Dengan Kasih Sayang dari Allah Ramadhan tiba lagi....
Ramadhan membawa hadiah-hadiah yang terlalu banyak, mahal-mahal dan besar-besar dari Allah swt. Hadiah buat orang bertakwa, bukan untuk orang Islam. Lebih-lebih lagi bukan untuk orang yang zalim dan fasik. Hadiah dari Allah itu ada bermacam-macam. Diletakkan di dalam wadah dari bahan-bahan yang mahal. Di antara hadiah-hadiah itu ialah,
1. Hadiah keampunan Allah, hadiah terbesar buat orang yang bertakwa.
2. Hadiah keredhaan-Nya juga mahal
3. Kasih sayang-Nya yang sangat diperlukan
4. Rahmat, hidayah dan taufik-Nya
5. Berkat dari-Nya dunia membawa ke Akhirat
6. Diberi-Nya pahala berganda-ganda.
7. hadiah Lailatul Qadar diberi ganjaran seribu bulan beribadah.
8. Akhirnya Syurga Allah yang kekal abadi.
Kedatangan Ramadhan yang sebenarnya ialah sebuah majlis bertukar-tukar hadiah di antara hamba-hamba dengan Allah. Hadiah di antara dua pihak bukan satu pihak sahaja. Hadiah dari Allah adalah sangat mahal, berbanding hadiah si hamba. Hadiah dari hamba juga bernilai di sisi Allah. Sesiapa yang dapat menghadiahkan sesuatu yang mahal kepada Allah maka dapatlah hadiah dari Allah yang juga sangat mahalnya
Namun, tidak semua hadiah hamba dibalas hadiah oleh Allah. Hadiah-hadiah yang mahal dari hamba sahaja yang dapat balasan hadiah oleh Allah. Seperti yang akan disebutkan. Wadah-wadah orang yang bertakwa yang hendak diisi dengan hadiah-hadiah tadi ada pulangannya. Wadah-wadah itu banyak pula di antaranya,
1. Wadah Puasa yang di isi dengan keinsafan, timbang rasa, kesabaran, rasa hamba, rasa lemah, lembut hati, lapang dada, bertolak ansur.
2. Wadah Solat di isi dengan hadiah-hadiah rasa kehambaan, rasa dilihat, rasa hina, rasa rendah diri, lembut hati, rasa harap, malu, rasa kerdil, tawaduk, khusyuk, gementar, takut, taubat, menyesal, takut dengan dosa di masa depan.
3. Wadah membaca Al Quran di isi dengan dapat ilmu, pengajaran, keinsafan, terasa kebesaran Allah, terasa rahmat dan kasih sayang-Nya kepada insan, hati tenang, bertambah takut dengan Allah dan hasad dengki pun hilang
4. Wadah Zikir seperti tasbih, tahmid, takbir, selawat, doa di isikan dengan mensucikan Allah, memuji Allah, membesarkan Allah, tawakal, penyerahan diri kepada Allah, baik sangka dan harap, membesarkan Akhirat, berlapang hati dengan urusan dunia, dunia tidak menyusahkan hatinya, tenang dengan dunia, gelisah dengan nasib di Akhirat
Semoga Allah berkenan menggolongkan hati-hati kita menjadi setiap wadah-wadah yang dapat di isi dengan rasa-rasa yang telah disebutkan tadi.
Orang bertakwa dapat menghayati Ramadhan dengan akal fikiran, hati dan jiwa raganya. Roh Ramadhan menjadi roh kepada hatinya dan jiwanya. Roh di atas roh, jiwa di atas jiwa. Rohnya bercahaya dengan cahaya Ramadhan. Itulah orang bertakwa
Orang bertakwa sahaja yang pasti dapat hadiah yang besar, kerana orang bertakwa itu dapat membawa hadiah pula untuk Allah. Saling bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Allah
Sesiapa yang tidak dapat memberi hadiah di bulan Ramadhan kepada Allah seperti yang telah dinyatakan, maka rugilah si hamba kerana ia juga tidak akan dapat hadiah dari Allah.
Sesiapa yang tidak dapat hadiah dari Allah sia-sia sahaja Ramadhan kali ini. Dia tidak dapat apa-apa kecuali dahaga, kelaparan, kehausan dan keletihan.
Cuba kita fikirkan Ramadhan yang telah lama kita lalui, adakah kita membawa hadiah-hadiah yang berharga kepada Allah?
Kita tentu dapat mengagak nilai hadiah yang kita anugerahkan kepada Allah setiap Ramadhan bukan? Apakah hadiah hadiah kita itu Allah balas dengan hadiah yang telah disebutkan?
Semua soalan-soalan itu rasanya setiap orang boleh memberi jawapan berdasarkan ilmu pengetahuan masing-masing.
Sungguh susah hendak dapat hadiah dari Allah di bulan Ramadhan, kerana bulan Ramadhan kita jadikan pesta minum dan makan. Pesta sembang-sembang dan bualan-bualan selepas solat sebelum pulang ke rumah masing-masing. Bukan pesta mencapai hati dan jiwa takut dan cintakan Allah…!
Bulan Ramadhan sebenarnya adalah pesta rohaniah, pesta hati dan jiwa. Ramadhan bukan pesta lahiriah atau pesta syariat yang rohnya tidak ada…
Wallahu`alam.
Jagalah Hati…
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan