Popular Posts

Isnin, 24 Jun 2013

INTI DAKWAH...





Saudara semuslimku yang baik hati... bila kita menyebarkan kebaikan, utamakanlah lantunan dari suara hati, bukan ilmu yang dihafal dari ratusan kitab...



Marilah kita belajar menyebarkan suara hati dari ulama sufi dan anaknya...



Syeikh Abdul Qadir Al Jailani dalam menyampaikan pengajiannya menggunakan bahasa yang sangat sederhana. Anak beliau yang telah banyak menuntut ilmu dan gemar menyampaikan ilmu berbisik di dalam hatinya, "Jika aku diizinkan menyampaikan ilmu, tentu akan lebih ramai orang yang menangis".



Maka suatu hari Syeikh Abdul Qadir Al Jailani ingin mendidik anaknya, beliau berkata kepada anaknya, "Wahai anakku! Berdirilah dan sampaikan syarahanmu. Anak beliau kemudiannya bersyarah dengan isi dan gaya yang sangat bagus. Namun tiada seorang pun yang menangis dan merasa khusyuk. Para hadirin bahkan merasa bosan mendengarnya. Setelah anaknya selesai bersyarah, Syeikh Abdul Qadir Al Jailani naik ke atas mimbar lalu berkata, "Para hadirin sekalian, malam tadi isteriku ummul fuqaro’, menghidangkan ayam panggang yang sangat lazat, tiba-tiba seekor kucing datang dan memakannya".



Mendengar ucapan ini, para hadirin menangis dan menjerit. Anak beliau berkata, "Aneh .... aku bacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka, hadis-hadis Nabi saw, syair dan pelbagai kata-kata hikmah, tidak seorang pun yang menangis. Tetapi ketika ayahku menyampaikan ucapan yang tidak ada ertinya, mereka terus menangis. Sungguh aneh, apa sebabnya...????"



Saudara semuslimku yang baik hati, sesungguhnya inti dakwah itu, sama ada syarahan atau ceramah bukan terletak pada susunan kalimah, tetapi pada kesucian hati dan sifat siddiq (benar) orang yang berceramah (bersyarah atau berbicara).



Sewaktu Syeikh Abdul Qadir Al Jailani berbicara, para hadirin menangis kerana memberi makna kata ’kucing’ dalam kisah beliau itu dengan syaitan yang mencuri amal anak Adam dengan cara menimbulkan rasa riya’, ujub dan sombong. Ada yang menangis kerana mengibaratkan cerita itu dengan keadaan su’ul khatimah, yakni ia membayangkan seseorang yang memiliki amal yang sangat banyak, tetapi usianya berakhir dengan su’ul khatimah. Mereka menangis dan merasa takut kepada Allah hanya kerana ucapan biasa. Sesungguhnya dari ucapan itu telah membuatkan mereka berfikir, menerbitkan cahaya di hati mereka, berkat dari cahaya yang memancar dari hati Syeikh Abdul Qadir Al Jailani...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan