Popular Posts

Isnin, 11 Julai 2011

ADAKAH JANJI HANYA TINGGAL JANJI...?



Mengapa Ibadah SOLAT kita (umat Islam) selama berbelas-belas tahun, bahkan berpuluh-puluh tahun tidak memberi kesan apa-apa dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara? Iaitu tidak mampu membina diri dan masyarakat mulia yang berakhlak, bersih, berdisiplin, sabar, jujur, amanah, adil, tawaduk, pemaaf ,aman, damai, makmur dan mendapat keampunan Allah…?


Setiap hari, 5 kali kita mengadap Allah, ketika mengadap-Nya itu, kita selalu mengakhirinya dengan ucapan SALAM ke kanan dan ke kiri. Jika kita hayati, sesungguhnya kita sedang berjanji kepada Allah yang Maha Agung bahawa kita akan menebarkan keselamatan dan kasih sayang kepada seluruh makhluk Allah di muka bumi ini… Adakah janji hanya tinggal janji…!?


Setidak-tidaknya, inilah di antara jawapannya…

1. Ibadah TANPA PENGHAYATAN tidak akan memberi kesan.


Kita diberi ilmu tentang ibadah baik ia ibadah fardu mahupun ibadah sunat, tetapi hanya sebatas yang bersangkut paut dengan hukum-hukum tentang syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam beribadah, hanya itulah yang kita jaga selama ini iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja. Tidak lebih dari itu, bab penghayatan tidak pernah diajarkan. Begitu juga dalam ibadah puasa dan haji. Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajarkan. Kefahaman dan penghayatan pun tidak diajarkan. Kalau begitu keadaannya bagaimana boleh ibadah itu dapat dihayati dan berkesan dalam hati…?

Jika ibadah sepenting solat yang menjadi tiang agama dan ibu segala ibadah pun hanya diajarkan syarat, rukun, sah dan batalnya saja. Manakala ilmu falsafah, kefahaman dan penghayatannya tidak diajarkan, maka rugilah kita. Itulah yang terzahir pada kehidupan hari ini.

Fenomena ini sebenarnya telah lama berlaku, iaitu sekitar 700 tahun yang lalu, semenjak jatuhnya empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita pelajari selama ini menjadi sangat terbatas. Ilmu ibadah yang diajarkan tidak lagi menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itulah kita lihat orang yang banyak ibadah dan banyak bersolat pun, tidak memberi kesan pada diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah menjadi lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif.

Sabda Rasulullah saw, “Barangsiapa yang solatnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran, maka tidak bertambah dekat dia dengan Allah swt , melainkan bertambah jauh dari Allah swt.” (Riwayat At Tabrani)

Ibadah tanpa penghayatan dan dijiwai ini tidak memberi apa-apa kekuatan. Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi yang agung. Dalam perintah Allah agar kita beribadah itu terkandung ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang dapat menguasai dunia. Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersolat atau tidak bersolat, kita beribadah atau tidak beribadah, sama sahaja kesannya kepada kita.

2. Tidak ada ilmu tentang Allah (maksudnya tidak mengenal siapa yang kita SEMBAH ketika SOLAT).


Solat atau sembahyang itu, di antara tujuannya ialah untuk mengingat dan menyedarkan manusia tentang Ilahi, bukan untuk mengajar manusia tentang Ilahi, tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Allah. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Allah diluar masa solat. Cuma manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa. Walaupun manusia itu ada ilmu dan faham tentang Allah diluar solat, tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah dari istilah ‘ins’ dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.

Solat akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Allah. Maka dalam solat, dia hanya akan di ingat-ingatkan dan disedarkan lagi. Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Robb nya untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa. Itulah rahmat dan kasih sayang Allah.

Malangnnya bagi kebanyakan umat Islam, diluar solat dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Allah. Jika di luar solat sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham, bagaimana untuk mengingati Allah dalam solat…? Bagaimana dapat mengingati perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham. Ini perkara mustahil. Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Allah sangat susah untuk disedarkan. Orang seperti ini, solat tidak ada makna baginya. Terpekik terlolong dalam solat pun tidak jadi apa-apa. Dia tidak ubah seperti orang gila.

Inilah juga sebab kenapa ibadah terutama solat itu tidak mendidik kita. Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Allah dan sifat-sifat Allah. Solat tidak membawa mereka kepada Ilahi. Jauh sekali mengingatkan mereka tentang Allah. Mereka tidak kenal Allah yang mereka sembah… Wallahu`alam.

 Jagalah Hati…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan