Allah swt telah berfirman dalam satu hadis Qudsi, “Pasti mendapat kecintaan Ku bagi dua orang yang sayang menyayangi kerana Ku, dua orang yang duduk bersama-sama kerana Ku, dua orang kunjung mengunjungi kerana Ku, dan dua orang yang tolong menolong kerana Ku”.
Firman-Nya lagi dalam hadis Qudsi yang lain, “Mana dia orang yang bercinta kerana keagungan Ku? Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah naugan Ku, iaitu hari yang tiada naungan selain dari naungan Ku”.
Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah”.
Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah swt dan taat setia kepada perintah Allah swt, maka hal demikian itulah yang dikatakan bercinta kerana Allah swt.
Ataupun jika ia mencintai seseorang itu dan bersahabat dengannya kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk taat setia terhadap Robb-nya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta kerana Allah swt.
Ataupun jika ia mencintai seseorang itu kerana membantunya dalam urusan keduniaan yang mana dengannya pula ia dapat menguruskan urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk dalam bercinta kerana Allah swt.
Ataupun jika ia mencintai seseorang itu dan bersahabat dengannya kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya ataupun barangkali orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya, dan dalam hal ehwal kehidupannya yang menerusinya ia dapat hidup senang lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta tabii, cinta biasa yang tiada kena mengena dengan Allah swt. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan diri semata-mata dan meskipun demikian ia tetap harus hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan mudah-mudahan.
Allah swt telah berfirman, “Sahabat-sahabat pada hari itu, satu sama lain akan bermusuhan kecuali orang yang bertaqwa”. ( az-Zukhruf:67)
Wallahu`alam
Jagalah Hati....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan