahadah yang sungguh-sungguh untuk membersihkan hati, maka lahirlah buah dalam kehidupan masyarakat.


Apabila salafussoleh ini memerintah dan mentadbir dunia, oleh kerana terlalu takutnya dengan Allah yakni takut ditanya tentang pentadbiran dan rakyatnya, dia tidak sempat memikirkan keperluan dirinya sendiri. Tidurnya hanya satu pertiga malam. Solatnya terlalu banyak. Jika mereka berniaga, di waktu tidak ada pelanggan, mereka akan terus bersolat, membaca Quran atau berzikir. Ada di antaranya tidak sempat mandi junub kerana mendengar panggilan jihad (gendang perang) lantas menyahut seruannya. Mereka menangis jika tidak dapat ikut serta dalam perang.

Mereka menangis dan pengsan bila mendengar ayat-ayat Allah. Sanggup berpisah dengan suami atau isteri sampai berpuluh-puluh tahun kerana berdakwah atau berjihad. Sanggup hidup ala kadar kerana Islam. Sanggup hidup mati untuk Allah dan Rasul-Nya.

Malangnya melalui sistem pengajian Islam yang sudah disekularkan, ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauq) ini sudah ditolak atau sudah tidak diambil berat lagi. Bahkan dianggap mengarut dan sesat serta menyesatkan. Kalau diajar pun ajaran tasawuf, hanya di mulut atau seronok menyebut istilah-istilahnya sahaja. Tetapi intipati ajaran tasawuf tidak bertapak di hati. Sebab itu orang yang belajar tasawuf, ilmunya itu tidak dapat mengubah sikap dan peribadi mereka.

Oleh itu mari kita fikirkan secara serius tentang ilmu tasawuf atau ilmu rohani atau ilmu rasa (zauq) ini supaya hati kita yang sudah buta dan mati ini dapat dicelikkan kembali serta hidup dan berfungsi. Agar ia dapat menjadi kuasa kepada kebangkitan Islam di akhir zaman. Jika dulu dunia dapat ditawan, maka kali ini sejarah itu akan berulang sekali lagi di tangan-tangan kita, insya Allah.

Wallahu`alam.


Jagalah Hati…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan