Hari ini bangsa kita menghadapi suatu KEMALASAN pada peringkat yang luar biasa, tidak hanya malas dalam perkara duniawi, tetapi malas juga untuk berkasih sayang, berdamai, bertoleransi, malas beribadah, malas untuk membawa akhlak Islam dansebagainya. Setidak-tidaknya, diharap inilah sedikit “penawar” untuk pemerintah dan bangsa kita semoga kita sama-sama berubah menjadi bangsa yang lebih baik.
Dalam solat, Allah mengajar kita untuk berikrar supaya setiap perbuatan kita dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya hendaklah dijadikan ibadah kepada Allah swt. Jika ikrar-ikrar ini kita hayati dengan bersungguh-sungguh, mana boleh kita bermalas-malasan? Suatu bangsa yang malas adalah cermin sebuah bangsa yang TIDAK SERIUS dengan Ilahi. Bangsa yang pemalas tidak akan jadi apa-apa, hanya akan menjadi sebuah bangsa subsidi…
Sifat yang berlawanan dengan RAJIN ialah PEMALAS. Sifat Pemalas sangat dibenci Allah dan Rasul-Nya. Untuk menjadi BANGSA YANG KUAT, kita mesti menjadi bangsa yang RAJIN. Sifat rajin tidak dapat dibuat-buat. Harus ada motivasi atau pendorong yang bersifat rohaniah.
Dalam solat kita memuja dan memuji Allah. Kita menyebut bahawa Allah Maha Besar. Kita mengakui Allah Maha Raja dunia dan Akhirat. Hati kita merasa Allah itu Maha Besar. Kita merasa Allah Maha Melihat, Allah itu Wujud dan Allah sentiasa berperanan penting dalam hidup kita.
Kita juga membuat janji dan ikrar bahawa semua solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Ini sesuai dengan ayat Al Quran dan janji kita di dalam solat, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Robb Pentadbir seluruh alam.” (Al An’am: 162)
Pada ayat ini, solat dan ibadah dipisahkan, padahal solat itu pun merupakan ibadah juga. Itulah tandanya solat itu ibadah yang penting, utama dan pertama dari ibadah-ibadah yang lain baik yang wajib atau sunat.
Kita bersungguh-sungguh melakukan pelbagai kegiatan di dalam kehidupan seharian kita. Aktiviti-aktiviti tersebut dapat menjadi ibadah atau sebaliknya. Dapat menjadi ibadah bilamana aktiviti tersebut sesuai dengan syarat ibadah. Sedangkan di dalam ayat ini, Allah mengajarkan pada kita untuk berikrar supaya setiap perbuatan kita dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya hendaklah dijadikan ibadah kepada Allah swt. Jika ikrar-ikrar ini kita hayati bersungguh-sungguh, mana boleh kita bermalas-malasan?
Kita harus aktif, produktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Inilah janji kita dalam solat yang akan membuatkan kita lincah, rajin dan sentiasa bergerak. Segala jenis perkara yang dapat dijadikan ibadah kita lakukan. Perkara yang HARUS pun kita jadikan ibadah. Maknanya solat itu membunuh kemalasan.
Jika sesuatu kelompok itu ibadahnya banyak, rajin membaca Al-Quran, wirid dan zikirnya juga banyak, kita berkata bahawa mereka hebat. Itu sebenarnya salah dalam menafsir maksud muslim yang hebat. Kita sangka mereka baik sebab mereka tidak menegur orang dan beriktikaf sahaja, tetapi mereka tidak rajin dan tidak berkhidmat kepada masyarakat. Di sini konsep ibadah itu sudah tersalah. Itu menunjukkan mereka hanya ada ilmu tetapi tidak faham dan ilmu itu tidak dihayati. Pada pandangan orang ramai, mereka orang baik. Ini juga satu lagi kesalahan yang besar. Orang yang baik itu bukan sekadar dapat beribadah dan tidak mengganggu orang lain. Orang yang muslim yang baik itu, mesti berkhidmat kepada orang lain dengan tenaganya, nasihat, harta dan wang
Baginda saw ada menyebut, “Yang paling baik di antara kamu ialah yang paling banyak member manfaat kepada manusia lain” (Riwayat Qudha’i dari Jabir)
Sebab itu para salafussoleh, kerana ibadah mereka dihayati dan berperanan pada diri mereka, selepas waktu Subuh, jika mereka tidak ada kerja yang khusus, mereka sengaja keluar mencari sebab untuk berbuat kebaikan dan mencari-cari kerja untuk berkhidmat kepada manusia lain. Mereka pergi menolong orang memetik gandum, menolong mencangkul tanpa disuruh atau diminta. Jika mereka melihat ada rumah yang atapnya bocor, mereka minta izin tuan rumah untuk membaikinya. Inilah yang dimaksudkan bahawa solat itu melahirkan orang yang aktif.
Hari ini, ramai orang solat dan banyak melakukan ibadah, tetapi mereka jadi beku, jumud, tidak kreatif dan tidak memberi manfaat pada masyarakat sekelilingnya. Bahkan nasib mereka pun ditentukan oleh orang lain. Bukankah ini satu kesilapan yang besar…? Hanya kerana mereka itu nampak lembut, tidak menganggu orang lain, kuat ibadah maka orangramai anggap itu baik dan bagus.
Sepatutnya orang yang kuat hubungannya dengan Allah, dia mesti banyak berhubungan dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Allah, mesti banyak pula khidmatnya pada manusia. Jika betul takut dan cinta pada Ilahi. akan bertambah cintanya pada manusia. Itulah sepatutnya kesan atau hasil dari solat…
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan