Popular Posts

Jumaat, 14 Jun 2013

PERNAHKAH...




Pernahkah kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah...?


Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah swt...?


Jawapannya ada pada diri kita sendiri...


Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat...


1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Allah sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.


2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.


3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai. Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Allah.


4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Allah. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.


5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang. Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Allah tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.


6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Allah yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.


Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.


Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan